Sabtu, 14 Februari 2009

Bicara Teori Takmilah: Teori Kritikan Sastera Malaysia Mandiri


Dalam sajak ‘Jiwa Hamba,’ Usman Awang mencatatkan begini;

Termenung seketika sunyi sejenak
kosong di jiwa tiada penghuni
hidup terasa diperbudak-budak
hanya suara melambung tinggi
berpusing roda beralihlah masa
berbagai neka hidup di bumi
selagi hidup berjiwa hamba
pasti tetap terjajah abadi
kalau hidup ingin merdeka
tiada tercapai hanya berkata
ke muka maju sekata maju kita
melemparkan jauh jiwa hamba
Ingatkan kembali kata sakti,
dari bahang kesedaran berapi
di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka’

Sajak ini menyeru masyarakat Melayu Malaysia agar membebaskan jiwanya. Kata Usman Awang, “hidup terasa diperbudak-budak / hanya suara melambung tinggi,” sedang suara itu tidak langsung mendapat perhatian pihak yang berkenaan. Hal ini disebabkan ‘jiwa hamba’ yang menebali diri. Kata Usman Awang lagi, selagi kita berjiwa hamba maka hidup kita akan terus dijajah. Justeru, beliau menyeru agar orang-orang Melayu bangkit daripada kesilapan masa lampau, yang dalam sajak ini, ditandai dengan kejatuhan Kota Melaka. Seruan Usman Awang itu merupakan usaha mengembalikan kedaulatan dan kesakralan bangsa. Kedaulatan dan kesakralan itu tentunya mengambil contoh kegemilangan yang pernah dicapai pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun sajak Usman Awang itu tidak terlihat nada keislamannya, namun seruan Usman Awang itu menjadi tuntutan agama Islam. Dalam surah Ar-Ra’ad ayat 11 Allah menegaskan bahawa Dia tidak mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya.

Apabila Usman Awang menyeru orang-orang Melayu agar membebaskan jiwa daripada belenggu penjajahan bererti beliau mengajak orang-orang Melayu agar membuang jauh sikap dan paradigma yang menyekat kemajuan diri. Jika seruan itu disedari pembaca, diikut dan diteladani, maka seruan itu telah mendatangkan kebijakan atau hikmah yang membijaksanakan. Individu berkenaan akan merasai betapa nikmatnya kemerdekaan jiwa, sebagaimana diwarwarkan oleh Malaysia menjelang sambutan 50 tahun kemerdekaan. Idealisme sajak ini bermula daripada kesedaran jiwa Usman Awang yang diterapkan ke dalam karya untuk dikongsi dan diteladani oleh pembaca.

PM Arbak, Nafie Mat, Nassury Ibrahim, Pengerusi, Dr Abu Hassan dan Dr Indirawati

Ada dua sebab yang menjentik sensitiviti penyair mencipta karya [Maniyamin bin Haji Ibrahim, 2005]. Pertama ialah kesedaran jiwa halus penyair. Kesedaran itu lahir mungkin disebabkan kesan daripada renungan penyair terhadap sesuatu. Penciptaan sajak ‘Jiwa Hamba’ karya Usman Awang itu saya yakin adalah kesan daripada renungan penyair terhadap nasib dan masa depan bangsanya. Hal demikian juga terlihat dalam kebanyakan sajak-sajak penyair Malaysia dan Indonesia seperti Muhammad Haji Salleh, Suhaimi Haji Muhammad, Zurinah Hassan, T. Alias Taib, Lim Swee Tin, Amir Hamzah, Chairil Anwar, Hamid Jabar, Aldian Arifin, dan lain-lain. Kedua ialah cetusan daripada sesuatu peristiwa yang mengesankan. Antara penyair yang gemar dan kental bersajak kesan daripada peristiwa tertentu ialah Usman Awang, Dinsman, Rendra, dan Taufik Ismail. Peristiwa-peristiwa yang menyentuh perasaan itu sama ada terjadi pada diri sendiri atau orang lain. Lebih-lebih lagi peristiwa yang bersifat kemanusiaan seperti kekejaman, penderitaan, penindasan atau malapetaka alam. Peristiwa gerakan mahasiswa di beberapa buah universiti di Indonesia pada tahun 1960-an bangun menuntut keadilan pemerintah misalnya, menjadi bahan persajakan Taufik Ismail, sebagaimana sajak-sajak dalam Tirani dan Benteng, yang sangat historis. Demikian juga citra baik dan buruk pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia dapat dikesan dalam sajak-sajak Dinsman.

Peristiwa ombak besar Tsunami yang melanda Aceh telah dirakamkan dalam puisi dan prosa kerana peristiwa itu sangat menyayat rasa hati. Namun begitu, dalam TT bukan peristiwa itu yang penting, betapa besar atau penting sekali pun peristiwa itu. Yang menjadi tuntutan TT ialah apakah kesan peristiwa yang dipersajakan itu dapat membangkitkan kesedaran atau memberi hikmah kepada penyair dan kemudian dipersajakan untuk membangkitkan hikmah kepada pembaca. Hal ini bererti bahawa berhikmah atau tidak berhikmah sesuatu peristiwa yang digarap ke dalam sajak adalah bergantung pada cara dan persepsi penyair mengolahnya.


Antara penyair yang tersentuh perasaannya kesan tragedi ombak besar Tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 itu ialah L.K. Ara. Perhatikan sajak beliau yang berjudul ‘Wahai Tuhan’ yang dimuatkan dalam antologi Ziarah Ombak di bawah ini.

Wahai Tuhan
tak ada lagi yang kami punya
semua milikmu
telah kau ambil kembali
yang tinggal hanya
sepotong tubuh
yang rapuh
dan suka mengeluh.
Sajak ini mendedahkan rasa sedih yang amat yang dirasai oleh mangsa Tsunami. Semuanya habis ditelan Tsunami, kecuali aku lirik yang kini berada dalam keadaan putus asa atau kesal atau kecewa dengan malapetaka itu. Dari persepsi TT, sajak ini tidak memberi kesedaran kepada jiwa pembaca. Tidak terlihat usaha pengarang mencari hikmah di sebalik peristiwa ombak besar tsunami itu sebagai teladan hidup dirinya dan seterusnya diserapkan kepada pembaca. Penonjolan aspek diri yang suka mengeluh itu bertentangan dengan prinsip TT iaitu sastera yang bersifat takamul, prinsip sastera bercirikan estetik dan bersifat Takmilah, dan prinsip pengkarya mengistimalkan diri. Ajaran agama Islam sendiri melarang umat-Nya putus asa atau berkeluh-kesah. Saya fikir, jika baris akhir sajak itu ditambah, misalnya ‘Ya, Allah / Kau berilah petunjuk,’ akan mendekatkan sajak ini dengan TT. Hal ini berbeza dengan sajak beliau berjudul ‘Saat Hening,’ juga termuat dalam antologi Ziarah Ombak, dan sajaknya juga berkenaan ombak besar Tsunami, sebagaimana di bawah ini.
Setelah gempa
setelah gelombang tsunami
tinggal puing
inilah saat hening
sujud kepada-Mu.

Melalui baris ‘sujud kepada-Mu’ terlihat prinsip pengkarya seharusnya mengistimalkaqn diri. Baris itu juga membuktikan wujudnya kesedaran Tauhid, dan hikmah yang membijaksanakan, yang dapat dikongsi bersama dengan pembaca. Penyair tidak menggambarkan sikap mengeluh dan putus asa, sebaliknya penyair menyeru pembaca melalui hasil karyanya agar mendekatkan diri dengan Tuhan. Kegembiraan dan kedukacitaan merupakan ujian tuhan. Dalam Islam, orang yang gemar berfikir dan sentiasa ambil ikhtibar daripada rasa kegembiraan dan kedukacitaan dianggap sebagai orang yang sempurna akalnya. Salah satu peristiwa yang menghikmahkan itu ialah tragedi ombak besar tsunami.

NASSURY IBRAHIM
Sedutan Kertas kerja Seminar Hubungan Melayu Serantau: Malaysia – Sumatera anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Universitas Sumatera Utara (USU), di Medan pada 24 – 26 Ogos 2007. Hubungi penulis jika memerlukannya.

Tiada ulasan: