Rabu, 19 November 2014

Kata Penghantar KS Kuntuman Cinta

Cinta tidak lahir daripada Hawa. Cinta lahir daripada Adam. Lebih tepat lagi, rasa cinta lahir daripada rasa sepi Adam. Sepi kerana hanya Adam yang keseorangan. Tiada teman bicara. Tiada teman berkongsi perasaan. Pada Malaikat tidak dapat berkongsi perasaan kerana Malaikat tidak ada perasaan. Pada pokok, pada sungai, pada api atau angin tidak dapat dikongsi perasaan kerana semuanya berada dalam alam masing-masing. Alam yang sama sekali berbeza dengan alam Adam. Hanya Adam yang tidak ada pasangan. Sedangkan, semua makhluk lain berpasang-pasangan. Dan, dapat berkongsi perasaan. Kerana Adam berasa sepi, maka Adam bermohon agar Tuhan mencipta pasangan untuknya. Permohonan itu diperkenan oleh Tuhan. Maka bermulalah bibit pertama rasa cinta manusia terhadap manusia.




            Tuhan tidak menggunakan bahan material yang sama ketika mencipta Adam untuk mencipta Hawa. Kalau Tuhan mencipta Adam menggunakan ‘tanah’ misalnya, Tuhan tidak mencipta Hawa menggunakan tanah. Tuhan mencipta Hawa menggunakan bahan teristimewa. Bahan itu ialah tulang rusuk Adam. Kerana itu, boleh kita fahami bahawa Hawa ‘lahir’ daripada Adam. Soalnya, mengapakah Tuhan mencipta Hawa daripada tulang rusuk Adam? Mengapakah Tuhan tidak menggunakan bahan material yang sama untuk mencipta Hawa? Di sinilah terletaknya antara rahsia kebesaran Tuhan. Seorang bapa atau ibu lebih menyayangi anaknya sendiri berbanding anak orang lain. Oleh sebab Hawa ialah ‘anak’ Adam, maka rasa kasih dan rasa sayang Adam terhadap Hawa berada pada graf tertinggi. Justeru, rasa cinta lahir daripada Adam. Hawa hanya merealisasikan rasa cinta Adam secara horizontal untuk kebahagiaan di dunia. Tuhan pula merealisasikan rasa cinta Adam secara vertikal untuk kebahagiaan di akhirat. Sama ada untuk kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat, rasa cinta haruslah berpaksikan keikhlasan. Kumpulan sajak Kuntuman Cinta cuba merakamkan kembali rasa cinta manusia yang berstatus vertikal dan horizontal tersebut terhadap semua makhluk Allah. 

           

Apakah yang dikatakan cinta?

           

Cinta merupakan perasaan yang lahir secara semula jadi daripada kalbu manusia.  Tidak ada paksaan. Ia membangkitkan kesyukuran dan semangat, mententeramkan emosi, melahirkan akal jernih dan bersih pemikiran, beradab dalam perlakuan dan tindakan, dan percakapannya disenangi. Ia menggambarkan kesyukuran dan ketaatan kepada Pencipta, hormat antara manusia, menyayangi terhadap makhluk dan persekitarannya. Kerana yang diingini adalah kebahagiaan. Kebahagiaan tidak hidup dalam jiwa individualistik. Kebahagiaan lahir daripada kesatuan jiwa manusia. Oleh sebab itu, Adam memerlukan pasangan untuk merasai kebahagiaan kerana Adam tidak merasai kebahagiaan hidup bersendirian. Kebahagiaan akan dirasai apabila ada yang memberi kasihnya. Pemberian kasih itulah nilai cinta. Memberi kasih tidak semesti kepada manusia sahaja, malahan perlu diberikan juga kepada semua makhluk dan kemakhlukan Allah. Untuk memperoleh kebahagiaan, manusia harus menanam cinta dalam dirinya dan menyeru (memberi atau menanam) cinta kepada manusia dan makhluk Allah yang lain. Jika seorang manusia membuat kerosakan akan hilang kebahagiaan. Demikian, jika tanah runtuh atau banjir tiba-tiba (tentunya berpunca daripada manusia), juga akan hilang kebahagiaan. Dua elemen ini, rasa cinta dan seru cinta terhadap manusia dan sekalian makhluk Allah, jelas terakam dalam sajak-sajak Muhammad Abdulloh Suradi dalam kumpulan Kuntuman Cinta ini.  



Jihad kebahagiaan harus bermula dalam diri sendiri. Perkemaskan rasa kasih antara manusia, rasa sayang antara makhluk dan rasa syukur menikmati pemberian alam. Dengan adanya rasa kasih, dengan adanya rasa sayang, dan dengan adanya rasa syukur akan terhindarlah jiwa daripada racun dunia. Tidak mudah terhasut dengan kepalsuan. Untuk itu, Muhammad Abdulloh Suradi menyarankan agar cinta yang tumbuh dalam diri hendaklah dijaga dan disirami selalu (sajak Kuntuman Cinta). Disiram dengan apa? Tentunya dengan air keimanan. Dari manakah air keimanan itu dapat diperoleh? Tentunya dari al-Quran dan sunnah Rasulullah. Tuhan telah mencipta manusia dengan sempurna. Maka, menjadi tanggungjawab manusia menjaga kesempurnaan dirinya.



Antara cara menjaga kesempurnaan diri ialah dengan cara syukur, iaitu bersyukur dengan apa yang ada. Jangan tersilau dengan kehebatan dunia orang lain kerana kehebatan dunia itu belum tentu memberi kebahagiaan kepada kita. Jangan teracun ingin menandingi kehebatan dunia orang lain kerana kemenangan itu belum tentu memberi kebahagiaan kepada kita. Berusaha dan bersyukur dengan rezeki secupak yang diperoleh, barulah terasa kebahagiaan. Kebahagiaan sebenar tidak lahir daripada nilai material. Kebahagiaan lahir daripada rasa syukur. Rasa syukur pula lahir (secara tidak langsung) daripada keimanan. Keimanan lahir daripada kefahaman dan ketaatan diri terhadap ajaran al-Quran dan sunnah. Dalam sajak ‘Cinta Abadi Buat Isteri’ Muhammad Abdulloh Suradi membongkarkan rasa syukur dan rasa cinta dalam dirinya: “kutetap menyintai// isteriku/abadi selamanya.”  Sebabnya;



Kerana cintaku padanya

kerana kuntuman iman

yang mekar dalam dirinya

bukan kerana kuntuman

rupa semata



                       (sajak ‘Cinta Abadi Buat Isteri’)





Kuingin pinangmu

kerana kuntuman agama

yang mekar dalam dirimu

ingin kupinangmu

kerana kuntuman akhlak

yang mewangi dalam dirimu

ingin kupinangmu

kerana kuntuman ilmu

yang bisa kupetik dari dirimu

ingin kupinangmu

kerana kuntuman iman

yang mekar dan mewangi

dalam dirimu.



(Sajak ‘Ingin Kupinangmu’)

           

            Daripada rasa cinta yang ada dalam diri, Muhammad Abdulloh Suradi keluar menyeru rasa cinta kepada manusia lain. Sebagaimana dalam diri, rasa cinta terbit daripada keimanan. Justeru, Muhammad Abdulloh Suradi berusaha menanam (menyeru) biji keimanan dalam diri manusia yang lain.



Manusia sebaik ciptaan

lebih mulia daripada malaikat

walaupun malaikat itu

tak mempunyai nafsu

beribadah sepanjang masa

tapi manusia diangkat

menjadi ciptaan termulia

jika utuh imannya.



                       (Sajak ‘Manusia Sebaik Ciptaan’)



Keimanan merupakan hakikat kemuliaan manusia. Manusia beriman tidak melakukan kerosakan, baik terhadap manusia, terhadap makhluk bukan manusia mahupun alam. Jiwanya sentiasa kasih, sentiasa sayang, menghormati dan memelihara ketenteraman diri dan sekalian makhluk-Nya.  Dari diri terbit kemuliaan dan kewangian yang menghiasi dunia dan dapat dinikmati oleh sekalian makhluk Allah yang lain. Justeru, Muhammad Abdulloh Suradi menyeru dan memberi khabar akan rahsia kewujudan segala makhluk Allah akan memberi kesan kepada manusia.



Jadilah umpama

bunga sahabiyah

yang mewangi akhlaknya

...

agar mekar iman dalam hati

yang dihidu wangi akhlak mereka



(Sajak ‘Wangian Bunga Sahabiyah’)



Alam ini punya rahsianya

diciptakan ia bagi siapa

yang ingin berfikir

dengannya wujud bijaksana

dan hikmah dalam diri insan



(Sajak ‘Rahsia Alam’)

           

            Demikian, sedikit catatan tentang cinta dan seru cinta yang melahirkan rasa kebahagiaan, yang terkandung dalam kumpulan sajak Kuntuman Cinta karya Muhammad Abdulloh Suradi ini. Cinta bukan sahaja terhadap manusia (lelaki atau wanita), malahan terhadap semua makhluk dan kemakhlukan Allah yang lain. Menikmati sajak-sajak Muhammad Abdulloh Suradi seakan menikmati kandungan buku-buku yang membicarakan ajaran agama, sekali gus menggambarkan kefahamannya terhadap ajaran agama adalah jelas. Saya tutup catatan ringkas ini dengan seru cinta Muhammad Abdulloh Suradi dalam sajak di bawah sebagai santapan rohani saya dan para pembaca agar pohon keimanan kita mekar dan subur, dan zatnya mendekatkan kita dengan Allah dan Rasulullah.



            Di Samping Nabi

(Inspirasi dari hadith Rasulullah SAW)



Jika kauingin

dekat di samping nabi

di hari nan abadi

alirkan pekerti nan indah dalam diri  



Jika kauingin

dekat di samping nabi

di hari nan abadi

ungkapkan bibirmu dengan selawat

yang mengalir dalam diri



Jika kauingin

dekat di samping nabi

di hari nan abadi

layarkan sunnah ke dalam diri

yang menjadi kompas tunjuk arah sejati



Sandakan

6 November 2012





Nassury Ibrahim

IPG Kampus Bahasa Melayu

12 Jun 2014

Tiada ulasan: