Sabtu, 22 Ogos 2009

Hak Mutlak

Akhbar arus perdana berbahasa Melayu pada 20 Ogos 2009 menyiarkan kenyataan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung kenyataan politik Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa ahli ke Syurga.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin mengatakan bahawa ketentuan sama ada seseorang Islam masuk Syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah SWT. Saya keliru dengan frasa ‘hak mutlak Allah.’ Prof. Datuk Dr. Shukor Husin sendiri tidak menjelaskan kandungan maksud frasa berkenaan. Pada saya, ketiadaan penjelasan itu boleh mendatangkan kekeliruan.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 500), maksud hak ialah (1) yang benar, kebenaran; (2) kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu (ditentukan oleh undang-undang, agama, adat, istiadat, dll); (3) milik, kepunyaan; dan (4) yang mana satu.

Maksud perkataan mutlak (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005: 1061) pula ialah (1) tidak terbatas (hak, kuasa, dll), tidak bersyarat (tidak ada kecualinya), tidak berbelah bahagi (taat setia, dll), lengkap, penuh, umum; (2) suci. Manakala, maksud Allah (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005: 37) ialah Tuhan (yang Esa).

Merujuk kenyataan Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkenaan hak mutlak Allah untuk menempatkan seseorang manusia itu sama ada di syurga atau neraka. Maksud ‘hak’ lebih menepati maksud nombor (2), manakala maksud ‘mutlak’ pula lebih menepati maksud nombor (1). Dapat disimpulkan bahawa Allah berkuasa atas sesuatu atau berbuat sesuatu dan hak itu pula adalah tidak terbatas.

Kesimpulan ini memberi kekeliruan kerana Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin tidak menjelaskan lebih lanjut tentang kuasa mutlak itu. Tanpa penjelasan, kenyataan itu seakan-akan selari dengan pandangan oreantalis Barat yang mengatakan bahawa Tuhan hanya berkuasa mencipta, tetapi tidak berkuasa mengawalnya. Setelah diciptakan, maka manusialah berkuasa mutlak terhadap hidup dan persekitarannya.

Apakah kuasa mutlak Allah menempatkan manusia di syurga atau di neraka mempunyai syarat lain, atau memang tidak bersyarat?

Secara analoginya dapatlah difahami daripada peristiwa berikut. Ketika Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, dikatakan bahawa hak melantik sesiapa ke jawatan Timbalan Perdana Menteri itu adalah hak Perdana Menteri. Sesiapa pun tidak boleh menafikannya kerana ia adalah hak mutlak Perdana Menteri mencari sesiapa sahaja yang dapat bekerjasama dengannya mentadbir negara. Maka, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed melantik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Perdana Menteri sehinggalah beliau bersara. Jawatan Perdana Menteri yang kosong itu, atas kuasa mutlak Perdana Menteri, beliau melantik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri baharu. Perlantikan itu diadakan dalam majlis khusus dan disaksi oleh rakyat Malaysia. Beberapa hari setelah Tun Abdullah Ahmad Badawi bersara, dan setelah dilantik Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, juga dalam majlis khusus, Tun Dr Mahathir Mohamed mendakwa bahawa sepanjang 22 tahun beliau memerintah tidak ada kesilapan dilakukannya, kecuali melantik Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya jawatan Perdana Menteri.

Atas kuasa mutlak yang ada, Tun Dr Mahathir Mohamed mengakui berlaku kesilapan kerana melantik Tun Abdullah Ahmad Badawi tanpa syarat. Maksudnya, walaupun berkuasa mutlak, seseorang itu masih tetap melakukan kesilapan. Bayangkan, apalagi kalau seseorang yang tidak berkuasa mutlak membuat keputusan.

Memang diakui bahawa Allah mempunyai kuasa mutlak. Kuasa mutlak Allah tidak sama dengan kuasa mutlak Tun Dr Mahathir Mohamed yang tidak bersyarat itu. Kuasa mutlak Allah mempunyai syarat. Syarat inilah gagal dijelaskan oleh Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin hingga kenyataannya itu boleh mengelirukan.

Kalau kuasa mutlak Allah tidak mempunyai syarat, Allah boleh memasukkan sesiapa sahaja ke dalam syurga, termasuk mereka yang bukan Islam, menentang Islam atau Islam sesat seperti ajaran Ayah Pin. Jika Allah berkehendakan orang itu masuk syurga maka masuk syurgalah dia, dan sebaliknya.

Dalam sejarah perkembangan Islam tercatat bahawa orang yang banyak membela Islam, Abu Talib, malah melindungi Nabi Muhammad SAW daripada musuhnya, pun Allah tidak menjanjikan syurga untuknya, melainkan tetap dimasukkan ke neraka, kerana Abu Talib tidak memeluk agama Islam. Tidakkah ini menandakan bahawa kuasa mutlak Allah itu bersyarat.

Setiap hari dan setiap waktu, apabila masuk waktu solat, maka bilal pun melaungkan azan menyeru umat Islam datang bersolat. Soalnya, mengapakah perlu dilaungkan azan dan diseru bersolat? Tidakkah, atas kuasa mutlak, Allah boleh memilih sesiapa sahaja yang disukainya untuk ditempatkan di syurga atau di neraka? Atas kuasa mutlak, orang tidak bersolat pun boleh masuk syurga, dan orang yang beriman pun boleh dimasukkan ke neraka tanpa perkiraan amalan. Atau, mungkin akan berlaku ‘menghalalkan’ azan melalui kaset, bukannya daripada mulut manusia!

Pada saya, walaupun Allah mempunyai kuasa mutlak, Allah masih menetapkan syarat untuk Dia bertindak atas kuasa mutlak-Nya. Tindakan mutlak itu pula masih mengambil kira amalan yang dilakukan oleh seseorang. Di sinilah antara bukti keadilan Tuhan, walaupun berkuasa mutlak, keputusan melaksanakan kuasa mutlak-Nya masih menghitung amalan baik manusia.

Syarat utama yang Allah tetapkan untuk menempatkan manusia ke syurga ialah agamanya, sebagaimana ditegaskan dalam surah al Maedah ayat 3 yang bermaksud, “pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku kepada kamu. Dan aku telah reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Dalam surat alBaqarah ayat 2, Allah berfirman yang bermaksud, “Kitab al-Qur’an ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datang dari Allah dan tentang semprnanya), ia pula jadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Saya percaya, yang dimaksudkan ‘hak kuasa mutlak’ itu adalah hak kuasa mutlak bersyarat yang telah ditetapkan oleh Allah. Mungkin pihak akhbar tercicir merakamkannya.

Dan kenyataan sindiran Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa ‘Nik Aziz lebih daripada manusia biasa’ itu adalah juga kenyataan politik, beritorik dan dangkal.

Sebenarnya, sesiapa sahaja, yang beragama Islam, boleh meramalkan orang yang berpeluang masuk syurga Allah dan orang yang tidak berpeluang masuk syurga Allah. Saya yakin, Karpal Singh, sehingga tarikh ini, tidak akan masuk syurga Allah kerana dia bukan Islam, malah menentang Islam lagi.
Tak tahulah saya kalauTun Dr Mahathir kata boleh.

Di Mahkamah Tuhan

Serumpun cinta
tumbuh di taman larangan
kasihkah menumbuhkannya
tak lagi penting
soalnya, di mahkamah Tuhan
dari sekian taman
mengapakah tumbuh
di taman larangan
yang telah diisytiharkan
larangan-Nya.

1988

Islam

bermula dengan syahadah
ke Allah niat
berakhir dengan syahadah
ke Allah matlamat

Nassury Ibrahim, 2006. Peta Perjalanan. Bukit Mertajam: Persatuan Bahasa Melayu.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Percayalah lu .... baru jelas sekarang

Tanpa Nama berkata...

layak jadi mufti