Sabtu, 23 Mei 2009

Ibuku, Habsah

KEMBALI KE TANAH ALBUM
(Mengenang ibuku, Habsah)

Benih-benih pengalaman
yang kau tanam dahulu
sulurnya menjalar segar
ke dalam kebun waktu
kini
menggamit rinduku.

NASSURY IBRAHIM
Sumber: Elipsis, DBP, 2008: 48


HABSAH BINTI YACOB


Ini ibuku. Namanya Habsah binti Yacob @ Habsah binti Rokiah binti Said. Berasal dari Cherang Hangus, Bachok, Kelantan. Beliau banyak menasihati aku (dan juga membebel) agar aku rajin belajar dan menjadi seorang orang. Beliau gemar mencubit (ketam tangan) paha aku.

Dahulu ibuku berkerja menanam padi sawah, sayur-sayuran, menganyam tikar dan menjaja. Kini ibuku menoreh getah dan menjual kain. Buku rekod menjualnya aneh. Hanya beliau sahaja yang faham. Betapa kecil pendapatannya, beliau dapat mengumpul wang dan menunaikan fardu haji.


Buku rekod perniagaan ibuku
Pada tahun 1960-an, ibu dan ayah meneroka tanah di Kampung Tok Kah, Dungun, di samping berhasil membeli dua ekar tanah paya, daripada Cikgu Alias, di Kampung Balai Besar, Dungun, dengan harga RM600.00. Pada tahun 1990-an, ayah menyerahkan surat jual-beli tanah itu kepada Adun Rantau Abang, YB Cikgu Harun. Tujuannya ialah agar YB dapat menolong mendapat geran milik. Malangnya, yang menyusur surat amaran dari Majlis Daerah Dungun agar ibuku merobohkan rumah di atas tanah berkenaan, jika tidak mahu disaman / didakwa.



Salinan surat dari Majlis daerah Dungun

Tanah itu terlibat untuk pembinaan sekolah. Ibu berusaha mendapatkan pampasan daripada Majlis Daerah Dungun. Yang diperoleh ialah herdikan dan ugutan daripada pegawai bertanggungjawab.

Sekolah Kebangsaan Balai Besar, Dungun

Oleh sebab takut didakwa, sebagaimana dinyatakan dalam surat, ibuku merobohkan rumah di tanah berkenaan. Tidak lama kemudian, Sekolah Kebangsaan Balai Besar dibina di situ. Tanah ibuku menjadi sebahagian daripada kanten dan padang sekolah.

Kini ibuku sudah tua. Ayah pun sudah mati. Aku tetap anggap tanah itu harta pusakaku. Jika perampasannya secara ihklas (tiada bayaran kepada mana-mana pihak dan telus), aku anggap tanah itu sebagai wakaf. Pahala wakafnya untuk ibu dan ayahku. Jika sebaliknya, ada unsur-unsur penyelewengan, aku anggap tanah itu harta pusaka aku. Tentunya aku tidak halal dan maaf pada mereka yang terlibat.


TANAH
Dari tulang Tuhan beri
tapai
dari tapai Tuhan beri
wang
dari wang Tuhan beri
tanah
malangnya, sekakang tanah
ibu dicuri politikus.

15 Jun 2005

Tiada ulasan: