Pertama kali saya membaca nama ini ialah dalam buku sajak Titian Zaman diselenggarakan oleh Ajikik dan Usman Awang. Salah satu sajaknya berjudul Dikir Pelaut Timur. Kemudiannya, saya telah membeli buku ulasan antologi berkenaan yang ditulis oleh beliau.
Saya tidak pasti, bilakah pertama kali berbual dengannya. Yang pasti, saya pernah mendapat bimbingan menulis sajak melaluiprogram Kursus Penulisan Puisi pada 1 - 3 Mei 1986 anjuran Angkatan Sasterawan Terengganu (PELITA). Dalam kursus itu, beliau tertarik dengan sajak saya berjudul Keris Atau Seorang Raja Purba. Sajak itu dimuatkan dalam antologi Warna Kemesraan (1986) diselenggarakan oleh Sharif Putra dan Moharani Tanusi. Kemudian beliau menyiarkan sajak itu dalam Dewan Sastera, Mei 1989.
Beliau merupakan orang pertama menyiarkan sajak saya dalam majalah Dewan Sastera, bulan Ogos 1988, iaitu sajak berjudul Pada satu Ingatan atau Satu Tanggungjawab. Juga orang pertama menyiarkan sajak saya dalam majalah Dewan Budaya.
Sepanjang tahun 1990-an, semasa berkhidmat di Kuala Lumpur, saya sering bertemu beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka. Lazimnya, ada dua tujuan saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Pertama, menghadiri aktiviti kesusasteraan, dan kedua, menghantar karya. Sering kali juga saya mendapat majalah percuma apabila bertemu dengannya. Walaupun disiplin pejabatnya kurang, namun keluaran majalah di bawah kelolaan beliau tidak pernah terlewat. Malah, majalah yang ditanganinya terasa lebih segar.
Selain tugasnya di DBP, jasa paling besar dan bermakna beliau ialah program Baca Puisi Pena (BPP). Acara ini dikelolakannya sejak awal tahun 1990-an dan bertahan hingga beliau melepaskan jawatannya dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Legasi acara itu terus berlangsung sehingga kini dan tetap mendapat sambutan memuaskan. Pada pada, BPP merupakan acara bersiri yang paling lama bertahan di Malaysia.
Jiwa Sutung adalah jiwa sastera. Beliau beraktivis dan berkarya hingga akhir hayat. Keberhasilan karya beliau lebih terserlah setelah bersara dan didampingi penyakit kencing manis. Dalam tahun-tahun terakhir hayatnya, tidak kurang empat buah buku berjaya dihasilkannya.
Itulah sepintas persepsi dan pengalaman saya bersama Sutung Umar RS - beliau seorang guru dan sahabat sekali gus. Saya banyak menumpang tuah beliau dan belajar daripadanya.
Pada 30 Mei 2016, jam 4.35 petang, dunia yang fana ini bukan lagi milik tuan. Damailah tuan di sana, semoga jasa bakti dan amalan tuan mendapat keredaan Allah, aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan