Pada tahun 1990-an, terdapat satu
iklan tentang keselamatan di jalan raya yang disiarkan di televisyen Malaysia.
Iklan itu berbunyi, “Berhati-berhati di jalan raya.” Moral iklan ini adalah
sangat baik. Penganjur menyarankan agar pengguna berhati-hati ketika memandu.
Namun begitu, iklan yang sangat bervisi ini mendapat kecaman hebat daripada
masyarakat, khususnya ahli bahasa. Mengapa? Sebab penggunaan bahasanya sangat
memalukan.
Dalam bidang
morfologi terdapat satu aspek yang dinamakan kata ganda. Yang dikatakan kata
ganda ialah satu proses pengulangan kata dasar. Dalam iklan di atas, kata dasar
yang diulangkan ialah ‘hati.’
Maksud ‘hati’
merujuk kepada seketul daging dalam tubuh manusia. Istilah ‘hati’ dalam Islam
dikenali sebagai ‘qalbu.’ Hati menjadi pusat moraliti manusia. Kalau hati rosak
maka rosaklah seluruh jentera tubuh manusia itu.
Kata ‘hati’ berada
dalam golongan kata nama. Apabila kata ‘hati’ digandakan membentuk kata terbitan,
‘hati-hati.’ Perkataan baharu ini berubah status, dari kata nama kepada kata kerja.
Dalam ilmu bentuk
kata, kata ganda mempunyai tiga jenis, iaitu kata ganda penuh, kata ganda
separa, dan kata ganda berentak. Dikatakan kata ganda penuh kerana seluruh kata
dasar digandakan. Dikatakan kata ganda separa kerana sebahagian daripada kata
dasar telah digandakan. Manakala, dikatakan kata ganda berentak kerana kata
dasar kedua yang digandakan itu mengikut rentak bunyi tertentu. Tentunya ada
kaitan dengan estetika.
Berbalik kepada
iklan, kata yang digandakan ialah ‘hati’ menjadikannya ‘hati-hati.’ Kata
‘hati-hati’ menerima imbuhan awalan beR-. Formulanya;
beR- + kata
dasar = kata terbitan
(ber- + hati-hati
= berhati-hati)
Oleh sebab dalam iklan itu diucapkan
‘berhati-berhati,’ maka kata ganda tersebut adalah salah. Tidak ada kata ganda
‘berhati-berhati’ dalam bahasa Melayu. Yang ada ialah ‘berhati-hati.’ Kata ini tergolong
dalam bentuk kata kerja.
Jika anda melawat
Bandar Tawau, anda akan bertemu dengan bas yang dijenamakan sebagai ‘Bas
Berhenti-Henti.’ Proses pembentukan kata ‘berhenti-henti’ adalah sama dengan
kata ‘berhati-hati.’
‘Berhenti-henti’
merupakan kata kerja. Kata ‘henti’ juga merupakan kata kerja. Apabila kata
‘henti’ digandakan, maka terbentuk kata ‘henti-henti.’ Kata itu boleh menjadi
kata kerja dan boleh menjadi kata nama. Ia bergantung pada mesej dalam ayat.
Frasa ‘Bas
Berhenti-Henti’ di Bandar Tawau adalah merujuk kepada fungsi (a) perbuatan bas,
dan (b) jenama bas. Dikatakan (a) kerana bas itu selalu berhenti sebelum sampai
ke destinasi terakhir. Namun, oleh sebab frasa itu dicatat pada badan bas, maka
fungsi utama frasa itu adalah merujuk jenama bas. Apabila merujuk kepada
jenama, sama ada nama manusia, haiwan, benda, mahupun organisasi, bentuk kata
yang sesuai digunakan ialah kata nama. Maka jenama bas itu sepatutnya, ‘Bas
Henti-Henti.’