Selasa, 24 Mac 2009

Ulasan Kumpulan Sajak DI RUMAH WIRAMAL

Selepas Cermin (terbitan Gapril, 1987) dan Menimba Laut (DBP, 1996), Nassury Ibrahim muncul dengan kumpulan puisinya yang ketiga, Di Rumah Wiramal yang amat istimewa kerana tajuk kesemua 38 puisi di dalamnya dimulai perkataan 'Di Rumah.'

Nassury memperlihatkan kemampuannya sebagai penyair muda yang prolifik dan berkembang kerana dalam tempoh dua tahun, dia berjaya menghasilkan 38 puisi yang berisi dan bernas. Puisi dalam Di Rumah Wiramal ini dihasilkan dari 1998 hingga 2000.

Kumpulan puisi yang comel ini boleh dihabiskan dengan sekali duduk. Bagaimanapun, itu hanya untuk membaca, bukan memahami. Untuk memahami, ia perlu dibaca berkali-kali, diteliti dan dikaji.

Di Rumah Wiramal adalah buku sastera nipis yang 'tebal' dan ringan yang 'berat.' Justeru, ia wajar menjadi antara buku yang harus dibincangkan dengan disiplin ilmu. Ia berprestij dan merangkumi soal agama, falsafah, perjuangan dan kemanusiaan.

Di Rumah Wiramal jelas bersifat patriotik. Gambar kulitnya penuh simbolik dan sinikal. Mungkin 'Wiramal' adalah gabungan perkataan 'wira' dan 'Malaysia.'

Nassury memaparkan falsafah hidup dengan serius, walaupun kelihatan seperti main-main kerana puisinya pendek. Ketegasan itu jelas sekali apabila puisi pertama adalah Di Rumah Diri (1).

Pemaparan puisi tersebut memang wajar kerana semua perkara bermula dari rumah dan diri sendiri. Kita memang disarankan agar melihat diri sendiri terlebih dulu sebelum berkata atau bertindak.

Justeru, Nassury menampilkan tiga lagi puisi bertajuk sedemikian dalam kumpulan puisi ini, iaitu Di Rumah Diri (2), Di Rumah Diri (3) dan Di Rumah Diri (4).

Oleh sebab bersifat patriotik, dapat dikesan beberapa puisi dalam kumpulan ini terhasil oleh satu penting negara. Antaranya ialah Di Rumah Fitnah, Di Rumah Ratu Adil (1), Di Rumah Ratu Adil (2), Di Rumah kroni serta Di Rumah Hamurabi (1) dan Di Rumah Hamurabi (2).

Puisi paling panjang dalam kumpulan ini ialah Di Rumah Diri (4) yang terdiri daripada empat rangkap dan 12 baris. Puisi paling pendek dari segi jumlah perkataan (7 perkataansaja) ialah Di Rumah Maya.

Disebabkan kebernasan dan kewibawaan yang tetap dipelihara, puisi dalam kumpulan ini tidak kering dengan lazim puisi sepertyi personafikasi dan metafora. Antara personafikasi yang menarik ialah 'sunyi membuka,' 'akad membentang,' 'matahari tak henti-henti senyum' dan 'sang fitnah melompat keluar.' Contoh metafora pula termasuklah 'sebidang keluarga,' 'di rumah bangsa,' 'pintu hidup,' dan 'balai wira.'

Selain itu, terdapat juga perkataan seperti 'takberi,' 'akuku,' 'akumu,' 'takjuga,' 'kehalamanan,' kebilikan' dan 'dibencini' yang memberi kelainan.

RAJA YUSOFF ARIFFIN
Utusan Malaysia 3 Mei 2003


Tiada ulasan: