Ahad, 8 Februari 2009

Nikmat Sajak

Anda tidak akan tahu nikmat sajak kalau anda tidak membaca sajak. Anda tidak akan tahu nikmat sajak selagi anda tidak menulis sajak. Anda juga tidak akan tahu nikmat sajak jikalau anda tidak mengkritik sajak. Berdasarkan pengalaman, saya dapati ada tahap-tahap kenikmatan antara tiga pihak tersebut. Nikmat yang dirasai oleh pembaca adalah berbeza dengan nikmat yang dirasai oleh pengarang. Demikian nikmat yang dirasai oleh pengarang adalah berbeza dengan nikmat yang dirasai oleh pengkritik.

Nikmat pembaca ialah nilai keseronokan. Nikmat pengarang ialah nilai kepuasan. Manakala nikmat pengkritik ialah nilai pemikiran. Pembaca akan terus membaca sekiranya karya itu menyeronokkan. Pengarang akan rasa puas apabila berhasil menyiapkan karya. Pengkritik pula akan menyelongkar dan membongkar sekiranya karya itu ada nilai estetika. Nilai estetika karya meliputi bahasa, pemikiran, moral, fungsi dan bentuk, Oleh sebab itu, saya berpendapat, sajak bukan sekadar mengungkapkan fikiran cantik, sebagaimana pendapat Za’ba. Sajak bukan sekadar mencipta kata-kata terbaik dalam bentuk terbaik, sebagaimana pendapat S. T. Coleridge. Dan, sajak juga bukan sekadar menerbitkan makna asal dan makna tambahan, sebagaimana pendapat Rahman Shaari.

Telah dinyatakan di atas bahawa tiga golongan yang menikmati sajak. Antara tiga golongan itu, pengarang merupakan golongan paling berjaya, bernafsu besar dan sekali gus golongan paling malang. Saya menganggapkan pengarang sebagai paling berjaya kerana mereka merupakan ‘pencipta.’ Walaupun kerajaan menganggap para sasterawan dan bahasawan sebagai “antara golongan tidak berguna,” pada hemat saya, mereka jauh lebih berguna daripada sebilangan graduan Sains, Matematik dan Teknologi atau ahli politikus. Graduan ini yang tidak mempunyai makmal dan berkhidmat sebagai penyampai atau menggunakan ilmu semata-mata adalah sama taraf dengan warga Indonesia yang datang berkhidmat sebagai buruh binaan di Malaysia. Mereka tidak mencipta. Mereka sekadar mengguna ilmu sahaja. Pengarang sentiasa mencipta (berkarya). Hasil ciptaannya (karya) adalah tidak sama, walaupun mereka mencipta 100 sajak. Oleh sebab itu, pengarang merupakan seorang sainstis dalam bidang Sains Sosial. Sebagai pengarang, mereka selalu meneroka, menyelidik dan menyediakan diri tanpa diminta. Hal ini saya rakam dalam sajak di bawah.

Menulis Sajak (ii)

Betapa asalnya fonem betapa asalnya morfem
puisi tidak pernah menyuruh aku membaca

kerana yang diperlukan oleh puisi
ialah rasa kemanusiaanku

kemanusiaan ada di mana-mana yang aku rasa
kemanusiaan ada di mana-mana yang aku cipta
kemanusiaan ada di mana-mana yang aku jumpa

daripada kalbu aku peroleh kemanusiaan
daripada mata aku peroleh kemanusiaan
daripada telinga aku peroleh kemanusiaan

puisi tidak menyuruh aku membaca
tetapi, untuk menyiapkan sebaris puisi
aku perlu banyak membaca.

28 Mei 2001

Pengarang membaca bukan sekadar untuk menikmati sajak. Pengarang membaca demi untuk memantap dan menyiapkan, walaupun, sebaris sajak. Mereka perlu sentiasa peka dan kritis. Sentiasa memerhati dan mengkaji tabiat masyarakat dan fenomena yang berlaku dalam masyarakat. Sentiasa bijak memanfaatkan pengalaman diri dan pengalaman orang lain. Kemudian, hasil kajian dan pemerhatian akan dilaporkan. Laporan Sainstis dalam bentuk objek maujud atau rumusan data. Laporan pengarang pula dalam bentuk penghasilan karya atau penghasilan konsep karya. Tidakkah konsep espen, mapen, atau cerno / nopen itu merupakan penemuan baharu dalam cereka. Tidakkah lahirnya teori-teori seperti Teori Sastera Islam oleh Shahnon Ahmad, teori Teksdealisme (Mana Sikana), Teori Persuratan Baru (Mohd. Affandi Hassan), Teori Taabudiyyah (Mana Sikana), Teori Puitika Sastera Melayu (Muhammad Haji Salleh), Teori Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang), Teori Takmilah (Shafie Abu Bakar), Teori SPB4L (Mohd Yusof Hassan), Teori Konseptual Kata Kunci (Mohamad Mokhtar Hassan), Teori Rasa Fenomenologi (Sohaimi Abdul Aziz), Teori Adab (Zahir Ahmad), Teori Pembentukan Watak Pradata (Mohd Anuar Ridhwan), Teori Kritikan Melayu (S. Othman Kelantan), Hermeneutik Kerohanian (Salleh Yaapar), Teori Gerak Rasa (Sahlan Mohd. Saman), Teori Semiotik Melayu (Sahlan Mohd. Saman), Teori Neonostalgia (Hashim Ismail) dan lain-lain, merupakan penemuan baharu, sebagaimana ahli Sejarah menemui ‘Perak Man’ atau ahli sainstis menemui konsep atom. Kalau berkarya itu adalah khayalan, apa bezanya konsep atom. Tidakkah penemuan konsep atom juga khayalan? Sebab itu saya mengatakan pengarang merupakan ahli sains (sains sosial) dan golongan paling berjaya. Walau bagaimanapun, pengarang tidak pernah puas dengan hasil ciptaan dan kejayaannya. Mereka sentiasa mahu mencipta dan mahu berjaya. Sifat ini merupakan petanda “nafsu besar pengarang” dan sekali gus merupakan faktor penarik kejayaan seseorang pengarang. Manakala, pengarang sebagai paling malang telah saya rakam dalam sajak “Tukang Sajak” (dalam manuskrip Gelodak Rasa). Gambaran nasib malang pengarang dalam “Tukang Sajak” sekali gus mendedahkan kepakaran pengarang sebagai ahli sains sosial. Pengarang menghadapi keseksaan jiwa untuk melepaskan rasa kemanusiaannya. Pengarang mesti mencari satu cara / kaedah terbaik untuk menyampaikan rasanya sebagaimana ahli sains mencari satu cara / kaedah terbaik untuk menguji hipotesis atau pemasalahan. Pengarang juga menghadapi seksaan jiwa untuk menterjemah rasa ke dalam kata. Walaupun banyak perkataan sama erti dengan rasa hatinya, namun tidak semua perkataan itu sesuai dan tepat. Usman Awang memilih perkataan dan judul “Ke Makam Bonda” untuk mengungkapkan rasa hati terhadap ibunya. Dalam ilmu leksikal bahasa Melayu, istilah ‘bonda’ juga bermaksud ‘ibu,’ ‘mama,’ ‘emak,’ ‘mek,’ dan ‘mami.’ Manakala maksud ‘makam’ sama erti dengan maksud ‘kubur,’ atau ‘pusara.’ Sainstis sajak akan menyelidik setiap perkataan agar nilai semiotika dan nilai nikmatnya gramatis, tepat, berpadanan, dan berestetik dengan maksud rasa yang hendak disampaikan. Tidakkah dalam setiap uji kaji sainstis akan menilai terlebih dahulu setiap sampel agar tidak cacat dan setaraf agar hasil kajian adalah tepat dan sah. Pengarang juga tidak terlepas daripada tanggungjawab sedemikian. Malah, pengarang bertanggungjawab terhadap karya, walaupun pemasalahan rasanya telah sempurna menjadi sajak, sebagaimana gambaran di bawah.

Tukang Sajak

Sebenarnya aku
tidak akan kaya
anugerahpun
tidak akan tiba
selain sengsara
selain derita

setiap kali aku ingin
melepaskan rasa
setiap kali aku ingin
melepaskan kata
setiap kali selepas
rasa dan kata
aku lepaskan.

1994 Watan, 16 April 1995


NASSURY IBRAHIM
04 November 2008,
Pengkalan Chepa, Kelantan.

Sedutan Makalah untuk Majlis Diskusi Karya Wilayah Timur anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur bertempat di Hotel Star Regency, Cameron Highlands, Pahang Darul Makmur, pada 11 – 13 November 2008.

Tiada ulasan: