Terkejut juga aku apabila, pada 20 September 2010, Leo A.W.S menelefon memberitahu bahawa penulis tersohor, Mohd. Affandi Hassan, ingin berjumpa. Dalam fikiran terbayang kemungkinan ada kesilapan telah aku lakukan. Mungkin beliau ingin mendapatkan beberapa penjelasan daripada aku. Syak wasangka itu bertambah kerana beberapa bulan sebelumnya aku menganjurkan Bengkel Pengajian Melayu yang khusus membicarakan tentang Gagasan Persuratan Baru. Penceramahnya Encik Mazri Ab Rahman dari IPG Kampus Kota Bharu.
Oleh sebab aku tidak pernah bertemu dengan beliau, maka aku mengajak Leo A.W.S dan Encik Mazri Ab Rahman menemani. Ada dua sebab aku mengajak mereka. Pertama, sebagai teman iringan. Dengan kehadiran teman iringan, perbualan akan jadi lebih mesra. Kedua, aku sebenarnya tidak arif tentang nama-nama tempat dan laluan di Kelantan. Aku lebih arif bandar raya Kuala Lumpur atau Seberang Prai (juga Kulim + Lunas) daripada negeri Kelantan. Aku hanya dilahirkan di Kelantan, tetapi dibesarkan di Dungun. Kelantan hanya jadi persinggahan ke rumah saudara-mara sahaja.
Mujurlah Encik Mazri sanggup, walaupun Leo A.W.S. akan hadir lewat sedikit kerana katanya ada bekas pelajar mahu bertemunya.
Pada petang 21 September 2010, aku bertolak bersama Encik Mazri ke rumah pusaka Mohd. Affandi Hassan di Seberang Pasir Mas. Dengan berpandukan maklumat daripada Leo A.W.S dan petunjuk laluan oleh Encik Mazri, kami sampai ke rumah pusaka Mohd. Affandi Hassan sekitar pukul 5.00 petang.
Kami disambut oleh Mohd Affandi Hassan sendiri, yang telah lama menunggu.
Rumah pusakanya diperbuat daripada kayu dan masih utuh. Berdasarkan gaya binaan rumah, keluarga ibu bapa beliau dari golongan sederhana. Perkarangan rumah luas dan ada garaj untuk beberapa kereta. Walaupun jalan raya berhampiran rumahnya menghadap matahari naik, namun pintu rumahnya menghadap bahagian ulu (selatan).
Menurut Mohd Affandi Hassan, beliau teringin berjumpa dengan aku setelah membaca tulisan dalam blog aku. Mungkin berkenaan novel Salam Maria yang dihentam teruk oleh prof. Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir. Aku mengatakan bahawa Salam Maria masih ada positifnya dari sudut Gagasan Persuratan Baru. Dari tulisan aku itu, Mohd. Affandi Hassan berpendapat bahawa aku masih perlu mendalami teori itu lagi. Aku akur malah aku masih terlalu asing dengan Gagasan Persuratan Baru.
Malahan, usaha aku menganjur Bengkel Pengajian Melayu yang membicarakan tentang Teori Gagasan Baru adalah bertujuan untuk aku mendapat maklumat lebih jelas tentang teori berkenaan, di samping mendedahkan para pelajar tentang teori sastera janaan sarjana tempatan, juga untuk melahir rakan-rakan sebagai pemakalah, dan memberi nafas kesusasteraan kepada IPG Kampus Kota Bharu yang telah lama kekeringan.
Dalam pertemuan selama satu jam lebih itu, kami isu yang dibualkan. Topiknya tentulah di sekitar Teori Gagasan Persuratan Baru. Mohd. Affandi Hassan menghadiahkan empat buah buku kepada aku. buku-buku itu ialah;
- Gagasan Persuratan Baru: pengenalan dan Penerapan. Buku ini ditulis oleh Mohd. Affandi Hassan, Prof. Dr. Ungku Maimunah dan Dr. Mohd Zariat Abdul Rani, diterbitkaqn oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM, cetakan tahun 2008;
- Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori & Praktis, disunting oleh Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan diterbitkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM, cetakan tahun 2010;
- Dinamika Pemikiran Sastera Melayu oleh Ungku Maimunah Mohd Tahir dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan tahun 2009; dan
- Kritikan Sastera Melayu Antara Cerita dengan ilmu dan diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, cetakan tahun 2007.
Menurut Mohd. Affandi Hassan, Gagasan Persuratan Baru bukan sahaja ditujukan untuk disiplin ilmu kesusasteraan sahaja. Gagasan ini juga boleh digunakan untuk menjana bidang ilmu lain, khususnya bagi melahirkan modal insan kelas pertama.
Proses kelahiran Gagasan Persuratan Baru ini telah lama difikirkan dan sebahagiannya telah tersebar, iaitu sejak tahun 1970-an lagi. Sehingga kini telah ada orang pelajar yang menggunakannya untuk kajian kesarjanaan mereka. Gagasan ini juga boleh digunakan untuk mengkaji karya-karya dari Barat.
Perbualan kami dihentikan oleh azan Magrib. Aku bersama Leo A.W.S menunaikan solat di Masjid Seberang Pasir Mas, sebelum makan satey dan berangkat pulang.
Terima kasih banyak kepada Mohd Affandi Hassan kerana menghadiahkan buku-buku itu. Dan, aku rasai cukup dihargai kerana, dengan izin Allah dan tidak semena-mena, dapat bertemu dengan Mohd Affandi Hassan, sedangkan orang lain sukar bertemu dengannya.
2 ulasan:
Bestnya.
:-)
Tak habis baca lagi. Dok tengah telaah Syarahan Perdana Prof. Dr. Ungku
Catat Ulasan