Selasa, 18 Ogos 2009

Puisi Dalam ICT

Puisi merupakan kata-kata berseni yang lahir daripada rasa halus penyair. Rasa halus itu terbit daripada pergolakan dalam diri akibat gangguan atau rangsangan sesuatu fenomena. Pergolakan dalam diri timbul akibat pertembungan perasaan seni dan fikiran kritis (budi rasa dan budi fikir) yang ada dalam diri pengarang.

Kita bersikap setuju atau tidak setuju terhadap sesuatu isu setelah diproses atau disaring oleh perasaan dan fikiran. Perasaan dan fikiran itu pula berada dalam lingkaran norma yang dibentuk oleh agama dan adat budaya. Hal ini bermakna, puisi yang kita cipta menggambarkan perasaan dan pemikiran kita.

Puisi tercipta bukan lahir daripada perasaan semata-mata. Proses pembentukan puisi diimbangi oleh minda penyair. Puisi matang, berseni dan bermutu mempunyai keseimbangan antara perasaan dengan pemikiran. Puisi yang kaya dengan perasaan semata-mata dianggap ‘over acting’ dan rendah nilai kesusasteraannya. Manakala, puisi yang mementingkan amanat/ idea/ pemikiran semata-mata akan terasa kurang puitis dan tidak berseni. Idea yang baik akan jadi menarik sekiranya disampaikan secara berseni.

Penyair mempunyai kesedaran tinggi akan pentingnya kehidupan baik. Mereka berjuang menegakkan kemanusiaan / keharmonian tanpa mengira tempat dan etnik. Mereka merakam kesedaran itu dengan pelbagai cara dan gaya pilihan. Kepelbagaian gaya pengolahan itu pula dipengaruhi oleh latar peribadi pengarang, masyarakat, pendidikan, ideologi, dan perkembangan semasa. Kepelbagaian itulah yang menerbitkan pelbagai bentuk, gaya dan tema puisi.
Penyair yang perasa tidak akan menulis puisi pujian-pujian atau rasa cinta bererotik tinggi. Mereka akan menulis puisi yang memuatkan perasaan dan pemikiran tentang sesuatu fenomena yang boleh dikongsi.

Dua elemen inilah, perasaan dan pemikiran, yang menjadikan puisi itu menarik, baik dari aspek pengolahan bahasa mahupun pengolahan bentuk. Kedua-duanya menggambarkan perasaan dan minda penyair sebagai manusia bertamadun. Ringkasnya, puisi lahir daripada perasaan dan dimatangkan oleh pemikiran.

Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) merupakan salah satu pencapaian teknologi tinggi yang dihasilkan oleh manusia. Dalam ICT tidak terkandung perasaan. Segalanya bersifat objektif. Kata laluan yang diberikan tidak ada pilihan. Kata laluan salah akan menemui kegagalan, dan sebaliknya. Secara mudah dapat dianalogikan bahawa puisi bertaraf manusia, manakala ICT pula seumpama malaikat. Dalam tindakan manusia terdapat unsur perasaan dan pemikiran. Berlainan dengan malaikat yang tidak mempunyai perasaan.

Status puisi dalam masyarakat Melayu lama adalah tinggi. Puisi menjadi budaya ekspresif baik dalam aspek ritual, kebudayaan mahupun sebagai pengungkapan perasaan. Perkembangan massa dan pencapaian tinggi manusia dalam bidang sains, teknologi dan komunikasi telah membantu puisi mempercepatkan pencapaian mesejnya. Sebahagian peranan puisi disempurnakan oleh ICT.

Sebagai alat komunikasi manusia mencipta ICT untuk memudahkan urusan keduniaan. Malah, untuk mengisi keperluan selepas keduniaan. Manusia menggunakan ICT sebagai alat mencapai kesejahteraan atau kemahuan mereka.

Salah satu rasa kesejahteraan di kalangan penyair ialah mencipta dan mengungkapkan puisi. Para penyair boleh merealisasikan keinginan mereka itu melalui bait-bait puisi dengan bantuan ICT.

Banyak aspek yang boleh dimanfaatkan oleh penyair dalam dunia ICT. Oleh sebab puisi merakam rasa halus penyair, maka penyair boleh menggunakan ICT untuk menyampaikan rasa halus itu kepada manusia lain. Penyair boleh menjadikan ICT sebagai tema puisi. Hal seumpama ini telah lama dimanfaatkan dan dirakamkan dalam puisi. Masyarakat Melayu lama tidak pernah mengalah terhadap perkembangan massa. Sebaliknya, mereka memanfaatkan perkembangan massa dengan mengungkapkannya ke dalam puisi, sebagaimana pantun di bawah.

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berguna lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Dalam pantun di atas kelihatan perihal perdagangan dan ilmu pertanian. Buah langsat, tanduk dan senduduk membawa imej pertanian, manakala tanduk dan gading pula membawa imej perdagangan. Antara mendapatkan tanduk dengan mendapatkan gading memerlukan ketinggian ilmu, kepakaran dan teknologi berlainan. Kaedah untuk mendapatkan tanduk tidak sama dengan kaedah mendapatkan ganding. Perubahan kemajuan ekonomi daripada pertanian kepada perdagangan tidak mematikan seni ekspresif orang Melayu. Mereka merakamkan perubahan itu dalam pantun. Sekali gus pantun itu merakam perubahan minda masyarakat daripada pertanian kepada perdagangan.

Dalam era 1980-an, Tetamu di bawah pimpinan Wan Ahmad Ismail merupakan organisasi penulis pertama di Malaysia yang menggabungkan puisi dengan ICT dalam majlis persembahan. Puisi yang dideklamasikan oleh penyair dipaparkan dalam skrin tv. Dalam majlis deklamasi Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur tahun 2002 anjuran SPMG bertempat di pekarangan Rumah Pena juga turut memanfaatkan ICT melalui tayangan skrin yang lebih besar.

Dunia ICT pada satu sudut menjadi media siaran puisi. Penyair boleh mencipta dan menyiarkan puisi melalui laman blog atau laman web. Sehingga kini, banyak laman-laman blog dan laman web khusus untuk puisi. Penyair boleh membina blog dan web sendiri atau menyalurkan puisi ke dalam blog atau web orang lain.

Kini laman blog dan laman web berfungsi sebagai media massa maya menyiar karya penyair. Sesetengah penyair menerbitkan kumpulan puisi dalam laman web masing-masing sama ada secara berkala atau sepenuhnya. Malah, ada golongan yang memanfaatkan sepenuhnya ICT sebagai medan berkarya. Misalnya, group e-sastera yang diketuai oleh Irwan Abu Bakar. E-sastera juga telah mencetakkan karya-karya dari laman maya ke alam nyata. Sebelum itu, mencetak karya dari alam maya ke alam nyata telah dimulakan oleh Grafiti.

Apabila penyair menyiarkan puisi melalui laman web secara tidak langsung telah memasarkan puisi masing-masing. Pasarannya lebih luas dan cepat. Khalayak pembaca lebih luas. Kelebihan menyiarkan puisi dalam blog ialah pembaca dapat memberi komen, berasaskan cita rasa mereka. Manakala penulis dapat memanfaatkan komen tersebut untuk mematangkan puisi mereka.

Hal ini merupakan bukti bahawa puisi relevan dalam era ICT.

Tiada ulasan: