Khamis, 24 Januari 2013

Masa Depan Sajak Malaysia

Isu masa depan sajak di Malaysia dapat ditinjau dari dua aspek. Pertama dari aspek aktivis, dan kedua, dari aspek mutu sajak. Termasuk dalam aspek aktivis ialah penerbit, persatuan, agensi kementerian, kerajaan tempatan dan pihak swasta.

         Dibandingkan dengan dekad 1960-an dan 1970-an, bilangan penulis sajak dekad 2000-an mengalami kemerosotan. Minat masyarakat terhadap sajak dan dunia persajakan menurun. Pandangan ini berasaskan keahlian persatuan penulis dan kesediaan media cetak menyediakan ruangan sastera. Didapati ruangan disediakan semakin terhad. Walaupun penulis sajak tetap lahir dalam dekad 1990-an hingga kini, namun kelahirannya tidak memeriahkan aktiviti pesajakan sebagaimana dekad sebelumnya.

Penglibatan ahli-ahli politik sebagai penulis sajak juga tidak membantu memartabatkan genre sajak di Malaysia. Mereka sekadar singgah melempiaskan agenda politik tersembunyi. Walaupun Dr. Mahathir Mohamed menghasilkan sajak tidak kurang daripada lima buah berbanding Abdullah Ahmad Badawi yang menghasilkan sebuah sajak, namun Abdullah Ahmad Badawi mempunyai kumpulan sajak tersendiri. Dalam kalangan ahli politik yang bersajak, hanya Datuk Seri Abdul Hamid Albar yang bersungguh dan ikhlas menghasilkan sajak.

Persatuan-persatuan penulis pula sukar mendapat ahli baharu yang kominted, di samping mengekalkan ahli sedia ada. Kebanyakan persatuan menjadi batu loncatan para ahli sementara memperoleh rezeki yang lebih baik. Yang dimaksudkan rezeki itu termasuklah pekerjaan, gelaran (pangkat), institusi pembelajaran, suami dan isteri. Akibatnya, persatuan terpaksa menagih keahlian daripada kalangan pelajar sebagai peserta aktiviti dan juga untuk mencukupkan keperluan melaksanakan mesyuarat agong tahunan.

Dalam dekad 2000-an ini, ramai daripada kalangan penulis muda tidak menganggotai persatuan. Bilangan ahli dan bilangan ahli aktif persatuan juga merosot. Mereka bergerak secara bersendirian. Oleh sebab mereka ikhlas bersajak dan bersungguh pula, maka sajak-sajak mereka mendapat tempat di media. Namun begitu, menyiarkan karya di media semata-mata sudah ketinggalan. Setiap penulis dituntut mempunyai koleksi karya bercetak. Malangnya, penerbitan koleksi karya secara individu masih bermasalah. Kecuali Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kini Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), penerbit lain tidak berminat menerbitkan kumpulan sajak. Penerbit besar seperti Fajar Oxford, Karangkraf, Utusan Melayu gagal membantu penerbitan kumpulan sajak para penulis.

Kejayaan penulis generasi baharu bersajak kini banyak dibantu oleh media elektronik seperti internet yang memberi kebebasan kepada pelayarnya bersajak. Mereka mencipta blog, facebook, twitter dan sebagainya untuk menyiarkan karya masing-masing. Bilangan mereka sukar ditentukan.

Memang kemudahan ini dapat mevariasikan aktiviti sajak, namun saya berpendapat hanya sebilangan sahaja yang bersungguh dan ikhlas bersajak. Aktiviti persajakan mereka juga bersifat elit dan dalam komuniti sendiri. Hal ini menyebabkan kehadiran penulis sastera maya ini tidak banyak membantu  graf perkembangan sajak di Malaysia.

Perlu juga dilihat ialah latar akademik dan profesion penulis sajak kini. Dibandingkan dengan dekad 1960-an dan 1970-an, ramai penulis sajak sekarang berpendidikan aliran sains tulen. Hal ini sangat positif. Bakat mereka dicungkil oleh guru-guru, majalah Dewan Siswa, Tunas Cipta, dan dimantapkan oleh DBP melalui Minggu Penulis Remaja (MPR). Mereka melanjutkan pelajaran dalam pelbagai disiplin ilmu dan berkerja dalam pelbagai profesion yang jauh daripada dunia kesusasteraan. Penglibatan mereka  dapat menvariasikan latar penulis sajak di Malaysia dan memecah dikotomi guru, wartawan, pegawai DBP sebagai penulis sajak. Walau bagaimanapun, mereka masih gagal menambahkan variasi gaya persajakan, berbanding dalam genre prosa.

Dari segi penerbitan kumpulan sajak dan antologi sajak pada masa hadapan tetap membawa permasalahan yang sama dihadapi dalam dekad terdahulu. DBP masih menjadi organisasi tunggal mesra sajak kerana sanggup menerbitkan kumpulan dan antologi sajak.

Jika dahulu penulis sajak terpaksa menerbitkan karya sendiri secara stensilan, penulis kini menerbitkan karya dalam media maya, di samping mencetak sendiri. jika dahulu penerbit seperti Utusan Melayu, Forgoes, Media Intelek, Berita Publishing misalnya, banyak membantu menerbitkan kumpulan atau antologi sajak. Malangnya sikap yang sama tidak terserlah pada penerbit sekarang. Hanya ITBM yang menampakkan minat dan mengiringi citra DBP, disemarakkan secara kecil-kecilan oleh Pustaka Nusa, Citra kurnia dan Pustaka Dewan Puisi. Sesetengah penerbit hanya berminat menerbitkan kumpulan sajak karya sasterawan negara terpilih sahaja.  

Sejak dekad 1990-an didapati peranan persatuan penulis, agensi kementerian dan badan-badan swasta membantu genre sajak kian menurun. Program peringkat nasional seperti Sayembara Deklamasi Sajak Kebangsaan kian terpinggir. Malah, program Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur, Anugerah Puisi Putra atau aktiviti Temu Puisi terus lenyap. Syukurlah aktiviti Baca Puisi Pena dan Baca Puisi Riong masih bernafas. Walaupun aktiviti-aktiviti itu bagus kepada penulis, industri kesusasteraan dan negara, namun saya tidak terkesan aktiviti seumpama itu akan kembali gemilang pada masa hadapan.

Dari aspek kedua, mutu sajak, juga menampakan kesamaran masa depan. Keputusan DBP yang ‘mensyaratkan’ setiap kumpulan sajak mesti tidak kurang 100 buah sajak layak diterbitkan, pada pandangan saya, tidak membantu meningkatkan mutu kumpulan sajak.

Berdasarkan beberapa kumpulan sajak terbitan DBP ternyata ‘syarat’ demikian telah ‘mengorbankan’ mutu dan pasaran kumpulan sajak berkenaan. Saya fikir, para penerbit tidak perlu mengejar ketebalan halaman, kecuali kumpulan kompilasi. Hal ini kerana genre sajak tidak sama dengan prosa. 100 buah sajak dalam sebuah buku akan membawa 100 permasalahan, berbanding dengan kumpulan cerpen dan lebih-lebih lagi novel. Hal ini amat membebankan penelaah.

Kebebasan menerbitkan sendiri karya secara bercetak dan di media maya juga tidak membantu meningkatkan mutu sajak. Tidak salah menerbitkan sendiri, namun lebih baik penulis berkolaboratif sebelum kumpulan karya itu diterbitkan.

Berdasarkan hujah di atas, pada pandangan saya, masa depan sajak di Malaysia tidak segagah dekad 1960-an dan 1970-an. Ada penurunan minat penulis, minat khalayak, akhbar, agensi kementerian dan swasta. Hanya sedikit kelebihan dari segi latar penulis, namun amat lemah dari segi memasyarakatkan sajak dan persajakan. Aktiviti bersastera kian hilang tenaga dan perhatian.

Media dan persatuan penulis bertanggungjawab mengembalikan aktiviti bersastera dalam masyarakat. Media boleh membuka semula ruangan untuk penulis berdiskusi, berpolemik dan memberi pandangan terhadap sesuatu karya. Persatuan dengan bantuan pelbagai agensi di kementerian, badan sukarela dan pihak swasta dapat menganjurkan pelbagai aktiviti persembahan, diskusi, sayembara dan sebagainya. Apabila aktiviti sastera dan budaya rancak akan lahir minat masyarakat dan seterusnya membina masyarakat berbudaya negara bangsa berdaulat.

1 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Saya suka dengan pendapat dan pandangan ini.

Harapan saya, lebih banyak penerbit yang berani menerbitkan kumpulan puisi dan cerpen.

Pujian harus diberikan kepada DBP dan ITBM.

Tahniah, Tuan untuk kumpulan puisi-PETA PERJALANAN. Akan saya dapatkan nanti.