Jumaat, 14 Mei 2010

Anugerah Tokoh Melayu Terbilang

Tahniah kepada Tuan Zainuddin kerana diisytiharkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang. Ini anugerah gelaran tertinggi yang akan dikagumi oleh generasi.

Sesungguhnya, pada abad ini (sehingga tahun 2010) dan abad sebelum ini, tidak ada orang Melayu yang terbilang melainkan Tuan. Tentulah besar jasa Tuan sehingga tidak tertanding melainkan Tuan sahajalah gerangan orang yang terbilang itu. Oh, sungguh besar jasa Tuan dan sungguh terbilang Tuan. Tun Abdullah Badawi yang memperkenalkan slogan Cemerlang, gemilang, terbilang itupun tidak terbilang. Tun Dr Mahathir pun tidak tertanding akan terbilang Tuan.

Cuma fikiran Amba yang nakal ini mencari-cari akan bintang yang membenarkan Tuan terbilang. Malangnya, Amba tidak jumpa di manakah terbilangnya Tuan. Barangkali kerana usia Amba baru setahun jagung, maka tidak terjumpa akan terbilangnya Tuan itu. Oh, sungguh hebat orang yang mencadangkan nama Tuan sebagai penerima sulung anugerah gelaran terbilang itu. Tidak ada lagi orang lain melainkan Tuan sahajalah. Sangatlah Amba kagum pada penganjur dan pencadangnya. Pekerjaan yang baik itu haruslah disokong.

Nama Tuan terkenal dan terbilang dalam kewartawanan Utusan Melayu. Tuan pernah menyaluti diri dengan nama Awang Selamat. Nama saduran itu dimusuhi sebilangan rakyat Malaysia. Namun, saya tidak pernah pula mendengar nama Tuan dianugerahi Anugerah Masaysay, atau Anugerah Rahim Kajai, atau Anugerah Kewartawanan. Aneh, tiba-tiba sahaja Tuan dianugerahi Tokoh Melayu Terbilang. Oh, kagumnya saya pada Tuan. Oh, bijaksininya penganjur anugerah gelaran itu dan pencadang nama Tuan. Siapa, ya?

Cuma Amba berharap, yang dimaksudkan 'terbilang' itu bukan maksud 'terbuang' atau 'TT' (Tidak Terbilang). Dahulu pun pernah Amba dianugerahi pingat 'terbilang' juga, iaitu semasa kami main pondok-pondok. Kami saling memberi pingat. Saya menerima Pingat Pemanjat Paling Terbilang. Yalah, saya dapat panjat pokok pinang dan mengambil anak burung yang bersarang di pelepahnya.

Ahhhh ... janganlah anugerah gelaran kepada Tuan itu diberikan oleh penganjur dan pencadang pondok-pondok kerana ia telah diwarwarkan ke seluruh dunia

2 ulasan:

Rahimidin Z berkata...

Kawe setuju. Hak demo tulis ni benar sama sekali.

NASSURY IBRAHIM berkata...

is, is, is. Cicak nga kato bewok. Tak reti sunggoh