Rabu, 30 Disember 2009

Ibu bapaku


Ini ayah aku. Satu-satunya ayah aku. Aku panggil Paksu, sebab terikut panggilan oleh bapa dan emak sedara. Ayah tiada pelajaran tinggi. Menulis dan membaca pun dia tidak pandai. Namun begitu, kejujurannya sangat tinggi. Aku pernah menulis sajak, gambaran ayahku. Sajak itu berjudul "Ayahku." Ayah lebih pendiam, tak banyak cakap.

Ayah suka senjata api. Khabarnya, ayah pernah tinggal di Barat (Selatan Siam) dan menembak menggunakan pistol baling. Semasa di kampung, ayah masuk Rela dan sering menggunakan senampang rela untuk menembak.

Menurut isteriku, semasa aku titip dia di kampung sebelum  bersalin anak sulung, ayah pernah minta, "ambil benda tu" lalu ke bukit di belakang rumah. Waktu lepas Magrib dan gelap sedang berlabuh. Sekitar pukul 8.00 malam, terdengar dua das tembak. Ayah beritahu dia tembak harimau kumbang yang sering membaham lembu penduduk kampung. Yang menghairankan, bagaimana dia boleh menembak pada waktu malam dan harimau itu pulak berwarna hitam. 

Sewaktu kecil dulu, aku gemar merayau dalam hutan. Aku sering berpegang nasihat ayah. "Minggu ni jangan masuk hutan. Ada harimau," begitu kata ayah. Anehnya, bila ada harimau saja baru ayah larang. 

Ayah sudah meninggal dunia pada tahun 2004. Apabila ketiadaannya, baru terasa aku kehilangan sesuatu yang amat berharga.  



Ini ibuku, Habsah binti Yacob. Seperti ayah, ibu juga buta huruf dan membeber. Selalu memarahi aku dan aku selalu terima ketam tangannya.

Ibu pandai buat nasi pulut, ketupat, nasi dagang, nasi kerabu dan macam-macam kueh. Makanan masakannya sedap dan tahan lama. Waktu muda dulu, ibu selalu anyam tikai mengkuang (gambar kat atas tu proses buat tikar), tapai, tanam padi, pelbagai sayur demi menyekolahkan aku. 

Ibu selalu menceritakan sejarah hidup susah di Kelantan, dan katanya, "Nasib baik hijrah ke Terengganu, ada juga harta."

Ibu juga pernah jadi bahan persajakan aku, sajak itu termuat dalam kumpulan puisi Elipsis terbitan DBP, 2008.


Ini pula nenek aku, sebelah ibu. Namanya Rokiah binti Said. Nenek tidak suka membeber. Nenek telah meninggal di Makkah sewaktu menunaikan fardu haji. Masa tu aku masih belajar di Universiti Malaya.

Kami terima berita kematiannya dengan rasa sedih, terutama ibu. Apakan daya, sebab masa pergi pun nenek sudah tua sangat.

Semoga Allah menerima amalan nenek. amin.

Isnin, 28 Disember 2009

Balela

Pada 27 Disember 2009 pukul 09:40:47 aku menerima SMS daripada Ameer Habib. Katanya, "Dah terima pitis? Kawan terima semalam. Nampaknya redha saja dengan apa yang diterima." Aku tidak faham maksud Ameer dalam ayat akhirnya. Aku cuba membalas, malangnya kredit tidak ada.

Hari ini, pulang dari HUSM, aku segera ke pejabat. Aku menerima sepucuk surat bersampul URUSAN SERI PADUKA BAGINDA yang dihantar melalui Poslaju berakaun 8800256276 dari Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.


Dalamnya ada sepucuk surat rasmi KPM.MBKM.100-2/1/4(   ), Baucer Bayaran No. 1/o38, sekeping cek Publik Bank bernilai RM1,000, dan dokumen yang bertajuk, "Perjanjian Lesen Penulisan Buku Teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Inggeris Kementerian Pelajaran."

Bayaran itu untuk buku Siri Adaptasi Daripada Sejarah Melayu: Zaman Pra Gemilang - Majapahir Menyerang Singapura.

Baru aku tahu, rupa-rupanya bayaran itu untuk buku kanak-kanak yang aku tulis sekitar dua tahun lepas. Yang menariknya, pada kulit buku itu tercatat juga nama seseorang yang aku syaki berperanan sebagai editor, tetapi catat mencatatnya seolah-olah dia juga pengarang manuskrip itu.

Dicatat dalam dokumen itu bahawa bayaran yang diberikan ialah RM2,000. Bayaran aku terima RM1,000 sahaja. Hal ini bererti 'pengarang tumpang' itu juga memperoleh RM1,000. Satu bayaran yang adil. Hebat! Hebat!

Aku meneliti dan mencari peratus bayaran yang bakal aku terima terhadap manusiakrip itu. Malangnya, tidak terjumpa. Yang aku jumpa ikatan kata-kata dalam fasal PEMBAYARAN nombor "(1) Sebagai balasan bagi hak-hak yang diberi oleh Penulis kepada kerajaan seperti yang dinyatakan di dalam Fasal 1 dan 2 dan tertakluk sentiasa kepada Fasal 4 (2) di atas, Penulis bagi setiap satu judul berhak menerima pembayaran sebanyak RM2,000.00 ...."

Ertinya, aku tidak akan menerima apa-apa bayaran lagi selepas ini, walaupun buku ini akan jadi teks Komsas beberapa tahun, dicetak beberapa ribu naskah lagi, dan bakal diterbit dalam pelbagai bentuk.

Aku teringat runggutan beberapa teman penulis yang 'dikapur' / ditipu oleh penerbit. bukunya laris di pasaran, namun diberitahu bukunya itu tidak laku. Pun aku teringat buku Gaya Bahasa Kiasan yang dua kali dicetak oleh penerbit, namun diisytiharkan 'tidak laku.' Kalau tak laku, buat apa dicetak ulang. Seorang teman penulis lain memberitahu, buku itu dibeli oleh Kementerian Palajaran untuk dibekal ke sekolah.

'Takkan kerajaan beli senaskah sahaja!' bisik hatiku.

Dan, berkenaan buku itu, tak tahulah apa nasib bakal aku terima. Takkan pihak kerajaan pun seperti penerbit swasta juga? Entahlah.

Apabila memikirkan tentang hal sedemikian, baru aku faham maksud SMS Ameer, "Nampaknya redha saja dengan apa yang diterima."

"Uh, hebat! Hebat!"

Ahad, 27 Disember 2009

MEMO RAKYAT


Kepada kerajaan dan agensi kerajaan yang berkenaan.

Saya menyokong penuh sebarang usaha ke arah merealisasikan sekolah satu aliran di negara ini bagi tujuan mencapai aspirasi 1 Malaysia. Oleh sebab itu, kerajaan melalui menteri dan agensi yang dipertanggungjawabkan perlu tegas dan bertegas agar hajat itu tercapai dan saya boleh mempercayai dan menyokong rancangan seterusnya.

Sekian.

Jumaat, 25 Disember 2009

Tahniah Kepada ATM dan PDRM

Tahniah kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berani, siap siaga sentiasa mempertahankan tanah air daripada pencerobohan orang asing. Tahniah juga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang siap siaga juga menjaga keselamatan barangan dan rakyat. Tahniah juga kepada ahli politik Malaysia yang tidak henti-henti bergaduh. Teruskan. Anda bertiga telah membuktikan bahawa Malaysia sebuah negara tidak selamat. Kalau Malaysia negara selamat, sudah tentu tidak akan hilang dua buah enjin jet tentera Malaysia. Kalau Malaysia negara selamat, sudah tentu tidak akan ada berpuluh ribu pendatang tanpa izin berlegar-legar bebas di bumi Malaysia. Kalau Malaysia negara selamat, sudah tentu tidak akan ada acara serbuan memukul membelasah para demostran aman. Kalau Malaysia negara aman damai, para politikusnya tidak akan bergaduh berebut kerusi kuasa.

Berebut kerusi kuasa lebih penting daripada menjaga keselamatan negara dan keselamatan rakyat. Musuh politik lebih bahaya daripada musuh negara sehingga Raja Petra hendak diburu, sedang penjual enjin jet hanya diminta bersara awal saja.
Pada saya, mereka yang terlibat dengan penjualan enjin jet tentera itu perlu diISAkan, termasuk Ketua Angkatan Tentera Malaysia, dan Ketua Polis Negara. Mereka gagal menjaga keselamatan negara dan menjaga kedaulatan rakyat bermaruah.
Sekali lagi tahniah kepada anda semua. Nasib baik kotel melekat di badan, kalau tidak .... Sajak ini dituju khas kepada penjarah tanah air.
DI RUMAH SILOPIA
Keselamatan mitos purba
di rumah silopia
umpamanya kata petani ini;
Harapkan pagar, pagar makan padi.
10 Januari 1999

Isnin, 21 Disember 2009

Cerpen 'Cahaya Rumah Pusaka'

TERKEJUT saya melihat ramai orang di hadapan rumah pusaka. Di halaman pula ada bas persiaran, ada kereta polis. ‘Wah, ada lawatan pelancong asing!’ kembang hati saya melihatnya.

Memang rumah pusaka sangat tua usianya. Kalau dikira dengan jari memang tidak cukup jari. Kalau dikira dengan ingatan pun tidak cukup ingatan. Demikian pengalaman waris-wara, pun tidak cukup tahu akan usia rumah pusaka.

Untuk bacaan lanjut, sila rujuk Majalah Dewan Budaya, Disember 2009.

Cerpen ini paling banyak aku edit dan paling ramai pengedit. Antaranya Puan Zaharah Nawawi dan peserta Bengkel Cerpen anjuran DBPKL dan PPK tahun 2008. Justeru, aku sangat berterima kasih kepada mereka, terutama Puan Zaharah Nawawi dan Zalila Sharif yang menganjur bengkel berkenaan.

Sabtu, 19 Disember 2009

Cerita Kampung (1)

Setelah sebulan cuti sekolah, baru aku dapat balik ke kampung, menemui ibu. Ayah sudah tiada. Gembira benar ibu dan adik apabila aku balik. Cuma kakak saja, agak balela. Dia memang sudah lama bermasam hati dengan ibu.
Banyaklah hal dikhabarkan oleh ibu akan kampung kami. Antaranya, beberapa minggu lalu, seorang pemimpin muda (UBN) dari Kelantan, khabarnya bernama Siti Khadijah, datang berceramah di kampungku. Kampungku pernah dikenali sebagai anak emas UBN, dan ibuku sendiri merupakan ahli tetap UBN.
Kata ibuku, banyak cerita tentang keburukan kerajaan Pas Kelantan, termasuk Tuan Guru Datuk Nik Aziz, diceritakan oleh Siti Khadijah. Banyak tanah orang Melayu di Kelantan dijual kepada Cina. Kata Siti Khadijah, Pasar Besar Kota Bharu, Nik Aziz tukar nama kepada Pasar Siti Khadijah. Nama itu Nik Aziz ambil sempena namanya.
Khabarnya, orang-orang kampung begitu teruja mendengarnya, dan tidak mahu kampungku diperintah oleh kerajaan Pas lagi.
Pagi tadi, ada dua orang tetamu tidak dikenali datang ke rumahku. Mereka mencari seseorang. Oleh sebab hujan, mereka singgah di rumahku.
Dari tetamu inipun aku banyak dapat cerita. Menurut ceritanya, dia mahu meneroka tanah di hujung kampungku. Setahu aku, sebahagian kawasan yang ingin diteroka itu telah dirintis oleh penduduk kampung. Kini terbiar. Maka aku memberitahu bahawa ada baiknya berbincang dengan Ketua Kampung agar tidak tersalah teroka pada tanah yang telah dirintis. Katanya, dalam pelan Majlis Daerah Dungun, tanah yang ingin diteroka masih tidak berpunya.
Tetamu ini menceritakan tentang kehebatannya 'melawan' peraturan kerajaan dan 'kekebalannya' kerana mempunyai 'orang dalam' (politikus dan bukan politikus) yang boleh membantu. Salah seorang, bekas pemandu YB / Exco UBN Terengganu.
Tidak lupa juga diceritakan perihal kepimpinan Terengganu. Katanya, Datuk Yis kenal dia dan dia kenal sangat Datuk Yis. Ayah Datuk Yis suka sambung ayam dan Datuk Yis sendiri pun suka sambung ayam juga.
Aku bertanya, "Apa sebab Raja tolak Datuk Yis jadi MB?" Jawab tetamu itu kerana ada berlaku satu peristiwa tidak sopan. Semasa pembukaan Pulau Wan Man (Masjid Kristal), mula-mula Datuk Yis jemput Pak Lah datang. Mungkin rasmi pecah tanah kot. Majlis Kali kedua Datuk Yis jemput Najib. Majlis kali ketiga, Datuk Yis jemput Raja. Kebetulan Datuk Yis bertemu Raja (tak tahu pula kat mana) Raja baru lepas menunggang kuda. Raja menolak dan memberitahu dia keletihan. Maka jawab Datuk Yis, kalau letih balik tidur. Raja tak kata apa-apa.
Aku tanya lagi, "Apa sebab Raja pilih Ahmad Said?" Jawab tetamu itu, Ahmad Said tu sepupu bini Raja.
Diceritakan juga bahawa ramai pegawai atas di pejabat tanah Dungun ambil (memiliki) tanah di kawasan yang hendak dimajukan, sebelum kawasan itu dimajukan. Aku beritahu bahawa sebidang tanah ibu dirampas begitu saja oleh Pejabat Daerah Dungun. Ibu pernah minta tolong YB Cikgu Harun untuk mendapatkan geran dan serah surat jual beli tanah kepada YB. Malangnya, bukan geran yang dapat. Sebaliknya, surat amaran mahu saman kerana bina rumah atas tanah kerajaan. Ibu berjumpa dengan pihak bertanggungjawab di Pejabat Daerah Dungun bernama Wan Nik. Wan Nik tengking ibu dan hentak meja memarahi ibu. Kerana malu, ibu terus pulang.
Rupa-rupanya tanah itu terlibat untuk pembinaan sekolah rendah.
Aku beritahu bahawa tanah yang dirampas itu harta pusaka aku. Aku tidak halal, tidak maaf, tidak rela dan tidak apa saja terhadap mereka yang bersubahat merampas tanah itu, lebih-lebih lagi jika ada unsur penipuan.
Diceritakan juga, bekas exco dan YB UBN Terengganu sangat benci pada UBN. YB ini terkenal dan pernah kerja sebagai DO. Juga dipertingkaikan sebab Petronas tidak beri wang royalti kepada Terengganu, dan wang itu banyak melimpah ke negeri lain. Katanya, Kelantan pun layak dapat wang royalti. Dia percaya, Najib akan beri.
Aku tanya tentang kepimpinan DS Najib. Katanya, DS Najib tidak akan bertahan lama dan seluruh negeri di Semenanjung akan jatuh ke tangan pembangkang. Hanya kerusi Malaysia Timur saja kekal. Aku tanya sebab apa? Dia jawab, "Kerajaang skarang zaling, tak bela rakyat starang barah." Aku kata, "Pakcik kata begitu sebab Pakcik orang Pas."
Dia jawab, "Eh, dok. Pakcik parti Umno."
"Bakpo kata gitu? Tak sayang pada Umno?"
"Dah zaling. Biar mampus! Tu, YB ... anak sedara aku. Sombong mampus."
Pulang ke kampung kali ini, banyak maklumat aku peroleh. Entah betul, entah tidak, tak tahulah. Apapun, ia baik untuk direnungi dan diteladani.

Surat Kepada YB Bung Mokhtar Radin

Tahniah kepada YB Bung Mokhtar kerana berkahwin lagi. Dengan siapa Bung berkahwin, itu tidak penting. Berkahwin itu tandanya Bung seorang lelaki. Dan, berkahwin lagi itu juga tandanya Bung masih seorang lelaki. Dan lagi, apabila Bung berkahwin, itu juga tandanya Bung seorang lelaki Islam. Tahniah, kerana Bung, nampaknya, tidak tergolong dalam kumpulan YB simpan perempuan.
Namun, apabila Bung cuba sembunyi perkahwinan, itu tandanya juga Bung bukan lelaki sejati. Walaupun tidak lelaki pin warna. Cara Bung menjawab pertanyaan wartawan (Laporan Berita Harian 18 Disember 2009) -- Ini bukan masa terbaik membuat komen. Saya perlu menjaga hati banyak pihak dan saya tidak mahu melukai sesiapa -- membuktikan bahawa memang Bung sudah berkahwin. Ibu Zizie, Kathy Fauziah, tidak sepatutnya menyembunyikan perkahwinan anaknya.
Apakah sebab Bung mahu sembunyi perkahwinan? Persepsi umum (dan saya juga) tentu mengatakan Bung takut bini.
Kita tahu ramai lelaki yang punya bini lebih lelaki daripada suaminya. Brutal. Dari Pakmat pemimpin di kampung sampai politikus pemimpin di kabinet: ada cerita lelaki takut bini.
Apakah Bung tergolong dalam isme baru kepimpinan politikus masa kini: Lelaki takut bini? Jangan Bung kerana rakyat akan menganggapnya sebagai 'dayus!'
Tentu Bung tidak mahu digelar dayus.
Tahniah kerana YB Bung berkahwin lagi, dan tidak menafikan bahawa Bung berkahwin lagi.

Khamis, 17 Disember 2009

Mohon Kerakyatan Malaysia

Akhbar Sinar Harian pada 15 Disember 2009 melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd Nasir Ibrahim (BN Kuala Nerus) di bawah tajuk, “11,770 rakyat asing mohon kerakyatan Malaysia.”
Katanya, bilangan pemohon dari tahun 2005 – September 2009 ialah sebanyak 3,405 pemohon dari Indonesia, 1,115 (Kemboja), 501 (China), 494 (India), 461 (Filipina), 392 (Thailand) dan lain-lain negara (4,547).
Pemohonan ini adalah berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 15 (1), 15(2), 15A dan Perkara 19(1).
Pemohonan ini akan diproses dalam masa tiga tahun. Status pemohon adalah pelbagai, daripada suri rumah hingga tenaga profesional.
Kriteria yang ditetapkan sebagai layak diterima ialah (a) berkelakuan baik, (b) tidak melanggar undang-undang negara, © mempunyai pengetahuan memadai dalam bahasa Melayu, (d) menumpukan taat setia kepada negara, (e) kepakaran dan sumbangan pemohon, dan (f) ada pertalian keluarga dengan rakyat negara ini.
Yang jelas tiada kriteria wajib (utama) ditetapkan. Sejarah diri, rekod jenayah masa lampau, dan pengetahuan tentang undang-undang Malaysia para pemohon juga tidak diambil kira. Justeru, saya berpendapat bahawa pengganas Tamil Ealam, atau Thasin Sinawarat, atau buruh ladang dari Timur Laste, atau sesiapa sahaja layak menjadi rakyat Malaysia. Justeru, mengapakah pemohonan pejuang PKM, Chin Peng, hendak ditolak.
Demikian juga, syarat yang berkaitan dengan bahasa Melayu adalah sangat longgar. Maka tidak hairanlah, ada warganegara berusia 49 tahun, hidup dalam negara Malaysia yang telah 52 tahun merdeka, orang berkenaan masih tidak tahu berbahasa Melayu. Mungkin dia baru beberapa hari lepas diterima sebagai warganegara Malaysia, dan pengetahuan 'memadai' tentang bahasa Melayu telah 'memadam.'

Jika fenomena begini masih berterusan, maka akan lahir warganegara yang 'cinta di mulut tetapi benci di perut.' Mereka mengutamakan kepentingan diri daripada negara merdeka.

Saya fikir, kriteria di atas perlu disemak kembali agar Malaysia bebas daripada pengganas, dan warganegaranya betul-betul mencintai negara Malaysia. Kini saya dapati, kelakuan dan tindakan para politikus, lebih cenderung 'menjahanamkan kemerdekaan negara' daripada membina Malaysia. Oleh sebab itu, Malaysia menghadapi pelbagai karenah devian daripada orang politik hingga seluruh muka dan badan rakyatnya kecemaran. Hal ini perlu segera dibendung.
Salah satu caranya, saya fikir, kriteria yang dikemukakan oleh Pn. Halimah sebagai syarat menerima lamaran Sasterawan Negara Arena Wati, boleh digunapakai.
Makna Setia
Setelah berkali-kali gerhana
bulan tetap pada malamnya
matahari tetap pada siangnya
rumput masih tumbuh di padang
berkali mati diracuni kemarau
azan masih memanggil solat
betapa janji sudah termeterai
setia itu seperti
cinta Halimah pada negaranya
cinta Arena Wati pada Halimahnya

Selasa, 15 Disember 2009

Sedikit Pandangan Tentang MS ISO, BPG

Pada 9-10 Disember 2009, Bahagian Pendidikan Guru yang menggerakkan IPG mengadakan mesyuarat mengkaji semula pengurusan kualiti MS ISO 9001:2008. Kali pertama BPG terlibat dengan ISO sekitar tahun 2003, jadi pemegang sijil MS ISO 9001: 2000 dan tamat pada 15 Julai 2007.
Teruja dengan kejayaan pertama, pengiktirafan ISO terus diburu oleh BPG, dan kini berusaha pula menjana MS ISO 9001: 2008.
Sebagai orang yang terlibat secara langsung, saya mempunyai pandangan tersendiri. Mungkin pandangan ini bersifat skeptik. Ia merupakan pandangan dan pandangan itu dirumus berdasarkan pandangan hasil temu bual dengan individu lain yang turut terlibat menjana MS ISO. Saya harap pihak berkenaan dengan MS ISO dapat berlapang dada menerima kritikan dan berusaha menilainya. Jika betul, elok diperbaiki, dan jika tidak, dilupakan saja.
Pertama, BPG agak gelojoh untuk mendapatkan sanjungan melalui MS ISO. Pandangan ini berdasarkan semua komponen digazetkan untuk penilaian MS ISO: Bermula daripada pengambilan pelajar hingga pelajar itu bergraduan; dan daripada staf sokongan hingga pengarah. Terangkum dalamnya, antaranya, pengurusan fail, proses pengajaran-pembelajaran, gerko, asrama, kursus staf dan pelajar, BIG, mesyuarat, akademik seperti sukatan, rancangan tahunan / semester, rancangan mingguan, praktikum, kerja kursus, dan sebagainyaq. Setiap komponen itu mempunyai pecahan pula.
Pada pandangan saya, MS ISO patut bermula dengan sistem fail kerana sistem fail inilah yang banyak memberi masalah dalam ISO. Apabila komponen ini berjaya, barulah diperluaskan ke komponen lain. Pada pandangan saya, sehingga kini, sistem fail di sesetengah IPG belum mantap.
Kedua, pihak pengurusan MS ISO BPG tidak bertanggungjawab dan amanah terhadap tugas yang diberikan. Banyak elemen-elemen dalam MS ISO yang dikritik, dibincangkan untuk penambahbaikan tidak dikemaskinikan menyebabkan kesilapannya berulang dalam siri-siri berikutnya. Akibatnya, MS ISO telah membebankan pensyarah kerana melakukan kesilapan berulang.
Ketiga, berkait-rapat dengan yang kedua, pernah CD MS ISO yang dihantar ke IPG, setelah beberapa hari, CD itu ditarik balik. Sedangkan, sebahagian dokumen telah diperbanyak menyebabkan berlaku pembaziran kertas, tenaga, masa, mod dan dakwat.
Keempat, disebabkan kesuntukan masa, ramai pensyarah yang menyiapkan dokumen dan fail MS ISO pada saat-saat akhir. Sering kali juga pihak auditor sengaja mencari dan memperbesarkan kesilapan. Hal ini menyebabkan berlaku penyembunyian fakta sebenar bagi menggelakkan IPG mendapat CAR atau NCR.
Kelima, sebagaimana dinyatakan dalam alasan ketiga, berlaku banyak penggunaan, pembaziran kertas dan dakwat. Pembaziran itu berlaku kerana terdapat dokumen berulang diminta dalam LAM-PT berlainan, dan penarikan CD siri kerana tidak lengkap pengemaskinian.
Keenam, sering juga terjadi, orang yang sama diaudit berulang-kali. Sedangkan, terdapat sebilangan pensyarah tidak pernah diaudit langsung. Hal ini disebabkan auditor merupakan rakan karip, atau pensyarah dipanggil bertugas di luar (disengajakan).
Oleh sebab alasan-alasan di atas, saya amat berharap agar pihak BPG (penjana MS ISO) tidak membebankan pensyarah, dan IPG tidak menjadi pusat penipuan dan pembaziran.
Itu pandangan saya, mungkin anda mempunyai pandangan lain.

Mengenang Tsunami

Aku tulis sajak ini
dengan sayu hati
sedih maha dalam
betapa sayu dan sedihku
tak dapat mengubati
sayu dan sedihmu
aku tulis sajak ini
dengan seberkas insaf
ngeri mencengkam jiwa
pada engkau adalah aku
tak terbendung derita
tak terbendung sengsara
betapa insaf dan ngeriku
tak dapat mengubati
derita dan sengsaramu
aku tulis sajak ini
dengan rasa maha geram
marah membuak-buak
engkau dihancurkan tsunami
dihancurkan pencuri-prncuri
betapa geram dan marahku
tak dapat mengubati
geram dan marahmu
aku tulis sajak ini
dengan seinsaf sedar,
"Ya Allah, Engkau jauhi kami
betapa kecilpun tsunami-Mu
adalah besar bagi kami."
NASSURY IBRAHIM
Kota Bharu, Kelantan
Mingguan Malaysia, 13 Disember 2009

Isnin, 7 Disember 2009

Anugerah Sasterawan Negara (Editor)

Aku tergesa-gesa menyimpan telefon, medengar juruacara berdehem ingin memulakan majlis.

Setelah berbasa-basi dan menyebut nama, kelihatan si tokoh berjalan pelahan-lahan naik ke pentas. Langkahnya amat sopan, persis raja sehari.
Aku terpegum melihat susuk pakainya. Amat menarik. Baju Melayu cengkak musang warna hitam bersamping songket tampuk manggis keemasan dari Terengganu. Songkoknya sedikit senget sebagaimana disengajakan.
Turut mengiring ke pentas dua orang jejaka setahun jagung. Sebagaimana tokoh, dua jejaka itu juga berpakaian sut Melayu cengkak musang, bersamping songket mata lalat. Juga dari Terengganu. Cuma sut Melayunya warna abu.
Anehnya, si pengiring itu turut berdiri di tengah pentas, kebelakang sedikit, di kiri dan di kanan tokoh.
"Gerangan apakah sebab pengiring itu berdiri di belakang si tokoh," kataku kepada rakan di sebelah. "Seperti penerima hadiah lakunya!," kataku lagi tanpa mengharapkan jawapan.
Seorang Ketua Penerbit berjalan masuk dan berdiri di rostrum.
Setelah mengetuk kepala makrofon tiga kali, Ketua Penerbit pun mulai bersuara, "Bla, bla, bla, bla, ..." membaca alkisah si tokoh yang diraikan, pemenang Anugerah Sasterawan Negara.
Kemudian, masuk pula Ketua Unit Penyunting, berdiri menghadap rostrum.
"Bla, bla, bla, bla, bla, bla, bla ...," ujarnya penuh bersemangat. Dan, "Tahniah kepada penerima Anugerah Sasterawan Negara (Editor)," katanya menamatkan ucapan.
"Bila pula ada kategori Anugerah Sasterawan Negara (Editor)? Apa sebabnya?" kepalaku diterjah soalan aneh.
Aku teringat emel daripada seorang novelis tersohor. Katanya, "Beberapa bulan lepas, aku menerima sebuah buku dari sebuah penerbit. Setelah buka sampul, aku rasa amat gembira kerana manuskrip novel aku telah menjelma sebuah buku," tulisnya. "Namun," tulisnya lagi. "Kau tahu? Gembira aku menjunam lenyap setelah terlihat di bawah nama aku tertera satu lagi nama." Ada wajah bukunya disertakan.
"Bila pula novel aku ini karangan bersama?" tulisnya lagi.
Aku menelefon novelis tersohor ini. Basa-basi bertanyakan khabar diri, dan terus ke pemasalahan novelnya.
Katanya, "Aku telefon penerbit, beritahu tentang novel aku itu tertera nama sesat. Mungkin nama itu tersilap cetak," katanya.
"Apa kata penerbit?"
"Nama itu tidak sesat."
"Habis, kenapa tercatat?"
Ujar kawanku itu, "nama itu kepunyaan editor. Dia menangani novel aku. Dia editor, maka namanya perlu juga dicatatkan."
"Laaa ....!" kataku.
"Laaa .... apa?"
"Undang-undang dari mana?" jawabku lagi dan mematikan telefon.
Kepalaku diterjah bayangan, 'Kalau setiap karya A. Samad Said atau Anwar Ridhwan tercatat nama editor sebagai pengarang bersama, wah, kita sudah punya sekurang-kurangnya 20 orang Sasterawan Negara!.'
"Hebat! Hebat!"

Surat Ruslan Mamat, Editor Ruangan Sastera di Mingguan Watan

Kepada Sdr. Nassury Ibrahim
Balai Polis Pasir Puteh
Kelantan.

Salam puisi buat Sdr. Semoga Sdr. sihat selalu.

Terlebih dahulu saya memperkenalkan diri saya. Dan sememangnya Sdr. sudah mengenali saya sebelum ini. Saya, Ruslan Mamat, pengelola Ruangan Sastera di Watan serta Petugas Khas Pesisir.

Sebenarnya saya agak kesuntukan masa untuk menaip surat secara tidak formal semacam ini. Tetapi oleh kerana terpaksa juga untuk memberi sedikit catatan pengetahuan buat Sdr. maka terpaksa saya mencuri sedikit masa kelapangan saya.

Saya ingin menyentuh sedikit tentang sajak-sajak Sdr. Saya dapati Sdr. memang cukup produktif dalam bidang persajakan. Saya amat kagum dengan keinginan yang tinggi untuk menjadi seorang penyair. Maka kerana itulah saya ingin menyentuhnya dalam dalam surat tidak formal ini.

Di Watan, saya tetap menerima sajak-sajak Sdr. tetapi saya juga tidak boleh menyingkirkan hasil karya orang lain. Saya mempunyai sistem sebagaimana dengan akhbar-akhbar lain juga, iaitu menyiarkan atau memberi peluang untuk seseorang penulis tiga atau empat bulan sekali. Maksud saya seseorang penulis baik cerpen atau sajak, akan diberi tempat dalam akhbar Watan antara tiga atau empat bulan sekali. Katakanlah sajak Sdr. telah saya siarkan dalam bulan Ogos, maka sajak yang kemudian pula akan saya siarkan dalam bulan November atau dalam bulan Disember depan. Saya juga tidak akan melupakan penulis-penulis lain yang juga berbakat seperti Sdr.

Dalam pada itu, Sdr. mestilah mengambil keputusan atau bertekad tidak menghantarkan hasil karya yang sama kepada lain-lain penerbitan. Jika Sdr. hantarkan sajak yang sama kepada lain-lain penerbitan dan didapati tersiar dalam dua buah akhbar atau majalah serentak, maka pihak editor akan 'gam' sajak-sajak Sdr. Jika demikian yang berlaku, tentunya Sdr. akan mengalami masa depan yang gelap dalam dunia yang Sdr. impikan. Saya nasihatkan agar Sdr. tidak berbuat demikian. Ttetapi jika sajak tersebut tidak disiarkan dalam tempoh selama tiga atau empat bulan, maka bolehlah Sdr. menghantarkannya kepada lain-lain penerbitan. Itupun setelah tiga atau empat bulan dari tarikh Sdr. hantar kepada mana-mana penerbitan dan ia tidak mendapat tempat.

Melihat kepada perkembangan atau proses penciptaan sajak-sajak Sdr. saya inginlah mencadangkan kepada Sdr. jika ada apa-apa sayembara, bolehlah Sdr. turut serta. Hanya melalui sayembara sahajalah Sdr. boleh naik sebagaimana yang telah dilalui oleh Sdr. Moechtar Awang. Dan jika Sdr. berhajat pula untuk meneruskan pengajian di Universiti Malaya di bawah Rancangan Penulisan Kreatif, Sdr. mestilah sekurang-kurangnya mempunyai 2P dalam STPM. Sdr. boleh menyertainya dengan special kes. Ini juga telah dilalui oleh Sdr. Asmui Mustapha, Setiausaha Pesisir.

Dua buah sajak Sdr. dalam perhatian saya untuk disiarkan nanti, iaitu 'Keris atau Seorang Raja Purba' dan 'Duka Pelaut Timur.' Yang lain, Sdr. bolehlah hantar ke lain-lain penerbitan.

Sekian, takat ini sahaja. Salam puisi dari saya.


tt
Ruslan Mamat

Selasa, 1 Disember 2009

Heboh BTN

Heboh apabila Kerajaan Selangor melarang kakitangannya dan pelajar di bawah institusi kerajaan negeri Selangor mengikuti kursus BTN. Mengapa? Entahlah. Mungkin mereka bimbang BTN akan dimansuhkan dan mereka hilang pekerjaan.
Saya cadangkan kursus BTN hendaklah diperluaskan. Para politikus, setelah menang pilihan raya dan sekali sahaja, dihantar berkursus BTN, terutama mereka yang hendak dilantik sebagai menteri atau exco. Hal ini kerana para politikuslah (bukan semua) yang jadi perosak keharmonian masyarakat, 'penjual bangsa' dan perasuah tegar. Dengan adanya kursus BTN kepada mereka diharapkan dapat mengekang gejala jenayah itu.
Kursus BTN juga hendaklah diwajibkan terhadap mereka yang disabit dengan amalan rasuah, di samping hukuman yang dikenakan. Diharapkan dengan cara ini dapat menyedarkan mereka akan bahaya amalan tersebut.
Juga kepada Mat-Mat Rempit dan peragut, dan Minah Lelong Barang.
Saya pernah mengikuti kursus BTN pada tahun 1987. Pada saya, secara peribadi, kursus BTN ialah tempat penceramah / fasilitator berbohong. Segala pandangan dan perlakuan peserta dianggap salah. Hanya pandangan dan perlakuan fasilitator / penceramah sahaja yang betul. Kesimpulan ini adalah hasil pengalaman mengikuti kembara lasak, ceramah dan ADK sepanjang kursus BTN.
Sebagai contoh, pernah seorang penceramah meminta kami menyenaraikan nama-nama menteri pendidikan. Dengan susah payahnya, kami menyenaraikan nama-nama menteri terlibat. Jawapan kami adalah salah. Menurut penceramah berkenaan, hanya ada seorang saja menteri pendidikan, iaitu Sdr Anwar Ibrahim. Alasannya, nama-nama yang disenaraikan itu ialah menteri pelajaran, bukan menteri pendidikan. Saya yakin, kalau disenaraikan nama Sdr Anwar Ibrahim sahaja, jawapan kami juga akan dianggap salah.
Tamat kursus, kami diberikan sijil penyertaan dalam majlis penutup. Oleh sebab sijil itu tidak ditandatangani (alasannya kerana tidak sempat), maka pihak urus setia minta kami pulangkan. Pihak urus setia berjanji akan mengeposkannya. Malangnya, hingga saat ini, saya tidak menerima sijil berkenaan.
Bukankah itu tandanya kursus BTN tempat fasilitator / penceramah berbohong? Atau memang berbohong / menyalahkan peserta itu ada dalam sukatan kursus BTN dan dihalalkan.
Saya jadi keliru kerana banyak kursus BTN dan seumpama BTN terpaksa diikuti oleh setiap satu batang tubuh manusia. Tamat tingkatan lima, para remaja dikerah mengikuti kursus PLKN. Apabila remaja berkenaan masuk universiti / IPT, mereka dikehendaki mengikuti kursus BTN. Apabila mohon kerja di sektor awam, mereka dikehendaki mengikuti kursus Induksi dan kursus BTN. Bukankah amalan ini membazir.
Kalau BTN kemarut nak anjur kursus, saya fikir kursus BTN patut dijadikan pilihan untuk penjawat awam lulus PTK. Mereka yang tidak mahu berkursus BTN mesti menduduki peperiksaan PTK, dan sebaliknya.
Memang kursus BTN dapat mengeratkan hubungan kaum dan menambahkan semangat. Kursus motivasi pun demikian juga.
Sepanjang berkursus BTN, saya tertarik dengan lirik lagu "Warisan" dan "Penyair dari Gunung." Kedua-duanya karya Datuk Dr Nordin Kardi. Malangnya, saya lupa lirik lagu "Penyair dari Gunung."

Resepsi Pertemuan Penyair Nusantara 3

Tahniah kepada Jawatankuasa Pertemuan Penyair Nusantara 3 dan Pena yang berlangsung pada 20 - 22 November 2009. Sangat besar dan berat pekerjaan tuan puan menggerakkan PPN 3 kerana melibat penulis dari 5 negara -- Malaysia, Thailand, Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia.

Tentunya pekerjaan itu berkat usaha lebih para penulis muda yang berkhidmat di bawah bumbung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), dan organisasi sokongan seperti DBP, JKKN dan ITNM, serta para penyair.

PPN3 memperlihatkan wujudnya kerjasama erat kalangan organisasi di atas dan para penulis dari Malaysia dan Nusantara; kesungguhan dan keikhlasan kerja para penulis muda yang pernah dicurigai, didengki dan 'dinyahkan' oleh organisasi penulis tempatan dan tersohor pada suatu masa dulu.
Sebagaimana pernah saya tegas dalam Pengakuan Penyair di Rumah Pena pada suatu masa dahulu, para penulis muda hanya mahu sama-sama menggerakkan kegiatan kesusasteraan negara. Hal ini telah terbukti, apabila kelompok yang sama bergerak di bawah payung Pena, telah berjaya menganjurkan beberapa siri Pertemuan Penulis Muda Nasional dan kini PPN3.
Selain berjaya mengeratkan hubungan antara penulis di lima negara berkenaan, setiap aktiviti dianjurkan itu disusuri penerbitan beberapa buah buku sebagai dokumentasi kekal. Tentunya usaha penerbitan sebegini patut berterusan dan ditingkatkan. Barangkali penerbitan itu boleh ditaja oleh badan-badan swasta.
Ada baiknya juga, untuk siri PPN dan sebagainya nanti, ditambahkan penerbitan kumpulan sajak perseorang penulis muda. Saya berpendapat, setiap penyair (dan genre lain) mesti berusaha menerbitkan kumpulan karya persendirian (sama ada melalui penerbit atau persendirian). Tanpa kumpulan karya perseorangan, penglibatan tuan sebagai penyair akan tenggelam dalam timbunan masa. Akhirnya, penulis (tuan) akan tergolong sebagai penyair tidak dikenali dan tidak memberi apa-apa sumbangan untuk kemajuan sastera negara.
Kita tahu ramai yang menulis, dalam pelbagai genre, tetapi berapa ramaikah yang dikenali kini, karyanya dibaca dan dikaji. Salah satu sebab tidak dikenali ialah kerana tiada karya perseorangan diterbitkan. Sebagai contoh, siapakah yang masih mengenali dan memperkatakan tentang sumbangan Aziz H.M. khususnya dalam bidang teater? Tiada. Sebabnya, tiada dokumentasi (bentuk buku) tentang kegiatan teater Abdul Aziz H.M. Sumbangan Abdul Aziz H.M. dalam bidang teater sangat penting, khususnya teater mini kata. Beliaulah satu-satunya pelopor dan penggerak teater mini kata di Malaysia dekad 1970-an - 1980-an.

Jangan bimbang tentang mutu kerana tidak semua sajak dianggap bermutu itu penting atau sesuai sebagai bahan kajian.

Di samping mengekalkan acara sedia ada, beberapa acara juga boleh dipertingkatkan seperti memperbanyakan perbincangan karya para penulis, khususnya penulis muda; mengadakan lawatan ke tempat-tempat tentu (tempat pelancongan, tempat bersejarah, tokoh, organisasi tertentu atau ke kampung) bagi menambah dan menyebarkan maklumat tentang negara kita kepada para penulis, khususnya penulis luar. Dalam setiap lawatan itu boleh diberikan tugasan seperti mencatat kesan peribadi untuk dijadikan karya. Atau, kita boleh memohon organisasi yang dilawati itu memberi taklimat tentang kegiatan mereka. Mungkin maklumatnya boleh membantu para penulis apabila mereka menghasilkan karya nanti.