Guru, murid dan negara saling memerlukan. Guru memerlukan murid bagi melaksanakan kerjayanya sebagai guru. Salah satu kerjaya mulia. Murid pula memerlukan guru bagi merealisasikan cita-cita. Walaupun guru bukan pemberi cita-cita, namun guru berupaya mendekatkan impian murid dengan cita-citanya.
Selain diri murid tentunya harapan ibu bapanya yang perlu digalas oleh guru. Tidak ada ibu bapa yang tidak ingin melihat anaknya berjaya. Malah, pada waktu-waktu dan tempat tertentu, keinginan dan impian ibu bapa mengatasi keinginan dan impian anaknya. Hal ini juga perlu digalas oleh guru.
Pihak ketiga yang ada hubungan dan harapan besar ialah negara. Negara meletakkan impian dan harapan pada guru dan murid sekali gus. Negara berharap guru dapat membina dan mencipta murid yang berwatak dan bercahaya dengan 17 nilai murni. Negara juga berharap pada murid agar berusaha mewatakkan diri dengan 17 nilai murni.
Oleh sebab ketiga-tiga pihak saling menaruh harapan, maka ketiga-tiga pihak itu perlu merealisasikan harapan dan impian dua pihak di sebelahnya. Jika hal ini berjaya, maka berjayalah sistem pendidikan di negara kita.
Namun, merealisasikan harapan dan impian tidak semudah mencipta harap dan impian.
Apabila kita mendengar berita murid bersikap kurang ajar terhadap guru, atau guru bersikap kurang ajar terhadap murid, atau kerajaan bersikap deskriminasi terhadap guru, maka perjalanan mencapai harapan dan impian akan mengalami gangguan. Gangguan itu tentulah boleh merencatkan usaha. Untuk mengatasinya, sikap saling percaya dan menjaga tepi kain sendiri sangat perlu.
Jikalau murid menjaga tepi kain sendiri, maka terhindarlah sebarang syak wasangka yang mencacatkan kepercayaan guru. Perbuatan murid memukul guru, mencalarkan kereta guru, menghina guru akan dapat diatasi. Juga, jika guru menjaga tepi kain / seluar sendiri, maka akan terhindarlah perbuatan guru mencederakan murid.
Walaupun tugas guru suci dan impian guru suci, namun kesucian tugas dan impian itu harus selari dengan usaha. Guru tidak boleh memaksa murid menerima kesucian niatnya. Ibarat, kita boleh mengheret lembu ke tepi kolam, namun kita tidak boleh memaksa lembu minum air. Kalau dipaksa juga, lembu akan memberontak. Antara tindakannya ialah menanduk kita.
Jika hal sedemikian terjadi, kedua-dua pihak, juga negara, tidak beroleh manfaatnya. Tugas guru ialah membawa murid ke arah kolam ilmu. Terpulanglah kepada murid mahu meminumnya atau tidak. Tentunya ada sebab jika tidak diminum airnya. Maka, tugas guru mencari waktu yang sesuai untuk tujuan itu agar murid memperoleh manfaat daripada kolam ilmu, tanpa memaksa mereka meminumnya.
Saya tidak bersetuju kalau guru mahu dan memaksa agar semua muridnya lulus dengan cemerlang. Adalah mustahil kita dapat menghasilkan semuanya cemerlang. Semuanya mendapat gred A. Jika semuanya beroleh gred A, pada saya, ada sesuatu yang tidak kena.
Pada setandang mayang kelapa, tidak semua putik menjadi buah. Setengahnya gugur sejak bergelar mayang lagi. Malah, ada yang gugur setelah menjadi kelapa muda. Ada juga yang sempat menjadi kelapa tua, namun tuanya tidak sempurna.
Demikian pada sekelas murid tidak akan semuanya mendapat gred A. Tidak pula yang mendapat gred A itu membawa tuah kepada empunya diri mahupun negara. Jika semua rakyat cerdik, juga akan memberi masalah kepada negara.
Ibarat, jika semua ingin menjadi ketua, siapakah yang akan melaksanakan tanggungjawab bawahan. Siapakah yang akan melaksanakan tanggungjawab pekeranian? Siapakah yang mahu menyiram bunga atau membersihkan pejabat? Tidak mungkin orang yang mendapat gred A sanggup melakukannya. Justeru, cerdik juga membawa masalah sebagaimana orang yang dianggap 'bodoh' juga boleh membawa tuah.
Oleh sebab itu, guru janganlah memaksa atau bertindak hingga di luar batas keguruan dan kemanusiaan, memaksa murid menerima pelajaran. Cukuplah, jika kita dapat melahirkan insan yang murni hati, bersih fikiran, walaupun tidak memperoleh gred A dalam peperiksaan.
Jika kita dapat menghasilkan insan suci jiwa, tentunya muka dan moral kita tidak dicemari dengan cerita-cerita aljuburi sebagaimana berlaku pada hari ini. Dari segi kepandaian, mereka adalah cerdik, pintar hingga menang dalam pilihan raya. Setengahnya berpeluang memegang jawatan penting negara, memikul amanah rakyat. Namun kerana moralnya rendah, mereka menjadi penjana aktiviti aljuburi hingga kita jadi sangat hina.
Maka, guru dan ibu bapa, juga kerajaan, usahlah terlampau mengejar grad A hingga lupa menerapkan kemuliaan moral.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan