Pada 6hb. Mei 2009, melalui bantuan Rahimidin Zahari, aku dan Mohd Hasbi Haron berkunjung ke rumah Sutung Umar RS di Gombak. Kami dalam perjalanan ke tempat berkursus di Shah Alam. Lama benar aku tidak berjumpa dengan Sutung Umar RS. Beliau kini kurang sihat. Satu jari kakinya terpaksa dipotong akibat kerakusan kencing manis. Beliau kelihatan kurus, tetapi cintanya pada Gudang Garam masih kental. Dalam sakit dan kurang daya itu semangat sastera-budaya dan berfikir (menggali ilmu tinggi) pun masih kental juga. Beliau tunjuk beberapa buah buku yang sedang ditelaah seperti studi tentang kitab Hikam, Khalil Gibran dan sebagainya. Di rumahnya terdapat banyak buku, di ruang tamu dan bilik bacaan. Ditunjukkan juga kepada aku (dalam youtube) cara Adiba Parven buat persembahan. Aku rasa teruja.
Sdr. Sutung Umar RS, Mohd Hasbi Harun dan Rahimidin Zahari
Aku kenal nama Sutung Umar RS semasa tingkatan empat, melalui buku Titian Zaman diselenggara oleh Ajikik dan Usman Awang. Aku juga beli buku ulasan Titian Zaman yang ditulis olehnya. Namanya yang pelik itu (dan nama-nama penyair lain) turut mempengaruhi aku mencari nama pena. Melalui rakan-rakan penulis aku berkenalan dengan Sutung Umar RS. Ternyata, beliau bukan penyair yang kelorek, dan mudah didampingi. Beliau sentiasa memberi majalah Dewan Sastera dan majalah Pentas percuma kepada aku dan belanja makan-minum.
Sutung Umar RS seorang penyair, cerpenis, editor, wartawan, penulis bebas, pengukir, aktivis, penerbit teater merupakan antara individu yang banyak berjasa memasarkan karya aku. Beliau merupakan orang (editor) pertama menyiarkan sajak aku dalam majalah Dewan Sastera, dalam Dewan Budaya dan Jurnal Perisa. Beliau juga pernah meminta aku membuat tinjauan tentang Rancangan Teater Novel dan disiarkan dalam majalah Dewan Sastera.
Beliau juga merupakan antara penggerak utama acara baca sajak di rumah Pena, yang berlangsung lebih 10 tahun, dan bekerja untuk kemajuan sastera-budaya tanpa mengira waktu siang, malam mahupun hari minggu.
Kumpulan sajak pertamanya, Taburkan Bunga. Beliau tiada kumpulan cerpen dan namanya tiada dikaitkan dengan cerpen. Namun begitu, melalui pemerhatian aku, cerpennya yang sedikit itu, mempunyai jalur tersendiri.
Sebelum pulang, aku memohon izin ke tandas untuk membuang air kecil (bimbang terkena jangkitan kencing manisnya!). Wah, dalam tandas pun ada buku! Ada dua novel Inggeris. Satu terletak di atas tangki air tandas dan satu lagi di atas rak barangan mandi. Inilah pertama kali aku jumpa buku disimpan dalam bilik mandi/tandas.
Terima kasih Sutung. Semoga Allah membalas jasamu dan memberkati hidupmu. Amin.
3 ulasan:
Jangan lupa kepada novelnya yang heboh baru-baru ini dengan judul Api Cinta.Nadzi Yaacob menulis dalam Beriuta Harian bahawa novel itu mesti bibaca. Begitu juga Dinsman dalam kolumnya menulis catatan yang hebat tentang novel itu. Terbaru diua baru menyiapkan sebuah novel baru dengan judul Seluang Lepas Melaut.
Di mana untuk mendapatkan novel Api Cinta, mana penerbitnya? Teringin juga nak baca, macam menarik tajuknya.
Saya amat bersimpati dengan penyair yang berjiwa besar ini, sudah lama saya tidak ketemunya. Semuga Allah memberinya kesihatan yang baik.
Catat Ulasan