Aku tidak pasti, apakah berita ini ditunggu-tunggu oleh 23 orang anak didikku (opsyen PM) yang kini telah tamat belajar. Ada antaranya menjadi guru sementara. Ada antaranya masih terumbang-ambing. Atau, berita ini masih mengecewakan.
Mereka telah tamat belajar di IPG pada tahun 2010. Malangnya, mereka tidak dapat dihantar bertugas ke tempat sepatutnya. Ada yang mengatakan, masalah ini kerana kursus yang diikuti tidak diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency) MQA.))
Walau bagaimanapun, pada awal Januari 2011, pihak IPG telah menerima akuan pengesahan kelulusan kursus daripada MQA. Dalam surat itu, tarikh kelulusan diberikan ialah pada 18 Januari 2010. Sudah setahun tarikh kelulusan. Anehnya, mengapakah mereka, sehingga kini, belum lagi dihantar bertugas secara rasmi. Mereka hanya diterima sebagai guru sementara sahaja.
Sijil Perakuan Akreditasi dari MQA |
Yang menjadi masalahnya, pada fikiran saya, ialah nama program (kursus) yang diiktirafkan itu. MQA mencatatkan program tersebut sebagai 'Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan.'
Di IPG, terdapat dua program berurutan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. Terlebih dahulu, mereka diterima masuk sebagai pelajar dalam Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan yang secara ringkasnya dikenali sebagai PPISMP, selama satu setengah tahun (tiga semester). Lulusan PPISMP (mesti lulus) akan ditawarkan ke kursus Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan, yang dikenali sebagai PISMP, selama lapan semester. Mereka dipolakan ke jurusan masing-masing.
Berbalik kepada Perakuan Akreditasi oleh MQA, dicatatkan bahawa kursus yang diperakukan ialah program PPISMP. Saya tidak pasti, apakah catatan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Penguruan itu merujuk kursus peringkat PPISMP dan PISMP. Saya juga tidak pasti, apakah amalan selama ini, perlu kelulusan MQA bagi kursus persediaan.
Setahu saya, nama AHMAD adalah berbeza dengan nama MOHD, atau nama MUHAMMAD adalah berbeza dengan nama MOHAMAD. Tidak pasti pula cara KPM berfikir.
Justeru, saya tidak pasti, apakah berita ini mengembirakan graduan lepasan IPG 2010. Atau, mereka perlu menunggu surat perakuan dari MQA seterusnya bagi program PISMP. Saya harap biarlah perakuan itu mengembirakan dan mereka dapat bertugas secara rasmi, serta menerima gaji sebagaimana sepatutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan