Isnin, 7 Disember 2009

Anugerah Sasterawan Negara (Editor)

Aku tergesa-gesa menyimpan telefon, medengar juruacara berdehem ingin memulakan majlis.

Setelah berbasa-basi dan menyebut nama, kelihatan si tokoh berjalan pelahan-lahan naik ke pentas. Langkahnya amat sopan, persis raja sehari.
Aku terpegum melihat susuk pakainya. Amat menarik. Baju Melayu cengkak musang warna hitam bersamping songket tampuk manggis keemasan dari Terengganu. Songkoknya sedikit senget sebagaimana disengajakan.
Turut mengiring ke pentas dua orang jejaka setahun jagung. Sebagaimana tokoh, dua jejaka itu juga berpakaian sut Melayu cengkak musang, bersamping songket mata lalat. Juga dari Terengganu. Cuma sut Melayunya warna abu.
Anehnya, si pengiring itu turut berdiri di tengah pentas, kebelakang sedikit, di kiri dan di kanan tokoh.
"Gerangan apakah sebab pengiring itu berdiri di belakang si tokoh," kataku kepada rakan di sebelah. "Seperti penerima hadiah lakunya!," kataku lagi tanpa mengharapkan jawapan.
Seorang Ketua Penerbit berjalan masuk dan berdiri di rostrum.
Setelah mengetuk kepala makrofon tiga kali, Ketua Penerbit pun mulai bersuara, "Bla, bla, bla, bla, ..." membaca alkisah si tokoh yang diraikan, pemenang Anugerah Sasterawan Negara.
Kemudian, masuk pula Ketua Unit Penyunting, berdiri menghadap rostrum.
"Bla, bla, bla, bla, bla, bla, bla ...," ujarnya penuh bersemangat. Dan, "Tahniah kepada penerima Anugerah Sasterawan Negara (Editor)," katanya menamatkan ucapan.
"Bila pula ada kategori Anugerah Sasterawan Negara (Editor)? Apa sebabnya?" kepalaku diterjah soalan aneh.
Aku teringat emel daripada seorang novelis tersohor. Katanya, "Beberapa bulan lepas, aku menerima sebuah buku dari sebuah penerbit. Setelah buka sampul, aku rasa amat gembira kerana manuskrip novel aku telah menjelma sebuah buku," tulisnya. "Namun," tulisnya lagi. "Kau tahu? Gembira aku menjunam lenyap setelah terlihat di bawah nama aku tertera satu lagi nama." Ada wajah bukunya disertakan.
"Bila pula novel aku ini karangan bersama?" tulisnya lagi.
Aku menelefon novelis tersohor ini. Basa-basi bertanyakan khabar diri, dan terus ke pemasalahan novelnya.
Katanya, "Aku telefon penerbit, beritahu tentang novel aku itu tertera nama sesat. Mungkin nama itu tersilap cetak," katanya.
"Apa kata penerbit?"
"Nama itu tidak sesat."
"Habis, kenapa tercatat?"
Ujar kawanku itu, "nama itu kepunyaan editor. Dia menangani novel aku. Dia editor, maka namanya perlu juga dicatatkan."
"Laaa ....!" kataku.
"Laaa .... apa?"
"Undang-undang dari mana?" jawabku lagi dan mematikan telefon.
Kepalaku diterjah bayangan, 'Kalau setiap karya A. Samad Said atau Anwar Ridhwan tercatat nama editor sebagai pengarang bersama, wah, kita sudah punya sekurang-kurangnya 20 orang Sasterawan Negara!.'
"Hebat! Hebat!"

6 ulasan:

Aidil Fadzil berkata...

Salam, itu namanya tumpang semangkuk. Boleh kot?

Syaidul Azam Bin Kamarudin berkata...

Tahniah. Mungkin utk menberikan lebih rasa tanggungjawab kepada editor.
re: Pengajian kawe baik2 belaka.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Tuan Aidil dan Azam.
Itu ramalan. Apakah mungkin ada Anugerah Sasterawan Negara untuk editor, sebab ada buku seolah-olah karangan bersama sedang buku itu karangan seorang saja. Editor tumpang semangkuk sebagai pengarang, bukan sebagai editor.

abuyon berkata...

salam pak,

Inilah yang dikatakan -

Hidung tak mancung, pipi
tersorong-sorong

Lembu punya susu, sapi
dapat nama

Tak tahu malu!

NASSURY IBRAHIM berkata...

Abuyon
Ingat, editor bukan pengarang, walau 60% disunting manuskrip itu. Ia membabitkan etika penerbitan.

abuyon berkata...

ya pak, benar sekali
perkataanmu itu

Akan saya ingat sampai
bila-bila, Insya-Allah