Terkejut juga aku apabila, pada 20 September 2010, Leo A.W.S menelefon memberitahu bahawa penulis tersohor, Mohd. Affandi Hassan, ingin berjumpa. Dalam fikiran terbayang kemungkinan ada kesilapan telah aku lakukan. Mungkin beliau ingin mendapatkan beberapa penjelasan daripada aku. Syak wasangka itu bertambah kerana beberapa bulan sebelumnya aku menganjurkan Bengkel Pengajian Melayu yang khusus membicarakan tentang Gagasan Persuratan Baru. Penceramahnya Encik Mazri Ab Rahman dari IPG Kampus Kota Bharu.
Oleh sebab aku tidak pernah bertemu dengan beliau, maka aku mengajak Leo A.W.S dan Encik Mazri Ab Rahman menemani. Ada dua sebab aku mengajak mereka. Pertama, sebagai teman iringan. Dengan kehadiran teman iringan, perbualan akan jadi lebih mesra. Kedua, aku sebenarnya tidak arif tentang nama-nama tempat dan laluan di Kelantan. Aku lebih arif bandar raya Kuala Lumpur atau Seberang Prai (juga Kulim + Lunas) daripada negeri Kelantan. Aku hanya dilahirkan di Kelantan, tetapi dibesarkan di Dungun. Kelantan hanya jadi persinggahan ke rumah saudara-mara sahaja.