Jumaat, 25 Disember 2009

Tahniah Kepada ATM dan PDRM

Tahniah kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berani, siap siaga sentiasa mempertahankan tanah air daripada pencerobohan orang asing. Tahniah juga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang siap siaga juga menjaga keselamatan barangan dan rakyat. Tahniah juga kepada ahli politik Malaysia yang tidak henti-henti bergaduh. Teruskan. Anda bertiga telah membuktikan bahawa Malaysia sebuah negara tidak selamat. Kalau Malaysia negara selamat, sudah tentu tidak akan hilang dua buah enjin jet tentera Malaysia. Kalau Malaysia negara selamat, sudah tentu tidak akan ada berpuluh ribu pendatang tanpa izin berlegar-legar bebas di bumi Malaysia. Kalau Malaysia negara selamat, sudah tentu tidak akan ada acara serbuan memukul membelasah para demostran aman. Kalau Malaysia negara aman damai, para politikusnya tidak akan bergaduh berebut kerusi kuasa.

Berebut kerusi kuasa lebih penting daripada menjaga keselamatan negara dan keselamatan rakyat. Musuh politik lebih bahaya daripada musuh negara sehingga Raja Petra hendak diburu, sedang penjual enjin jet hanya diminta bersara awal saja.
Pada saya, mereka yang terlibat dengan penjualan enjin jet tentera itu perlu diISAkan, termasuk Ketua Angkatan Tentera Malaysia, dan Ketua Polis Negara. Mereka gagal menjaga keselamatan negara dan menjaga kedaulatan rakyat bermaruah.
Sekali lagi tahniah kepada anda semua. Nasib baik kotel melekat di badan, kalau tidak .... Sajak ini dituju khas kepada penjarah tanah air.
DI RUMAH SILOPIA
Keselamatan mitos purba
di rumah silopia
umpamanya kata petani ini;
Harapkan pagar, pagar makan padi.
10 Januari 1999

2 ulasan:

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan Nassury,
Terima kasih kerana sudi berkunjung dan membaca blog seadanya kerdil dan kecil saya, diri ini juga sesekali ada berkunjung dan membaca blog tuan melalui pautan blog rakan yang lain. Selepas ini blog tuan akan saya pautkan dalam blog rarws.
Secara peribadi diri ini suka membaca tulisan dalam blog tuan ini apatah lagi ada juga selitan unsur satira dan kritikan halus yang berkaitan politik dan isu semasa negara. Teruskan tuan.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Encik Rusdi,
Terima kasih kerana berkunjung ke blog dan membaca celoteh di blog saya. Semoga kepulangan anda seperti ada sesuatu yang tertinggal.