Khamis, 12 Februari 2009

Hilang


Maksud ‘hilang,’ dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), ialah (1) tidak kelihatan lagi, lenyap, tiada lagi, (2) tidak ada lagi sesuatu perasaan, kepercayaan, pertimbangan, (3) tidak dikenang lagi, telah dilupakan, lenyap, (4) tidak dapat dikeluarkan suara, (5) tidak ada atau tidak kedengaran lagi, dan (6) mati, mangkat, atau meninggal. Kamus Lengkap Bahasa Indonesia (KLBI) mencatatkan maksud ‘hilang’ sebagai lenyap, tidak dijumpai lagi. Kesimpulannya, maksud hilang ialah tiada lagi atau lenyap. Maksud lenyap pula ialah hilang sama sekali, tidak kelihatan, tidak ada lagi, musnah (KLBI), (1) tidak kelihatan lagi, ghaib, hilang, (2) lena, nyenyak, dan (3) jatuh hati, kasih (KDEK).

Perihal hilang adalah berkaitan dengan barangan atau benda-benda tidak bernyawa. Kalau bernyawa, perihal hilang berlaku pada binatang kerana binatang tidak berakal dan tidak dapat berfikir. Walau bagaimanapun, hilang juga berlaku pada manusia, terutama yang mengalami masalah mental. Kalau seseorang tiba-tiba hilang, mungkin dia dibunuh, tersesat, bersembunyi, disembunyikan, melarikan diri atau dilarikan. Lazimnya, perbuatan menyembunyikan dan melarikan manusia dilakukan oleh makhluk halus, atau agen penjahat.

Semasa di kampung, pernah satu keluarga kehilangan anak perempuan. Khabarnya, gadis itu dilarikan oleh seorang jejaka seberang. Setelah tiga hari mencari, akhirnya diketahui bahawa gadis dan jejaka itu telah berkahwin. Rupa-rupanya mereka hilang kerana mahu berkahwin. Cekap juga orang kampung merisiknya.

Bukan senang melarikan orang kerana orang mempunyai akal. Dia boleh berfikir dan bertindak. Oleh itu, 'pelari gadis' perlu ada teknik. Jejaka Lombok menggunakan teknik pujuk dan pukau untuk melarikan gadis Malaysia. Khabarnya, pelari gadis di kampung saya itu menggunakan minyak ‘cenuai.’ Sama ada pujuk, pukau atau cenuai, semua itu merupakan teknik dan umpan. Gadis yang dilarikan akan dikahwini. Walau bagaimanapun, tidak semua gadis yang dilarikan atau hilang itu akan dikahwini. Ada juga yang dijual dan diperdagangkan.

Sekitar tahun 2007, kita dikejutkan dengan kehilangan kanak-kanak perempuan bernama Nurin. Heboh seluruh negara. Gambarnya ditampal di sana-sini dan disiarkan di TV berkali-kali. Sayangnya, tidak menemui. Setelah terjumpa, Nurin sudah menjadi mayat. Menyusur Nurin ialah Syalinie, Asmawi dan beberapa orang lagi. Mereka juga tidak dijumpai sampai sekarang. Hidupkah atau matikah tidak siapa tahu. Tidak diketahui sebab kanak-kanak itu dilarikan. Juga, jenis umpan yang digunakan. Yang pasti, polis yang cekap membanteras rusuhan, rupa-rupanya tidak dapat mencari tempat persembunyian mereka.

Ada juga suami kehilangan isteri kerana diumpankan hidup lebih senang atau mewah. Ada juga orang kaya hilang kerana diculik untuk diambil kekayaannya.

Perihal manusia hilang sejak akhir-akhir ini agak aneh. Tidak pernah terbayang akan ada Yang Berhormat (YB) hilang. YB merupakan orang berakal sihat. Mereka cerdik, berpandangan jauh, sabar, dikenali dan amanah. Tidak mudah hilang atau tersesat. Namun, takdir Tuhan mengatasi segalanya. Tiba-tiba ada YB hilang atau menghilangkan diri, dipelopori YB Jamaluddin Mohd Radzi dan YB Mohd Osman Mohd Jailu. Heboh media dan partainya mengatakan dua orang YB itu hilang dan tidak dapat dihubungi. Polis tidak dapat menemuinya dan partainya pun tidak dapat menemuinya juga. Ke manakah mereka menghilang? Atau, siapakah yang menghilangkannya tidak diketahui. Mungkin makhluk halus atau jin atau syaitan. Makhluk itu mesti hebat. Atau umpannya hebat. Mereka hilang bukan mahu berkahwin. Atau tersesat atau 'dibunuh.' Dikatakan hebat kerana kedua-dua YB ini lelaki, berelaun besar, dikenali dan pemimpin besar negeri. Salah seorang ada pengalaman tentera. Oleh sebab itu, tidak ada orang mencarinya. Mereka berharap, kedua-duanya akan kembali sendiri. Tidak ada orang yang menyibukkan diri mencarinya. Yang disibukan ialah mencari penggantinya.

Sebagai rakyat biasa, saya rasa bimbang dengan musibah ini. Bimbang keselamatan diri saya dan keluarga. Kalau dulu, orang kampung atau budak-budak yang hilang. Kini, orang besar bergelar YB, pemimpin kepada rakyat dan terhormat juga boleh hilang. Polis tidak dapat kesan. Dan, kehilangan YB makin menjadi-jadi. Mula-mula dua YB di Perak hilang. Kemudian, seorang YB di Kedah hilang. Semalam, ada pula berita YB Selangor hilang. Semuanya tidak dapat dikesan. Secara kebetulan, mereka hilang berturut-turut dan di negeri pembangkang. Maknanya, pembangkang tidak pandai menjaga YB, dan diri sendiri. Kalau diri sendiri pun tidak dapat dijaga, bagaimana hendak menjaga rakyat? Malanglah saya bertuankan YB sebegini.

Oleh sebab YB sendiri tidak selamat, maka timbul persoalan: Selamatkah saya dan negara saya? Kalau YB boleh hilang dan tidak dapat ditemui, apatah lagi rakyat jelata.

Kalau semalam rakyat hilang dan hari ini YB hilang, esok mungkin giliran menteri pula hilang. Lusa mungkin perdana menteri hilang dan tulat raja pula yang hilang. His! His! His!. Macam negara Korea. Menteri dan Presiden menasihatkan rakyat agar tidak berasuah. Alih-alih, menteri dan Presiden sendiri ditangkap kerana rasuah. Macam polis dalam cerita Hindustan: dia menjaga rakyat agar tidak jadi jahat, alih-alih dia sendiri yang jahat. Demikian negara kita. YB menjaga kita agar tidak hilang atau menghilangkan diri, rupa-rupanya YB sendiri hilang dan menghilangkan diri. Apa pasal YB menghilangkan diri? Ingin berkahwinkah? Atau apa?

Kalau YB boleh dilarikan oleh seseorang, tentu orang yang melarikan YB itu hebat. Dan, kalau YB sendiri tidak selamat, bermakna kehidupan rakyat jelata lagi tidak selamat. Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama bertindak menyelamatkan negara daripada anasir durjana.

Tiada ulasan: