Khamis, 26 Mac 2009

Sepuluh Tip Jadi Penulis Berjaya


Walaupun ramai orang ingin jadi penulis, namun tidak ramai orang berjaya menjadi penulis. Walaupun ramai orang berjaya menjadi penulis, namun tidak ramai yang bergelar penulis. Walaupun ramai orang yang bergelar penulis, namun tidak ramai yang 'menutup' usianya sebagai penulis. Dan, walaupun ramai yang 'menutup' usianya sebagai penulis, namun tidak ramai yang berjaya menjadi penulis berjaya. Karyanya dibaca dan dibaca melangkaui zaman. Pemikirannya dikaji, dianalisis dan diteladani. Dan, dia hidup tak pernah mati-mati.

Ada sepuluh tip untuk menjadi penulis berjaya. Pertama, usaha. Bakat tidak menjamin seseorang jadi penulis. Walau bagaimanapun, bakat akan mempercepatkan seseorang jadi penulis berjaya. Orang tiada bakat kreatif, tetapi kerana gigih berusaha akan jadi penulis berjaya. Mereka menulis setiap hari. Menulis tentang apa sahaja. Menulis dalam genre diminati.

Kedua, membaca. Di samping menulis, kita hendaklah membaca karya orang lain, terutama karya penulis berjaya. Perhatikan cara mereka mengolah persoalan, diksi dan bahasa digunakan, dan cara penyajian karya. Termasuk membaca ulasan atau kritikan seseorang terhadap sesuatu karya. Teliti sebab karya itu dikatakan baik dan sebaliknya.

Ketiga, pengeraman karya. Walau sepuas manapun rasa, karya yang dihasilkan itu hendaklah diperam. Semak beberapa kali pada hari seterusnya, sehingga kita buntu.


Keempat, cari pembaca kedua. Karya yang kita rasa puas hati dan sudah buntu untuk membaikinya, sebenarnya masih ada kelemahan. Justeru, sebaik-baiknya, berikan karya itu kepada seseorang. Minta komen beliau. Berdasarkan komen itu kita buat pengeditan. Walau bagaimanapun, tidak semua komen yang diberikan MESTI dipatuhi.

Kelima, jaga kewacanaan karya. Gunakan imej yang ada pertalian antara satu sama lain. Elakkan imej bercampur. Misalnya, ‘kolam derita membakar rumah cita-citaku.’ Imej ‘kolam’ ialah air. Imej air tidak sesuai dipadankan dengan ‘membakar.’ Tidak mungkin air membakar. Ubahkan, misalnya, ‘ombak derita menghempas / melanda pantai / rumah cita-citaku.’ Perhatikan sajak lampiran.

Keenam, mencari kelainan karya. Cubalah mencipta sesuatu yang baharu, sama ada dari segi bentuk, cara pengolahan, tema, diksi, persepsi dan sebagainya. Perhatikan sajak Usman Awang, Moechtar Awang, Muhammad Haji Salleh, T. Alias Taib, Rahman Shaari, Zaen Kasturi, dsb. Gaya puisi mereka berbeza dengan orang lain.

Ketujuh, mencipta ungkapan puitis. Ungkapan puitis boleh dicipta sendiri, dipinjam atau diubahsuaikan daripada ungkapan orang lain. Walau bagaimanapun, elakkan daripada terpengaruh dengan ungkapan seseorang dan jauhi ciplak.

Kelapan, berorganisasi. Selalulah mengikuti acara-acara kesusasteraan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dalam acara berkenaan kita boleh bertukar pendapat, mendapat input baharu, berkenalan dsbnya. Berorganisasi boleh merangsang semangat kita berkarya.

Kesembilan, fokus media. Hantar karya kepada media pilihan sahaja, media yang sesuai dengan status kita. Tembusi media tersebut dan kekalkan penyiarannya. Karya yang dihantar itu hendaklah sesuai dengan idealisme media berkenaan. Kita boleh berkenalan dengan editor, jika ada peluang. Tanya tentang dasar di medianya. Karya macam mana diterima dan cara menghantarnya.

Kesepuluh, jangan hantar karya sama ke media berbeza dalam jangka waktu terdekat. Lazimnya, tempoh edah bagi akhbar ialah empat bulan dan tempoh edah bagi majalah ialah enam bulan. Jika karya sama tersiar, nama anda akan digamkan.

Berikut ialah sajak berkenaan dengan batu. Perhatikan cara penyajiannya. Walaupun ideanya daripada objek sama, namun cara penyajiannya adalah berbeza.

BATU (Wan A Rafar)


Dia tidak bermimpi
dia tidak berhasrat
menjadi rumah

dia hanya diam
waktu dipindahkan
dari bukit kampung asalnya
tidak juga dia membantah

waktu tubuhnya dipecah-pecahkan
menjadi kerikil lebuh raya
waktu darahnya mengalir dari tubuh
dia pun tidak mengaduh

dia terlalu baik buat manusia.

BATU-BATU (Muhammad Haji Salleh)

Batu-batu ini ada masyarakatnya –
tegak atau berbaring di kaki langit
mereka hidup dan mati
dalam undang-undang batu

berhenti di situ
di suatu petang merah dan sunyi
kurasa seperti sampai di kampung
suatu makhluk aneh –
kehidupan mengalir
dengan alun dan ombaknya
ketul-ketul tegak sendiri
megah mematahkan benang
di antara langit dan bumi

waktu dengan kaki lebarnya
berlaku di antara mereka,
perlahan, menyerap ke dalam
jasad dan sambungan lapisan,
dan seperti sel-sel tumbuhan
beranakkan batu
yang merosot ke bawah
dan berkumpul di lubang
yang besar di atas
yang kecil di bawah
yang besar akan jadi kecil
yang kecil akan lebih besar
yang jatuh dari atas pecah
yang kecewa dan kecil di dalam bayang
mereka tau tempatnya,
faham akan undang-undang wujudnya.

BATU-BATU DI LAMAN (Rahimidin Zahari)

Batu-batu di laman ini
seperti ada tempik
yang tak kita dengari;
ingin kembali bercantum di bukit-bukit
ingin kembali berteduh di bawah bayang pohon-
pohon dan merasa kejapnya akar mencengkam
di celah-celah tubuh
ingin kembali mendengar nyanyian para burung
di atas dahan
ingin kembali merasa sejuknya air mengalir
dari anak-anak sungai menerjun lurah-lurah
sayangnya

bukit-bukit telah rata
pohon-pohon telah tumbang
burung-burung telah hilang
anak-anak sungai telah tertimbus.

SYUKUR (Nassury Ibrahim)

Aku mahu jadi batu bukan
kerana jalan

aku mahu jadi batu bukan
kerana rumah

aku mahu jadi batu bukan
kerana tembok

aku mahu jadi batu bukan
kerrana cermin

aku mahu jadi batu kerana
aku diciptakan batu.

Tiada ulasan: