Ahad, 22 Mac 2009

JPN Kelantan 'Culik' Slip SPM Pelajar YIK

Akhbar Berita Minggu bertarikh 8 Mac 2009 menyiarkan berita bertajuk “Pengetua, guru besar sorok kes buli ditukar.” Amaran ini diucapkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd Dom, sebagai reaksi terhadap beberapa kes buli yang dilaporkan media. Amaran seumpama ini bukan pertama kali, malah telah diucapkan berkali-kali oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Persoalannya, mengapakah masih ada pengetua, guru besar dan guru sorok kes buli? Tentu ada yang tidak kena.

Oleh sebab telah diberikan amaran berkali-kali, saya percaya, pengetua, guru besar dan guru sedaya upaya menyembunyikan masalah disiplin di sekolah. Mendedahkan masalah disiplin bererti mendedahkan pekung di dada. Betapa ikhlas atau jujur sekalipun, mendedahkan pekung bererti membubuh pasir ke dalam periuk nasi sendiri. Pihak atasan tidak akan melihatnya sebagai ikhlas atau jujur. Tindakan tegas tetap diambil. Justeru, apakah pilihan yang ada?

Baik pengetua, guru besar, guru mahupun pengarah dan masyarakat, mereka tidak mahu dengar masalah disiplin melanda sekolah di bawah tanggungjawab masing-masing. Jika ada, sekolah itu ‘dicap’ sebagai sekolah bermasalah dan dipandang serong.

Yang ingin didengar ialah pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam. Sekolah yang paling ramai pelajar cemerlang akan dirai dan dibangga-banggakan. Bantuan mudah diperoleh, malah guru juga mudah dinaikkan pangkat. Pelbagai anugerah diperkenal dan diberikan. Semuanya atas nama pencapaian cemerlang pelajar dalam akademik. Oleh sebab itu, wujud beberapa kategori sekolah seperti sekolah berasrama penuh, sekolah kluster, sekolah teknik, sekolah kawalan dan sebagainya. Ia terang-terangan menggambarkan sikap diskriminasi oleh KPM / JPN sendiri.

Pernahkah anda dengar sebab diberikan anugerah kepada sekolah kerana kecemerlangan akhlak pelajarnya? Atau, sekolah paling terkawal disiplin pelajar. Oleh sebab tidak ada anugerah seumpama ini, maka wajarlah pengetua, guru besar dan guru menyorok kes disiplin di sekolah mereka.

Sebenarnya, kerja sorok-menyorok ini bukan sahaja dilakukan oleh guru-guru di sekolah. Mereka adalah pendokong idealisme sorok-menyorok yang dilakukan oleh Ketua Pengarah dan pengarah JPN. Sebagai contoh, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Pengarah JPN Kelantan sendiri berkali-kali menyorok keputusan cemerlang pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK). Nama mereka tidak diumumkan walaupun keputusannya lebih tinggi daripada keputusan pelajar yang dijulang-julangkan. Misalnya, keputusan SPM Siti Fatimah Mukhtar yang memperoleh 18A. Ia keputusan terbaik negara dalam tahun berkenaan.

Terbaharu, Datuk Alimuddin dan Mohd Ghazali Rahman (Pengarah JPN Kelanatan) tidak menyebut langsung nama Nik Nur Madihah sebagai pelajar terbaik negara bagi SPM tahun 2008. Beliau memperoleh 20A. Malah, menurut laporan Harakah 20 – 22 Mac 2009, slip SPM Nik Nur Madihah telah ‘diculik’ dan ‘disorok’ oleh JPN Kelantan. Slip itu diserahkan setelah pegawai YIK datang mencari dan ‘menebusnya.’

Tidakkah perbuatan itu juga dikategorikan sebagai menyorok? Jika pengetua, guru besar dan guru menyorok perbuatan negatif, anehnya mereka menyorok pencapaian cemerlang pelajar. Mungkin disebabkan sentimen kepartian kerana pelajar berkenaan berasal dari Kelantan dan bersekolah di sekolah kawalan Kerajaan PAS Kelantan.

Walau apapun alasan, bukankah mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana pecah amanah dan menyalahgunakan kuasa?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

adillah kepada pelajar, jangan mencmpur adukkan hal pekerjaan dengan parti politik....