Tanah runtuh bukan bencana. Tanah runtuh juga bukan tragedi. Namun, tanah runtuh akan memberi bencana dan tragedi. Bencana kerana tanah runtuh akan merosakkan persekitaran. Sekiranya di persekitaran itu ada manusia maka tanah runtuh akan merosakkan manusia dan jiwa manusia. Apabila merosakkan manusia dan jiwa manusia, maka tanah runtuh akan memberi tragedi.
Perlu juga diingatkan bahawa, walaupun di persekitaran tanah runtuh itu tiada manusia, keruntuhan tanah itu tetap memberi bencana. Mula-mulanya memberi bencana kepada makhluk-makhluk lain: tanah, pokok, unggas, binatang, sungai dan segala macam. Dan kemudian, kerosakkan yang dialami oleh makhluk-makhluk lain itu akan menimpa manusia juga. Jika tidak menimpa pada hari ini, mungkin balanya akan sampai pada hari esok dan esoknya.
Hal ini kerana segala macam musibah pada hari ini, puncanya sudah bermula pada hari sebelum dan sebelumnya. Maka, menjadi kemestian manusia mencintai alam tanpa mengira waktu dan tempat.
Rasa cinta terhadap alam kini kurang dimesrai oleh manusia moden lantaran mereka mengejar kemajuan dan pembangunan.
Saya pernah bertanya pada seorang sahabat. Apakah rakyat Kelantan tidak mahu pembangunan kerana memilik pembangkang sebagai kerajaan mereka? Sahabat saya itu menjawab, bahawa mereka mahu pembangunan, tetapi mereka tidak mahu bangunan. Katanya lagi, tiada guna bangunan sekiranya bangunan itu dimiliki oleh orang lain. Mereka menikmati isinya, sedang masyarakat umum (persekitarannya) menikmati kuah sahaja. Dan, binaan bangunan itu boleh mendatang musibah kepada ketenteraman sekiranya binaan bangunan dan pengurusan bangunan itu tidak dilaksanakan dengan baik.
Saya faham maksud kawan saya itu. Salah satu "menikmati kuah" ialah rasa dan perasaan yang dialami oleh mangsa tragedi Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah al-Taqwa, Felcra Semungkis, Bt. 14 Hulu Langat runtuh pada 21 Mei 2011 yang mengorbankan 16 nyawa. Tragedi ini mengulangi tragedi-tragedi yang pernah berlaku sebelum ini seperti tragedi Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa dan sebagainya.
Tragedi-tragedi ini ialah contoh pengurusan alam, pengurusan bangunan dan pembinaan bangunan yang tidak dilaksanakan dengan baik. Maka, bencananya menimpa manusia, walaupun manusia yang 'Ditragedikan itu' tidak terlibat langsung dengan urusan pembinaan dan pengurusan bangunan berkenaan.
Punca pertama yang dilaporkan menjadi sebab tragedi tanah runtuh di Hulu Langat itu ialah kerana tiada laporan terhadap pergerakan tanah yang telah berlaku. Dan kemudian diikuti berpunca daripada hujan berterusan, air bertakung di atasnya, potong cerun menegak tanpa ikut spesifikasi dan Asrama al-Taqwa tidak selamat diduduki. Pada saya, walaupun hal ini boleh dianggap punca, ia punca yang sengaja dicari-carikan.
Berdasarkan pelbagai kes yang pernah terjadi, misalnya dalam siaran Aduan Rakyat di TV3, aduan tidak menjamin tindakan. Ada aduan telah berkali-kali dibuat, namun tindakan tidak juga bermula.
Berdasarkan pelbagai kes yang pernah terjadi, misalnya dalam siaran Aduan Rakyat di TV3, aduan tidak menjamin tindakan. Ada aduan telah berkali-kali dibuat, namun tindakan tidak juga bermula.
Masyarakat tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya terhadap masalah yang dihadapi. Masalah itu perlu ditangani oleh pihak yang dipertanggungjawabkan. Ada beberapa sebab masyarakat tidak boleh bertindak sewenang-sewenangnya. Pertama, mereka tiada kepakaran menanganinya; dan kedua, mereka tiada kebenaran untuk menanganinya. Kalau mereka bertindak juga, mereka boleh dianggap menceroboh tanah kerajaan, atau sebagainya. Jika berlaku musibah akibat tindakan masyarakat itu, mereka akan dipersalahkan. Justeru, pihak yang bertanggungjawab perlu menanganinya. Lebih baik jika penanganan itu dilakukan secara bersama-sama dengan anggota masyarakat setempat.
Jika hal ini berlaku, penangan bersama-sama, bererti kita menguruskan alam, pembangunan dan persekitarannya dengan baik. Hal inilah sepatutnya berlaku kerana setiap tanah yang runtuh itu akan memberi kesedihan kepada manusia, lebih-lebih lagi kepada mangsa dan keluarganya. Mangsanya tidak semesti penghuni tetap di sekitarnya. Berdasarkan tragedi di Hulu Langat itu, mangsanya merupakan tetamu institusi berkenaan.
Tiada guna kita membangunkan sesuatu kawasan dengan merosakkan alam kerana pembangunan yang demikian itu, akhirnya akan membinasakan diri manusia itu juga. Di sini bijaknya masyarakat Kelantan yang menolak 'janji memberi bangunan' kerana janji itu belum tentu benar, dan kalau benar pun, 'nikmat' itu belum tentu menyelamat jiwa dan keharmonian jiwa.
Oleh yang demikian, kita sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada sekadar bersedih dengan keruntuhan tanah itu. Sekiranya kita tidak ambil ikhtibar dari keruntuhan tanah tersebut, bererti kita menunggu giliran menjadi mangsa tanah runtuh dan seumpamanya.
Yang runtuh itu tanah. Yang bersedih itu hati (mangsa, keluarga mangsa dan masyarakat). Biarlah yang insaf dan sedar terhadap pengurusan alam dan bangunan itu kita yang masih bernyawa.
Yang runtuh itu tanah. Yang bersedih itu hati (mangsa, keluarga mangsa dan masyarakat). Biarlah yang insaf dan sedar terhadap pengurusan alam dan bangunan itu kita yang masih bernyawa.
TRAGEDI TANAH RUNTUH DI HULU LANGAT
yang mati mangsa
yang sedih keluarga
hendaknya
yang insaf kita.
3 ulasan:
sungguh. saya tersentuh membaca catatan ini.
tentu lebih tersentuh kalau menyaksi tragedi atau ahli keluarganya.
Allah berfirman.."Telah berlaku kerosakan di mukabumi akibat tangan-tangan manusia itu sendiri"...
Catat Ulasan