Pagi tadi aku ke Sekolah X kerana menyelia praktikum. Sekolah X terletak di bawah PPD Kota Bharu. Guru besarnya agak sibuk mengisi maklumat. Fail dan beberapa dokumen (ada yang terbuka dan ada yang bertutup) di atas mejanya. Oleh sebab aku tetamu, terpaksalah guru besar itu melayaninya.
Panjang kami berbual dan pelbagai isu. Daripada isu pendidikan hinggalah ke isu terbaharu video lucah yang menjadi tontonan para wartawan dan ahli politik Malaysia.
Kata guru besar itu, guru-guru muda sekarang ini kurang ilmu pedagogi dan pendidikan. Mereka gemar berinteraksi dalam kelompok masing-masing. Amat jarang yang menimba pengalaman daripada rakan-rakan sekerja yang sudah senior.
Beliau memberitahu bahawa ada dua aspek penting yang perlu dikejar oleh seseorang, termasuk guru. Pertama, kelulusan akademik. Kedua, kemahiran kerjaya.
Yang pertama perlu dikejar lebih awal dan bersifat peribadi. Dunia sekarang ini mementingkan kelulusan akademik. Timbalah sebanyak mungkin. Namun begitu, kelulusan akademik adalah bersifat peribadi. Berkali-kali beliau menekankan bahawa kelulusan akademik adalah bersifat peribadi.
Apabila memasuki bidang kerjaya, kelulusan akademik itu tidak lagi penting. Katanya, tidak ada guru yang dianggap berjaya atas ukuran kelulusan akademik. Dalam alam pekerjaan, yang penting kini ialah kemahiran kerjaya. Sebagai guru, seseorang perlu menimba sebanyak mungkin kemahiran kerjaya. Mereka mesti mahir dalam pedagogi, mahir dalam interaksi interpersonal dan interaksi intrapersonal, tahu ilmu mengurus diri, menguru masa dan mengurus manusia. Tahu pelbagai disiplin ilmu dan isu semasa. Matang dalam membuat keputusan dan melaksanakan keputusan. Hal-hal ini, kata guru besar itu, adalah sangat penting. Kemahiran ini menjadi penentu kejayaan seseorang guru.
Walaupun seseorang guru itu mempunyai kelulusan akademik yang rendah, namun kemahiran kerjayanya tinggi, maka guru itu mencapai kejayaan dalam kerjayanya. Mereka berkerja tanpa disuruh. Bersikap perihatin terhadap misi dan visi kerajaan, sekolah, murid-murid, ibu bapa dan masyarakat setempat. Sentiasa masuk ke kelas dan mengajar sebaiknya. Sentiasa semak latihan dan mendidik. Guru seperti ini tidak perlu kelulusan tinggi. Mereka akan disayangi oleh murid-murid, sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Sentiasa didoakan agar hidup sentiasa selamat.
Hal inilah, kata guru besar itu, semakin kurang diamalkan oleh guru. Bukan tidak penting kelulusan akademik tinggi, namun jika guru itu malas, kejayaan akademik hanyalah dinikmati oleh guru berkenaan sahaja. Kehebatannya tidak melimpah kepada orang lain. Maka rugilah murid, sekolah dan masyarakat serta negara.
"Bagaimana dengan pelajar IPG sekarang?" tanya beliau.
Saya termenung sekejap. Dalam kepala teringat pujian dan runggutan rakan-rakan. Sejak konsep 1 Malaysia diperkenalkan dalam pengambilan pelajar IPG, nampak tingkah-laku pelajar terarah ke aspek nombor satu. Bagaimanalah agaknya masa depan sistem pendidikan, dan sekolah pada masa akan datang. Ada yang terang-terangan memberitahu bahawa mereka tidak minat menjadi guru. Disebabkan kehendak keluarga, terpaksalah mereka harungi. Mereka tidak berminat dalam kebanyak aktiviti dan tugasan dihantar sekadar 'tangkap siap' sahaja.
Ada juga yang bersungguh. Sering datang bertanya kepada pensyarah. Aktif dalam pelbagai kegiatan. Kerjanya sentiasa kemas dan bersemangat.
"Masih seperti dulu," jawab saya.
"Ya. Demikian juga pada pandangan saya. Baik guru-guru baharu yang dihantar bertugas di sekolah ini, mahupun mereka yang datang menjalani praktikum, saya lihat ada yang bersemangat dan ada yang kurang bersemangat. Ada yang terpaksa disuruh satu per satu, baharulah dilaksanakan," tegas beliau.
Dari bilik guru besar aku bergerak ke bilik guru, bertemu dengan pelajar seliaanku dan guru pembimbing. Aku lihat bilik guru agak padat, penuh dengan buku, almari, kertas, fail dan sebagainya. Sama dengan sekolah tempat aku mengajar pada tahun 1990-an dulu, dan bilik jabatan-jabatan di IPG.
Daripada guru pembimbing aku mendapat tahu bahawa guru besar itu akan bersara seminggu lagi.
'Rugilah murid. sekolah dan masyarakat kerana persaraannya,' bisik hatiku. Berdasarkan persekitaran dalam biliknya, aku percaya, dia seorang guru yang rajin dan komited.
2 ulasan:
benar..
Sama-sama kita meneladaninya.
Catat Ulasan