Selasa, 5 Mei 2009

Pelanduk Nagori


Menurut empunya ceritera, ada sebuah kampung terletak jauh di muara Sungai. Dalam kampung itu ada seorang pemuda bernama Nagori. Adapun Nagori ini gemar memelihara binatang. Ada bermacam-macam binatang dipeliharanya. Binatang-binatang itu adalah hasil buruannya di Kampung Hulu Sungai.
Pada suatu hari, terdengar oleh raja akan pekerjaan Nagori memelihara binatang. Baginda terasa ingin melihatnya. Maka baginda dan Mamanda pun berangkat ke kampung Nagori. Berbunga-bunga hati Nagori menyambut kunjungan baginda.
Tanpa berlengah, Nagori mengiringi baginda melawat ladang ternakannya. Sangat gembira baginda melihat binatang-binatang peliharaan Nagori. Ditanyalah oleh baginda binatang itu binatang ini. Semuanya dijawab oleh Nagori dengan rasa megah.
Tiba-tiba baginda terpandang pada seekor binatang. Badannya bulat seperti gendang. Kepalanya panjang seperti gedombak. Hidungnya putus seperti buluh terpotong. Di sebelah binatang itu ada beberapa ekor pelanduk. Maka bertanyalah baginda kepada Nagori, “Apakah nama binatang itu, wahai Nagori?”
Segera dijawab oleh Nagori, “Itulah pelanduk, Tuanku.”
Berkerut dahi baginda mendengar jawapan Nagori. Dari mulut baginda terlompat kata-kata, antara dengar tidak dengar, “Eik, pelanduk peliharaanku bertubuh kecil, sedang binatang ini bertubuh besar dan bulat.”
Sekali lagi baginda bertanya kerana tidak puas hati dengan jawapan Nagori, “Pelanduk apakah bermucung panjang berhidung putus, wahai Nagori? Beta tidak pernah melihatnya.”
Nagori terkejut mendengar pertanyaan baginda itu. Rupa-rupanya dia telah tersalah jawab. Sangkanya, baginda bertanyakan akan pelanduk yang sedang menyisir itu.
Oleh sebab takut akan dihukum raja, Nagori menyakinkan diri menjawabnya. Dia tahu raja tidak mengetahuinya. Kalau tidak, masakan raja bertanya.
“Ooo …. Itulah Pelanduk Nagori, Tuanku. Jarang terdapat di dunia ini,” jawab Nagori dengan penuh yakin.
Baginda diam. Seketika kemudian, baginda bertanya pada pembesarnya.
“Benarkah itu Pelanduk Nagori, wahai Mamanda?” titah baginda.
“Benarlah kata-kata Nagori itu, Tuanku. Patik sendiri pun tidak pernah melihatnya,” sembah Mamanda.
Apabila mahu berangkat pulang, Nagori pun menghadiahkan sepasang Pelanduk Nagori kepada baginda. Sangat besar hati baginda menerimanya. Pelanduk itupun dipelihara oleh baginda di sebuah bukit. Maka, sehingga sekarang dinamakan orang bukit itu sebagai Bukit Pelanduk. Dan, binatang itu kekal bernama Pelanduk Nagori.
5 Mei 2009

Tiada ulasan: