Isnin, 10 Ogos 2009

W.S. Rendra


Sebagaimana membaca sajak-sajak Usman Awang, membaca sajak-sajak Rendra juga, aku tidak berasa puas. Apalagi mesej yang diangkat terasa dekat dengan kehidupan yang aku alami dan aku lihat. Namun kini, kedua-duanya telah meninggalkan aku, dengan karya yang sentiasa segar.
Pada aku, antara kelebihan Rendra ialah sajak-sajaknya, persembahan teaternya, mahupun deklamasinya. Ia bukan sahaja memukau khalayak, malahan menakutkan pemerintah. Maka, kerana seni, Rendra seringkali menjadi buruan pemerintah.
Oleh sebab Rendra agak kekirian, maka nama Rendra tidak tumbuh dalam bilik darjah. Aku kenal nama dan sajak-sajak Rendra setelah bergiat dalam penulisan. Aku mendapat banyak tahu tentang Rendra daripada Marzuki Ali. Malah, banyak sajak-sajak Rendra aku baca ketika bertamu di Sanggar Teater Asyik di rumah Marzuki Ali.
Mendengar cerita daripada Marzuki Ali, dan mendengar kaset Rendra mendeklamasi sajaknya, diam-diam aku turut terpanggil ingin menjadi seperti Rendra (kecuali masuk penjara). Pernah seorang penulis bebas dari Indonesia bertanya akan sebab aku berkarya. Aku menjawabnya kerana ingin membetul kepincangan masyarakat. Tentunya, jawapan aku itu dipengaruhi kehebatan Rendra yang membela masyarakatnya.
Memang Rendra seorang yang hebat. Sekali hidup selamanya dia hidup.
Pemergian Rendra, sebagaimana pemergian Pramoedya Anantar Tour, bukan sahaja kehilangan kepada warga Indonesia, malahan warga Malaysia (dan Asian juga) pun turut terasa kehilangan seorang seniman hebat.
MENGENANG W. S. RENDRA
Ada kalanya kematian
membunuh manusia,
namun, kematian engkau
seperti hidup selamanya.

Tiada ulasan: