Ahad, 22 Februari 2009

Petualang Bahasa Melayu

PE(R)JUANG(AN) BAHASA ll

Kuraikan kejayaan
menumpaskan petualang
kusambut kemenangan
menewaskan dalang

Tari si dalang sudah berakhir
kemenangan kini ada di tangan
di muka kelir menari-nari
wijaya perjuangan nekad dan berani
Nescaya ada lagi

dalang dan talam cuba mencabar
kita cabar ia di muka pentas
buktikan siapa benar, siapa bertopeng
kejayaan tetap bagi kebenaran

Ayuh kita raikan kejayaan
ayuh kita sambut kemenangan
petualang bahasa sudah tumpas
dalang bahasa sudah tewas

Dirgahayu bahasaku!
Dirgahayu Bahasa Malaysia!

-UTHAYA SANKAR SB
Taman Sri Muda, Shah Alam
Mingguan Malaysia: 24 Jun 2007

Sajak ini ditulis sebagai meraikan pertukaran istilah dari bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Pengarang menganggap perjuangannya menukarkan istilah tersebut sebagai berjaya. Pada kulit hadapan buku Sasterawan Pulau Cinta (2001), pengarang mencatatkan sebagai Kumpulan cerpen Bahasa Malaysia. Memang kalangan sasterawan mengetahui bahawa Uthaya Sankar SB tidak mengiktiraf bahasa Melayu. Sajak itu tidak mengejutkan saya dan memang wajar Uthaya Sankar SB menulisnya.

Yang mengejutkan ialah, dalam sajak di atas, beliau menganggap pejuang bahasa Melayu sebagai dalang, talam dan petualang. Siapakah pejuang bahasa Melayu? Mereka tentulah ahli-ahli bahasa Melayu. Antara pejuang bahasa Melayu tersohor dan sering dirujuk ialah Za'ba, Nik Safiah Karim, Asmah Haji Omar, Hashim Musa, Hamid Mahmood, James T. Collins dan lain-lain. Kalangan politikus pula terdiri daripada bekas Menteri Pelajaran @ Pendidikan. Antaranya, Dr. Sulaiman Daud, Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Tun Abdul Razak dan Musa Muhammad. Semasa mereka jadi Menteri, Kementerian Pelajaran @ Pendidikan Malaysia (KPM) masih menggunakan istilah bahasa Melayu.

Antara Perdana Menteri Malaysia yang dikenangi sebagai pejuang bahasa Melayu ialah Tun Abdul Razak Hussin. Semasa menjadi Menteri Pelajaran Malaysia, Tun Abdul Razak Hussin pernah mengetuai satu jawatankuasa mengkaji dasar pelajar. Hasil kajian dikenali sebagai Laporan Razak (1956). Antara usulnya;

1. “... bahasa Melayu, mestilah dipelajarkan di dalam semua sekolah.” (Perenggan 18)

2. “... bahasa Melayu dijadikan satu pelajaran yang mustahak untuk mendapat Sijil Rendah (Lower Certificate) dan Sijil Pelajaran Kebangsaan (National Certificate of Education) ….” (Perenggan 22 (b)).

3. “Dalam sekolah-sekolah menengah yang demikian ini, kami cadangkan bahawa bahasa Melayu dan Inggeris wajib diajar.” (Perenggan 71)

Menurut Awang Sariyan (2004) kesan langsung Laporan Razak ialah wujud sekolah umum menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, dan sekolah jenis umum menggunakan bahasa Inggeris. Kedua-dua jenis sekolah itu mewajibkan pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Laporan Razak itu menjadi asas idealisme bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di sekolah. Kini KPM menganggap bahasa Melayu sebagai merentas kurikulum.

Berdasarkan Laporan Razak itu kita dapati beliau juga merupakan antara tokoh awal pejuang bahasa Melayu. Dipadankan dengan sajak di atas bererti Tun Abdul Razak Hussin juga termasuk dalam golongan 'dalang,' 'talam' dan 'petualang' Bahasa Malaysia kerana beliau memperjuangkan bahasa Melayu. Apakah maksud 'dalang,' 'talam' dan 'petualang?'

Kamus Dewan (2005) mencatatkan maksud 'dalang' sebagai (1) tukang cerita, orang yang memainkan wayang kulit; dan (2) orang yang memimpin sesuatu gerakan secara sulit atau dengan sembunyi-sembunyi. Maksud 'talam' ialah sejenis dulang yang tidak berkaki, sejenis kuih yang lapisan bawahnya dibuat daripada campuran tepung beras atau tepung gandum dan gula melaka, manakala lapisan atasnya daripada santan kelapa. Manakala maksud 'petualang' pula ialah (1) orang yang bertualang, orang gelandangan, pengembara; (2) orang melakukan sesuatu dengan nekad (curang dll) untuk kepentingannya sendiri; (3) orang yang suka melakukan perkara-perkara yang sukar atau berbahaya untuk pengalaman. Tidak pasti maksud 'dalang,' 'talam' dan 'petualang' yang manakah dimaksudkan oleh Uthaya Sankar SB dalam sajaknya itu. Apakah pejuang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau penentang PPSMI juga dianggap 'dalang,' 'talam' dan 'petualang?' Yang pasti, 'dalang,' 'talam' dan 'petualang' yang dimaksudkan itu bercirikan negatif dan musuh bahasa Malaysia. Justeru, jika anda pejuang bahasa Melayu, anda juga salah seorang 'dalang,' 'talam' dan 'petualang' yang berimej negatif.

Jika Uthaya Sankar SB menganggap pejuang bahasa Melayu sebagai 'dalang,' 'talam' dan 'petualang,' Bung Mokhtar Radin dalam sidang parlimen pada 17 Februari 2009 pula menganggap pejuang bahasa dan budayawan tanah air yang menentang PPSMI sebagai 'anasir.' Oleh sebab Bung Mokhtar Radin menyebut pejuang bahasa, maka ia meliputi pejuang bahasa Melayu dan pejuang bahasa Malaysia. Ini bererti Uthaya Sankar SB juga merupakan 'anasir.' Maksud 'anasir' dalam Kamus Dewan ialah (1) zat yang empat (iaitu air, api, tanah, hawa atau angin) yang menurut pendapat ahli fikir zaman dahulu merupakan asas bagi segala-galanya di seluruh alam; (2) segala yang terdapat di dunia, makhluk; (3) bahagian daripada suatu keseluruhan, anggota daripada sesuatu golongan; dan (4) unssur, faktor. Juga tidak jelas maksud 'anasir' oleh Bung Mokhtar Radin. Yang pasti, sebagaimana 'dalang,' 'talam' dan 'petualang,' maksud 'anasir' juga bersifat negatif dan menghinakan.
Saya tentunya berasa kesal kerana Tun Abdul Razak yang saya julang itu rupa-rupanya orang berimej talam, dalang, petualang dan anasir bangsa dan negara.

Perlambangan Alam dan Dakwah

Puisi Yang Aku Tanam

Aku tidak kenal pun kayu ukur
yang mereka jadikan para tempat
puisi-puisinya mengembang sulur
berbunga cantik berbuah lazat

Aku tidak kenal pun kayu ukur
maka puisi-puisi yang aku tanam
tidak kubina para untuknya
puisi-puisi yang aku tanam
menyusur bebas di pipi bentala

Namun saudara, aku percaya
puisi berbunga cantik berbuah lazat
tidak kenal para dari kayu ukur sekalipun
hanya tanah dan baja tempatnya tumbuh

Apa yang kuharapkan pada puisiku
biarlah sulurnya mengembang zat
tanah dan baja
biarlah bunganya cantik buahnya lazat
meskipun tidak berpara

Apa yang kuharapkan pada puisiku
sesiapa pun dapat memetiknya
meskipun mereka
tidak bergalah tidak bertangga.

Sajak “Puisi yang Aku Tanam” oleh Nassury Ibrahim ini amat jelas memperkatakan secara langsung dan khusus tentang proses penciptaan puisi. Nassury juga menyifatkan menulis dan mencipta puisi sebagai menanam pokok. Ayat-ayat atau baris-baris puisi yang terbina adalah pokok yang tumbuh, bercabang dan berbunga. Dengan mengatakan bahawa dia hanya membiarkan pokoknya tumbuh subur tanpa menggunakan para memberi gambaran bahawa pertumbuhan puisinya adalah secara alamiah atau berserah kepada kehendak Allah. Walau bagaimanapun ‘penyerahan’ atau ketawakalan ini dibuat setelah berusaha menanam. Hal ini menepati ciri keIslaman.

Penyair mengatakan bahawa dia tidak memerlukan para untuk menanam pokoknya dan dia juga tidak memerlukan teori di dalam menulis puisi. Walaupun tanpa teori penyair mengharapkan puisinya mengembang salur dan berbunga cantik dengan hiasan bahasa. Dia mengambil pendekatan yang sederhana selaras dengan tuntutan Islam, seperti maksud ayat, “Dan sederhanakanlah langkah-langkah semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata.) (Surah Luqman:ayat18 dan 19). Jelas Penyair tidak mahu memberikan kesukaran kepada orang ramai sepertimana Allah juga tidak memberi kesusahan kepada hamba-Nya kecuali sekadar yang termampu dihadapi oleh mereka.
Sebagai penanam pokok dia mengharapkan pokoknya berbuah lebat dan hasil tanamannya dapat dipetik dengan mudah oleh orang lain. Ini bermakna penyair bersedia berkongsi rezekinya dengan orang lain. Dengan ini dia menjadi seorang yang memberi manfaat kepada orang lain dengan bersedekah, menepati maksud Hadith Rasullullah s.a.w “Seorang Muslim yang menanam tanaman kemudian ada burung atau manusia atau binatang memakan buah tanamannya, maka yang demikian itu menjadi sedekah baginya”

Begitulah sebagai penyair dia mengharapkan orang lain dapat membaca dan memahami apa yang hendak disampaikan. Unsur estetika dalam puisi dilambangkan oleh pokok yang berbunga cantik. Buah lazat adalah hasil yang memberi manfaat kepada semua. Penyair juga menyedari peranan tanah dan baja yang membawa makna menyedari pengaruh persekitaran dan peranan budaya dalam membentuk pemikiran dan penciptaannya.Perbuatan menanam dan membaja memperlihatkan unsur usaha dan berikhtiar sepertimana yang dianjurkan oleh Islam yang mengajar bahawa tiap-tiap orang hanya memperolehi apa yang diusahakan olehnya “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya” (An-Najm:ayat 39)

Buah yang lebat adalah untuk semua yang memerlukan. Ini adalah sifat pemurah yang terpuji dan selaras dengan amalan bermuafakat di dalam budaya Melayu yang megutamakan masyarakat dari individu. Masyarakat di kampung-kampung khususnya hidup bersama dengan semangat muafakat dan berkongsi bersama hasil tanaman. Buah adalah lambang kepada hidup yang berhasil. Manusia yang tidak memberi manfaat kepada orang lain adalah ibarat pohon yang tidak berbuah seperti maksud pantun:

Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkokok mengirai tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.

(Zainal Abidin Ahmad (peny.) Kumpulan Pantun Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka 1984.)

Di dalam puisi di atas, telah dilihat bagaimana proses percambahan benih digunakan untuk menerangkan konsep ilham oleh penyair Islam. Bila benih telah bercambah terjadilah pokok-pokok. Pokok-pokok menyebabkan alam menjadi hijau. Baha Zain menginterpretasikan kehijauan ini sebagai ‘bahasa alam.

ZURINAH HASSAN
sedutan dari artikel 'Pelambangan Alam dan Dakwah' yang disiarkan dalam blognya

Jumaat, 20 Februari 2009

Nasib Melayu Thailand


Berdasarkan senario politik sekarang, saya menjangkakan nasib Melayu Malaysia akan menyusur nasib Melayu di Singapura atau Thailand. Mungkin juga nasib Rohingya atau Palestin. Angkara pemimpin telah menghancurkan bangsa dan negara mereka. Angkara pemimpin durjana inilah sedang membarahi orang Melayu Malaysia.

Sebagai renungan, elok kita ambil iktibar dari catatan Abdul Razak Panaemalae dalam kertas kerja bertajuk “Sastera Thai Kontemporari dan Pengucapan Budaya Melayu” tentang nasib yang menimpa mereka di Thailand. Tegas beliau, faktor politik telah menyebabkan masyarakat Melayu Thailand terumbang-ambing. Hidup mereka ibarat berada di tengah lautan. Hidup mereka bukan sahaja dihempas dan dilambung ombak, malahan mereka berdepan dengan jerung yang ganas, menyebabkan mereka termengah-mengah keletihan dan tercungap-cungap kelemasan. Ada yang terkial-kial mencari tempat berpaut menyelamatkan diri. Sebahagiannya terus hanyut tenggelam dibawa arus ombak. Hanya segelintir sahaja yang sempat menyelamatkan diri.

Abdul Razak menjelaskan bahawa wilayah komuniti Melayu yang asal adalah kesatuan yang utuh. Malang kerajaan Thailand telah mengagih-agihkan, memecah-mecahkan mengikut dasar 'pecah dan perintah' demi melemahkan solidariti orang Melayu. Identiti warisan bangsa Melayu juga ditukargantikan dengan identiti dan jenama baharu yang bersifat kethailandan. Menurut Abdul Razak lagi, pemimpin yang bertanggungjawab 'membunuh' orang Melayu Thailand ialah Perdana Menteri Pibulsongkram (1938 – 1944 dan 1948 – 1957) dan Perdana Menteri Khuang Aphaiwong (1944 – 1945, 31 Januari – 18 Mac 1946, dan 1947 – 1948). Mereka berusaha menyerapkan orang Melayu ke dalam bangsa Thai, menolak ciri-ciri kemelayuan, memberi status baharu (Thai Muslim), menafikan hak dan menganggap orang Melayu sebagai hambatan terhadap pembentukan perpaduan masyarakat di Thailand. Anggapan ini kekal dalam minda masyarakat Thailand hingga sekarang. Akibatnya, berlaku pembunuhan demi pembunuhan terhadap orang Melayu. Kemuncak pembunuhan ialah semasa era regim Thaksin.
Kita juga akan menyusur nasib Melayu Thailand jika pemimpin asyik mementingkan nafsu, kuasa dan rasuah. Kinipun, orang Melayu telah banyak kehilangan daulat, identiti, maruah, bahasa, solidariti, keharmonian agama dan interaksi sosial. Kemusnahan itu dilakukan oleh pemimpin Melayu sendiri. Justeru, saya menyeru kepada orang-orang Melayu:
SELAMATKANLAH KEDAULATAN DIRI DAN ANAK-ANAK KITA. KUASA ADA DIJARI ANDA.

Seminar Kesusasteraan Malaysia -- Thailand


Walaupun surat undangan rasmi datang daripada Kementerian Kebudayaan Thailand, aku masih perlu mohon Cuti Rehat dan dianggap di luar tugas rasmi negara. Alasan diberikan kerana tidak diketahui status PENA sebagai NGO yang diiktiraf atau tidak (sebab ketiadaan pekeliling berkaitan).

Saat itu aku rasai nasib penulis dan persatuan penulis menyamai nasib bahasa Melayu dalam bidang Sains dan Matematik. Setelah sekian lama berjuang memartabatkan negara dan warga, akhirnya sumbangan mereka dinafikan dapat memartabtkan negara dan warganya, dan mengeratkan hubungan antara dua negara berjiran. Anehnya, rekod penglibatan aku di peringkat antarabangsa diambil kerana diperlukan untuk penarafan (ranking) IPGM.

Barangkali kesukaran sebegini turut dialami oleh calon pewakilan lain hingga tidak ramai wakil Malaysia hadir. Sedangkan seminar anjuran Persatuan Penulis Thailand dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan Thailand pada 16 – 18 Februari 2009 bertempat di Lee Gardens Plaza, Hat Yai, itu membincangkan karya kesusasteraan Malaysia, bukan karya kesusasteraan Thailand sahaja. Hanya S.M. Zakir, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, Nassury Ibrahim, Saifulizam Yahya, Mohd. Amran Daud, Muhammad Lutfi Ishak, Nazmi Yaakob (wakil Berita Harian) dan Camar Putih (wakil Brunei Darussalam) yang datang. Memang agak memalukan kerana ramai penulis Thailand yang datang. Mereka bersemangat untuk mendekati karya dan sasterawan Malaysia. Setakat ini, sastera Malaysia hanya dikenali oleh segelintir penulis Melayu dari selatan Thailand sahaja.

Saya teringat kata-kata Wadina Tehlong, pensyarah di Prince of Songkla University Campus Hat Yai. Katanya, tanah Thailand sangat dekat dengan tanah Malaysia, namun kesusasterawan Melayu di Thailand lebih jauh daripada kesusasterawan Indonesia.

Sasterawan dan masyarakat Thailand hanya mengenali SN Shahnon Ahmad kerana karya beliau diterjemahkan ke bahasa Thai. Pemindahan karya Malaysia ke bahasa Thai tidak berlaku pada penulis lain, termasuk para pemenang SEA Write Award.

Menurut sasterawan Thailand, Pramual Maneerote, walaupun terdapat banyak persamaan budaya, namun penulis Thai jarang mengenali penulis Malaysia kerana tiada hubungan mesra dari segi terjemahan karya.

Justeru, usaha yang digerakkan oleh PENA melalui Biro Penulis Muda, khususnya S. M. Zakir diharapkan dapat mengeratkan hubungan kalangan penulis Thai-Malaysia, lebih-lebih lagi dengan adanya usaha menterjemah karya sasterawan Malaysia ke bahasa Thai dan karya sasterawan Thailand ke bahasa Melayu. Semoga usaha PENA itu diberkati Tuhan.

Sabtu, 14 Februari 2009

Bicara Teori Takmilah: Teori Kritikan Sastera Malaysia Mandiri


Dalam sajak ‘Jiwa Hamba,’ Usman Awang mencatatkan begini;

Termenung seketika sunyi sejenak
kosong di jiwa tiada penghuni
hidup terasa diperbudak-budak
hanya suara melambung tinggi
berpusing roda beralihlah masa
berbagai neka hidup di bumi
selagi hidup berjiwa hamba
pasti tetap terjajah abadi
kalau hidup ingin merdeka
tiada tercapai hanya berkata
ke muka maju sekata maju kita
melemparkan jauh jiwa hamba
Ingatkan kembali kata sakti,
dari bahang kesedaran berapi
di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka’

Sajak ini menyeru masyarakat Melayu Malaysia agar membebaskan jiwanya. Kata Usman Awang, “hidup terasa diperbudak-budak / hanya suara melambung tinggi,” sedang suara itu tidak langsung mendapat perhatian pihak yang berkenaan. Hal ini disebabkan ‘jiwa hamba’ yang menebali diri. Kata Usman Awang lagi, selagi kita berjiwa hamba maka hidup kita akan terus dijajah. Justeru, beliau menyeru agar orang-orang Melayu bangkit daripada kesilapan masa lampau, yang dalam sajak ini, ditandai dengan kejatuhan Kota Melaka. Seruan Usman Awang itu merupakan usaha mengembalikan kedaulatan dan kesakralan bangsa. Kedaulatan dan kesakralan itu tentunya mengambil contoh kegemilangan yang pernah dicapai pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun sajak Usman Awang itu tidak terlihat nada keislamannya, namun seruan Usman Awang itu menjadi tuntutan agama Islam. Dalam surah Ar-Ra’ad ayat 11 Allah menegaskan bahawa Dia tidak mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya.

Apabila Usman Awang menyeru orang-orang Melayu agar membebaskan jiwa daripada belenggu penjajahan bererti beliau mengajak orang-orang Melayu agar membuang jauh sikap dan paradigma yang menyekat kemajuan diri. Jika seruan itu disedari pembaca, diikut dan diteladani, maka seruan itu telah mendatangkan kebijakan atau hikmah yang membijaksanakan. Individu berkenaan akan merasai betapa nikmatnya kemerdekaan jiwa, sebagaimana diwarwarkan oleh Malaysia menjelang sambutan 50 tahun kemerdekaan. Idealisme sajak ini bermula daripada kesedaran jiwa Usman Awang yang diterapkan ke dalam karya untuk dikongsi dan diteladani oleh pembaca.

PM Arbak, Nafie Mat, Nassury Ibrahim, Pengerusi, Dr Abu Hassan dan Dr Indirawati

Ada dua sebab yang menjentik sensitiviti penyair mencipta karya [Maniyamin bin Haji Ibrahim, 2005]. Pertama ialah kesedaran jiwa halus penyair. Kesedaran itu lahir mungkin disebabkan kesan daripada renungan penyair terhadap sesuatu. Penciptaan sajak ‘Jiwa Hamba’ karya Usman Awang itu saya yakin adalah kesan daripada renungan penyair terhadap nasib dan masa depan bangsanya. Hal demikian juga terlihat dalam kebanyakan sajak-sajak penyair Malaysia dan Indonesia seperti Muhammad Haji Salleh, Suhaimi Haji Muhammad, Zurinah Hassan, T. Alias Taib, Lim Swee Tin, Amir Hamzah, Chairil Anwar, Hamid Jabar, Aldian Arifin, dan lain-lain. Kedua ialah cetusan daripada sesuatu peristiwa yang mengesankan. Antara penyair yang gemar dan kental bersajak kesan daripada peristiwa tertentu ialah Usman Awang, Dinsman, Rendra, dan Taufik Ismail. Peristiwa-peristiwa yang menyentuh perasaan itu sama ada terjadi pada diri sendiri atau orang lain. Lebih-lebih lagi peristiwa yang bersifat kemanusiaan seperti kekejaman, penderitaan, penindasan atau malapetaka alam. Peristiwa gerakan mahasiswa di beberapa buah universiti di Indonesia pada tahun 1960-an bangun menuntut keadilan pemerintah misalnya, menjadi bahan persajakan Taufik Ismail, sebagaimana sajak-sajak dalam Tirani dan Benteng, yang sangat historis. Demikian juga citra baik dan buruk pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia dapat dikesan dalam sajak-sajak Dinsman.

Peristiwa ombak besar Tsunami yang melanda Aceh telah dirakamkan dalam puisi dan prosa kerana peristiwa itu sangat menyayat rasa hati. Namun begitu, dalam TT bukan peristiwa itu yang penting, betapa besar atau penting sekali pun peristiwa itu. Yang menjadi tuntutan TT ialah apakah kesan peristiwa yang dipersajakan itu dapat membangkitkan kesedaran atau memberi hikmah kepada penyair dan kemudian dipersajakan untuk membangkitkan hikmah kepada pembaca. Hal ini bererti bahawa berhikmah atau tidak berhikmah sesuatu peristiwa yang digarap ke dalam sajak adalah bergantung pada cara dan persepsi penyair mengolahnya.


Antara penyair yang tersentuh perasaannya kesan tragedi ombak besar Tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 itu ialah L.K. Ara. Perhatikan sajak beliau yang berjudul ‘Wahai Tuhan’ yang dimuatkan dalam antologi Ziarah Ombak di bawah ini.

Wahai Tuhan
tak ada lagi yang kami punya
semua milikmu
telah kau ambil kembali
yang tinggal hanya
sepotong tubuh
yang rapuh
dan suka mengeluh.
Sajak ini mendedahkan rasa sedih yang amat yang dirasai oleh mangsa Tsunami. Semuanya habis ditelan Tsunami, kecuali aku lirik yang kini berada dalam keadaan putus asa atau kesal atau kecewa dengan malapetaka itu. Dari persepsi TT, sajak ini tidak memberi kesedaran kepada jiwa pembaca. Tidak terlihat usaha pengarang mencari hikmah di sebalik peristiwa ombak besar tsunami itu sebagai teladan hidup dirinya dan seterusnya diserapkan kepada pembaca. Penonjolan aspek diri yang suka mengeluh itu bertentangan dengan prinsip TT iaitu sastera yang bersifat takamul, prinsip sastera bercirikan estetik dan bersifat Takmilah, dan prinsip pengkarya mengistimalkan diri. Ajaran agama Islam sendiri melarang umat-Nya putus asa atau berkeluh-kesah. Saya fikir, jika baris akhir sajak itu ditambah, misalnya ‘Ya, Allah / Kau berilah petunjuk,’ akan mendekatkan sajak ini dengan TT. Hal ini berbeza dengan sajak beliau berjudul ‘Saat Hening,’ juga termuat dalam antologi Ziarah Ombak, dan sajaknya juga berkenaan ombak besar Tsunami, sebagaimana di bawah ini.
Setelah gempa
setelah gelombang tsunami
tinggal puing
inilah saat hening
sujud kepada-Mu.

Melalui baris ‘sujud kepada-Mu’ terlihat prinsip pengkarya seharusnya mengistimalkaqn diri. Baris itu juga membuktikan wujudnya kesedaran Tauhid, dan hikmah yang membijaksanakan, yang dapat dikongsi bersama dengan pembaca. Penyair tidak menggambarkan sikap mengeluh dan putus asa, sebaliknya penyair menyeru pembaca melalui hasil karyanya agar mendekatkan diri dengan Tuhan. Kegembiraan dan kedukacitaan merupakan ujian tuhan. Dalam Islam, orang yang gemar berfikir dan sentiasa ambil ikhtibar daripada rasa kegembiraan dan kedukacitaan dianggap sebagai orang yang sempurna akalnya. Salah satu peristiwa yang menghikmahkan itu ialah tragedi ombak besar tsunami.

NASSURY IBRAHIM
Sedutan Kertas kerja Seminar Hubungan Melayu Serantau: Malaysia – Sumatera anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Universitas Sumatera Utara (USU), di Medan pada 24 – 26 Ogos 2007. Hubungi penulis jika memerlukannya.

Keterbalikan Versi Derhaka


Tarik imuniti tidak derhaka
Tubuh Mahkamah Khas tidak derhaka
Sumpah 'nantang' tidak derhaka
Tabal raja baru pun tidak derhaka
Saman raja belum tentu derhaka
Sembah derhaka itulah derhaka.

(*Sembah derhaka ialah bahasa istana yang bermaksud memohon izin tidak mentaati perintah raja. Contohnya, raja memerintah membunuh seseorang. Kita boleh sembah derhaka untuk tidak membunuh orang berkenaan.)

Biologi Melayu Pulau Mutiara

Dulu tinggal di depan pulau
Sekarang tinggal di balik pulau
Esok tinggal di bawah pulau
Lusa tinggal kenangan pulau.

NASSURY IBRAHIM
14 Februari 2009

Pantun Melayu Pulau Mutiara

Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja;
Kalau terkenang zaman dahulu,
Pipi berlinang air mata.

Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja;
Bila terkenang zaman dahulu,
Air mata jatuh ke riba.


Pantun ini sering diucapkan oleh orang Melayu Pulau Pinang yang sedar akan nasib bangsanya. Namun, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana nasi telah menjadi bubur.

Khamis, 12 Februari 2009

Mengenang SN. S. Othman Kelantan

Kata Baha, mati itu perpindahan
maka tuan pun berpindah
berpindah dari alam jasa ke alam nikmat

telah tuan pugar jasa mengorangkan rakyat
telah tuan siram usaha merakyatkan sastera
pohon-pohonannya tumbuh di serata menara

kini tuan menikmati jasa dari orang rakyat
orang rakyat yang tumbuh subur
gizi cinta dan minda sastera

kata Baha, mati itu perpindahan
perpindahan dari alam jasa ke alam minda
pohon-pohonannya tumbuh subur di serata menara
kami generasi berdaulat.

NASSURY IBRAHIM
1 September 2008

Hubungan Bahasa dengan Budaya


Hubungan bahasa dengan masyarakat adalah saling melengkapi. Bahasa memerlukan masyarakat untuk terus hidup dan masyarakat memerlukan bahasa untuk melicinkan urusan hidupnya. Tanpa pengguna, bahasa akan mati sebagaimana bahasa Sanskrit, atau nazak sebagaimana tulisan Jawi. Daripada hubungan timbal-balik (saling melengkapi) ini akan membentuk satu budaya. Orang Thai mengucapkan sawatdi kha / sawatdi khap sambil menyusun kedua tapak tangan ke dada dan menundukkan kepala. Orang Melayu mengucapkan selamat datang / Assalamualaikum sambil menghulurkan tangan dan bersalam. Manakala orang Inggeris mengucapkan welcame sambil mengangkat topi.

Ucapan dan perlakuan sedemikian melambangkan sifat, kesantunan dan budaya yang diterima dan diamalkan dalam masyarakat berkenaan. Jika orang Melayu mengucapkan selamat datang atau assalamualaikum sambil angkat topi, bererti orang Melayu itu sudah hilang jiwa dan akar budaya Melayu. Dalam budaya Melayu tidak ada perlakuan angkat topi. Jika ramai orang Melayu berbuat demikian, alamatnya bahasa dan budaya Melayu akan mati. Hal ini disebabkan bahasa hanya hidup di bibir manusia. Bahasa Melayu hidup di bibir masyarakat Melayu. Demikian, bahasa Thai hidup di bibir masyarakat Thai.

Hubungan timbal-balik bahasa dengan budaya pernah ditegaskan oleh Charlton Laird. Katanya, tanpa bahasa tidak akan ada bangsa, dan tanpa tulisan bangsa berkenaan tidak akan bertamadun. Pendapat Charlton Laird itu merupakan penegasan betapa penting bahasa, tulisan dan budaya bangsa. Pandangan ini juga mendedahkan bahawa peranan bahasa tidak sahaja sebagai alat komunikasi, malahan bahasa berupaya membentuk, merakam, menyampaikan fikiran, perasaan dan budaya bangsa.

Bangsa merupakan penutur dan sekali gus pendakwah bahasanya. Masyarakat dan institusi asing hanyalah sebagai pembantu. Ia bukan faktor utama yang menghidupkan bahasa. Bahasa Inggeris dan peradaban Inggeris-Amerika menjadi penting pada dekad sekarang kerana penggunanya berada di serata dunia. Apabila bahasa Inggeris berkembang dan turut digunakan oleh bangsa lain, maka kepentingan material dan nonmaterial yang berkaitan dengan bahasa dan budaya Inggeris juga turut berkembang. Justeru, novel-novel berbahasa Inggeris senang mendapat pasaran. Hal sebaliknya bagi novel-novel berbahasa Thai atau Melayu. Jikalau hendak dipasarkan juga, maka novel-novel itu mesti diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Menterjemahkan bahasa bukan sekadar memindahkan makna perkataan, sebaliknya turut dipindahkan ialah budaya bangsa pemilik bahasa berkenaan.


NASSURY IBRAHIM

Sedutan Makalah Program Bahasa, Sastera dan Budaya anjuran Faculty of Liberal Arts, Prince of Songkla University, Thailand pada 28 – 31 Januari 2008 di Prince of Songkla University, Hat Yai.

Hilang


Maksud ‘hilang,’ dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), ialah (1) tidak kelihatan lagi, lenyap, tiada lagi, (2) tidak ada lagi sesuatu perasaan, kepercayaan, pertimbangan, (3) tidak dikenang lagi, telah dilupakan, lenyap, (4) tidak dapat dikeluarkan suara, (5) tidak ada atau tidak kedengaran lagi, dan (6) mati, mangkat, atau meninggal. Kamus Lengkap Bahasa Indonesia (KLBI) mencatatkan maksud ‘hilang’ sebagai lenyap, tidak dijumpai lagi. Kesimpulannya, maksud hilang ialah tiada lagi atau lenyap. Maksud lenyap pula ialah hilang sama sekali, tidak kelihatan, tidak ada lagi, musnah (KLBI), (1) tidak kelihatan lagi, ghaib, hilang, (2) lena, nyenyak, dan (3) jatuh hati, kasih (KDEK).

Perihal hilang adalah berkaitan dengan barangan atau benda-benda tidak bernyawa. Kalau bernyawa, perihal hilang berlaku pada binatang kerana binatang tidak berakal dan tidak dapat berfikir. Walau bagaimanapun, hilang juga berlaku pada manusia, terutama yang mengalami masalah mental. Kalau seseorang tiba-tiba hilang, mungkin dia dibunuh, tersesat, bersembunyi, disembunyikan, melarikan diri atau dilarikan. Lazimnya, perbuatan menyembunyikan dan melarikan manusia dilakukan oleh makhluk halus, atau agen penjahat.

Semasa di kampung, pernah satu keluarga kehilangan anak perempuan. Khabarnya, gadis itu dilarikan oleh seorang jejaka seberang. Setelah tiga hari mencari, akhirnya diketahui bahawa gadis dan jejaka itu telah berkahwin. Rupa-rupanya mereka hilang kerana mahu berkahwin. Cekap juga orang kampung merisiknya.

Bukan senang melarikan orang kerana orang mempunyai akal. Dia boleh berfikir dan bertindak. Oleh itu, 'pelari gadis' perlu ada teknik. Jejaka Lombok menggunakan teknik pujuk dan pukau untuk melarikan gadis Malaysia. Khabarnya, pelari gadis di kampung saya itu menggunakan minyak ‘cenuai.’ Sama ada pujuk, pukau atau cenuai, semua itu merupakan teknik dan umpan. Gadis yang dilarikan akan dikahwini. Walau bagaimanapun, tidak semua gadis yang dilarikan atau hilang itu akan dikahwini. Ada juga yang dijual dan diperdagangkan.

Sekitar tahun 2007, kita dikejutkan dengan kehilangan kanak-kanak perempuan bernama Nurin. Heboh seluruh negara. Gambarnya ditampal di sana-sini dan disiarkan di TV berkali-kali. Sayangnya, tidak menemui. Setelah terjumpa, Nurin sudah menjadi mayat. Menyusur Nurin ialah Syalinie, Asmawi dan beberapa orang lagi. Mereka juga tidak dijumpai sampai sekarang. Hidupkah atau matikah tidak siapa tahu. Tidak diketahui sebab kanak-kanak itu dilarikan. Juga, jenis umpan yang digunakan. Yang pasti, polis yang cekap membanteras rusuhan, rupa-rupanya tidak dapat mencari tempat persembunyian mereka.

Ada juga suami kehilangan isteri kerana diumpankan hidup lebih senang atau mewah. Ada juga orang kaya hilang kerana diculik untuk diambil kekayaannya.

Perihal manusia hilang sejak akhir-akhir ini agak aneh. Tidak pernah terbayang akan ada Yang Berhormat (YB) hilang. YB merupakan orang berakal sihat. Mereka cerdik, berpandangan jauh, sabar, dikenali dan amanah. Tidak mudah hilang atau tersesat. Namun, takdir Tuhan mengatasi segalanya. Tiba-tiba ada YB hilang atau menghilangkan diri, dipelopori YB Jamaluddin Mohd Radzi dan YB Mohd Osman Mohd Jailu. Heboh media dan partainya mengatakan dua orang YB itu hilang dan tidak dapat dihubungi. Polis tidak dapat menemuinya dan partainya pun tidak dapat menemuinya juga. Ke manakah mereka menghilang? Atau, siapakah yang menghilangkannya tidak diketahui. Mungkin makhluk halus atau jin atau syaitan. Makhluk itu mesti hebat. Atau umpannya hebat. Mereka hilang bukan mahu berkahwin. Atau tersesat atau 'dibunuh.' Dikatakan hebat kerana kedua-dua YB ini lelaki, berelaun besar, dikenali dan pemimpin besar negeri. Salah seorang ada pengalaman tentera. Oleh sebab itu, tidak ada orang mencarinya. Mereka berharap, kedua-duanya akan kembali sendiri. Tidak ada orang yang menyibukkan diri mencarinya. Yang disibukan ialah mencari penggantinya.

Sebagai rakyat biasa, saya rasa bimbang dengan musibah ini. Bimbang keselamatan diri saya dan keluarga. Kalau dulu, orang kampung atau budak-budak yang hilang. Kini, orang besar bergelar YB, pemimpin kepada rakyat dan terhormat juga boleh hilang. Polis tidak dapat kesan. Dan, kehilangan YB makin menjadi-jadi. Mula-mula dua YB di Perak hilang. Kemudian, seorang YB di Kedah hilang. Semalam, ada pula berita YB Selangor hilang. Semuanya tidak dapat dikesan. Secara kebetulan, mereka hilang berturut-turut dan di negeri pembangkang. Maknanya, pembangkang tidak pandai menjaga YB, dan diri sendiri. Kalau diri sendiri pun tidak dapat dijaga, bagaimana hendak menjaga rakyat? Malanglah saya bertuankan YB sebegini.

Oleh sebab YB sendiri tidak selamat, maka timbul persoalan: Selamatkah saya dan negara saya? Kalau YB boleh hilang dan tidak dapat ditemui, apatah lagi rakyat jelata.

Kalau semalam rakyat hilang dan hari ini YB hilang, esok mungkin giliran menteri pula hilang. Lusa mungkin perdana menteri hilang dan tulat raja pula yang hilang. His! His! His!. Macam negara Korea. Menteri dan Presiden menasihatkan rakyat agar tidak berasuah. Alih-alih, menteri dan Presiden sendiri ditangkap kerana rasuah. Macam polis dalam cerita Hindustan: dia menjaga rakyat agar tidak jadi jahat, alih-alih dia sendiri yang jahat. Demikian negara kita. YB menjaga kita agar tidak hilang atau menghilangkan diri, rupa-rupanya YB sendiri hilang dan menghilangkan diri. Apa pasal YB menghilangkan diri? Ingin berkahwinkah? Atau apa?

Kalau YB boleh dilarikan oleh seseorang, tentu orang yang melarikan YB itu hebat. Dan, kalau YB sendiri tidak selamat, bermakna kehidupan rakyat jelata lagi tidak selamat. Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama bertindak menyelamatkan negara daripada anasir durjana.

Rabu, 11 Februari 2009

Khidmat Bahasaku

Telah lama bahasaku berkhidmat
dari Tun Sri Lanang bahasaku pena minda
mencanai merakam sejarah kemajuan bangsa
dari Sultan Ternate bahasaku menjambatani negara
berniaga dari Mama Portugis ke Pulau Ryukyu
di tanah merdeka bahasaku tali perpaduan
mengikat kejap warga dari empat penjuru alam

inilah bahasaku,
liuk lenggoknya mesra penutur
pada Cina berkata Melayukecinaan
pada india berkata Melayukeindiaan
pada Inggeris berkata Melayukeinggerisan
tak tersesat jalan pada pemahaman
tak terkandas niat pada kehajatan
tak terhakis maksud pada kesampaian

inilah bahasaku
bahasa mencanai minda menggerak usaha
di bidang niaga bahasaku madah
‘alah membeli menang memakai’
di bidang diplomatik bahasaku pesan
‘akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba’
di bidang perubatan bahasaku rawat
‘bagai ayam dimakan tungau’
di bidang fizik bahasaku tafsir
‘bagai balak terendam’
di bidang biologi bahasaku waris
‘bapa borek anak rintik’
di bidang pertanian bahasaku pedoman
‘di mana batang terguling, di situlah cendawan tumbuh’
di bidang kimia bahasaku uji
‘dikati sama berat, diuji sama merah’
di bidang astronomi bahasaku sindir
‘kuman di seberang lautan tampak,
gajah di pelupuk mata tiada tampak’
di bidang tentera bahasaku siasah
‘tipu Aceh, gurindam barus’
di bidang logik bahasaku kias
‘rantai besi dimakan bubuk’
di bidang tadbir bahasaku hukum
‘patah kemudi perahu hanyut’
inilah bahasaku
bahasa rumah segala ilmu

telah lama bahasaku berkhidmat
hari ini ia masih berkhidmat
dari generasi ke generasi
bahasaku berkhidmat dan berkhidmat
kerana ia percaya;
“hidup bahasa pada penuturnya”
“maju penutur pada bahasanya”

Berkhidmatlah wahai bahasaku
betapa dibencini para dedatikus
atau dimusuhi korporat rakus
kerana
“tiada bahasa tiadalah bangsa”
“bahasa mencerminkan bangsa.”

Pulau Pinang

P/s Dedatikus = dedalu + politikus (politikus dedalu)

Hanya Selangkah Lagi

Ramai warga Kepezi dan peserta bengkel penulisan anjuran BPSK–DBP dengan cerpen masing-masing yang sampai ke peringkat disenarai pendek. Selangkah lagi pasti membawa kaki naik ke pentas menerima pengiktirafan atas kekreatifan yang dijana. Senarai ini diambil dari Dari Satu Tikungan Lorong himpunan karya cerpen dan puisi serta rencana sastera pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007 dan himpunan karya remaja diambil dari Wira Mandala Hijau, Senarai cerpen, puisi dan cerpen remaja ialah dari 20 yang sudah disenarai pendekkan. sembilan daripadanya diangkat naik ke podium. Kategori cerpen yang disenarai pendek ialah cerpen Gurkha karya Nassury Ibrahim, cerpen Al-Qadr Buat Angkasawan di Bumi karya Ibnu Ahmad Al Kurauwi, Petala Rengsa Dalam Dada karya Mawar Shafei, Sayap karya Rozais Al-Anamy, dan Ustaz karya Amiza Khusryi Yusuf.
ZAHARAH NAWAWI
22 Jun 2008

Tahniah Nassury

Dimulai dengan cerpen Nassury Ibrahim berjudul "Suara Hantu" dalam Dewan Sastera Januari 2009. Nassury penyair terbilang mulai beralih ke arah genre cerpen. Biarpun kehadirannya dalam bengkel Penulisan Cerpen anjuran BPSK-DBP yang diadakan pada 21-23 Julai 2006 di Langkasuka Beach Resort Langkawi Kedah saya anggap hanya sebagai tempelan -- tiada nama dalam senarai peserta kerana beliau hadir hanya selaku pengiring kepada beberapa pelajar dari Maktab Perguruan tempatnya bertugas; serta cerpen yang disorong ke mata saya melalui urus setia bengkel tidak boleh dinamai cerpen kerana buruknya penulisan tersebut sehingga saya naik jelik dan malas memperkatakannya, namun selepas bengkel berlalu, bertalu-talu Nassury menghantar cerpen kepada saya yang akhirnya membawa kepada penyiaran demi penyiaran cerpen-cerpennya di media arus perdana. Dan sewaktu bengkel penulisan cerpen diadakan di Kelantan pada 27-29 November 2008 Nassury yang sudah pindah tempat bertugas di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, hadir sekali lagi (Peserta yang datang berulang kata Puan Zalila apabila melihat Sdr Nassury dan Nasriah berada dalam kelas). Kali ini Nassury membawa karya hebat sekali, satira tentang pergolakan politik negara menerusi cerpen berjudul Rumah Pusaka. Tahniah Nassury. Saudara ialah antara peserta bengkel yang pernah saya lihat tidak lagi menoleh ke belakang selepas memulakan langkah pertama. Teruskan langkah bergaya saudara itu.

ZAHARAH NAWAWI
6 Januari 2009

Isnin, 9 Februari 2009

Saman Raja


Apabila raja boleh disaman, bererti, dalam hal saman-menyaman ini, taraf raja menyamai taraf orang biasa. Penyamaan taraf ini tentu tidak diingini oleh orang Melayu tulen, lebih-lebih lagi kaum kerabat raja dan raja sendiri. Perbuatan ini, menyaman raja, telah terjadi, bakal terjadi dan terbaharu kemungkinan terpaksa dihadapi oleh Sultan Perak. Pakatan Politik Pembangkang melalui kenyataan Ahli Parlimen Gelugor bercadang menyaman Sultan Perak. Natijahnya, orang-orang Melayu dan bukan Melayu (terutama penyokong Barisan Nasional) menuduh Karpal Singh sebagai 'menderhaka' Sultan Perak. Sesetengahnya, mendesak agar Karpal Singh ditangkap atau dilucutkan warganegara. Desakkan itu memang wajar dan sebagai tanda peringatan kepada yang lain. Namun begitu, pada fikiran saya, desakan itu juga merupakan satu penderhakaan, iaitu ‘menderhaka’ undang-undang yang ada di Malaysia.

Sebelum ini, melalui laporan akhbar, Sultan Pahang telah disaman oleh seorang warganegara Singapura. Anehnya, tidak ada mana-mana pihak menentang saman itu atau membela Sultan Pahang atau menuduh penyamannya sebagai 'menderhaka.' Mengapakah berlaku sikap pilih kasih ini? Rakyat Pahang sendiri tidak berusaha membela Sultan Pahang. Tetapi sekarang, seluruh rakyat dari serata negeri membela Sultan Perak. Tentunya, kesedaran ini bagus.

Sebelum tahun 1990-an, raja-raja di Malaysia mempunyai kuasa imuniti, kebal dan tidak boleh disaman oleh sesiapa, baik warganegara Malaysia mahupun bukan warganegara Malaysia. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 14 Pasal 181 Pengecualian Bagi Kedaulatan Raja-Raja DSB, mencatatkan; Pasal 181. (1) Tertakhluk kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidangkuasa Raja-Raja dan hak kedaulatan, kuasa dan bidangkuasa Pemebesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan dalam wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga sekarang adalah tetap tidak tersentuh. Dan, Pasal 181 (2) Tiada apa-apa pembicaraan boleh dibawa dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja bagi sesuatu Negeri atas sifat dirinya sendiri.

Kini, Pasal 181 (2) di atas telah berubah. Mengapakah berlaku perubahan ini? Siapakah orang hebat yang menarik imuniti raja-raja Melayu, dari kebal undang-undang menjadi tidak kebal undang-undang, dari tidak boleh disaman berubah menjadi boleh disaman, dari dihormati berubah kepada tidak dihormati? Dalam sejarah tercatat bahawa kumpulan hebat itu bernama Mahathir dan Barisan Nasional. Ia berlaku sekitar tahun 1990-an. Merekalah yang membuang kuasa imuniti raja-raja, hingga sesiapa sahaja berani menyaman raja atau memanggil raja sebagai 'nantang' (binatang).

Semasa dalam proses membuang kekebalan raja, tidak ada secebis berita bagus tentang raja dilaporkan. Ada yang mendesak sesetengah raja agar turun takhta. Malah, ada yang melantik individu lain sebagai raja di negerinya. Anehnya, mereka tidak dianggap sebagai menderhaka. Sebaliknya, kelantangan ‘menelanjang’ imej raja dibalas dengan jawatan-jawatan penting. Hasilnya, diluluskan Bahagian 15 Mahkamah Khas untuk raja-raja dan penambahan dalam Pasal 181 (2) Tiada apa-apa pembicaraan boleh dibawa dalam mana-mana mahkamah terhadap
Raja bagi sesuatu Negeri atas sifat dirinya sendiri kecuali dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15.

Perbuatan Karpal Singh (dan Pakatan Politik Pembangkang) menyaman Sultan Perak adalah berpunca daripada ‘ruang yang dibuka’ oleh Mahathir dan Barisan Nasional. Kalau perbuatan Karpal Singh itu boleh dianggap menderhaka, maka kumpulan penambah Pasal 181 (2) dan pembina Bahagian 15 dalam Perlembagaan Persekutuan yang membuka laluan kepada sesiapa sahaja boleh menyaman raja adalah puncanya. Merekalah sebenarnya 'Bapa Penderhaka' kepada raja-raja di Malaysia. Rakyat hanya menjadi pengikut dan pengguna undang-undang. Justeru, kalau benar kumpulan yang membantah Karpal Singh menyaman raja, mereka sepatutnya menyaran kepada kerajaan agar Bahagian 14 kembali kepada asal dan buang Bahagian 15 dalam Perlembagaan Persekutuan. Kalau tidak, akan ramai lagi raja-raja akan disaman.

Benarkah Karpal Menderhaka?


Laporan Utusan Malaysia 9 Februari 2009 terdapat 34 laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak terhadap Karpal Singh kerana 'menderhakai' Sultan Perak. Soalnya, apakah betul Karpal Singh 'menderhakai' Sultan Perak? Siapakah Karpal Singh? Setahu saya, Karpal Singh bukan rakyat negeri Perak, dilahirkan di Perak atau bermastautin di Perak. Oleh sebab semuanya bukan di bawah kekuasaan Perak, apakah Sultan Perak itu penaung (raja) kepada Karpal Singh?

Karpal Singh bermastautin di Pulau Pinang dan menjadi Ahli Parlimen Bukit Gelugor. Bukit Gelugor terletak di Pulau Pinang. Sultan Perak pula bukan sultan yang berkuasa atau mentadbir negeri Pulau Pinang. Tiada dokumen yang mengatakan bahawa Sultan Perak berkuasa di Pulau Pinang. Sultan Perak bukan raja bagi rakyat Pulau Pinang. Memang Pulau Pinang tidak mempunyai raja. Dan, Baginda tetap bukan raja bagi negeri Pulau Pinang.

Apakah boleh mana-mana sultan berkuasa di negeri lain? Misalnya, bolehkah sultan Perak berkuasa di Pulau Pinang atau mana-mana negeri di Malaysia? Pada saya, tidak. Sejak Francis Light lagi, negeri Pulau Pinang tiada raja dan kerajaan Malaysia tidak berusaha melantik seseorang (misalnya, kerabat diraja Kedah) sebagai Sultan di Pulau Pinang. Kekallah Pulau Pinang sebagai negeri tidak beraja.

Raja Yang berkuasa di semua negeri di Malaysia ialah Yang Di Pertuan Agong. Sultan Perak bukan Yang Di Pertuan Agong. Baginda bekas Yang Di Pertuan Agong. Yang Di Pertuan Agong sekarang ialah Sultan Terengganu. Oleh sebab tiada raja, maka kerajaan melantik Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Kuasanya hampir menyamai kuasa raja, tetapi bukan daripada kerabat raja dan tidak boleh membahasakan dirinya sebagai beta. Namun, Yang di-Pertua Negeri boleh hadir bermesyuarat bersama raja-raja. Karpal Singh tidak menderhakai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Beliau juga tidak menderhakai Yang Di Pertuan Agong. Oleh itu, beliau tidak menderhakai sesiapa.

Berasaskan hujah itu, saya berpendapat, tuduhan 34 laporan polis bahawa Karpal Singh 'menderhakai' Sultan Perak adalah tidak benar dan mengarut. Bolehkah kita menuduh Halimah (warganegara Malaysia) menderhakai Sultan Brunei Darussalam? Bagi mereka yang berilmu (bukan bernafsu) berhujahlah menentang tesis ini agar saya tidak kekal keliru atau sesat tafsiran.

Ahad, 8 Februari 2009

Tuan Besar Bos @ Kursus

HABIS Majlis Penutup Mesyuarat Gubal Kurikulum, aku cepat-cepat berjumpa Tuan Besar Urus Setia, bermohon diri. Tuan Besar Urus Setia mengajak aku makan sebelum berangkat. Aku menolak dengan hormat. Kataku, “saya perlu segera ke Kota Star.”

“Ada apa di sana?” tanya Tuan Besar Urus Setia. Tangannya masih menggeggam salamku. Senyum matanya bertentang dengan santun mataku.

“Ada kursus lagi,” kataku bersungguh-sungguh sambil mengangguk. “Kawan telefon beritahu. Daftar masuk pagi tadi.”

“Ooo …” kata Tuan Besar Urus Setia. “Nampaknya Encik belum pandai lagi,” sambung Tuan Besar Urus Setia. Terasa sekali nada guraunya.

Aku tersenyum mendengar kata-kata Tuan Besar Urus Setia itu, dan berkata, “Ya, begitulah nampaknya.” Aku bungkus kata-kataku itu dalam senyum wajah dan gurau nada.

Tuan Besar Urus Setia mengangguk-angguk dan ketawa mendengarnya. Aku juga turut ketawa, kerana faham akan gurauan masing-masing.

“Saya pun begitu juga,” terdengar nada Tuan Besar urus Setia agak sayu sedikit. “Asyik berkursus. Balik tukar bag saja. Tough and go. Anak-anak entah macam mana!” ujar Tuan Besar Urus Setia, dalam sayu nada. Senyum wajahnya nampak sedikit masam.

Aku terdiam seketika. Aku fikir Tuan Besar Urus Setia tidak merunggut dengan kerja. Rupa-rupanya, sangkaanku salah. Mungkin Tuan Besar Urus Setia terkenang akan anak-anaknya yang tidak terbela. Almaklumlah, tugas Tuan Besar Urus Setia asyik keluar memberi kursus, mendidik rakan-rakan sekerja agar pandai, sedang anak sendiri, entahlah!

“Kita menurut perintah,” ujarku memujuk, tanpa pasti adakah kata-kata itu dituju kepada Tuan Besar Urus Setia atau kepada aku sendiri.

“Ya, kerana menurut perintah. Hati-hati memandu,” balas Tuan Besar Urus Setia. Wajahnya kembali ceria.

Waktu aku melangkah keluar dari hotel, matahari bulat tegak di atas kepala. Bahangnya menerkam dan mencakar muka. Aku biarkan saja. Memang fiil matahari begitu. Tidak berkuasa aku melawannya. Tetamu semesyuarat juga tidak ramai kelihatan. Hanya Jali dan Mail saja, kelihatan tergesa-gesa mengheret bag ke parkir kereta. Mungkin yang lain sedang berbahagia di meja makan.

“Balik ke mana?” jeritku.

“Terengganu. Tak mahu sampai malam,” ujar Jali apabila aku bertanya arah tujunya. Kami pun bergerak menuju ke haluan masing-masing.

Sampai di petengahan jalan aku berhenti kerana teringat belum menelefon isteri. Aku beritahu bahawa aku tidak pulang seperti dijanjikan. Kataku, “Kena sambung Kursus Intell-Pedagogi pula.”

“Tak habis-habis kursus. Tak pandai lagi ke?” sindir isteriku. “Itu budak-budak (maksudnya, pelatih ) siapa nak ajar?” katanya lagi.

Aku membalas tegas, “Ilmu sentiasa di depan. Mesti dikejar. Tidak seperti Bahasa Melayu. Semakin ke belakang,” walaupun otak terasa letih.

Perjalanan 170 KM dapat aku habiskan dalam masa satu setengah jam saja. Memang perjalananku kali ini tidak selesa. Pertama, aku perlu sampai segera mungkin. Kedua, kata-kata Tuan Besar Urus Setia masih terngiang-ngiang. Entah ikhlas entah sindiran. Mungkin juga berkongsi pengalaman. Ketiga, sindiran isteriku. Ya, siapakah yang berkursus, pensyarah atau pelatih? Entahlah. Aku hanya menurut perintah saja.

Tepat jam 2. 45 minit aku sampai di Kota Star. Setelah mendaftar masuk hotel dan mandi, aku segera ke Dewan Kursus. Aku lihat para peserta begitu asyik melayari internet, mencari dan muat turun maklumat. Di depan kelihatan rakan sejawatku, Tuan Fasilitator, sedang asyik menunjuk cara. Aku menyapa dengan senyuman sambil mengangguk. Tuan Fasilitator membalas, juga dengan senyuman dan anggukkan.

Tanpa berlengah aku terus memasang laptop jabatan yang baru seminggu aku terima. Aku klik ikon internet, gagal. Klik lagi, gagal. Aku klik dua kali, pun gagal juga. Klik lagi, dan lagi, dan lagi, dan lagi .... Semuanya gagal. Aku panggil Tuan Fasilitator bertanyakan sebab kegagalan itu. Tuan Fasilitator cuba klik, namun gagal. Kemudian, Tuan Fasilitator klik di situ klik di sini klik di situ klik di sini .... “La ... “ kata Tuan Fasilitator tiba-tiba sambil menepuk dahinya.

“Kenapa?” tanyaku.

“Format tak habis. Sebab ‘tu tak dapat,” tegas Tuan Fasilitator. “Ni gara-gara niaga nak cepat kaya le ni!” tegas Tuan fasilitator lagi, seakan-akan menyindir, tetapi entah kepada siapa.

“Habis tu, macam mana nak buat kerja?” aku merunggut.

“Macam mana, tumpang kawan le.” Balas Tuan Fasilitator. “Balik nanti, hantar ke Jabatan Teknologi. Nanti aku panggil pembekal format bagi habis,” saran Tuan Fasilitator.

Tiba-tiba daun pintu terkuak. Masuk Tuan Besar Bos, terus ke tempat urus setia di belakang. Sepuluh minit kemudian, Tuan Besar Bos memanggil aku.

“Pagi tadi tak ada. Pergi ke mana?” tanya Tuan Besar Bos.

Aku terkejut mendengar pertanyaan Tuan Besar Bos itu. Hatiku terasa pilu. Dalam hati aku berkata-kata sendirian, ‘Dia yang arah kita keluar, ditanya pulak!’

Aku menahan rasa pilu dan menjawab lembut, “Bukankah Tuan Besar Bos mengarahkan saya ke Mesyuarat Gubal Kurikulum? Sudah seminggu saya di sana. Baru habis tengah hari tadi,” tegasku.

“Eh, iya ke?” berkerut dahi Tuan Besar Bos mendengarnya. “Lupa pula saya. Maklumlah, banyak sangat kursus. Belum habis satu kursus dah sampai arahan baru. Pergi ke kursus ini, pergi ke kursus itu,” runggut Tuan Besar Bos. Aku diam sahaja.

Setelah berbasa-basi, aku meninggalkan Tuan Besar Bos. Tiba-tiba Nokiaku berbunyi. Aku cepat-cepat menekan butang dan menyahutnya.

“Encik. Surat dari Bos Tuan Besar Bos arah Encik pergi berkursus di Ipoh, lusa.”

“Hah, kursus lagi!” Tiba-tiba terasa lututku lemah, mata berbinar-binar dan ....

NASSURY IBRAHIM
Julai 2007

Nikmat Sajak

Anda tidak akan tahu nikmat sajak kalau anda tidak membaca sajak. Anda tidak akan tahu nikmat sajak selagi anda tidak menulis sajak. Anda juga tidak akan tahu nikmat sajak jikalau anda tidak mengkritik sajak. Berdasarkan pengalaman, saya dapati ada tahap-tahap kenikmatan antara tiga pihak tersebut. Nikmat yang dirasai oleh pembaca adalah berbeza dengan nikmat yang dirasai oleh pengarang. Demikian nikmat yang dirasai oleh pengarang adalah berbeza dengan nikmat yang dirasai oleh pengkritik.

Nikmat pembaca ialah nilai keseronokan. Nikmat pengarang ialah nilai kepuasan. Manakala nikmat pengkritik ialah nilai pemikiran. Pembaca akan terus membaca sekiranya karya itu menyeronokkan. Pengarang akan rasa puas apabila berhasil menyiapkan karya. Pengkritik pula akan menyelongkar dan membongkar sekiranya karya itu ada nilai estetika. Nilai estetika karya meliputi bahasa, pemikiran, moral, fungsi dan bentuk, Oleh sebab itu, saya berpendapat, sajak bukan sekadar mengungkapkan fikiran cantik, sebagaimana pendapat Za’ba. Sajak bukan sekadar mencipta kata-kata terbaik dalam bentuk terbaik, sebagaimana pendapat S. T. Coleridge. Dan, sajak juga bukan sekadar menerbitkan makna asal dan makna tambahan, sebagaimana pendapat Rahman Shaari.

Telah dinyatakan di atas bahawa tiga golongan yang menikmati sajak. Antara tiga golongan itu, pengarang merupakan golongan paling berjaya, bernafsu besar dan sekali gus golongan paling malang. Saya menganggapkan pengarang sebagai paling berjaya kerana mereka merupakan ‘pencipta.’ Walaupun kerajaan menganggap para sasterawan dan bahasawan sebagai “antara golongan tidak berguna,” pada hemat saya, mereka jauh lebih berguna daripada sebilangan graduan Sains, Matematik dan Teknologi atau ahli politikus. Graduan ini yang tidak mempunyai makmal dan berkhidmat sebagai penyampai atau menggunakan ilmu semata-mata adalah sama taraf dengan warga Indonesia yang datang berkhidmat sebagai buruh binaan di Malaysia. Mereka tidak mencipta. Mereka sekadar mengguna ilmu sahaja. Pengarang sentiasa mencipta (berkarya). Hasil ciptaannya (karya) adalah tidak sama, walaupun mereka mencipta 100 sajak. Oleh sebab itu, pengarang merupakan seorang sainstis dalam bidang Sains Sosial. Sebagai pengarang, mereka selalu meneroka, menyelidik dan menyediakan diri tanpa diminta. Hal ini saya rakam dalam sajak di bawah.

Menulis Sajak (ii)

Betapa asalnya fonem betapa asalnya morfem
puisi tidak pernah menyuruh aku membaca

kerana yang diperlukan oleh puisi
ialah rasa kemanusiaanku

kemanusiaan ada di mana-mana yang aku rasa
kemanusiaan ada di mana-mana yang aku cipta
kemanusiaan ada di mana-mana yang aku jumpa

daripada kalbu aku peroleh kemanusiaan
daripada mata aku peroleh kemanusiaan
daripada telinga aku peroleh kemanusiaan

puisi tidak menyuruh aku membaca
tetapi, untuk menyiapkan sebaris puisi
aku perlu banyak membaca.

28 Mei 2001

Pengarang membaca bukan sekadar untuk menikmati sajak. Pengarang membaca demi untuk memantap dan menyiapkan, walaupun, sebaris sajak. Mereka perlu sentiasa peka dan kritis. Sentiasa memerhati dan mengkaji tabiat masyarakat dan fenomena yang berlaku dalam masyarakat. Sentiasa bijak memanfaatkan pengalaman diri dan pengalaman orang lain. Kemudian, hasil kajian dan pemerhatian akan dilaporkan. Laporan Sainstis dalam bentuk objek maujud atau rumusan data. Laporan pengarang pula dalam bentuk penghasilan karya atau penghasilan konsep karya. Tidakkah konsep espen, mapen, atau cerno / nopen itu merupakan penemuan baharu dalam cereka. Tidakkah lahirnya teori-teori seperti Teori Sastera Islam oleh Shahnon Ahmad, teori Teksdealisme (Mana Sikana), Teori Persuratan Baru (Mohd. Affandi Hassan), Teori Taabudiyyah (Mana Sikana), Teori Puitika Sastera Melayu (Muhammad Haji Salleh), Teori Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang), Teori Takmilah (Shafie Abu Bakar), Teori SPB4L (Mohd Yusof Hassan), Teori Konseptual Kata Kunci (Mohamad Mokhtar Hassan), Teori Rasa Fenomenologi (Sohaimi Abdul Aziz), Teori Adab (Zahir Ahmad), Teori Pembentukan Watak Pradata (Mohd Anuar Ridhwan), Teori Kritikan Melayu (S. Othman Kelantan), Hermeneutik Kerohanian (Salleh Yaapar), Teori Gerak Rasa (Sahlan Mohd. Saman), Teori Semiotik Melayu (Sahlan Mohd. Saman), Teori Neonostalgia (Hashim Ismail) dan lain-lain, merupakan penemuan baharu, sebagaimana ahli Sejarah menemui ‘Perak Man’ atau ahli sainstis menemui konsep atom. Kalau berkarya itu adalah khayalan, apa bezanya konsep atom. Tidakkah penemuan konsep atom juga khayalan? Sebab itu saya mengatakan pengarang merupakan ahli sains (sains sosial) dan golongan paling berjaya. Walau bagaimanapun, pengarang tidak pernah puas dengan hasil ciptaan dan kejayaannya. Mereka sentiasa mahu mencipta dan mahu berjaya. Sifat ini merupakan petanda “nafsu besar pengarang” dan sekali gus merupakan faktor penarik kejayaan seseorang pengarang. Manakala, pengarang sebagai paling malang telah saya rakam dalam sajak “Tukang Sajak” (dalam manuskrip Gelodak Rasa). Gambaran nasib malang pengarang dalam “Tukang Sajak” sekali gus mendedahkan kepakaran pengarang sebagai ahli sains sosial. Pengarang menghadapi keseksaan jiwa untuk melepaskan rasa kemanusiaannya. Pengarang mesti mencari satu cara / kaedah terbaik untuk menyampaikan rasanya sebagaimana ahli sains mencari satu cara / kaedah terbaik untuk menguji hipotesis atau pemasalahan. Pengarang juga menghadapi seksaan jiwa untuk menterjemah rasa ke dalam kata. Walaupun banyak perkataan sama erti dengan rasa hatinya, namun tidak semua perkataan itu sesuai dan tepat. Usman Awang memilih perkataan dan judul “Ke Makam Bonda” untuk mengungkapkan rasa hati terhadap ibunya. Dalam ilmu leksikal bahasa Melayu, istilah ‘bonda’ juga bermaksud ‘ibu,’ ‘mama,’ ‘emak,’ ‘mek,’ dan ‘mami.’ Manakala maksud ‘makam’ sama erti dengan maksud ‘kubur,’ atau ‘pusara.’ Sainstis sajak akan menyelidik setiap perkataan agar nilai semiotika dan nilai nikmatnya gramatis, tepat, berpadanan, dan berestetik dengan maksud rasa yang hendak disampaikan. Tidakkah dalam setiap uji kaji sainstis akan menilai terlebih dahulu setiap sampel agar tidak cacat dan setaraf agar hasil kajian adalah tepat dan sah. Pengarang juga tidak terlepas daripada tanggungjawab sedemikian. Malah, pengarang bertanggungjawab terhadap karya, walaupun pemasalahan rasanya telah sempurna menjadi sajak, sebagaimana gambaran di bawah.

Tukang Sajak

Sebenarnya aku
tidak akan kaya
anugerahpun
tidak akan tiba
selain sengsara
selain derita

setiap kali aku ingin
melepaskan rasa
setiap kali aku ingin
melepaskan kata
setiap kali selepas
rasa dan kata
aku lepaskan.

1994 Watan, 16 April 1995


NASSURY IBRAHIM
04 November 2008,
Pengkalan Chepa, Kelantan.

Sedutan Makalah untuk Majlis Diskusi Karya Wilayah Timur anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur bertempat di Hotel Star Regency, Cameron Highlands, Pahang Darul Makmur, pada 11 – 13 November 2008.

Maka Lakilah Mamanda Akan Puterinya

Kata bapak, lelaki biru bermata biru itu
persis Hang Tuah dia setia -- setia amat

maka disuruh mamanda raja, kata bapak,
lelaki biru bermata biru itu memerangi
musuh nafsunya

adapun musuh itu, kata bapak,
anakanda mamanda raja itulah
persis raja Ahmad
memusuhi Tun Brahim Bapa

adapun permusuhan itu, kata bapak,
laku mamanda dan pembesarnyalah
menongkat langit bersuka-sukaan
pada sekalian puterinya

lelaki biru bermata biru itu pun, kata bapak,
memerangilah musuh mamandanya itu
maka alahlah anakanda mamanda raja

melihat laku demikian itu kata bapak
terkejut sekalian rakyat mamanda raja
dan katanya;
lagikan anakanda dibunuh mamanda
akan kita rakyat hina-dina ini apatah


maka berkumpullah rakyat hina-dina
berkatakan kesal dari hukum Tuhannya

dilihat oleh lelaki biru bermata biru
akan perihal rakyat berkumpul itu, kata bapak,
maka diperangi sekalian rakyat itu alahlah

melihat yang demikian itu, kata bapak,
melihat yang demikian itu
maka berkata orang tua-tua;
Maka lakilah mamanda akan puterinya

NASSURY IBRAHIM
4 Mei 2001

Sabtu, 7 Februari 2009

Dongeng Kemerdekaan

Lelaki biru bermata biru dan sekalian khadam mendapat titah
membasuh mimpi ngeri yang mulia dewata. Kononnya, yang mulia
dewata pada suatu malam mendapat mimpi ada seekor kambing
hitam mencuri masuk dan mencemar kebeningan taman hingga
istana tidak lagi harmoni, malah busuk dan menjijikan

lelaki biru bermata biru itupun bermusyawarah dan berseru akan
sekalian khadamnya, “pergilah kamu mencari akan kambing
hitam yang menghitam lagi membusukan keharmonian istana
seperti pada mimpi yang mulia dewata.”

menjujung titah, sekalian khadam lelaki biru bermata biru itu
berbodong-bodong keluar menyelongkar batas, batu, pasir,
rumput. Malah, batang, dahan, ranting, dan daun di perkebunan
istana. Aneh, tidak juga mereka ketemui kambing hitam sekalipun
jejak

lelaki biru bermata biru dan sekalian khadam serta yang mulia
dewata sungguh berasa hairan akan alamat mimpi itu

pada berfikir-fikir akan keanehan itu melintas seorang peladang
dan berkebetulan melihat akan demikian laku lelaki biru bermata
biru dan sekalian khadamnya, dia menggeleng-geleng kepala
sambil berkata: “Wah! Wah! Wah! Banyak sungguh kambing hitam
di perkebunan ini!.”

NASSURY IBRAHIM
15 Ogos 1999
Berita Minggu, 31 Disember 2000