ODE (Azizul Ikhwan) merupakan seorang penulis muda yang sedang mencipta nama. Beliau antara kumpulan terakhir yang tidak terlibat dengan PPSMI di sekolah, namun terpaksa menghadapinya di peringkat IPT. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kuala Lumpur, iaitu SMK (L) Methodist, Kuala Lumpur (sebuah sekolah aliran Inggeris). Oleh sebab itu, saya mewawancara beliau untuk mendapatkan pandangan tentang bahasa Melayu dan PPSMI, sebagai lambang pandangan generasi muda dari sekolah aliran Inggeris. Wawancara ini dijalankan melalui emel.
1. MENGAPAKAH TIMBUL MINAT MAHU MENJADI PENULIS KREATIF?
Saya sendiri tak sedar mengapa minat menjadi penulis kreatifitu timbul. Cuma mungkin saya boleh beri satu nama yang menimbulkan minat saya ke arah penulisan kreatif iaitu Cikgu Maniyamin Ibrahim. Pada mulanya cuma menghantar beberapa buah sajak kepada beliau untuk dibaiki kemudian dipupuk oleh beliau untuk menghantar ke media-media yang menyediakan ruang untuk menyiarkan karya. Kemudian saya dihantar ke sebuah bengkel penulisan dan dari situ, saya diserap ke dalam minggu penulis remaja. Mungkin sejak dari itu, minat hendak menulis menebal. Mengapa minat itu timbul, mungkin boleh saya katakan bahawa menenun bahasa ini adalah sesuatu yang mengahayalkan.
2. ANDA MAHU MENENUN BAHASA SAAT ORANG MEMBUANG BAHASA. APAKAH ADA JAMINAN UNTUK JADI PENULIS BERJAYA DENGAN MENENUN BAHASA MELAYU?
Saat orang membuang bahasa. Ya, zaman kegelapan untuk Bahasa Melayu. Mungkin saat orang membuang bahasa itu yang menjadikan saya lebih bermotivasi untuk menulis menggunakan Bahasa Melayu. Pada pandangan saya, memang tiada jaminan untuk menjadi penulis yang berjaya dengan menggunakan Bahasa Melayu. Maksud berjaya di sini ialah memperoleh pendapatan yang sangat lumayan dengan hanya menulis cuma ada beberapa penulis di negara kita yang boleh hidup dengan hanya menjadi penulis sepenuh masa. Jika boleh saya sebut nama-nama seperti Faisal Tehrani, Nisah Haron dan Salman Sulaiman (sekadar menyebut beberapa nama).
3. OLEH SEBAB BAHASA MELAYU TIDAK MENJAMIN KEJAYAAN, APAKAH PERLU KITA MEMPERTAHANKAN BAHASA MELAYU DALAM ZAMAN GLOBALISASI INI?
Perlu! Bahasa Melayu adalah sebuah bahasa yang suatu ketika dulu pernah menjadi sebuah bahasa pertuturan setiap pedagang yang datang ke Tanah Melayu. Jadi mengapa ada sebab untuk tidak mempertahankan Bahasa Melayu? Sedih sekali jika Bahasa Melayu akan pupus ditindas bahasa asing.
4. APA PANDANGAN ANDA TENTANG PPSMI?
PPSMI sudah tentu ada positif dan negatifnya. Tetapi bagi saya PPSMI adalah sesuatu yang tidak perlu diwujudkan untuk pelajar sekolah. Perkara yang membebankan bagi pelajar sekolah. Saya kira peratusan sekolah luar bandar di Malaysia masih besar dan mereka yang bersekolah di luar bandar itu bukanlah mereka yang fasih dan lancar berbahasa Inggeris. Jadi mengapa nak dibebankan mereka ini? Pendapat peribadi saya, PPSMI juga adalah salah satu kewujudan yang bakal menjadikan Bahasa Melayu semakin pupus.
5. KUMPULAN PENYOKONG, IBU BAPA UNTUK PENDIDIKAN (PAGE) DALAM BERITA MINGGU 1 MAC 2009 MENEGASKAN, "PPSMI SEBENARNYA SERAMPANG DUA MATA KERANA IA ADALAH CARA MEMPERBAIKI DAN MEMPERTINGKATKAN BAHASA INGGERIS SAINTIFIK DI KALANGAN PELAJAR; DI SAMPING MENDEDAHKAN ANAK KEPADA BAHASA INGGERIS PERBUALAN." PADA PANDANGAN ANDA, ADAKAH TEPAT MEMILIH SUBJEK MATEMATIK DAN SAINS UNTUK MENCAPAI TUJUAN TERSEBUT?
Banyak lagi cara untuk mempertingkatkan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Kalau satu hari di sekolah dijadikan hari berbahasa Inggeris. Pelajar-pelajar perlu berbual sesama mereka dalam bahasa Inggeris pada hari tersebut. Mungkin boleh jadi salah satu contoh yang baik untuk mempertingkatkan Bahasa Inggeris daripada membebankan pelajar-pelajar dengan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran mereka. Dalam perlembagaan sendiri saya rasa ada mengatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa pendidikan di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan