Rabu, 17 Disember 2014

Dunia Kemala dalam Timbang Terima dan Meditasi

Buku Dunia Kemala dalam Timbang Terima dan Meditasi ini merupakan latihan ilmiah untuk memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera Kamaruzzaman Abdul Kadir (Dharmawijaya) di Universiti Malaya pada tahun 1975. Pada saya buku setelah 147 halaman ini masih relevan, khususnya untuk melihat kepengarangan Kemala dalam dua buah kumpulan sajak - Timbang Terima, dan Meditasi. Apalagi, Kemala sendiri telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Saya mengambil buku ini di tempat koleksi sampah hendak dibuang oleh pekerja Jabatan Pengajian Melayu. Mungkin, asalnya kepunyaan Allahyarham Abdullah Tahir. Ada tandatangan dan catatan, "Ikhlas untuk bacaan abang."  

Rabu, 19 November 2014

Kata Penghantar KS Kuntuman Cinta

Cinta tidak lahir daripada Hawa. Cinta lahir daripada Adam. Lebih tepat lagi, rasa cinta lahir daripada rasa sepi Adam. Sepi kerana hanya Adam yang keseorangan. Tiada teman bicara. Tiada teman berkongsi perasaan. Pada Malaikat tidak dapat berkongsi perasaan kerana Malaikat tidak ada perasaan. Pada pokok, pada sungai, pada api atau angin tidak dapat dikongsi perasaan kerana semuanya berada dalam alam masing-masing. Alam yang sama sekali berbeza dengan alam Adam. Hanya Adam yang tidak ada pasangan. Sedangkan, semua makhluk lain berpasang-pasangan. Dan, dapat berkongsi perasaan. Kerana Adam berasa sepi, maka Adam bermohon agar Tuhan mencipta pasangan untuknya. Permohonan itu diperkenan oleh Tuhan. Maka bermulalah bibit pertama rasa cinta manusia terhadap manusia.


Isnin, 3 November 2014

6 Mutiara Fikir SN Dr. Muhammad Haji Salleh

Yang berikut merupakan mutiara kata Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh yang diucapkan dalam syarahannya di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia pada 24 - 26 Oktober 2014 di Darulaman Golf & Country Resort, Jitra, anjuran ITBM, PENA.
  1. Kita sudah maju ke depan tetapi meninggalkan maklumat di belakang,
  2. Adakah penggubal kurikulum sastera Melayu tahu tentang sastera?
  3. Sastera besar tidak semesti datang daripada negara besar,
  4. Saya ingin melihat karya yang lebih banyak detail, yang meletakkan dunia dan pengalaman di bawah mikroskop yang sangat besar,
  5. Sastera ialah karya yang memberi pengajaran,
  6. Kritikan ialah sayap sastera yang patah, dipatahkan oleh gasang dan tidak berbudi bahasa.

Rabu, 29 Oktober 2014

Mutiara Fikir Prof. Tan Sri Dato' Dr. Dzulkifli Abdul Razak

Prof. Tan Sri Dato' Dr. Dzulkifli Abdul Razak
  1. Dalam sains ada sastera, dalam sastera ada sains.
  2. kalau kita anggap sains terpisah daripada sastera, itu kerugian yang banyak. Oleh itu, perlu dibawa balik nilai sastera dalam sains.
  3. Kita harus membina generasi bermula dengan maruah. Jika tiada maruah kita akan rosak.
  4. Apa sebab kita harus mempertahankan Melayu di dunia?
  5. Kalau satu minit kita terlambat, orang lain sudah berada 10 minit di hadapan kita.
Mutiara kata ini saya petik ketika beliau menyampaikan syarahannya dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, pada 26 Oktober 2014 di Darulaman Golf & Country Resort, Jitra, Kedah.

Isnin, 21 April 2014

Sejarah


Terima kasih kepada editor akhbar BH yang memilih sajak ini untuk disiarkan pada 20 April 2014. 

Antara bidang kepakaran awal saya dalam bidang keguruan dan dikurniai Sijil Perguruan Asas ialah PSM: Sejarah/Pendidikan Seni. 

Sajak ini merupakan kesan keilmuan daripada segala macam (segala macam - laras bahasa lisan Tan Seri Ismail Hussein) ilmu sejarah yang saya pelajari semasa belajar di Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) 1987 - 1989.



Rabu, 2 April 2014

Kehilangan Sasterawan

Akhir Mac 2014 Malaysia kehilangan sasterawan dari Perlis Indera kayangan, Tuan Haji Nahmar Jamil dan disusuri oleh Prof. Dr Sahlan Mohd Saman, seorang sarjana dan ahli akademik. Saya tidak mengenali mereka berdua secara dekat, namun sebagai peminat dalam genre yang sama, kehilangan mereka adalah cukup terasa. Nahmar menulis sajak, cerpen, novel, esei dan menterjemah karya-karya khususnya dari Timur Tengah. Manakala, Prof. Sahlan lebih dikenali sebagai pengkritik karya kesusasteraan. Semoga usaha mereka dalam genre kesusasteraan dan pendidikan membuahkan saham untuk mereka menjana kehidupan di akhirat, aamiin.

             

Selasa, 11 Mac 2014

Misteri MH370

Memang sedih dan meresahkan. Bermula Sabtu (8 April 2014), seluruh rakyat Malaysia (dan dunia juga) berada dalam pertanyaan, "Ke manakah menghilangnya MH370 bersama-sama 239 penumpang dan krew?" lebih sedih dan meresahkan lagi, kalangan ahli keluarga mereka. Teknologi tidak dapat menjawabnya. Kepintaran tidak dapat membuktikannya. Hanya tinggal harapan, sebagaimana ajaibnya kehilangan, begitulah diharapkan ajaibnya penemuan, dan mereka kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. "Ya Allah, Engkau permudahkan pencarian dan Engkau kembalikan keriangan. Hanya pada-Mu kami mohon pertolongan agar mereka kembali sebagai muslim dan muslimah sebagaimana Engkau kehendaki, dan membuktikan ketuhanan-Mu kepada mereka yang engkar. aamiin, amiin, yarabi alami."

Isnin, 20 Januari 2014

Antologi 'Menunggu Esok Tiba'

Antologi Menunggu Esok Tiba (2014) memuatkan karya-karya dalam genre sajak dan cerpen hasil kreativiti pensyarah, staf sokongan dan pelajar IPG Kampus Tawau. Terdapat 21 buah sajak karya Saharul Junit, Sitti Noor Fazrinah Piddin, Mohd Bin Bodot, Salmiah Pasaddei, Juliet Norsirat, Yusly Salleh, Karthina Binti Nagaramun, Ailin Binti Mohd Said,Norsidah Binti Ahmad Shah, Nur Hidayah Binti Hairun, Jusinah Binti Taliban, Noraini Nasir, Norifah Binti Paisal, Putriana Binti Pulau Pandan, Razliza Binti Jesfermun, Nassury Ibrahim, W. Madziyah Hasbullah, Abdul Nasir Hj. Paisal, Noraini Binti Zakaria dan Sefiah Binti Abdul Kahar. Manakala sembilan buah cerpen pula hasil karya Mazlinah Binti Arabi, Jumriani Andi Sikandar, Carrolina G. Stephenus, Lauraleonny, Jumikah Lebah, Maslina Binti Muhammad, Noor Baizura Abdul Karim, Artishah S dan Samiah Binti Barak. Antologi ini diterbitkan di bawah projek Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) dan diselenggarakan oleh Maniyamin Bin Ibrahim.

Rabu, 8 Januari 2014

Gelodak Rasa

Alhamdulillah, buku kumpulan sajak Gelodak Rasa telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dan beredar di pasaran mulai awal tahun 2014.

Walaupun lambat, saya rasa berpuas hati dengan penerbitan kumpulan sajak ini. Semoga ia memberi manfaat kepada peminat kesusasteraan Melayu.