Isnin, 27 Disember 2010

Bertindak Memartabatkan Agama Islam

Saya setuju peringatan yang disampaikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meminta pengusaha pusat beli belah berhenti menyuruh jurujual beragama Islam memakai pakaian Santa Claus (Mingguan Malaysia, 26 Disember 2010). Walaupun bertujuan baik, Santa Claus ialah imej agama Kristian dan larang bagi orang Islam menirunya.

Larangan sedemikian terhadap orang Islam bukan sahaja dalam aspek meniru berpakaian, malahan meliputi aspek lain juga. Orang Islam dilarang sama sekali melakukan atau meniru perkara-perkara yang ditegah dalam agamanya. Hal ini termasuklah meminta jurujual beragama Islam menguruskan barang-barang yang diharamkan dalam Islam. Misalnya, menjaga kaunter bagi urusan jual-beli (pembayaran) arak atau daging babi.

Sabtu, 25 Disember 2010

Pejuang dan Pengkhianat

Pejuang hidup dalam keranda
pengkhianat hidup dalam kuasa.

NASSURY IBRAHIM
5 Jun 2010

siaran: BERITA MINGGU, 20 FEBRUARI 2011

Jumaat, 24 Disember 2010

Gawat hingga Bercawat Kote

Negara aku kini bukan sahaja gawat moral, gawat ketuanan, gawat bahasa, gawat adat budaya, gawat politik, gawat ekonomi, gawat sokongan, dan segala macam gawat, termasuk gawat agama. Gawatnya sudah sampai peringkat bercawat kote.

Dari segi ketuanan, aku berpendapat, memang orang Melayu bukan tuan di negara ini. Partai yang tumbuh dan berkembang di atas batu gemala Melayu pun gagal mempertahankan Melayu dan identiti Melayunya. Adalah pelik, negara yang telah 53 tahun dikuasai oleh pemimpin Melayu masih lagi mengewar-warkan bahawa perjuangan memartabatkan Melayu masih belum selesai. Sial, apakah yang dilakukan oleh mereka selama 53 tahun itu? Melayu sekarang umpama, yang dikejar tak dapat; yang dikendong keciciran.

Bahasa Melayu telah lama ditendang diteranjang ke sana ke sini. Sekejap kata bahasa Melayu merentas kurikulum, sekejap kata bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan ilmu sains dan matematik. Menafikan peranan bahasa Melayu kepada bangsa Melayu di Tanah Melayu (Malaysia) adalah bukti jiwa kecil orang Melayu berkenaan. Lazimnya, dia bukan Melayu tulen.

Yang terbaharu ialah gawat agama. Seorang penguasa agama, Hassan Din, mengatakan Syiah sebagai kilang yang mengeluarkan anak zina. Benarkah? Syiah telah lama wujud. Penganut Syiah bukan calang-calang orang. Ramai antara Syiah jadi pemikir besar Islam pada zaman sekarang. Apakah mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu salah. Hanya tokoh ulamak Malaysia yang menyedari perbuatan haram itu. Bangganya aku. Namun, saya bimbang ia jadi fitnah.

Mufti Harussani pula mengatakan perbuatan meletakan ancak dan menempuntawarkan ancak sebagai tidak bersalahan dengan Islam. Dulu ada pihak mengatakan perbuatan itu salah dari segi hukum-hakam Islam. Kini tidak salah pula. Sebagai orang yang pernah hidup dalam masyarakat wayang kulit dan silat, senang hati aku mendengar bahawa perbuatan ancak-mengancak itu tidak salah. Cuma janganlah pula ada yang mengatakan, selepas ini, bahawa perbuatan itu adalah salah.   

Ahad, 19 Disember 2010

Tinggi Harap Daripada Usaha

Sebagai tutor kertas bahasa Melayu dan sebagai penyelia projek OUM kertas bahasa Melayu, salah satu tanggungjawab aku ialah memeriksa tugasan mahasiswa. Setiap kali memeriksa, aku sering membebel sendirian. Rasa tidak puas hati dan kecewa jelas. Hal ini kerana mahasiswa sangat berharap dan bergantung harap pada markah tugasan. Mereka tidak bergantung harap pada peperiksaan kerana, berdasarkan pengalaman, keputusan peperiksaan banyak mengecewakan. Sedangkan aku tidak dapat memenuhi harapan mereka secara mutlak.

Bukan aku kedekut markah atau sengaja tidak mahu memberi markah tinggi kepada mereka. Masalahnya, mereka hanya berharap tanpa membuktikan harapan mereka melalui penghasilan tugasan, bahawa mereka ingin markah tinggi.

Isnin, 13 Disember 2010

Belajar dari namewee - 2

Pada 30 Ogos 2010 saya mengeposkan satu entri ke dalam blog ini. judulnya, "Belajar dari Namewee." Dalam entri itu saya mengatakan bahawa dia seorang devian terhadap negara. Jika kerajaan tidak mengambil tindakan, bererti kerajaan 1 Malaysia menghalalkan tindakan devian Namewee. Rakyat boleh meteladaninya.

Pada 28 November 2010, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Aziz, memaklumkan bahawa setelah berbincang dengan Jabatan Peguam Negara, didapati Namewee tidak melakukan kesalahan terhadap kerajaan dan tidak melanggar undang-undang yang membolehkan dia diambil tindakan.

Sikapnya menbunjukkan aksi lucah hanya terhadap seorang pengetua di Kulai. Sikap tunjuk aksi lucah ini, barangkali, bersamaan tindakan DS Adnan Yaacob (Menteri Besar Pahang) yang menunjukan aksi lucah semasa menghadiri hari penamaan calon bagi satu pilihan raya kecil. Adnan juga didapati tidak melakukan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang kerajaan Malaysia.

Rupa-rupanya melakukan aksi lucah tidak menjadi kesalahan di Malaysia.

Namun, Nazri sendiri mengatakan bahawa aksi lucah itu hanya salah di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). Saya jadi keliru. Sekejap Nazri mengatakan perbuatan Namewee itu tidak melanggar undang-undang kerajaan, sekejap mengatakan ia salah di bawah SKMM. Apakah SKMM itu bukan undang-undang? Apakah SKMM itu hanya garis panduan pengguna internet? Siapakah penggubal SKMM dan di bawah negara mana? Apakah Malaysia mempunyai undang-undang 'double standart?" Apakah Malaysia ditadbir berasaskan citarasa pemimpin, bukannya undang-undang?

Lebih memeranjatkan lagi apabila Namewee diberikan keistimewaan pula dengan bebas berpakaian di kawasan parlimen yang dianggap mulia (?) dan bebas berpakaian berjumpa dengan menteri. Tidak cukup dengan itu, Nazri berjanji akan membantu Namewee berjumpa Perdana Menteri untuk mendapatkan dana bagi menghasilkan filem tentang 1 Malaysia. Wah, hebat sungguh Namewee!

Tentulah kita juga ingin menjadi hebat semacam Namewee. Untuk itu kita boleh meneladani Namewee.

Belajar daripada tindakan Namewee bererti, kerajaan 1 Malaysia melalui mulut Nazri Aziz, memberitahu bahawa (a) kita bebas melakukan aksi lucah (dalam internet dan luar internet) asalkan aksi lucah itu dituju kepada seseorang, bukannya kepada kerajaan; (b) bebas berpakaian di kawasan parlimen; (c) bebas berpakaian ketika jumpa menteri atau orang kenamaan; (d) boleh 'hina' imej negara dengan melakukan pengubahsuaian; (e) boleh hina sesiapa asalkan bukan politikus kerajaan; (f) negara Islam Malaysia membenarkan sesiapa menghina agama Islam; (g) anda boleh jadi 'penyangak' asalkan sokong kerajaan; (h) anda akan ditolongi untuk memudahkan urusan / birokrasi untuk berjumpa dengan Perdana Menteri; dan (i) anda mungkin akan diberi bantuan modal.

Namun perlu diingatkan juga bahawa keistimewaan ini kepada Namewee atau Wee Meng Chee. Kalau anda Mamat atau Mohammad, anda telah lama diberikan gelang tangan, bilik percuma dan bantuan makan. Mahukah anda hidup dalam sistem seperti ini?

Ahad, 12 Disember 2010

Wanita Fitnah

Berselubung kain jilbab
dia datang kemas bergenggam
pisau fitnah
lalu ditikam abangnya
menggelupur pedih
di atas kerusi perdana
dia menjerit;
"Dengan pisau fitnah ini
tunggulah engkau rakyat
akan aku koyak-koyakkan
mukamu kainmu
selagi ketuanan ini
diselubungi
angin jahat."

12 DISEMBER 2010

Perpaduan Melayu

Itu cerita cita sempurna
maha purbakala
fosil dalam tanah masa
kerana jiwa dan minda waris
mati dalam perang saudara.

NASSURY IBRAHIM
Berita Harian, 11 Disember 2010

Khamis, 9 Disember 2010

Bakar

Seorang pegawai polis menuju ke tempat orang awam yang sedang menyaksi kebakaran rumah kedai.

"Siapa bakar?" tanya pegawai polis itu. Namun, pertanyaan itu tidak mendapat jawapan.

"Siapa bakar?" pegawai polis itu mengulangi pertanyaannya. Matanya melilau-lilau ke arah orang awam. 

Tiba-tiba ada seseorang menjawap, "Dia, Tuan," sambil tangannya menunjukkan ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri di tengah-tengah orang ramai itu. Pegawai polis itu terus menuju ke arah lelaki berkenaan.

"Awak bakar?" tanya pegawai polis itu kepada lelaki berkenaan.

"Ya, saya Bakar. Kenapa, Tuan?" kata lelaki itu.

Tanpa berlengah, pegawai polis itu terus memegang lelaki berkenaan. Lelaki itu meronta-ronta sambil bertanya, "Kenapa ni, Tuan? Kenapa  ni, Tuan?"

Lelaki itu terus dimasukkan ke dalam trak dan terus bergerak diiringi kereta peronda, meninggalkan orang ramai terpinga-pinga.

"Kenapa Bakar ditangkap, Mat?" tanya Sudin, kawan Bakar.

"Entah!" balas mamat.

Rabu, 8 Disember 2010

40 Mutiara Fikir SN Dr. Muhammad Haji Salleh

Berikut kata-kata SN Dr. Muhammad Haji Salleh semasa menutup Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pada 9 - 10 November 2010 di DBP, Kuala Lumpur, yang sempat saya rakam, untuk direnungi.
  1. Kemungkinan pantun berasal dari Palembang.
  2. Sajak saya banyak tentang alam.
  3. Kalau nak tahu tentang maqnusia, masuklah belantara!
  4. Saya tahu pelajar takut pada saya, tetapi saya tidak bengis.
  5. Kini saya beli surat khabar, tengok kartun, dan buang.
  6. Nampak kita mengukur pada pemilikan barang yang kita punya.
  7. Saya juga mencipta sebahagian daripada seketul batu yang cikgu cipta.
  8. Sistem pendidikan yang mencipta kita menghafal.
  9. Kita bangsa penghafal, bukan bangsa pemikir.
  10. Kalau Jepun Islam, akan jadi budaya halus tertinggi di dunia.
  11. Kalau belajar banyak bahasa akan lebih pandai. Akal fikiran kita selalu bergerak, berlatih.
  12. Dahulu di Sungai Acheh (Pulau Pinang) ada sistem batter trade.
  13. Ayah nak jadikan saya ustaz.
  14. Di England, pertama kali jumpa cencaluk dan makan cencaluk.
  15. Saya seronok perpustakaan, selalu masuk perpustakaan. Saya hantu perpustakaan. Kalau pergi Landon, saya cari perpustakaan dulu.
  16. Harvard (Universitu Harvard) ada kira-kira 15 juta buku.
  17. Kita adalah bangsa nombor 1 di dunia yang buang sastera, buang bahasa sendiri.
  18. Bahasa Melayu dalam masa 20 tahun akan jadi bahasa ke-4 di dunia.
  19. Kita tidak dihormati oleh orang Melayu sendiri.
  20. Dahulu banyak orang luar datang belajar sastera Melayu.
  21. Sekarang saya kumpul sajak-sajak saya (ada) sekitar 1400 (buah sajak).
  22. Saya tengah tulis kumpulan puisi lestari.
  23. Saya sedang mula projek autobiografi.
  24. Kadang-kadang saya bangun tengah malam, saya menulis.
  25. Daripada 1400 sajak, tidak kurang 1000 sajak saya ada kaitan tentang alam.
  26. Saya tidak suka cakap terus-terang. Puisi yang baik ialah puisi (yang mengungkapkan mesej) tidak langsung.
  27. Orang Melayu kalau (bercakap) tidak guna campur (bahasa) Inggeris rasa tidak antarabangsa, tetapi Inggeris tidak pernah mencampurkan bahasa(dalam percakapannya).
  28. Bahasa Melayu lebih indah daripada bahasa Inggeris.
  29. Saya edit karya hingga 6 - 7 kali dan apabila tengok lagi masih ada (rasa) tidak puas (hati).
  30. Bangsa kita akan jadi bangsa kosong jika tidak peduli sastera.
  31. Kita tidak sedar kekayaan kita. kita hanya sedar kemiskinan kita.
  32. Kita belum lagi jadi bangsa berilmu.
  33. Walaupun (berusia) telah 68 tahun, masih banyak belum saya lakukan.
  34. Saya sedang berkelahi dengan bahasa Inggeris.
  35. Kawan saya anggap saya pembelot apabila masuk sastera Melayu.
  36. Sastera kita baru, masih mencari arah.
  37. Kalau ada sastera besar dan bahasa besar, ilmu pun banyak.
  38. Bahasa kita sudah masuk arus dunia, hanya kita menyekatnya.
  39. Bukan cikgu yang menghasilkan batu-batu, tetapi sistem.
  40. Kita ada sastera besar dan semua orang datang mengkajinya.

Bilik Tuanhamba

Dulu, kini dan mungkin selamanya. Dalam stor inilah tempat aku bekerja bagi melahirkan tuan bertaraf dunia.

Dalam tahun 2010, kami bergerak dengan kekuatan 16 anggota. Tahun 2011, kami akan bergerak dengan kekuatan 17 anggota. Bergerak dalam bilik seluas bilik darjah.

Mungkin kami terpaksa bergilir masuk bertugas dalam bilik ini.
Pernah anda dengar cerita contoh kolaborasi sepasang suami-isteri. Si isteri akan tinggal dalam kelambu ketika suami keluar. Pada masa yang lain, si suami akan tinggal dalam kelambu ketika si isteri keluar. Sebabnya kerana mereka mempunyai sehelai kain. Ini contoh kolaborasi yang baik. Baik juga untuk kami teladani.

Demikianlah, kami mempunyai sebuah bilik kecil untuk 17 orang bertapak, termasuk kerusi-meja, buku-kerja kursus, komputer-almari. Tentulah ada pelbagai bunyi dan sibuk. Jika mahu menganalisis bahan, membuat penaakulan, mencari maklumat atau apa sahaja kerja yang memerlukan konsentrasi tinggi, maka kami terpaksa mencari tempat-tempat yang lebih sunyi. Oleh sebab semuanya tertumpu di perpustakaan, maka selera perpustakaan pun tidak sesuai lagi. Tentunya, kami terpaksa mencari tempat terbaik. Tempat itu tentunya ....

Selasa, 7 Disember 2010

Dua Orang Sahabat

Berkata Abdul Hadi Awang, “Kita jangan jadi seperti dua orang sahabat. Seorang merancang memelihara kambing. Seorang lagi merancang menanam sireh. Setiap hari mereka bergaduh mengenai siapa yang perlu membina pagar, sedangkan kambing dan pakok sireh belum ada lagi." 

Kini, dua orang sahabat itu dipulau oleh masyarakat kampung kerana sikap mereka yang amat memalukan.

Lebih Baik

Kawanku berkata, "Lebih baik jumpa Wee Ka Siong daripada Fuad Zakarsi. Tanpa janji temu, Wee Ka Siong sedia menyambut tamu. Namun, seribu janji temu belum tentu Fuad Zakarsi tunggu."

Kataku, "Bye, bye, bye."

Rasa Benci

Setiap hari politik mengajar aku bersikap kurang ajar terhadap bangsa, agama, keluarga, raja, profesor, pemimpin, sahabat dan musuh. Setiap hari politik melalui mulutnya bernama televisyen dan tangannya bernama akhbar mengajar aku membenci bangsa, agama, keluarga, raja, profesor, pemimpin, sahabat dan musuh. Sehingga kini aku mempunyai banyak rasa benci. Aku fikir, lebih baik engkau tidak berkata-kata, bersifat belas-kasihan dan membela (jilat ludah sendiri) terhadap martabat yang pernah engkau buang agar rasa benci aku terhadapmu berkurangan.

Menunggu Rawatan

Tiga jam tunggu isteri mendapatkan rawatan di HUSM. Aku tunggu di kereta sahaja. Oleh sebab tiada tempat parkir, aku parkir di bahu jalan. Walaupun musim tengkujuh, hari ini tiada hujan dan panas terik. Agak merimaskan.

Kelihatan satu dua gadis melewati kereta aku, ke keretanya, sambil ketawa hilai. Oh, alangkah baiknya kalau aku bersama mereka! Namun, cinta tidak mengizinkan.

Semasa menunggu itu, hatiku tidak henti-henti bertanya: Macam mana darah ujian boleh hilang semasa isteri mendapatkan rawatan di HUM dulu? Masa itu, kami menunggu dari jam 8.30 malam hingga 5.30 pagi.

Huh, sama saja!

Tuan Hamba

Berkata Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar (maaf, saya tak pernah baca buku tulisan beliau), martabat dan kedaulatan raja-raja Melayu perlu diperkukuhkan dengan mengembalikan imuniti atau kekebalan raja-raja (Mingguan Malaysia, 5 Disember 2010).

Semalam saya bermimpi bertemu Cheng Ho. Dia bertanyakan kepada saya:
  1. Siapakah yang tarik imuniti maharaja?
  2. Kenapa baru sekarang bercakap tentang imuniti maharaja?
  3. Apakah imuniti maharaja boleh memartabatkan orang Melayu?
  4. Mengapa maharaja anda tiada martabat sebagaimana maharaja China?
  5. Ada sesiapa kenal Mahadzir Mammad dan Shaiban Kasem?

Saya tidak tahu apa jawapannya. Saya hanya jawap soalan no. 4 saja, "Sebab negara ambo hanya ada raja, negara tuan hamba ada maharaja."

"Oooo ... begitu," katanya. Tiba-tiba dia bertanya lagi.

"Apakah maksud 'tuan hamba'?"

"Eerr, errr. Mungkin tuan jadi hamba kot. err..er... entahlah," kata saya ragu-ragu. 

Jumaat, 3 Disember 2010

Melawat Pusat Perdagangan Terengganu

Pada 27 November 2010, saya bersama isteri melawat Pusat Perdagangan Terengganu yang terletak di hadapan Bukit Besar. Bangunannya besar dan cantik. Kebetulan ada pameran tentang kraf dan seni tradisional Melayu. Rupa-rupanya barangan seni tradisional Melayu Terengganu masih terpelihara dan diberikan fasa moden. Saya sempat merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenangan.

Alat buat songket
Anyaman Mengkuang
Bakul Rotan
Capal
Pokok Permata
Barangan Tembaga
Anyaman Pandan
Anyaman Bakul
Anyaman Kertas (Pasu Kertas)
Ukiran Kayu
Wau Barat
Kerusi Buluh
Kraf dari Tempurung Kelapa
Alat Batik Cetak
Gadis Penjual Batik Terengganu
Kerusi Buluh

Rabu, 1 Disember 2010

Kenangan Bersama Tokoh

Malim Ghazali Pk
Mohamad Shaidan

SN. Dr. Muhammad Haji Salleh


Tuan Haji Wan A Rafar

PM Arbak Othman

Bersama Monique Zaini-Lajoubert (Perancis)