Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sistem biometrik dalam acara mengundi di Malaysia wajar disambut baik. Minda Pengarang akhbar Berita Harian pada 22 Jun 2011 menganggapnya sebagai, "... diyakini dapat menghapuskan keraguan dan mainan politik pihak tertentu, terutama pembangkang yang mendakwa wujud penipuan dalam proses pengundian."
Saya berpendapat, dakwaan 'penipuan' oleh pembangkang itu berkemungkinan wujud dan benar wujud memandangkan sehingga kini SPR tidak bertindak balas menafikannya melalui undang-undang.
Walau apapun, SPR wajar memperbaharui sistemnya pilihan raya di Malaysia kerana sistem itu di bawah kekuasaannya. Menafikan keraguan pelanggan sebelum menjalankan siasatan atau berbincang adalah tidak wajar. Dakwaan oleh pembangkang itu juga satu 'anugerah' kepada SPR menambahkan kebersihan dirinya. Jika SPR memberi perhatian positif dan bertindak membaiki kelemahannya banyak menguntungkan SPR sendiri.
Langkah SPR memperkenalkan sistem biometrik itu menandakan 'anugerah' dari pembangkang dan menguntungkan semua pihak.
Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, belum tentu sistem biometrik itu dapat mengatasi masalah 'penipuan' yang didakwa berlaku dalam sistem SPR dan kepercayaan Minda Pengarang akhbar Berita Harian itu belum tentu boleh dipercayai.
Oleh sebab sistem biometrik itu mesin ciptaan manusia, maka berkemungkinan sistem mesin itu juga membawa masalah. Justeru, SPR juga mesti memikirkan kemungkinan masalah-masalah yang dibawa oleh sistem biometrik dan cara mengatasinya.
Saya berpendapat, antara kemungkinan masalahnya ialah (a) kerosakan mesin; (b) terputus bekalan elektrik; (c) mesin tidak dapat mengesan pemilik cap jari; dan (d) mesin tersalah melaporkan pemilik sebenar cap jari. Tentunya, kemungkinan (c) dan (d) itu melucukan. Anda harus ingat bahawa alat itu ialah mesin. Lagikan manusia boleh terlupa, tersalah atau tertukar, inikan pula mesin. Justeru, bakal pengundi harus membuat persediaan.
Antara persediaan wajar ialah menjaga jari anda agar bebas daripada sebarang kerosakan. Walaupun kecil kerosakannya akan menyebabkan mesin biometrik tidak dapat membaca, atau tersalah membaca (melaporkan). Jika mesin tersalah melaporkan (terkeluar gambar atau maklumat orang lain) anda akan dianggap pengundi hantu. Lebih malang jika maklumat tersalah lapor itu ialah maklumat pengundi yang baharu sahaja membuang undi. Anda akan berputih mata!