Pertama kali aku memakai tai ialah semasa belajar di SMT Intan Zaharah. Pengetua masa itu, Encik Abdul Rahim Tahir, mewajibkan guru dan pelajar, mengikat leher masing-masing. Termasuk aku, pelajar tingkatan dua, belajar di sesi petang.
Sabahagian tai dalam simpanan aku |
Ada kalanya aku memakai ekor tai di hadapan dan menyembunyikan bahagian depannya dalam baju. Ada kalanya aku memakai bahagian hadapannya sesingkat mungkin.
Semasa aku belajar di Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), kami tidak diwajibkan memakai tai. Hanya pensyarah sahaja yang memakai tai. Walau bagaimanapun, semasa tahun akhir, aku bersama Abdullah Keling sengaja memakai tai, menyebabkan rakan-rakan marah kerana bimbang akan diwajibkan terhadap pelajar.
Kini aku telah menjadi guru. Memang guru-guru diwajibkan memakai tai. Walau bagaimanapun, semasa di MBSKL, guru tidak wajib memakai tai. Namun, setelah bertugas di IPG, aku kembali memakai tai.
Kini aku mempunyai tidak kurang 70 helai tai yang akan aku ikat leher bajuku setiap pagi. Ada beberapa helai telah aku buang kerana jemu memakainya.
Memang memakai tai boleh menampakan seseorang kelihatan segak. Namun aku percaya, tai boleh membinasakan seseorang. Sekiranya bergaduh, pihak lawan boleh menarik tai hingga leher kita tercekik dan kita pun .... Di tengah panas, tentu tidak sesuai memakai tai kerana badan cepat berpeluh dan berbau busuk. Demikian juga bagi mereka yang bekerja mengendalikan mesin. Bayangkan, jika hujung tai masuk ke dalam mesin yang sedang bergerak. Tai itu akan menarik kita dan kita pun akan .... Selebihnya, tai melambangkan diri kita masih terjajah, betapapun telah 53 tahun merdeka.
Suatu hari aku datang untuk mendengar taklimat pengarah cawangan salah sebuah universiti swasta. Ketika berselisih, si Pengarah itu bertanya kepada aku.
"Ni, nak ke mana?" tanya Si Pengarah itu."Bukankah ada perjumpaan hari ini?" Dengan jujur aku menjawabnya."Ooo ... ingat mahu ke pasar!" katanya dan terus berlalu.
Aku terfikir sejenak akan kata-katanya itu dan segera sedar bahawa pada waktu itu aku memakai baju batik Korea. Aku segera ke kereta dan menukarkannya dengan baju kemeja dan memakai tai.
Dan ketika sesi minum, selepas taklimat, Si Pengarah itu tiba-tiba menepuk bahuku, dan berkata, "Inilah pakaian pensyarah."
Aku hanya tersenyum melihat wajahnya.
5 ulasan:
Ning yang aku rasa pelik, apabila berkaitan pakaian beridentitikan Islam (jubah & serban) amat tidak digalakkan kerana tidak sesuai dgn cuaca kat Malaysia dan pakaian itu tidak melambangkan tahap keislaman seseorang itu. Tapi dalam bak baju omputih (kot dan tali tengkuk) sesuai walaupun cuaca, masya-Allah panas, tak pe. Dan kena pakai kot dan tai jugok walaupun tahap pengetahuan keprofesionalan masih dangkal. Ntah ape-ape.
Zam, Lihatlah bendera, ada sama dengan mana-mana bendera tak?
Biasaklah ikut mentornya Uncle Sam!
ejaan tu bukan tai...............tapi tei hehe
kalau tak salah la
tanya la munsyi tempat demo tu heheheheh
"necktie"
Terima kasih Tanpa Nama atas teguran itu. Ejaan 'tai' itu bahasa lisan (Kamus Dewan, 2005: 1572). Tak ada pula entri 'tei.'
Catat Ulasan