Ahad, 8 Februari 2009

Tuan Besar Bos @ Kursus

HABIS Majlis Penutup Mesyuarat Gubal Kurikulum, aku cepat-cepat berjumpa Tuan Besar Urus Setia, bermohon diri. Tuan Besar Urus Setia mengajak aku makan sebelum berangkat. Aku menolak dengan hormat. Kataku, “saya perlu segera ke Kota Star.”

“Ada apa di sana?” tanya Tuan Besar Urus Setia. Tangannya masih menggeggam salamku. Senyum matanya bertentang dengan santun mataku.

“Ada kursus lagi,” kataku bersungguh-sungguh sambil mengangguk. “Kawan telefon beritahu. Daftar masuk pagi tadi.”

“Ooo …” kata Tuan Besar Urus Setia. “Nampaknya Encik belum pandai lagi,” sambung Tuan Besar Urus Setia. Terasa sekali nada guraunya.

Aku tersenyum mendengar kata-kata Tuan Besar Urus Setia itu, dan berkata, “Ya, begitulah nampaknya.” Aku bungkus kata-kataku itu dalam senyum wajah dan gurau nada.

Tuan Besar Urus Setia mengangguk-angguk dan ketawa mendengarnya. Aku juga turut ketawa, kerana faham akan gurauan masing-masing.

“Saya pun begitu juga,” terdengar nada Tuan Besar urus Setia agak sayu sedikit. “Asyik berkursus. Balik tukar bag saja. Tough and go. Anak-anak entah macam mana!” ujar Tuan Besar Urus Setia, dalam sayu nada. Senyum wajahnya nampak sedikit masam.

Aku terdiam seketika. Aku fikir Tuan Besar Urus Setia tidak merunggut dengan kerja. Rupa-rupanya, sangkaanku salah. Mungkin Tuan Besar Urus Setia terkenang akan anak-anaknya yang tidak terbela. Almaklumlah, tugas Tuan Besar Urus Setia asyik keluar memberi kursus, mendidik rakan-rakan sekerja agar pandai, sedang anak sendiri, entahlah!

“Kita menurut perintah,” ujarku memujuk, tanpa pasti adakah kata-kata itu dituju kepada Tuan Besar Urus Setia atau kepada aku sendiri.

“Ya, kerana menurut perintah. Hati-hati memandu,” balas Tuan Besar Urus Setia. Wajahnya kembali ceria.

Waktu aku melangkah keluar dari hotel, matahari bulat tegak di atas kepala. Bahangnya menerkam dan mencakar muka. Aku biarkan saja. Memang fiil matahari begitu. Tidak berkuasa aku melawannya. Tetamu semesyuarat juga tidak ramai kelihatan. Hanya Jali dan Mail saja, kelihatan tergesa-gesa mengheret bag ke parkir kereta. Mungkin yang lain sedang berbahagia di meja makan.

“Balik ke mana?” jeritku.

“Terengganu. Tak mahu sampai malam,” ujar Jali apabila aku bertanya arah tujunya. Kami pun bergerak menuju ke haluan masing-masing.

Sampai di petengahan jalan aku berhenti kerana teringat belum menelefon isteri. Aku beritahu bahawa aku tidak pulang seperti dijanjikan. Kataku, “Kena sambung Kursus Intell-Pedagogi pula.”

“Tak habis-habis kursus. Tak pandai lagi ke?” sindir isteriku. “Itu budak-budak (maksudnya, pelatih ) siapa nak ajar?” katanya lagi.

Aku membalas tegas, “Ilmu sentiasa di depan. Mesti dikejar. Tidak seperti Bahasa Melayu. Semakin ke belakang,” walaupun otak terasa letih.

Perjalanan 170 KM dapat aku habiskan dalam masa satu setengah jam saja. Memang perjalananku kali ini tidak selesa. Pertama, aku perlu sampai segera mungkin. Kedua, kata-kata Tuan Besar Urus Setia masih terngiang-ngiang. Entah ikhlas entah sindiran. Mungkin juga berkongsi pengalaman. Ketiga, sindiran isteriku. Ya, siapakah yang berkursus, pensyarah atau pelatih? Entahlah. Aku hanya menurut perintah saja.

Tepat jam 2. 45 minit aku sampai di Kota Star. Setelah mendaftar masuk hotel dan mandi, aku segera ke Dewan Kursus. Aku lihat para peserta begitu asyik melayari internet, mencari dan muat turun maklumat. Di depan kelihatan rakan sejawatku, Tuan Fasilitator, sedang asyik menunjuk cara. Aku menyapa dengan senyuman sambil mengangguk. Tuan Fasilitator membalas, juga dengan senyuman dan anggukkan.

Tanpa berlengah aku terus memasang laptop jabatan yang baru seminggu aku terima. Aku klik ikon internet, gagal. Klik lagi, gagal. Aku klik dua kali, pun gagal juga. Klik lagi, dan lagi, dan lagi, dan lagi .... Semuanya gagal. Aku panggil Tuan Fasilitator bertanyakan sebab kegagalan itu. Tuan Fasilitator cuba klik, namun gagal. Kemudian, Tuan Fasilitator klik di situ klik di sini klik di situ klik di sini .... “La ... “ kata Tuan Fasilitator tiba-tiba sambil menepuk dahinya.

“Kenapa?” tanyaku.

“Format tak habis. Sebab ‘tu tak dapat,” tegas Tuan Fasilitator. “Ni gara-gara niaga nak cepat kaya le ni!” tegas Tuan fasilitator lagi, seakan-akan menyindir, tetapi entah kepada siapa.

“Habis tu, macam mana nak buat kerja?” aku merunggut.

“Macam mana, tumpang kawan le.” Balas Tuan Fasilitator. “Balik nanti, hantar ke Jabatan Teknologi. Nanti aku panggil pembekal format bagi habis,” saran Tuan Fasilitator.

Tiba-tiba daun pintu terkuak. Masuk Tuan Besar Bos, terus ke tempat urus setia di belakang. Sepuluh minit kemudian, Tuan Besar Bos memanggil aku.

“Pagi tadi tak ada. Pergi ke mana?” tanya Tuan Besar Bos.

Aku terkejut mendengar pertanyaan Tuan Besar Bos itu. Hatiku terasa pilu. Dalam hati aku berkata-kata sendirian, ‘Dia yang arah kita keluar, ditanya pulak!’

Aku menahan rasa pilu dan menjawab lembut, “Bukankah Tuan Besar Bos mengarahkan saya ke Mesyuarat Gubal Kurikulum? Sudah seminggu saya di sana. Baru habis tengah hari tadi,” tegasku.

“Eh, iya ke?” berkerut dahi Tuan Besar Bos mendengarnya. “Lupa pula saya. Maklumlah, banyak sangat kursus. Belum habis satu kursus dah sampai arahan baru. Pergi ke kursus ini, pergi ke kursus itu,” runggut Tuan Besar Bos. Aku diam sahaja.

Setelah berbasa-basi, aku meninggalkan Tuan Besar Bos. Tiba-tiba Nokiaku berbunyi. Aku cepat-cepat menekan butang dan menyahutnya.

“Encik. Surat dari Bos Tuan Besar Bos arah Encik pergi berkursus di Ipoh, lusa.”

“Hah, kursus lagi!” Tiba-tiba terasa lututku lemah, mata berbinar-binar dan ....

NASSURY IBRAHIM
Julai 2007

Tiada ulasan: