Ahad, 22 Mac 2009

'Bapakku Pengkhianat Bahasa Melayu'


Berikut ialah cuplikan temu ramah wartawan Harakah, Irwan Muhammad Zain dengan Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, tentang bahasa Melayu, yang disiarkan dalam Harakah bertarikh 16 – 19 Mac 2009. Terbitan cuplikan ini adalah sebagai tanda sokongan saya kepada GMP dalam isu PPSMI.

BERALIH ISU PPSMI. SEHARI SELEPAS PERARAKAN AMAN GERAKAN MANSUH PPSMI (GMP) 7 MAC LALU, DATO’ SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI MENGGESA AGAR ISU INI SEGERA DISELESAIKAN KERANA IA MENDAPAT BANTAHAN MELUAS RAKYAT. MALANGNYA, MENTERI PELAJARAN, DATO’ SERI HISHAMMUDDIN HUSSEIN DENGAN ANGKUHNYA MENOLAK CADANGAN PERDANA MENTERI ITU.

Komen saya mudah. Beliau bersifat keras kepala kerana beliaulah yang menerima tamparan paling hebat menghadapi penentangan rakyat khususnya ketika perarakan aman 7 Mac lalu. Perarakan itu mendapat sambutan hebat rakyat. Jadi beliau merasakan tempias dan tamparan, sebab itu beliau masih berkeras untuk meneruskan dasar tersebut.

Bagi PAS, kita tegaskan bahawa kita bukan antibahasa Inggeris. Yang kita tentang adalah dasar PPSMI. Sepatutnya untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris adalah dengan mengajar mata pelajaran seperti kesusasteraan Inggeris dan bahasa Inggeris untuk komunikasi, bukan dalam Sains dan Matematik.

Tidak betul bila dikatakan kita menentang atau antibahasa Inggeris. Dalam isu PPSMI ini kita akan terus menentang dan menerangkan kepada rakyat apa yang kita tentang dan apa yang sepatutnya dilakukan sehingga dasar ini dimansuhkan.

APAKAH SEBAB HISHAMMUDDIN TERUS BERDEGIL UNTUK MENERUSKAN DASAR PPSMI?

Saya tidak tahu masalah peribadi beliau tapi dalam soal ini beliau cuba menjadi hero untuk mempertahankan dan untuk mendapatkan undi perwakilan Umno dalam menghadapi pemilihan parti itu. Dengan sikap kerasnya itu beliau memberikan signal bahawa semangat Melayunya tidak setebal mana kerana masih berbangga dengan bahasa asing.

Hishammuddin cuba membina imej sebagai seorang pemimpin orang Melayu. Beliau dalam beberapa perhimpunan Umno sering mengangkat keris untuk menunjukkan beliau membela Melayu tapi dalam soal bahasa beliau menentangnya apabila pejuang bahasa berusaha memartabatkan bahasa ibunda.

Keris yang dijulang itu melambangkan Melayu tapi lambang Melayu yang sebenarnya terletak pada bahasa kerana pepatah juga ada menyebut, ‘bahasa jiwa bangsa’. Bangsa Melayu sekarang sudah hilang jiwanya kerana bahasanya sudah dipermainkan pemimpin Melayu itu sendiri.

PERLUKAH AHLI-AHLI UMNO DAN ORANG MELAYU MENERIMA PEMIMPIN SEPERTI HISHAMMUDDIN YANG DIANGGAP PENGKHIANAT BAHASA ITU?

Teramat malang bagi ahli Umno dan orang Melayu memiliki seorang pemimpin yang jiwa bangsanya dan jiwa agamanya tidak dapat dizahirkan untuk membela bahasa, bangsa dan agama sendiri.

Kalau beliau berbangga dengan bahasa orang lain sudah tentulah bahasa ibunda bagi beliau tidak penting. Kalau beliau berbangga dengan budaya orang lain sudah tentu bagi beliau budaya bangsa sendiri itu tidak penting. Jadi tidak ada harapan yang boleh diberikan kepada seorang pemimpin yang sedemikian sifatnya.

Dalam konteks Umno pula, teramat malang bagi ahli-ahli dan parti itu sendiri jika memberi peluang kepada pemimpin seperti ini untuk memegang jawatan tinggi dalam parti mereka.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Yang dah berlalu tu biarlah, taubatlah. Kita bina hidup baru, hapuskan PPSMI. Martabat tinggikan kedudukan bahasa Melayu. Jangan perasan bahawa bahasa Melayu kini terbela dengan jayanya di negara ini.