Majlis ini berlangsung di Dewan Wawasan Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu pada 6 Mac 2011. Sejarahnya bermula apabila Zanazanzaly melalui menghubungi aku facebook meminta memperkatakan kumpulan cerpen pertama. Aku terus sanggup menyediakan tempat dan khalayak. Kemudiannya, Zanazanzaly memohon DBPWT menguruskannya pelaksanaannya.
Aku berasa puas menganjurkan majlis ini. Ada beberapa sebab, iaitu pertama, semester pertama pada setiap tahun para pelajar PPISMP belajar tentang teori kesusasteraan. Aku akan meminta mereka mengaplikasi kritikan teori tersebut terhadap mana-mana karya. Justeru, diskusi ini akan dapat membantu mereka memahami kaedah kritikan. Bagi mempermudahkan tugas pelajar, aku telah meminta mereka mengkritik salah satu cerpen Zanazanzaly. Kedua, aku telah menubuhkan Kelab Bahasa Melayu (Kebayu) pada tahun 2010. Maka majlis ini menjadi sebahagian aktiviti Kebayu. Ketiga, aku bercita-cita menghidupkan aktiviti kesusasteraan di IPGKKB. Tentunya, majlis ini sangat membantu. Bagi mencapai hasrat yang ketiga ini juga, aku turut menganjurkan siri Diskusi Pengajian Melayu dengan cara menggalakkan rakan-rakan sebagai ahli panel. Pada tahun 2010, aku berjaya menganjurkan dua siri. Manakala, pada tahun ini menampakkan kemajuan dari segi kesediaan rakan-rakan menjadi ahli panel. Dalam kertas kerja projek telah tersenarai aktiviti sehingga bulan Oktober 2011. Aku harap perancangan ini berjalan lancar. Pada 20 Februari 2011 telah berlaqngsung Diskusi Pengajian Melayu Siri 3. Encik Ruziman Omar telah dilantik sebagai panel yang memperkatakan "Mendekati Teori Feminisme."
Majlis ini adalah aktiviti kedua pada tahun ini dan mendapat liputan akhbar Berita Harian noleh Nazmi Yacob. Terima kasih Nazmi dan Puan Salbiah Ani. Berikut ialah laporan Nazmi Yacob dalam Berita Harian pada 17 Mac 2011.
Bahaya perbezaan generasiTimbulkan kesukaran penerimaan karya kerana perbezaan latar zaman
Oleh Nazmi Yaakub (nazmi@bharian.com.my)
PERBEZAAN jurang generasi pengarang dan aliran sastera boleh menyebabkan mesej dalam karya tidak dapat difahami, dikritik serta dinilai dengan saksama oleh kelompok pengkritik dan penilai dari luar lingkungan berkenaan.
Ini kerana pengarang dari sesuatu aliran tertentu mempunyai falsafah dan semangat tersendiri yang menghantarnya melalui gaya serta langgam yang mungkin tidak mesra kepada generasi dan kelompok lain.
Bagaimanapun, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada karya itu untuk melintas sempadan generasi pengarang dan aliran sastera, bahkan keupayaannya berbuat demikian boleh dijadikan kayu ukur kepada kemapanan sesuatu karya.
Hal ini dicerminkan pada Majlis Diskusi Karya Wilayah Timur di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kota Bharu, Pangkalan Chepa, baru-baru ini, apabila karya penulis muda dikritik oleh pengarang mapan, manakala karya sastera absurd dan surealisme cuba diberi pengertian kepada khalayak.
Dalam konteks karya pengarang muda, kumpulan cerpen Merpati Menari di Padang Embun karya Zanazanzaly mungkin masih belum berjaya ‘melintas’ sempadan itu apabila dilonggokkan dengan pelbagai label keras seperti bombastik, hiperbola, terlalu berlebih, ‘berdegung-degang’, ambigus, abstrak dan absurd.
Longgokan label itu dilontarkan selepas bekas Pensyarah Jabatan Kesusasteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fatimah Busu, terpaksa mengunyah karya dalam kumpulan itu dengan susah payah termasuk mengambil masa seminggu lebih untuk menghabiskan cerpen pertama.
“Sebagai seorang yang konservatif, konvensional dan kolot dalam menilai karya kesusasteraan kreatif moden, saya tidak pernah menyukai gaya penulisan cerpen pengarang generasi baru Malaysia. Gaya mereka seperti diheret daripada gaya penulisan pengarang 1960-an yang tidak ekonomik dalam penggunaan perkataan.
“Aturan pembinaan ayat juga begitu, selain selalunya berbentuk pembahasan penghujahan tentang dogma, teori dan sudut pandangan berjela-jela dari awal hingga ke akhir,” katanya ketika melapah Memperkatakan Merpati Menari di Padang Embun.
Dr Fatimah turut memetik kenyataan sinikal Allahyarham Sasterawan Negara (SN), Keris Mas bahawa karya abstrak pada mulanya boleh difahami tiga pihak, iaitu Tuhan, karya dan penulis, sebelum beberapa waktu kemudian difahami Tuhan dan karya itu saja, tetapi akhir sekali hanya Tuhan saja yang memahaminya.
Beliau berasa ‘terdera’ untuk membaca koleksi cerpen itu sehingga protes tentang gaya bahasa dan penggunaan perkataan yang asing dan ganjil mengganggu pembacaannya.
“Bahasanya bukan saja berbunga, bahkan sengaja diliuk-lintukkan. Ini ditambah lagi dengan kreativiti penyampaian idea dalam karya yang hampir sama di antara satu dengan lain sehingga menyukarkan pembaca untuk mengingati inti pati sesebuah cerpen.
“Ditambah lagi dengan pembinaan ayat yang sering dimulai dengan kata kerja terlebih dulu, misalnya ‘renyai petang muda tidak mengizinkan saya meninggalkan galeri eksklusif yang sudah hampir empat jam tadi dipotong reben perasmiannya’,” katanya pada majlis yang dipengerusikan Pensyarah IPGM Kampus Kota Bharu, Maniyamin Ibrahim.
Gaya sebegitu bagi Dr Fatimah bertentangan dengan ukuran karya konvensional yang perlu mempunyai lima unsur utama, iaitu daya kreativiti, imaginasi, kesan sensitiviti, intelektualiti dan nilai estetik.
“Bagi saya, seorang pengarang wajib menghasilkan karya yang dapat dimanfaatkan. Tidak kira manfaat itu dari segi ilmu pengetahuan, hiburan, teladan dan peringatan. Sebuah karya yang tidak memberikan apa-apa samalah dengan menghidang sebiji cawan dan gelas yang kosong kepada tetamu,” katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohamad Nazri Ahmad, berkata pengelompokan penulis dalam aliran absurd di negara ini perlu dibuat dengan berhati-hati kerana ia boleh ‘membunuh’ pengarang.
“Hal ini pernah berlaku kepada Sasterawan Negara (SN), Datuk Nordin Hassan apabila karya awalnya dianggap absurd sehinggal sarjana luar membuat penyelidikan terhadap falsafah di sebalik karyanya.
“Nordin sebenarnya antara pendokong drama aliran surrealisme yang menggunakan konsep pementasan yang menjurus kepada drama falsafah dan mencari akar umbi teater Melayu,” katanya ketika merinci Antologi Awal Tengah Akhir: Satu Pembicaraan Kritis.
Dr Mohamad Nazri berkata, aliran absurd dilahirkan golongan pemikir di Barat akibat kesan Perang Dunia Kedua yang hebat sehingga kekejaman dan penderitaan dialami manusia, lalu mengambil keputusan untuk meyakini Tuhan sudah mati.
Dalam konteks kumpulan teater Awal Tengah Akhir, baginya drama yang judulnya sama dengan buku boleh dianggap sebagai drama absurd, manakala Layang-layang Terbang Melayang, Rakan, Teman dan Seteru serta Cendanadewi-Muda Sri Agung pula dikategorikan sebagai drama surrealis.
“Naskhah Awal Tengah Akhir memang mengikut acuan kitab utama golongan absurd, iaitu Waiting for Godod, tetapi pada masa sama Wan Ahmad Ismail seolah-olah mahu berdakwah.
“Ini menimbulkan pertanyaan sekiranya dramatis bercakap tentang Islam dalam karya, apakah kita masih dapat mengelompokkannya dalam drama absurd,” katanya.
Dalam konteks kepengarangan pula, Dr Mohamad Nazri berkata, belum ada dramatis yang berkarya seperti Wan Ahmad yang menghasilkan skrip sejak 1960-an, mendapat kekuatan dekad 1980-an dan mencapai tahap individualisme dalam abad ke-21 dengan jumlah 73 naskhah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan