Ahad, 20 Mac 2011

Terancamkah Orang Melayu?

Pada 18 Mac 2011 bertempat di KTC berlangsung Forum Perdana yang membincangkan FRU 13: Terancamkah Orang Melayu? Ahli panelnya ialah YB Khalid Samad (PAS), Datuk Aziz (UMNO), Dr Asyraf (UIAM) dan Dr Abu Hassan (UM).

Sebagaimana biasa, orang politik saling menyalahkan lawan dan menegakkan diri. Akibatnya, isu perbincangan sering tersasar. Justeru, aku berpendapat forum ini gagal menemui matlamatnya.

Masa depan orang Melayu dalam negara Malaysia mula dibincangkan selepas PRU 12, apabila UMNO BN kalah teruk dalam pilihan raya. Jika UMNOBN masih menang bergaya, permasalahan dan masa depan orang Melayu tidak akan dianggap sebagai isu, sebagaimana tiada usaha memartabatkan kaum peribumi di Sarawak.

Dalam keadaan orang Melayu membenci UMNOBN, tindak-tanduk pemimpin UMNOBN masih meminggirkan orang Melayu. Permasalahan orang Melayu dan identiti Melayu terus dicabul oleh UMNOBN. Misalnya, isu bahasa Melayu dan layanan negatif terhadap aduan-aduan orang Melayu. Kesilapan yang dilakukan oleh orang bukan Melayu didiamkan oleh UMNOBN, sebaliknya kesilapan yang dilakukan oleh orang Melayu akan diambil tindakan segera. Misalnya, dalam kes Namewee dan seorang pengetua di Johor.

Mengizinkan bible / Injil diterbitkan dalam bahasa Melayu juga mengguriskan hati orang Melayu. Apakah sebabnya, sedangkan orang Melayu beragama Islam.

Sebenarnya, orang Melayu bukan lagi terancam. Orang Melayu sudah lama terhakis, bermula sejak penjajahan hingga PRU 12. Sedikit demi sedikit, hak, identiti, kepentingan orang Melayu hilang 'dikekah' dan 'dibunuh' oleh penjajah, pendatang dan orang Melayu sendiri. Tentunya, kumpulan paling banyak menghakisnya ialah UMNOBN. Malah, UMNOBN sendiripun kian terhakis kerana melayani berlebihan rakan sepakatnya.

Hakisan orang Melayu dalam PR pun tidak kurang hebatnya. Mereka bekerjasama dengan musuhnya sendiri.

Pada malam Forum Perdana itu, saya lihat, sikap penonton juga telah terhakis. Mereka datang memakai ketayap dan ada yang berserban besar-besar. Ada juga yang bergelar haji. Namun, sikap mereka mengatasi sikap dan perangai budak-budak tabika. Tidak mengharmati tetamu dan tidak tahu membezakan majlis ilmu dengan majlis bukan ilmu. Perbuatan mengganggu ahli panel berterusan walaupun diminta tidak berbuat demikian. Sikap lemah-lembut, sopan dan matang fikiran mereka sudah terhakis. Mereka telah memburukkan imej diri, parti (PAS / PR), bangsa Melayu dan lebih-lebih lagi, mereka juga turut memburukkan imej dan kesucian ajaran agama Islam.

Mereka datang untuk mendengar perbincangan forum berkenaan ancaman terhadap bangsa Melayu. Sayangnya, mereka tidak pernah memeriksa akan diri sendiri: Apakah identiti kemelayuannya masih suci, atau kesucian ajaran agama dalam dirinya masih.

Walaupun perpecahan dianggap merugikan, namun saya tidak bersetuju berlaku perpaduan atau gabungan antara UMNO dengan PAS. Sebarang gabungan akan merugikan orang Melayu sendiri. Kuasa politik juga akan berkurangan. Biarlah mereka berpecah asalkan mereka bersatu dalam hal agama dan bangsa. 

Alangkah baiknya, sempena forum perdana itu, kita sama-sama memikirkan: Apakah aku ini terancam, diancam atau mengancam agama dan bangsa sendiri?

2 ulasan:

Kiasan Hidup berkata...

membuka minda org Melayu..^^

NASSURY IBRAHIM berkata...

Umairah, lazimnya, mitos OM setia ialah setia menyebabkan mindanya sukar terbuka. Harap awak tak begitu.