Khamis, 26 Mac 2009

Sepuluh Tip Jadi Penulis Berjaya


Walaupun ramai orang ingin jadi penulis, namun tidak ramai orang berjaya menjadi penulis. Walaupun ramai orang berjaya menjadi penulis, namun tidak ramai yang bergelar penulis. Walaupun ramai orang yang bergelar penulis, namun tidak ramai yang 'menutup' usianya sebagai penulis. Dan, walaupun ramai yang 'menutup' usianya sebagai penulis, namun tidak ramai yang berjaya menjadi penulis berjaya. Karyanya dibaca dan dibaca melangkaui zaman. Pemikirannya dikaji, dianalisis dan diteladani. Dan, dia hidup tak pernah mati-mati.

Ada sepuluh tip untuk menjadi penulis berjaya. Pertama, usaha. Bakat tidak menjamin seseorang jadi penulis. Walau bagaimanapun, bakat akan mempercepatkan seseorang jadi penulis berjaya. Orang tiada bakat kreatif, tetapi kerana gigih berusaha akan jadi penulis berjaya. Mereka menulis setiap hari. Menulis tentang apa sahaja. Menulis dalam genre diminati.

Kedua, membaca. Di samping menulis, kita hendaklah membaca karya orang lain, terutama karya penulis berjaya. Perhatikan cara mereka mengolah persoalan, diksi dan bahasa digunakan, dan cara penyajian karya. Termasuk membaca ulasan atau kritikan seseorang terhadap sesuatu karya. Teliti sebab karya itu dikatakan baik dan sebaliknya.

Ketiga, pengeraman karya. Walau sepuas manapun rasa, karya yang dihasilkan itu hendaklah diperam. Semak beberapa kali pada hari seterusnya, sehingga kita buntu.


Keempat, cari pembaca kedua. Karya yang kita rasa puas hati dan sudah buntu untuk membaikinya, sebenarnya masih ada kelemahan. Justeru, sebaik-baiknya, berikan karya itu kepada seseorang. Minta komen beliau. Berdasarkan komen itu kita buat pengeditan. Walau bagaimanapun, tidak semua komen yang diberikan MESTI dipatuhi.

Kelima, jaga kewacanaan karya. Gunakan imej yang ada pertalian antara satu sama lain. Elakkan imej bercampur. Misalnya, ‘kolam derita membakar rumah cita-citaku.’ Imej ‘kolam’ ialah air. Imej air tidak sesuai dipadankan dengan ‘membakar.’ Tidak mungkin air membakar. Ubahkan, misalnya, ‘ombak derita menghempas / melanda pantai / rumah cita-citaku.’ Perhatikan sajak lampiran.

Keenam, mencari kelainan karya. Cubalah mencipta sesuatu yang baharu, sama ada dari segi bentuk, cara pengolahan, tema, diksi, persepsi dan sebagainya. Perhatikan sajak Usman Awang, Moechtar Awang, Muhammad Haji Salleh, T. Alias Taib, Rahman Shaari, Zaen Kasturi, dsb. Gaya puisi mereka berbeza dengan orang lain.

Ketujuh, mencipta ungkapan puitis. Ungkapan puitis boleh dicipta sendiri, dipinjam atau diubahsuaikan daripada ungkapan orang lain. Walau bagaimanapun, elakkan daripada terpengaruh dengan ungkapan seseorang dan jauhi ciplak.

Kelapan, berorganisasi. Selalulah mengikuti acara-acara kesusasteraan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dalam acara berkenaan kita boleh bertukar pendapat, mendapat input baharu, berkenalan dsbnya. Berorganisasi boleh merangsang semangat kita berkarya.

Kesembilan, fokus media. Hantar karya kepada media pilihan sahaja, media yang sesuai dengan status kita. Tembusi media tersebut dan kekalkan penyiarannya. Karya yang dihantar itu hendaklah sesuai dengan idealisme media berkenaan. Kita boleh berkenalan dengan editor, jika ada peluang. Tanya tentang dasar di medianya. Karya macam mana diterima dan cara menghantarnya.

Kesepuluh, jangan hantar karya sama ke media berbeza dalam jangka waktu terdekat. Lazimnya, tempoh edah bagi akhbar ialah empat bulan dan tempoh edah bagi majalah ialah enam bulan. Jika karya sama tersiar, nama anda akan digamkan.

Berikut ialah sajak berkenaan dengan batu. Perhatikan cara penyajiannya. Walaupun ideanya daripada objek sama, namun cara penyajiannya adalah berbeza.

BATU (Wan A Rafar)


Dia tidak bermimpi
dia tidak berhasrat
menjadi rumah

dia hanya diam
waktu dipindahkan
dari bukit kampung asalnya
tidak juga dia membantah

waktu tubuhnya dipecah-pecahkan
menjadi kerikil lebuh raya
waktu darahnya mengalir dari tubuh
dia pun tidak mengaduh

dia terlalu baik buat manusia.

BATU-BATU (Muhammad Haji Salleh)

Batu-batu ini ada masyarakatnya –
tegak atau berbaring di kaki langit
mereka hidup dan mati
dalam undang-undang batu

berhenti di situ
di suatu petang merah dan sunyi
kurasa seperti sampai di kampung
suatu makhluk aneh –
kehidupan mengalir
dengan alun dan ombaknya
ketul-ketul tegak sendiri
megah mematahkan benang
di antara langit dan bumi

waktu dengan kaki lebarnya
berlaku di antara mereka,
perlahan, menyerap ke dalam
jasad dan sambungan lapisan,
dan seperti sel-sel tumbuhan
beranakkan batu
yang merosot ke bawah
dan berkumpul di lubang
yang besar di atas
yang kecil di bawah
yang besar akan jadi kecil
yang kecil akan lebih besar
yang jatuh dari atas pecah
yang kecewa dan kecil di dalam bayang
mereka tau tempatnya,
faham akan undang-undang wujudnya.

BATU-BATU DI LAMAN (Rahimidin Zahari)

Batu-batu di laman ini
seperti ada tempik
yang tak kita dengari;
ingin kembali bercantum di bukit-bukit
ingin kembali berteduh di bawah bayang pohon-
pohon dan merasa kejapnya akar mencengkam
di celah-celah tubuh
ingin kembali mendengar nyanyian para burung
di atas dahan
ingin kembali merasa sejuknya air mengalir
dari anak-anak sungai menerjun lurah-lurah
sayangnya

bukit-bukit telah rata
pohon-pohon telah tumbang
burung-burung telah hilang
anak-anak sungai telah tertimbus.

SYUKUR (Nassury Ibrahim)

Aku mahu jadi batu bukan
kerana jalan

aku mahu jadi batu bukan
kerana rumah

aku mahu jadi batu bukan
kerana tembok

aku mahu jadi batu bukan
kerrana cermin

aku mahu jadi batu kerana
aku diciptakan batu.

Rabu, 25 Mac 2009

Telah Lama Bahasaku

Telah lama bahasaku
terkurung dalam gua gelap kapitalisme
betapa datang pendeta demi pendeta
mencungkil menariknya
namun, niat suci itu
terhalang oleh tuan empunya tanah.

NASSURY IBRAHIM
5 Disember 2005

Selasa, 24 Mac 2009

Sejahat-Jahat Penjahat


Sejahat-jahat Jebat,
kata bapak, jahat lagi politikus
Jebat bunuh mitos pengkhianat
politikus bunuh sakral bangsa

Sejahat-jahat Robinhood,
kata bapak, jahat lagi politikus
Robinhood rompak si kaya
membantu si miskin
politikus rompak si kaya
menipu si miskin

Sejahat-jahat Hamid,
kata bapak, jahat lagi politikus
Hamid curi tanah hutan
memuliakan hidup
politikus curi tanah ibu
membuncitkan perut

Sejahat-jahat penjahat,
kata bapak,
jahat lagi politikus.

NASSURY IBRAHIM
25 Disember 2004

Potret Politikus (1)

Di gelanggang media kami menyaksi
di gelanggang media kami menyaksi wajah politikus kami

kata bapak, mereka saling tuduh menuduh,
memfitnah hingga lupa diri

kata bapak, mereka saling sekat menyekat,
mencaci hingga lupa janji

kata bapak, mereka saling berteriak mendabik dada
mendakwa, “Kami warisi perjuangan silam.”

inilah wajah politikus amanah undi, kata bapak,
kerjanya berkelahi, berkelahi, dan berkelahi
tidak musuh mereka berkelahi rakan sendiri

inilah wajah politikus amanah undi, kata bapak,
mereka berkelahi, berkelahi, dan berkelahi
tidak rakan mereka berkelahi cucu dan cicit sendiri

di gelanggang media kami menyaksi
di gelanggang media kami menyaksi wajah politikus kami.

NASSURY IBRAHIM
5 September 2001

Poskad Marzuki Ali

Assalam mualaikum,

Apa tidak pulang ke Dungun pada pertemuan GAPRI akhir tahun lalu? Saya buat beberapa minggu awal tahun ini berada di Sarawak dan Sabah mengadakan ceramah puisi / drama dan baca sajak sambil mempromosi buku antologi sajak MANTERA. Sambutan dari sekolah-sekolah menengah, maktab-maktab serta perpustakaan awam menggalakkan. Salam dan jumpa lagi.
MARZUKI ALI
Kota Kinabalu
24. 1. 92

Poskad Rahimidin Zahari


Saudaraku Nassury,
Terima kasih atas poskadmu. Aku selalu percaya pada waktu dan zaman yang akan meletakkan di manakah tempat generasi penulis baru untuk jagat sastera tanah air. Bagiku menjadi "penulis besar" bukan impian, tetapi pengisian secara bermakna demi memartabatkan sastera kita, itulah yang kuinginkan. Tahniah di atas "Sejak Kau Hadir" (Peta Perjalanan - MPTB, 2006 -Nassury) milikmu itu.
RAHIMIDIN ZAHARI
Kuantan
1.7.1995

Poskad Mattaib Nordin


Assalamualaikum

Sdr. Nassury
Harap dalam sihat walafiat & gembira. Saya & Sdr. Uthaya Sankar selamat sampai di Jakarta pada 29/9/97 jam 12.15 t/h (WJB) / 1.15 (WM) dengan pesawat MAS.

Projek penataran di TIM & Bogor berakhir 16/10. Di Bogor bentang kertas kerja tengah hari. Di Jakarta bertemu tokoh penulis seperti Putu Wijaya, Slamat Sukirnato, Danarto, Seno Gumira, Leo Agusta, Sapardi Djoko Damono, Dorothea dll.

Jakarta bersih daripada jerebu - sihat. TVnya ada 8 chanel - ceweknya manis & peramah. Insya Allah balik Kuala lumpur pada 16/10.

Jumpa lagi. Maaf & halalkan segalanya.

Drp. MATTAIB NORDIN
Hotel Sofyan Cikini, TIM
Jakarta. (30/9)

Ulasan Kumpulan Sajak DI RUMAH WIRAMAL

Selepas Cermin (terbitan Gapril, 1987) dan Menimba Laut (DBP, 1996), Nassury Ibrahim muncul dengan kumpulan puisinya yang ketiga, Di Rumah Wiramal yang amat istimewa kerana tajuk kesemua 38 puisi di dalamnya dimulai perkataan 'Di Rumah.'

Nassury memperlihatkan kemampuannya sebagai penyair muda yang prolifik dan berkembang kerana dalam tempoh dua tahun, dia berjaya menghasilkan 38 puisi yang berisi dan bernas. Puisi dalam Di Rumah Wiramal ini dihasilkan dari 1998 hingga 2000.

Kumpulan puisi yang comel ini boleh dihabiskan dengan sekali duduk. Bagaimanapun, itu hanya untuk membaca, bukan memahami. Untuk memahami, ia perlu dibaca berkali-kali, diteliti dan dikaji.

Di Rumah Wiramal adalah buku sastera nipis yang 'tebal' dan ringan yang 'berat.' Justeru, ia wajar menjadi antara buku yang harus dibincangkan dengan disiplin ilmu. Ia berprestij dan merangkumi soal agama, falsafah, perjuangan dan kemanusiaan.

Di Rumah Wiramal jelas bersifat patriotik. Gambar kulitnya penuh simbolik dan sinikal. Mungkin 'Wiramal' adalah gabungan perkataan 'wira' dan 'Malaysia.'

Nassury memaparkan falsafah hidup dengan serius, walaupun kelihatan seperti main-main kerana puisinya pendek. Ketegasan itu jelas sekali apabila puisi pertama adalah Di Rumah Diri (1).

Pemaparan puisi tersebut memang wajar kerana semua perkara bermula dari rumah dan diri sendiri. Kita memang disarankan agar melihat diri sendiri terlebih dulu sebelum berkata atau bertindak.

Justeru, Nassury menampilkan tiga lagi puisi bertajuk sedemikian dalam kumpulan puisi ini, iaitu Di Rumah Diri (2), Di Rumah Diri (3) dan Di Rumah Diri (4).

Oleh sebab bersifat patriotik, dapat dikesan beberapa puisi dalam kumpulan ini terhasil oleh satu penting negara. Antaranya ialah Di Rumah Fitnah, Di Rumah Ratu Adil (1), Di Rumah Ratu Adil (2), Di Rumah kroni serta Di Rumah Hamurabi (1) dan Di Rumah Hamurabi (2).

Puisi paling panjang dalam kumpulan ini ialah Di Rumah Diri (4) yang terdiri daripada empat rangkap dan 12 baris. Puisi paling pendek dari segi jumlah perkataan (7 perkataansaja) ialah Di Rumah Maya.

Disebabkan kebernasan dan kewibawaan yang tetap dipelihara, puisi dalam kumpulan ini tidak kering dengan lazim puisi sepertyi personafikasi dan metafora. Antara personafikasi yang menarik ialah 'sunyi membuka,' 'akad membentang,' 'matahari tak henti-henti senyum' dan 'sang fitnah melompat keluar.' Contoh metafora pula termasuklah 'sebidang keluarga,' 'di rumah bangsa,' 'pintu hidup,' dan 'balai wira.'

Selain itu, terdapat juga perkataan seperti 'takberi,' 'akuku,' 'akumu,' 'takjuga,' 'kehalamanan,' kebilikan' dan 'dibencini' yang memberi kelainan.

RAJA YUSOFF ARIFFIN
Utusan Malaysia 3 Mei 2003


Ahad, 22 Mac 2009

Isu PPSMI


Atas nama bangsa Melayu dan agama Islam, saya menyokong idealisme GMP dan Gapena mendesak kerajaan memansuhkan PPSMI. Hal ini kerana nawaitu pelaksanaan PPSMI tersalah subjek dan ia boleh membinasakan generasi, identiti dan kemajuan bangsa Melayu dalam jangka panjang. Malah, berdasarkan janji Ketua Pengarah Pendidikan (laporan akhbar dalam gambar di sebelah), ia menjurus kepada pembohongan. Satu gejala negatif yang tidak sepatutnya datang dari Kementerian Pelajaran.

Dan, lebih-lebih lagi, lihatlah nasib yang terjadi pada tulisan Jawi dan kepandaian generasi Islam Malaysia membaca al-Qur'an gara-gara 'pemansuhan' pembelajaran tulisan Jawi di sekolah bermula awal tahun 1970-an. Baru 20 tahun sahaja sudah dirasai orang Melayu tidak pandai membaca tulisan Jawi dan al-Qur'an sehingga akhbar bertulisan Jawi jadi nazak dan kerajaan terpaksa memperkenalkan program J-Qaf (guru J-Qaf) untuk mengajar Jawi, bahasa Arab dan al-Qur'an di sekolah. Kalau PKM menjadi musuh negara, PPSMI pula menjadi musuh dan sekali gus bakal membunuh bangsa Melayu. Pendokongnya boleh dianggap sebagai penjenayah bangsa.

Saya yakin PPSMI telah dijadikan strategi politik. Ia bakal dimansuhkan. Abdullah tidak mampu memansuhkannya kerana beliau merupakan penidur tegar. Hisamudin tidak mampu memansuhkannya kerana kerisnya tidak pernah berasap. Orang yang akan memansuhkannya ialah Najib. Reaksi terhadap pemansuhan itu, Umno akan anggap beliau sebagai pejuang bahasa Melayu, sirih pulang ke ganggang dan menyambung perjuangan ayahnya, Tun Abdul Razak. HIDUP NAJIB!

Sekitar tahun 1996, orang bersangka Najib akan memusnahkan bahasa Melayu melalui kuasa menteri dalam Akta Pendidikan 1996. Rupa-rupanya beliau ‘kambing hitam’ oleh mantan PM apabila menggunakan peluang yang ada memperkenal dan melaksanakan PPSMI, malah menyingkir hak dan impian Najib untuk jadi TPM dan PM. Namun kini, menyedari Najib bakal jadi PM, beliau cepat-cepat menyokong Najib jadi PM. AWAS! INI SIKAP SI KITOR YANG MENANGGUK DI AIR KERUH.

Walau bagaimanapun, Najib (dan Umno/BN) tetap tercatat sebagai perosak, peminggir dan pemusnah bahasa Melayu dalam budaya ilmu di IPT, jika beliau tidak berusaha membaikinya. Apapun, rakyat sangat berharap DS Najib tidak terjadi boneka kepada mantan PM atau sesiapa sahaja dan mendaulatkan bahasa Melayu. Jadilah diri Najib yang sebenar, Melayu yang sebenar, Islam yang sebenar dan pemimpin yang sebenar.


MANSUHKAN PPSMI


JPN Kelantan 'Culik' Slip SPM Pelajar YIK

Akhbar Berita Minggu bertarikh 8 Mac 2009 menyiarkan berita bertajuk “Pengetua, guru besar sorok kes buli ditukar.” Amaran ini diucapkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd Dom, sebagai reaksi terhadap beberapa kes buli yang dilaporkan media. Amaran seumpama ini bukan pertama kali, malah telah diucapkan berkali-kali oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Persoalannya, mengapakah masih ada pengetua, guru besar dan guru sorok kes buli? Tentu ada yang tidak kena.

Oleh sebab telah diberikan amaran berkali-kali, saya percaya, pengetua, guru besar dan guru sedaya upaya menyembunyikan masalah disiplin di sekolah. Mendedahkan masalah disiplin bererti mendedahkan pekung di dada. Betapa ikhlas atau jujur sekalipun, mendedahkan pekung bererti membubuh pasir ke dalam periuk nasi sendiri. Pihak atasan tidak akan melihatnya sebagai ikhlas atau jujur. Tindakan tegas tetap diambil. Justeru, apakah pilihan yang ada?

Baik pengetua, guru besar, guru mahupun pengarah dan masyarakat, mereka tidak mahu dengar masalah disiplin melanda sekolah di bawah tanggungjawab masing-masing. Jika ada, sekolah itu ‘dicap’ sebagai sekolah bermasalah dan dipandang serong.

Yang ingin didengar ialah pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam. Sekolah yang paling ramai pelajar cemerlang akan dirai dan dibangga-banggakan. Bantuan mudah diperoleh, malah guru juga mudah dinaikkan pangkat. Pelbagai anugerah diperkenal dan diberikan. Semuanya atas nama pencapaian cemerlang pelajar dalam akademik. Oleh sebab itu, wujud beberapa kategori sekolah seperti sekolah berasrama penuh, sekolah kluster, sekolah teknik, sekolah kawalan dan sebagainya. Ia terang-terangan menggambarkan sikap diskriminasi oleh KPM / JPN sendiri.

Pernahkah anda dengar sebab diberikan anugerah kepada sekolah kerana kecemerlangan akhlak pelajarnya? Atau, sekolah paling terkawal disiplin pelajar. Oleh sebab tidak ada anugerah seumpama ini, maka wajarlah pengetua, guru besar dan guru menyorok kes disiplin di sekolah mereka.

Sebenarnya, kerja sorok-menyorok ini bukan sahaja dilakukan oleh guru-guru di sekolah. Mereka adalah pendokong idealisme sorok-menyorok yang dilakukan oleh Ketua Pengarah dan pengarah JPN. Sebagai contoh, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Pengarah JPN Kelantan sendiri berkali-kali menyorok keputusan cemerlang pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK). Nama mereka tidak diumumkan walaupun keputusannya lebih tinggi daripada keputusan pelajar yang dijulang-julangkan. Misalnya, keputusan SPM Siti Fatimah Mukhtar yang memperoleh 18A. Ia keputusan terbaik negara dalam tahun berkenaan.

Terbaharu, Datuk Alimuddin dan Mohd Ghazali Rahman (Pengarah JPN Kelanatan) tidak menyebut langsung nama Nik Nur Madihah sebagai pelajar terbaik negara bagi SPM tahun 2008. Beliau memperoleh 20A. Malah, menurut laporan Harakah 20 – 22 Mac 2009, slip SPM Nik Nur Madihah telah ‘diculik’ dan ‘disorok’ oleh JPN Kelantan. Slip itu diserahkan setelah pegawai YIK datang mencari dan ‘menebusnya.’

Tidakkah perbuatan itu juga dikategorikan sebagai menyorok? Jika pengetua, guru besar dan guru menyorok perbuatan negatif, anehnya mereka menyorok pencapaian cemerlang pelajar. Mungkin disebabkan sentimen kepartian kerana pelajar berkenaan berasal dari Kelantan dan bersekolah di sekolah kawalan Kerajaan PAS Kelantan.

Walau apapun alasan, bukankah mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana pecah amanah dan menyalahgunakan kuasa?

'Bapakku Pengkhianat Bahasa Melayu'


Berikut ialah cuplikan temu ramah wartawan Harakah, Irwan Muhammad Zain dengan Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, tentang bahasa Melayu, yang disiarkan dalam Harakah bertarikh 16 – 19 Mac 2009. Terbitan cuplikan ini adalah sebagai tanda sokongan saya kepada GMP dalam isu PPSMI.

BERALIH ISU PPSMI. SEHARI SELEPAS PERARAKAN AMAN GERAKAN MANSUH PPSMI (GMP) 7 MAC LALU, DATO’ SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI MENGGESA AGAR ISU INI SEGERA DISELESAIKAN KERANA IA MENDAPAT BANTAHAN MELUAS RAKYAT. MALANGNYA, MENTERI PELAJARAN, DATO’ SERI HISHAMMUDDIN HUSSEIN DENGAN ANGKUHNYA MENOLAK CADANGAN PERDANA MENTERI ITU.

Komen saya mudah. Beliau bersifat keras kepala kerana beliaulah yang menerima tamparan paling hebat menghadapi penentangan rakyat khususnya ketika perarakan aman 7 Mac lalu. Perarakan itu mendapat sambutan hebat rakyat. Jadi beliau merasakan tempias dan tamparan, sebab itu beliau masih berkeras untuk meneruskan dasar tersebut.

Bagi PAS, kita tegaskan bahawa kita bukan antibahasa Inggeris. Yang kita tentang adalah dasar PPSMI. Sepatutnya untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris adalah dengan mengajar mata pelajaran seperti kesusasteraan Inggeris dan bahasa Inggeris untuk komunikasi, bukan dalam Sains dan Matematik.

Tidak betul bila dikatakan kita menentang atau antibahasa Inggeris. Dalam isu PPSMI ini kita akan terus menentang dan menerangkan kepada rakyat apa yang kita tentang dan apa yang sepatutnya dilakukan sehingga dasar ini dimansuhkan.

APAKAH SEBAB HISHAMMUDDIN TERUS BERDEGIL UNTUK MENERUSKAN DASAR PPSMI?

Saya tidak tahu masalah peribadi beliau tapi dalam soal ini beliau cuba menjadi hero untuk mempertahankan dan untuk mendapatkan undi perwakilan Umno dalam menghadapi pemilihan parti itu. Dengan sikap kerasnya itu beliau memberikan signal bahawa semangat Melayunya tidak setebal mana kerana masih berbangga dengan bahasa asing.

Hishammuddin cuba membina imej sebagai seorang pemimpin orang Melayu. Beliau dalam beberapa perhimpunan Umno sering mengangkat keris untuk menunjukkan beliau membela Melayu tapi dalam soal bahasa beliau menentangnya apabila pejuang bahasa berusaha memartabatkan bahasa ibunda.

Keris yang dijulang itu melambangkan Melayu tapi lambang Melayu yang sebenarnya terletak pada bahasa kerana pepatah juga ada menyebut, ‘bahasa jiwa bangsa’. Bangsa Melayu sekarang sudah hilang jiwanya kerana bahasanya sudah dipermainkan pemimpin Melayu itu sendiri.

PERLUKAH AHLI-AHLI UMNO DAN ORANG MELAYU MENERIMA PEMIMPIN SEPERTI HISHAMMUDDIN YANG DIANGGAP PENGKHIANAT BAHASA ITU?

Teramat malang bagi ahli Umno dan orang Melayu memiliki seorang pemimpin yang jiwa bangsanya dan jiwa agamanya tidak dapat dizahirkan untuk membela bahasa, bangsa dan agama sendiri.

Kalau beliau berbangga dengan bahasa orang lain sudah tentulah bahasa ibunda bagi beliau tidak penting. Kalau beliau berbangga dengan budaya orang lain sudah tentu bagi beliau budaya bangsa sendiri itu tidak penting. Jadi tidak ada harapan yang boleh diberikan kepada seorang pemimpin yang sedemikian sifatnya.

Dalam konteks Umno pula, teramat malang bagi ahli-ahli dan parti itu sendiri jika memberi peluang kepada pemimpin seperti ini untuk memegang jawatan tinggi dalam parti mereka.

Ahad, 8 Mac 2009

Asas Memahami Bahasa Temiar


Bahasa Temia merupakan antara bahasa kaum minoriti yang terdapat di Malaysia, khususnya di kawasan tengah Semananjung. Bahasa ini dijangka mengalami kepupusan akibat himpitan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Pengamal bahasa Temia menggelarkan diri mereka sebagai Temir.

Terdapat beberapa aspek perlu difahami apabila seseorang mahu bertutur bahasa Temia. Pertama, pembendaharaan katanya terhad. Hanya objek-objek di sekitar mereka sahaja mempunyai nama. Objek atau konsep yang diimport menggunakan nama asal objek berkenaan dengan sebutan gaya ketemiaan. Oleh itu, bahasanya bersifat rojak.

Kedua, tiada konsep penggandaan. Semua objek tergolong sebagai kata tunggal. Misalnya kerk (ikan) tidak disebut kerk-kerk. Walau bagaimanapun, terdapat istilah merujuk konsep banyak (jajih).

Ketiga, perkataannya terdiri daripada satu atau dua suku kata sahaja. Lebih banyak suku kata tertutup, bunyi konsonan /k/, /j/, /g/, /b/, vokal /e/ pepet dan tanda glotis.

Keempat, bahasa Temia juga bersifat onomatopia, sebagaimana bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain. Maksud onomatopia ialah bunyi kata berasaskan bunyi objek. Misalnya, nama ‘tin’ diambil sempena bunyi tin berkenaan, nama ‘gagak’ sempena bunyi burung gagak. Orang Temia menamakan burung sebagai ‘cep’ sempena bunyi burung, nama ‘mamuh’ atau ‘arp’ sempena bunyi harimau, amew (kucing) dan sebagainya.

Kelima, hanya ayat tunggal digunakan. Tidak ada ayat majmuk. Setiap ujaran terus kepada maksud. Contoh, Yek cak nanak. (Yek) cak ayu (atau kayu). Maksud, Saya / aku makan nasi. (Aku) makan ubi kayu.

Keenam, tiada keterangan objek dan sebab sebagaimana lazim dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Tidak ada konsep ‘kerana’ atau ‘sebab’ sebagai penjelasan terhadap objek yang diucapkan. Ayat, Yek cak kayu, tidak dinyatakan keterangan tentang ubi kayu atau sebab suka makan ubi kayu. Mereka tidak ada konsep sebelum dan selepas peristiwa, dan tidak berminat mengingati atau meramal. Mereka hanya ada konsep semasa sahaja. Semua peristiwa yang berlaku diterima sebagai sudah suratan takdir. Tidak perlu dikesali.

Ketujuh, setiap objek mempunyai nama tersendiri walaupun berasal daripada objek sama. Misalnya, buah pisang (telui) dengan pokok pisang (jai) berbeza nama.

Kelapan, struktur ayat adalah sama atau hampir sama dengan struktur ayat dalam bahasa Melayu. Subjeknya berada di depan dan pradikat di belakang.

Kesembilan, tidak ada bunga-bunga bahasa, kelewahan dan penegasan. Setiap ujaran terus kepada maksud. Misalnya, Yek cen cak nanak (Saya suka makan nasi) bukannya ‘Saya sangat suka makan nasi itu’. Sekian.

Jumaat, 6 Mac 2009

Reaksi Pembaca Terhadap Cerpen Misteri Gula

Cerpen Misteri Gula siaran Mingguan Malaysia pada 1 Mac 2009 mula terhasil pada 01 Oktober 2006 dan siap pada 2009. Berikut ialah pandangan pembaca.

1. SMS Irene Tan Ai Ling (jururawat), 2 Mac 2009 pukul 14:34:29
Nassury, dah baca cerpen. Pada pandangan pembacaan Rin, orang politik yang terlibat dalam misteri itu. Karyamu tinggi sangat, tak terjangkau oleh pengetahuan Rin yang cetek ni. Syabas Nassury.

2. SMS Zizisetapa (guru), 2 Mac 2009 pukul 11:42:15
Tq dah baca skali nanti baca lagi. Tahniah cerpen tu menarik jadi perbahasan dan tentu Pak Menteri pun baca.

3. SMS Ameer Habeb Mohamed (guru/ mahasiswa PhD), 1 Mac 2009, pukul 09:05:28
Minta gula sekilo. Harga lama ke baru?

4. SMS Ameer Habib Mohamed (guru / Mahasiswa PhD), 2 Mac 2009 pukul 11:36:22
Kita mempunyai sejumlah menteri yang bijaksana ...

5. SMS Sitipuspa (peniaga) 1 Mac 2009, pukul 13:07:16
Assalamualaikum cikgu lagu mana loni ... dok tengah baca Misteri Gula. Bagus juga cerpen macam ni. Moga kenyataan ok.

6. SMS Zakir (peniaga) 1 Mac 2009 pukul09:19:44
Belawe dgn marsli nampok, demo cerpen, marsli puisi.

7. SMS Razak @ Rezeki Othman (guru), 1 Mac 2009, pukul 08:13:20
Tahniah Misteri Gula.

8. Emel ke blog, Ustazlah (mahasiswa UM), 1 Mac 2009 pukul 1:13 pm

Salam ziarah. Tahniah utk Misteri Gula dr saya yg kerdil ini .. yang makin mgerti duniawi yg digula-gilakan.




PPSMI bakal menjadikan Bahasa Melayu pupus – ODE

ODE (Azizul Ikhwan) merupakan seorang penulis muda yang sedang mencipta nama. Beliau antara kumpulan terakhir yang tidak terlibat dengan PPSMI di sekolah, namun terpaksa menghadapinya di peringkat IPT. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kuala Lumpur, iaitu SMK (L) Methodist, Kuala Lumpur (sebuah sekolah aliran Inggeris). Oleh sebab itu, saya mewawancara beliau untuk mendapatkan pandangan tentang bahasa Melayu dan PPSMI, sebagai lambang pandangan generasi muda dari sekolah aliran Inggeris. Wawancara ini dijalankan melalui emel.

1. MENGAPAKAH TIMBUL MINAT MAHU MENJADI PENULIS KREATIF?

Saya sendiri tak sedar mengapa minat menjadi penulis kreatifitu timbul. Cuma mungkin saya boleh beri satu nama yang menimbulkan minat saya ke arah penulisan kreatif iaitu Cikgu Maniyamin Ibrahim. Pada mulanya cuma menghantar beberapa buah sajak kepada beliau untuk dibaiki kemudian dipupuk oleh beliau untuk menghantar ke media-media yang menyediakan ruang untuk menyiarkan karya. Kemudian saya dihantar ke sebuah bengkel penulisan dan dari situ, saya diserap ke dalam minggu penulis remaja. Mungkin sejak dari itu, minat hendak menulis menebal. Mengapa minat itu timbul, mungkin boleh saya katakan bahawa menenun bahasa ini adalah sesuatu yang mengahayalkan.

2. ANDA MAHU MENENUN BAHASA SAAT ORANG MEMBUANG BAHASA. APAKAH ADA JAMINAN UNTUK JADI PENULIS BERJAYA DENGAN MENENUN BAHASA MELAYU?

Saat orang membuang bahasa. Ya, zaman kegelapan untuk Bahasa Melayu. Mungkin saat orang membuang bahasa itu yang menjadikan saya lebih bermotivasi untuk menulis menggunakan Bahasa Melayu. Pada pandangan saya, memang tiada jaminan untuk menjadi penulis yang berjaya dengan menggunakan Bahasa Melayu. Maksud berjaya di sini ialah memperoleh pendapatan yang sangat lumayan dengan hanya menulis cuma ada beberapa penulis di negara kita yang boleh hidup dengan hanya menjadi penulis sepenuh masa. Jika boleh saya sebut nama-nama seperti Faisal Tehrani, Nisah Haron dan Salman Sulaiman (sekadar menyebut beberapa nama).

3. OLEH SEBAB BAHASA MELAYU TIDAK MENJAMIN KEJAYAAN, APAKAH PERLU KITA MEMPERTAHANKAN BAHASA MELAYU DALAM ZAMAN GLOBALISASI INI?

Perlu! Bahasa Melayu adalah sebuah bahasa yang suatu ketika dulu pernah menjadi sebuah bahasa pertuturan setiap pedagang yang datang ke Tanah Melayu. Jadi mengapa ada sebab untuk tidak mempertahankan Bahasa Melayu? Sedih sekali jika Bahasa Melayu akan pupus ditindas bahasa asing.

4. APA PANDANGAN ANDA TENTANG PPSMI?

PPSMI sudah tentu ada positif dan negatifnya. Tetapi bagi saya PPSMI adalah sesuatu yang tidak perlu diwujudkan untuk pelajar sekolah. Perkara yang membebankan bagi pelajar sekolah. Saya kira peratusan sekolah luar bandar di Malaysia masih besar dan mereka yang bersekolah di luar bandar itu bukanlah mereka yang fasih dan lancar berbahasa Inggeris. Jadi mengapa nak dibebankan mereka ini? Pendapat peribadi saya, PPSMI juga adalah salah satu kewujudan yang bakal menjadikan Bahasa Melayu semakin pupus.

5. KUMPULAN PENYOKONG, IBU BAPA UNTUK PENDIDIKAN (PAGE) DALAM BERITA MINGGU 1 MAC 2009 MENEGASKAN, "PPSMI SEBENARNYA SERAMPANG DUA MATA KERANA IA ADALAH CARA MEMPERBAIKI DAN MEMPERTINGKATKAN BAHASA INGGERIS SAINTIFIK DI KALANGAN PELAJAR; DI SAMPING MENDEDAHKAN ANAK KEPADA BAHASA INGGERIS PERBUALAN." PADA PANDANGAN ANDA, ADAKAH TEPAT MEMILIH SUBJEK MATEMATIK DAN SAINS UNTUK MENCAPAI TUJUAN TERSEBUT?

Banyak lagi cara untuk mempertingkatkan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Kalau satu hari di sekolah dijadikan hari berbahasa Inggeris. Pelajar-pelajar perlu berbual sesama mereka dalam bahasa Inggeris pada hari tersebut. Mungkin boleh jadi salah satu contoh yang baik untuk mempertingkatkan Bahasa Inggeris daripada membebankan pelajar-pelajar dengan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran mereka. Dalam perlembagaan sendiri saya rasa ada mengatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa pendidikan di Malaysia.

Ahad, 1 Mac 2009

Bertahun-Tahun Kau Berperang

Bertahun-tahun kauberperang.
bertahun-tahun kauberperang dengan dadah, kata bapak,


bertahun-tahun kauberperang dengan dadah, kata bapak,
menghunus pedang psikologi menembak dengan akta

bertahun-tahun kauberperang dengan dadah, kata bapak,
menghunus pedang psikologi menembak dengan akta, tetapi
dadah hidup juga – bercucu dan bercicit – kata bapak lagi


bertahun-tahun kauberperang dengan dadah, kata bapak,
menghunus pedang psikologi menembak dengan akta, tetapi
dadah hidup juga – bercucu dan bercicit – kautetap berperang
dengan dadah demi dadah demi dadah, kata bapak lagi


soalnya, “Apakah benar kauberperang dengan dadah?”
kata bapak, “Atau kauberperang dengan dirimu sendiri?”

NASSURY IBRAHIM
11 Januari 1999