TAUTAN KREATIF JIWA BUDI EMPAT PENYAIR MUDA TERENGGANU
Oleh Nassury
Ibrahim
Betapa ramai,
manusia mempunyai satu jiwa yang sama, iaitu ingin sejahtera dan maju. Termasuk
dalam sejahtera ialah rasa damai, bahagia, dan kasih-sayang. Manakala maju
ialah mencapai kejayaan setinggi dan sehebat mungkin. Kejayaan dalam kalangan
masyarakat, kejayaan dalam lapangan kerjaya, dan kejayaan setelah beralih ke
dunia yang lain. Untuk mencapai kesejahteraan dan kemajuan, manusia sentiasa merefleksi
diri dan kehidupan di sekitarnya. Mereka akan menemui pelbagai fenomena yang
memeritkan. Daripada fenomena itu timbul keinginan membaiki pemasalahan, sama
ada pemasalahan peribadi mahupun pemasalahan dari sekitar dirinya. Maka timbul
pula keinginan mencipta, baik dalam aspek material mahupun nonmaterial. Semuanya
untuk mengembalikan struktur budaya dan masyarakat yang telah rosak.
Sifat mencipta ini
dipanggil kreativiti. Nilai kreativiti terbit daripada akal yang sihat dan kaya
maklumat. Manusia selalu mencipta (dan membaharui ciptaan) kerana tidak mahu
kehancuran. Kemajuan pada zaman Yunani dianggap lapuk pada zaman renaisans.
Kemajuan pada zaman renaisans dianggap ketinggalan pada zaman sains, dan seterusnya
pada zaman Teknologi maklumat dan komunikasi kini yang boleh dianggap zaman
kesatuan bangsa dan negara. Bagi mengelak kelapukan nikmat hidup (kehancuran),
manusia terus mencipta dan memperbaharui struktur-struktur kebudayaan material
dan nonmaterial. Mencipta yang baharu atau membaiki yang rosak.