Rabu, 13 April 2011

Ayat Pengasih

Suatu ketika aku pernah minta ayat pengasih daripada ibu. Ibu menjawab, "Dengar sini." Lantas, ibu pun mengucapkan, seakan-akan pantun.

"Tanah kol tanah kel
tanah kul dalam rokmo
seroko sereke
turut aku semua"

"Gitu je?"

"Ya le. Bila beratur dok depan sekali, kata gitu. Baru ogre ikut kite."

Aku pun melakukannya. Ketika beratur nak masuk kelas, nak ke dewan. Malah, ketika nak naik bas.

Memang benar. Apabila beratur, semua orang (lelaki dan perempuan mengekori aku. 

"Menjadi ayat pengasih Mek bui," kataku kepada kakak.

Tetapi, bukan ini yang aku mahu.

Ahad, 10 April 2011

Melahirkan Warga Bebas Aljuburi

Guru, murid dan negara saling memerlukan. Guru memerlukan murid bagi melaksanakan kerjayanya sebagai guru. Salah satu kerjaya mulia. Murid pula memerlukan guru bagi merealisasikan cita-cita. Walaupun guru bukan pemberi cita-cita, namun guru berupaya mendekatkan impian murid dengan cita-citanya.

Selain diri murid tentunya harapan ibu bapanya yang perlu digalas oleh guru. Tidak ada ibu bapa yang tidak ingin melihat anaknya berjaya. Malah, pada waktu-waktu dan tempat tertentu, keinginan dan impian ibu bapa mengatasi keinginan dan impian anaknya. Hal ini juga perlu digalas oleh guru.

Pihak ketiga yang ada hubungan dan harapan besar ialah negara. Negara meletakkan impian dan harapan pada guru dan murid sekali gus. Negara berharap guru dapat membina dan mencipta murid yang berwatak dan bercahaya dengan 17 nilai murni.  Negara juga berharap pada murid agar berusaha mewatakkan diri dengan 17 nilai murni.

Oleh sebab ketiga-tiga pihak saling menaruh harapan, maka ketiga-tiga pihak itu perlu merealisasikan harapan dan impian dua pihak di sebelahnya. Jika hal ini berjaya, maka berjayalah sistem pendidikan di negara kita.

Namun, merealisasikan harapan dan impian tidak semudah mencipta harap dan impian.

Apabila kita mendengar berita murid bersikap kurang ajar terhadap guru, atau guru bersikap kurang ajar terhadap murid, atau kerajaan bersikap deskriminasi terhadap guru, maka perjalanan mencapai harapan dan impian akan mengalami gangguan. Gangguan itu tentulah boleh merencatkan usaha. Untuk mengatasinya, sikap saling percaya dan menjaga tepi kain sendiri sangat perlu.

Jikalau murid menjaga tepi kain sendiri, maka terhindarlah sebarang syak wasangka yang mencacatkan kepercayaan guru. Perbuatan murid memukul guru, mencalarkan kereta guru, menghina guru akan dapat diatasi. Juga, jika guru menjaga tepi kain / seluar sendiri, maka akan terhindarlah perbuatan guru mencederakan murid.

Walaupun tugas guru suci dan impian guru suci, namun kesucian tugas dan impian itu harus selari dengan usaha. Guru tidak boleh memaksa murid menerima kesucian niatnya. Ibarat, kita boleh mengheret lembu ke tepi kolam, namun kita tidak boleh memaksa lembu minum air. Kalau dipaksa juga, lembu akan memberontak. Antara tindakannya ialah menanduk kita.

Jika hal sedemikian terjadi, kedua-dua pihak, juga negara, tidak beroleh manfaatnya. Tugas guru ialah membawa murid ke arah kolam ilmu. Terpulanglah kepada murid mahu meminumnya atau tidak. Tentunya ada sebab jika tidak diminum airnya. Maka, tugas guru mencari waktu yang sesuai untuk tujuan itu agar murid memperoleh manfaat daripada kolam ilmu, tanpa memaksa mereka meminumnya.

Saya tidak bersetuju kalau guru mahu dan memaksa agar semua muridnya lulus dengan cemerlang. Adalah mustahil kita dapat menghasilkan semuanya cemerlang. Semuanya mendapat gred A. Jika semuanya beroleh gred A, pada saya, ada sesuatu yang tidak kena.

Pada setandang mayang kelapa, tidak semua putik menjadi buah. Setengahnya gugur sejak bergelar mayang lagi. Malah, ada yang gugur setelah menjadi kelapa muda. Ada juga yang sempat menjadi kelapa tua, namun tuanya tidak sempurna.

Demikian pada sekelas murid tidak akan semuanya mendapat gred A. Tidak pula yang mendapat gred A itu membawa tuah kepada empunya diri mahupun negara. Jika semua rakyat cerdik, juga akan memberi masalah kepada negara.

Ibarat, jika semua ingin menjadi ketua, siapakah yang akan melaksanakan tanggungjawab bawahan. Siapakah yang akan melaksanakan tanggungjawab pekeranian? Siapakah yang mahu menyiram bunga atau membersihkan pejabat? Tidak mungkin orang yang mendapat gred A sanggup melakukannya. Justeru, cerdik juga membawa masalah sebagaimana orang yang dianggap 'bodoh' juga boleh membawa tuah.

Oleh sebab itu, guru janganlah memaksa atau bertindak hingga di luar batas keguruan dan kemanusiaan, memaksa murid menerima pelajaran. Cukuplah, jika kita dapat melahirkan insan yang murni hati, bersih fikiran, walaupun tidak memperoleh gred A dalam peperiksaan. 

Jika kita dapat menghasilkan insan suci jiwa, tentunya muka dan moral kita tidak dicemari dengan cerita-cerita aljuburi sebagaimana berlaku pada hari ini. Dari segi kepandaian, mereka adalah cerdik, pintar hingga menang dalam pilihan raya. Setengahnya berpeluang memegang jawatan penting negara, memikul amanah rakyat. Namun kerana moralnya rendah, mereka menjadi penjana aktiviti aljuburi hingga kita jadi sangat hina. 

Maka, guru dan ibu bapa, juga kerajaan, usahlah terlampau mengejar grad A hingga lupa menerapkan kemuliaan moral.

Jumaat, 25 Mac 2011

Video Lucah Datuk T


Sudah acap kali kita dengar penglibatan orang politik dengan aljuburi, sama ada secara halal mahupun secara haram. Asalkan aljuburi, mereka akan menyodongnya tanpa mempedulikan hak miliknya. Ada kalanya mereka sodong aljuburi anak rakan, rakan, isteri rakan, pelacur, remaja dan sesama sendiri. 

Kini satu lagi cerita aljuburi dibawa dan diketengahkan untuk tatapan rakyat. Isu ini dibawa oleh Datuk T (trio) yang diketuai oleh Tan Sri Rahim Thambi Chik, bekas KM Melaka. Yang dipaparkan ialah dikatakan kisah Datuk Seri Anwar. Kita sebenarnya tidak hairan sebab DS Anwar merupakan bekas anggota kumpulan politikus aljuburi. Lainlah kalau pelakunya dari PAS atau DAP.

Oleh sebab beliau yang membawanya, menayang dan memiliki (mungkin juga membiayai penerbitan), maka saya teringat kisah beliau mengaljuburi remaja di Melaka. Kita mengenalinya sebagai Bapak Bohsia Malaysia. Di sini saya paparkan satu tragedi tidak bermoral yang menjadi bertambah tidak bermoral. Di bawah kuasa parti aljuburi, perogol jadi tidak bersalah, pembela pula yang ditangkap dan dipenjarakan. Harap ibu-ibu dan bapa-bapa dapat ambil ikhtibar.

Guru Komited

Pagi tadi aku ke Sekolah X kerana menyelia praktikum. Sekolah X terletak di bawah PPD Kota Bharu. Guru besarnya agak sibuk mengisi maklumat. Fail dan beberapa dokumen (ada yang terbuka dan ada yang bertutup) di atas mejanya. Oleh sebab aku tetamu, terpaksalah guru besar itu melayaninya. 

Panjang kami berbual dan pelbagai isu. Daripada isu pendidikan hinggalah ke isu terbaharu video lucah yang menjadi tontonan para wartawan dan ahli politik Malaysia.

Kata guru besar itu, guru-guru muda sekarang ini kurang ilmu pedagogi dan pendidikan. Mereka gemar berinteraksi dalam kelompok masing-masing. Amat jarang yang menimba pengalaman daripada rakan-rakan sekerja yang sudah senior.

Khamis, 24 Mac 2011

Sejak Pertama Kali Berkarya


Sejak pertama kali berkarya, berkali-kali dia menerima piala puji: dibuai-buai bahasa indah; dikagum-kagumkan rasa pembaca; diwarwarkan ikon sastera negara; dan wajahnya mengiringi media.

Malangnya, sejak pertama kali berkarya, dia tidak lagi berkarya: di media atau aktivis kata; berbual-bual sambil minum menyusur kelazimannya; dan amat sukar ditemui oleh teman-teman lama.

Menurut bekas kekasihnya, sejak pertama kali berkarya, dia kini terdampar dalam hutan kata yang amat kelam dan menyesatkan hingga tak seorang pun rakan dapat menemuinya.

Ya, sejak pertama kali berkarya, dia tidak lagi berkarya. Piala pujinya pun kian berkarat.

25 Mac 2011

Selasa, 22 Mac 2011

Diskusi Pengajian Melayu Siri 3

Majlis ini berlangsung di Dewan Wawasan Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu pada 6 Mac 2011. Sejarahnya bermula apabila Zanazanzaly melalui menghubungi aku facebook meminta memperkatakan kumpulan cerpen pertama. Aku terus sanggup menyediakan tempat dan khalayak. Kemudiannya, Zanazanzaly memohon DBPWT menguruskannya pelaksanaannya.

Aku berasa puas menganjurkan majlis ini. Ada beberapa sebab, iaitu pertama, semester pertama pada setiap tahun para pelajar PPISMP belajar tentang teori kesusasteraan. Aku akan meminta mereka mengaplikasi kritikan teori tersebut terhadap mana-mana karya. Justeru, diskusi ini akan dapat membantu mereka memahami kaedah kritikan. Bagi mempermudahkan tugas pelajar, aku telah meminta mereka mengkritik salah satu cerpen Zanazanzaly. Kedua, aku telah menubuhkan Kelab Bahasa Melayu (Kebayu) pada tahun 2010. Maka majlis ini menjadi sebahagian aktiviti Kebayu. Ketiga, aku bercita-cita menghidupkan aktiviti kesusasteraan di IPGKKB. Tentunya, majlis ini sangat membantu. Bagi mencapai hasrat yang ketiga ini juga, aku turut menganjurkan siri Diskusi Pengajian Melayu dengan cara menggalakkan rakan-rakan sebagai ahli panel. Pada tahun 2010, aku berjaya menganjurkan dua siri. Manakala, pada tahun ini menampakkan kemajuan dari segi kesediaan rakan-rakan menjadi ahli panel. Dalam kertas kerja projek telah tersenarai aktiviti sehingga bulan Oktober 2011. Aku harap perancangan ini berjalan lancar. Pada 20 Februari 2011 telah berlaqngsung Diskusi Pengajian Melayu Siri 3. Encik Ruziman Omar telah dilantik sebagai panel yang memperkatakan "Mendekati Teori Feminisme." 

Ahad, 20 Mac 2011

Terancamkah Orang Melayu?

Pada 18 Mac 2011 bertempat di KTC berlangsung Forum Perdana yang membincangkan FRU 13: Terancamkah Orang Melayu? Ahli panelnya ialah YB Khalid Samad (PAS), Datuk Aziz (UMNO), Dr Asyraf (UIAM) dan Dr Abu Hassan (UM).

Sebagaimana biasa, orang politik saling menyalahkan lawan dan menegakkan diri. Akibatnya, isu perbincangan sering tersasar. Justeru, aku berpendapat forum ini gagal menemui matlamatnya.

Masa depan orang Melayu dalam negara Malaysia mula dibincangkan selepas PRU 12, apabila UMNO BN kalah teruk dalam pilihan raya. Jika UMNOBN masih menang bergaya, permasalahan dan masa depan orang Melayu tidak akan dianggap sebagai isu, sebagaimana tiada usaha memartabatkan kaum peribumi di Sarawak.

Sabtu, 19 Mac 2011

Pakar

Sejak sebulan, Prof Ahmad Pengalaman asyik mundar-mandir tak keruan. Kedua-dua tangan dikilas ke belakang dan jalannya asyik tunduk sahaja. Menurut Setiausahanya, Cik Limah, sudah sebulan juga Prof. Ahmad Pengalaman tidak berselera makan. Makanan yang dibawa olehnya terbungkus kekal di atas meja sopa.

Pada mulanya, Cik Limah beranggapan Prof. Ahmad Pengalaman tidak berselera kerana asyik makanan sama sahaja. Cik Limah ubah menunya, namun makanan itu begitu juga. Terbiar.

Entah kerana kesian, entah kerana tidak sanggup melihat pembaziran, Cik Limah memberanikan diri bertanya akan sebab makanan dibelinya itu tidak terjamah oleh Prof. Ahmad Pengalaman.

Sabtu, 12 Februari 2011

Diskusi Teori Feminis

Demi untuk menambahkan ilmu pelajar, mengubah angin kuliah, dan melatih para sahabat dalam dunia ilmu, maka aku melalui Kelab Bahasa Melayu (Kebayu) yang baharu aku tubuh, menganjurkan Majlis Diskusi Pengajian Melayu Siri 3 pada 20 Februari 2011 pukul 2.00 petang. Ahli panelnya, Encik Ruziman bin Omar. Tajuknya, Teori Feminisme."

Dijemput semua pelajar PPISMP semester 2, khususnya dari IPG-KKB dan IPG-KSM kerana tajuknya merupakan sebahagian daripada tajuk dalam sukatan pelajaran BM2. Bayaran dikenakan RM1.00 perkepala untuk tujuan pengurusan majlis.

Jumaat, 28 Januari 2011

Krisis Keyakinan Terhadap Kemampuan Bahasa Sendiri

Dokumen PA yang dicatatkan dalam bahasa Melayu
Dokumen perakuan dari Malaysian Qualitifications Agency (MQA) sebagai tanda perakuan Akreditasi terhadap kursus yang dijalankan di IPG. 

Dokumen ini merupakan petanda bahasa MQA mengiktiraf kursus yang ditawarkan di 27 IPG di seluruh negara. Kursus bermula sejak tahun 2006 (secara berkembar) dan mulai 2007 dilaksanakan secara solo.

Satu dokumen dikeluarkan dalam bahasa Melayu, sebagaimana di sebelah.

Dan, satu lagi dalam bahasa Inggeris sebagaimana di bawah.


Dokumen PA yang dicatatkan dalam bahasa Inggeris
Walaupun dua dokumen, namun maklumatnya adalah perkara yang sama dengan nombor siri juga sama.

Sukar difahami akan sebab dokumen sama dikeluarkan dalam dua bahasa dan berlainan helaian. Barangkali MQA tidak yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu. 

Hal ini boleh 'dibijaksanakan' dengan cara mengeluarkan satu dokumen Perakuan Akreditasi (PA) dalam dwibahasa dan pada helaian sama.

Isnin, 24 Januari 2011

MQA PPISMP - PISMP

Aku tidak pasti, apakah berita ini ditunggu-tunggu oleh 23 orang anak didikku  (opsyen PM) yang kini telah tamat belajar. Ada antaranya menjadi guru sementara. Ada antaranya masih terumbang-ambing. Atau, berita ini masih mengecewakan.

Mereka telah tamat belajar di IPG pada tahun 2010. Malangnya, mereka tidak dapat dihantar bertugas ke tempat sepatutnya. Ada yang mengatakan, masalah ini kerana kursus yang diikuti tidak diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency) MQA.))

Walau bagaimanapun, pada awal Januari 2011, pihak IPG telah menerima akuan pengesahan kelulusan kursus daripada MQA. Dalam surat itu, tarikh kelulusan diberikan ialah pada 18 Januari 2010. Sudah setahun tarikh kelulusan.  Anehnya, mengapakah mereka, sehingga kini, belum lagi dihantar bertugas secara rasmi. Mereka hanya diterima sebagai guru sementara sahaja.

Sijil Perakuan Akreditasi dari MQA

Yang menjadi masalahnya, pada fikiran saya, ialah nama program (kursus) yang diiktirafkan itu. MQA mencatatkan program tersebut sebagai 'Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan.'

Di IPG, terdapat dua program berurutan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. Terlebih dahulu, mereka diterima masuk sebagai pelajar dalam Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan yang secara ringkasnya dikenali sebagai PPISMP, selama satu setengah tahun (tiga semester). Lulusan PPISMP (mesti lulus) akan ditawarkan ke kursus Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan, yang dikenali sebagai PISMP, selama lapan semester. Mereka dipolakan ke jurusan masing-masing.

Berbalik kepada Perakuan Akreditasi oleh MQA, dicatatkan bahawa kursus yang diperakukan ialah program PPISMP. Saya tidak pasti, apakah catatan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Penguruan itu merujuk kursus peringkat PPISMP dan PISMP. Saya juga tidak pasti, apakah amalan selama ini, perlu kelulusan MQA bagi kursus persediaan.

Setahu saya, nama AHMAD adalah berbeza dengan nama MOHD, atau nama MUHAMMAD adalah berbeza dengan nama MOHAMAD. Tidak pasti pula cara KPM berfikir.

Justeru, saya tidak pasti, apakah berita ini mengembirakan graduan lepasan IPG 2010. Atau, mereka perlu menunggu surat perakuan dari MQA seterusnya bagi program PISMP.  Saya harap biarlah perakuan itu mengembirakan dan mereka dapat bertugas secara rasmi, serta menerima gaji sebagaimana sepatutnya.

Khamis, 13 Januari 2011

Usia

Memasuki 40 mataku hilang sempurna
ada kabus melekat di dinding retina
cerah lampunya tidak seseri wajah
berputih bagai hamparan kapas

memasuki 40 mataku hilang seri sakral
sinar wajah berpinar dan bersilau
berair dan bersisa bumi
tangan mengais menepis najis angin
berpasir bergayut di bibir alis

apakah ini petanda aku dibenci dunia?
hijau mataku kesurutan warna
bagai lutut kecapetan berdiri
bagai nafas kelelahan berlari
mataku medngenyit-mengenyit
mencari kejelasan kanta
mencari kesempurnaan wajah

Tuhan, kalau kekaburan ini
daripada-Mu datang
aku terima sepenuh Cinta
semoga budi dan jasaku
pada Engkau dan semesta bumi
tidak sedemikian mata.

NASSURY  IBRAHIM
Medan: 28 Mei 2007

SIARAN: DEWAN SASTERA, JANUARI 2011

Rabu, 12 Januari 2011

Membakar Interlok

Interlok ialah sebuah novel karya SN Abdullah Hussein. Kisah dalam Interlok diambil daripada realiti etnik yang ada di Malaysia. Novel ini terhasil sekitar 1980-an. Ia bukan novel yang lahir daripada imaginasi pengarang semata-mata. Novel ini merakam realiti etnik - pemikiran, perlakuan, dan imej dari pelbagai persepsi. Ertinya, novel Interlok bertolak daripada realiti fakta. Namun, untuk sesebuah karya kreatif, fakta semata-mata tidak membantu menghasilkan karya yang menarik. Oleh sebab itu, fakta yang ada perlu diimaginasikan. 

Setelah sekian tahun Interlok beredar dalam masyarakat, dibeli dan dibaca oleh pelbagai etnik, sama dari dalam mahupun luar negara, dan antara karya yang mengangkat pengarangnya meraih Anugerah Sasterawan Negara, tiba-tiba Interlok menjadi sangat kontroversi. 

Isnin, 27 Disember 2010

Bertindak Memartabatkan Agama Islam

Saya setuju peringatan yang disampaikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meminta pengusaha pusat beli belah berhenti menyuruh jurujual beragama Islam memakai pakaian Santa Claus (Mingguan Malaysia, 26 Disember 2010). Walaupun bertujuan baik, Santa Claus ialah imej agama Kristian dan larang bagi orang Islam menirunya.

Larangan sedemikian terhadap orang Islam bukan sahaja dalam aspek meniru berpakaian, malahan meliputi aspek lain juga. Orang Islam dilarang sama sekali melakukan atau meniru perkara-perkara yang ditegah dalam agamanya. Hal ini termasuklah meminta jurujual beragama Islam menguruskan barang-barang yang diharamkan dalam Islam. Misalnya, menjaga kaunter bagi urusan jual-beli (pembayaran) arak atau daging babi.

Sabtu, 25 Disember 2010

Pejuang dan Pengkhianat

Pejuang hidup dalam keranda
pengkhianat hidup dalam kuasa.

NASSURY IBRAHIM
5 Jun 2010

siaran: BERITA MINGGU, 20 FEBRUARI 2011

Jumaat, 24 Disember 2010

Gawat hingga Bercawat Kote

Negara aku kini bukan sahaja gawat moral, gawat ketuanan, gawat bahasa, gawat adat budaya, gawat politik, gawat ekonomi, gawat sokongan, dan segala macam gawat, termasuk gawat agama. Gawatnya sudah sampai peringkat bercawat kote.

Dari segi ketuanan, aku berpendapat, memang orang Melayu bukan tuan di negara ini. Partai yang tumbuh dan berkembang di atas batu gemala Melayu pun gagal mempertahankan Melayu dan identiti Melayunya. Adalah pelik, negara yang telah 53 tahun dikuasai oleh pemimpin Melayu masih lagi mengewar-warkan bahawa perjuangan memartabatkan Melayu masih belum selesai. Sial, apakah yang dilakukan oleh mereka selama 53 tahun itu? Melayu sekarang umpama, yang dikejar tak dapat; yang dikendong keciciran.

Bahasa Melayu telah lama ditendang diteranjang ke sana ke sini. Sekejap kata bahasa Melayu merentas kurikulum, sekejap kata bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan ilmu sains dan matematik. Menafikan peranan bahasa Melayu kepada bangsa Melayu di Tanah Melayu (Malaysia) adalah bukti jiwa kecil orang Melayu berkenaan. Lazimnya, dia bukan Melayu tulen.

Yang terbaharu ialah gawat agama. Seorang penguasa agama, Hassan Din, mengatakan Syiah sebagai kilang yang mengeluarkan anak zina. Benarkah? Syiah telah lama wujud. Penganut Syiah bukan calang-calang orang. Ramai antara Syiah jadi pemikir besar Islam pada zaman sekarang. Apakah mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu salah. Hanya tokoh ulamak Malaysia yang menyedari perbuatan haram itu. Bangganya aku. Namun, saya bimbang ia jadi fitnah.

Mufti Harussani pula mengatakan perbuatan meletakan ancak dan menempuntawarkan ancak sebagai tidak bersalahan dengan Islam. Dulu ada pihak mengatakan perbuatan itu salah dari segi hukum-hakam Islam. Kini tidak salah pula. Sebagai orang yang pernah hidup dalam masyarakat wayang kulit dan silat, senang hati aku mendengar bahawa perbuatan ancak-mengancak itu tidak salah. Cuma janganlah pula ada yang mengatakan, selepas ini, bahawa perbuatan itu adalah salah.   

Ahad, 19 Disember 2010

Tinggi Harap Daripada Usaha

Sebagai tutor kertas bahasa Melayu dan sebagai penyelia projek OUM kertas bahasa Melayu, salah satu tanggungjawab aku ialah memeriksa tugasan mahasiswa. Setiap kali memeriksa, aku sering membebel sendirian. Rasa tidak puas hati dan kecewa jelas. Hal ini kerana mahasiswa sangat berharap dan bergantung harap pada markah tugasan. Mereka tidak bergantung harap pada peperiksaan kerana, berdasarkan pengalaman, keputusan peperiksaan banyak mengecewakan. Sedangkan aku tidak dapat memenuhi harapan mereka secara mutlak.

Bukan aku kedekut markah atau sengaja tidak mahu memberi markah tinggi kepada mereka. Masalahnya, mereka hanya berharap tanpa membuktikan harapan mereka melalui penghasilan tugasan, bahawa mereka ingin markah tinggi.

Isnin, 13 Disember 2010

Belajar dari namewee - 2

Pada 30 Ogos 2010 saya mengeposkan satu entri ke dalam blog ini. judulnya, "Belajar dari Namewee." Dalam entri itu saya mengatakan bahawa dia seorang devian terhadap negara. Jika kerajaan tidak mengambil tindakan, bererti kerajaan 1 Malaysia menghalalkan tindakan devian Namewee. Rakyat boleh meteladaninya.

Pada 28 November 2010, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Aziz, memaklumkan bahawa setelah berbincang dengan Jabatan Peguam Negara, didapati Namewee tidak melakukan kesalahan terhadap kerajaan dan tidak melanggar undang-undang yang membolehkan dia diambil tindakan.

Sikapnya menbunjukkan aksi lucah hanya terhadap seorang pengetua di Kulai. Sikap tunjuk aksi lucah ini, barangkali, bersamaan tindakan DS Adnan Yaacob (Menteri Besar Pahang) yang menunjukan aksi lucah semasa menghadiri hari penamaan calon bagi satu pilihan raya kecil. Adnan juga didapati tidak melakukan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang kerajaan Malaysia.

Rupa-rupanya melakukan aksi lucah tidak menjadi kesalahan di Malaysia.

Namun, Nazri sendiri mengatakan bahawa aksi lucah itu hanya salah di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). Saya jadi keliru. Sekejap Nazri mengatakan perbuatan Namewee itu tidak melanggar undang-undang kerajaan, sekejap mengatakan ia salah di bawah SKMM. Apakah SKMM itu bukan undang-undang? Apakah SKMM itu hanya garis panduan pengguna internet? Siapakah penggubal SKMM dan di bawah negara mana? Apakah Malaysia mempunyai undang-undang 'double standart?" Apakah Malaysia ditadbir berasaskan citarasa pemimpin, bukannya undang-undang?

Lebih memeranjatkan lagi apabila Namewee diberikan keistimewaan pula dengan bebas berpakaian di kawasan parlimen yang dianggap mulia (?) dan bebas berpakaian berjumpa dengan menteri. Tidak cukup dengan itu, Nazri berjanji akan membantu Namewee berjumpa Perdana Menteri untuk mendapatkan dana bagi menghasilkan filem tentang 1 Malaysia. Wah, hebat sungguh Namewee!

Tentulah kita juga ingin menjadi hebat semacam Namewee. Untuk itu kita boleh meneladani Namewee.

Belajar daripada tindakan Namewee bererti, kerajaan 1 Malaysia melalui mulut Nazri Aziz, memberitahu bahawa (a) kita bebas melakukan aksi lucah (dalam internet dan luar internet) asalkan aksi lucah itu dituju kepada seseorang, bukannya kepada kerajaan; (b) bebas berpakaian di kawasan parlimen; (c) bebas berpakaian ketika jumpa menteri atau orang kenamaan; (d) boleh 'hina' imej negara dengan melakukan pengubahsuaian; (e) boleh hina sesiapa asalkan bukan politikus kerajaan; (f) negara Islam Malaysia membenarkan sesiapa menghina agama Islam; (g) anda boleh jadi 'penyangak' asalkan sokong kerajaan; (h) anda akan ditolongi untuk memudahkan urusan / birokrasi untuk berjumpa dengan Perdana Menteri; dan (i) anda mungkin akan diberi bantuan modal.

Namun perlu diingatkan juga bahawa keistimewaan ini kepada Namewee atau Wee Meng Chee. Kalau anda Mamat atau Mohammad, anda telah lama diberikan gelang tangan, bilik percuma dan bantuan makan. Mahukah anda hidup dalam sistem seperti ini?

Ahad, 12 Disember 2010

Wanita Fitnah

Berselubung kain jilbab
dia datang kemas bergenggam
pisau fitnah
lalu ditikam abangnya
menggelupur pedih
di atas kerusi perdana
dia menjerit;
"Dengan pisau fitnah ini
tunggulah engkau rakyat
akan aku koyak-koyakkan
mukamu kainmu
selagi ketuanan ini
diselubungi
angin jahat."

12 DISEMBER 2010

Perpaduan Melayu

Itu cerita cita sempurna
maha purbakala
fosil dalam tanah masa
kerana jiwa dan minda waris
mati dalam perang saudara.

NASSURY IBRAHIM
Berita Harian, 11 Disember 2010

Khamis, 9 Disember 2010

Bakar

Seorang pegawai polis menuju ke tempat orang awam yang sedang menyaksi kebakaran rumah kedai.

"Siapa bakar?" tanya pegawai polis itu. Namun, pertanyaan itu tidak mendapat jawapan.

"Siapa bakar?" pegawai polis itu mengulangi pertanyaannya. Matanya melilau-lilau ke arah orang awam. 

Tiba-tiba ada seseorang menjawap, "Dia, Tuan," sambil tangannya menunjukkan ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri di tengah-tengah orang ramai itu. Pegawai polis itu terus menuju ke arah lelaki berkenaan.

"Awak bakar?" tanya pegawai polis itu kepada lelaki berkenaan.

"Ya, saya Bakar. Kenapa, Tuan?" kata lelaki itu.

Tanpa berlengah, pegawai polis itu terus memegang lelaki berkenaan. Lelaki itu meronta-ronta sambil bertanya, "Kenapa ni, Tuan? Kenapa  ni, Tuan?"

Lelaki itu terus dimasukkan ke dalam trak dan terus bergerak diiringi kereta peronda, meninggalkan orang ramai terpinga-pinga.

"Kenapa Bakar ditangkap, Mat?" tanya Sudin, kawan Bakar.

"Entah!" balas mamat.

Rabu, 8 Disember 2010

40 Mutiara Fikir SN Dr. Muhammad Haji Salleh

Berikut kata-kata SN Dr. Muhammad Haji Salleh semasa menutup Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pada 9 - 10 November 2010 di DBP, Kuala Lumpur, yang sempat saya rakam, untuk direnungi.
  1. Kemungkinan pantun berasal dari Palembang.
  2. Sajak saya banyak tentang alam.
  3. Kalau nak tahu tentang maqnusia, masuklah belantara!
  4. Saya tahu pelajar takut pada saya, tetapi saya tidak bengis.
  5. Kini saya beli surat khabar, tengok kartun, dan buang.
  6. Nampak kita mengukur pada pemilikan barang yang kita punya.
  7. Saya juga mencipta sebahagian daripada seketul batu yang cikgu cipta.
  8. Sistem pendidikan yang mencipta kita menghafal.
  9. Kita bangsa penghafal, bukan bangsa pemikir.
  10. Kalau Jepun Islam, akan jadi budaya halus tertinggi di dunia.
  11. Kalau belajar banyak bahasa akan lebih pandai. Akal fikiran kita selalu bergerak, berlatih.
  12. Dahulu di Sungai Acheh (Pulau Pinang) ada sistem batter trade.
  13. Ayah nak jadikan saya ustaz.
  14. Di England, pertama kali jumpa cencaluk dan makan cencaluk.
  15. Saya seronok perpustakaan, selalu masuk perpustakaan. Saya hantu perpustakaan. Kalau pergi Landon, saya cari perpustakaan dulu.
  16. Harvard (Universitu Harvard) ada kira-kira 15 juta buku.
  17. Kita adalah bangsa nombor 1 di dunia yang buang sastera, buang bahasa sendiri.
  18. Bahasa Melayu dalam masa 20 tahun akan jadi bahasa ke-4 di dunia.
  19. Kita tidak dihormati oleh orang Melayu sendiri.
  20. Dahulu banyak orang luar datang belajar sastera Melayu.
  21. Sekarang saya kumpul sajak-sajak saya (ada) sekitar 1400 (buah sajak).
  22. Saya tengah tulis kumpulan puisi lestari.
  23. Saya sedang mula projek autobiografi.
  24. Kadang-kadang saya bangun tengah malam, saya menulis.
  25. Daripada 1400 sajak, tidak kurang 1000 sajak saya ada kaitan tentang alam.
  26. Saya tidak suka cakap terus-terang. Puisi yang baik ialah puisi (yang mengungkapkan mesej) tidak langsung.
  27. Orang Melayu kalau (bercakap) tidak guna campur (bahasa) Inggeris rasa tidak antarabangsa, tetapi Inggeris tidak pernah mencampurkan bahasa(dalam percakapannya).
  28. Bahasa Melayu lebih indah daripada bahasa Inggeris.
  29. Saya edit karya hingga 6 - 7 kali dan apabila tengok lagi masih ada (rasa) tidak puas (hati).
  30. Bangsa kita akan jadi bangsa kosong jika tidak peduli sastera.
  31. Kita tidak sedar kekayaan kita. kita hanya sedar kemiskinan kita.
  32. Kita belum lagi jadi bangsa berilmu.
  33. Walaupun (berusia) telah 68 tahun, masih banyak belum saya lakukan.
  34. Saya sedang berkelahi dengan bahasa Inggeris.
  35. Kawan saya anggap saya pembelot apabila masuk sastera Melayu.
  36. Sastera kita baru, masih mencari arah.
  37. Kalau ada sastera besar dan bahasa besar, ilmu pun banyak.
  38. Bahasa kita sudah masuk arus dunia, hanya kita menyekatnya.
  39. Bukan cikgu yang menghasilkan batu-batu, tetapi sistem.
  40. Kita ada sastera besar dan semua orang datang mengkajinya.

Bilik Tuanhamba

Dulu, kini dan mungkin selamanya. Dalam stor inilah tempat aku bekerja bagi melahirkan tuan bertaraf dunia.

Dalam tahun 2010, kami bergerak dengan kekuatan 16 anggota. Tahun 2011, kami akan bergerak dengan kekuatan 17 anggota. Bergerak dalam bilik seluas bilik darjah.

Mungkin kami terpaksa bergilir masuk bertugas dalam bilik ini.
Pernah anda dengar cerita contoh kolaborasi sepasang suami-isteri. Si isteri akan tinggal dalam kelambu ketika suami keluar. Pada masa yang lain, si suami akan tinggal dalam kelambu ketika si isteri keluar. Sebabnya kerana mereka mempunyai sehelai kain. Ini contoh kolaborasi yang baik. Baik juga untuk kami teladani.

Demikianlah, kami mempunyai sebuah bilik kecil untuk 17 orang bertapak, termasuk kerusi-meja, buku-kerja kursus, komputer-almari. Tentulah ada pelbagai bunyi dan sibuk. Jika mahu menganalisis bahan, membuat penaakulan, mencari maklumat atau apa sahaja kerja yang memerlukan konsentrasi tinggi, maka kami terpaksa mencari tempat-tempat yang lebih sunyi. Oleh sebab semuanya tertumpu di perpustakaan, maka selera perpustakaan pun tidak sesuai lagi. Tentunya, kami terpaksa mencari tempat terbaik. Tempat itu tentunya ....

Selasa, 7 Disember 2010

Dua Orang Sahabat

Berkata Abdul Hadi Awang, “Kita jangan jadi seperti dua orang sahabat. Seorang merancang memelihara kambing. Seorang lagi merancang menanam sireh. Setiap hari mereka bergaduh mengenai siapa yang perlu membina pagar, sedangkan kambing dan pakok sireh belum ada lagi." 

Kini, dua orang sahabat itu dipulau oleh masyarakat kampung kerana sikap mereka yang amat memalukan.

Lebih Baik

Kawanku berkata, "Lebih baik jumpa Wee Ka Siong daripada Fuad Zakarsi. Tanpa janji temu, Wee Ka Siong sedia menyambut tamu. Namun, seribu janji temu belum tentu Fuad Zakarsi tunggu."

Kataku, "Bye, bye, bye."

Rasa Benci

Setiap hari politik mengajar aku bersikap kurang ajar terhadap bangsa, agama, keluarga, raja, profesor, pemimpin, sahabat dan musuh. Setiap hari politik melalui mulutnya bernama televisyen dan tangannya bernama akhbar mengajar aku membenci bangsa, agama, keluarga, raja, profesor, pemimpin, sahabat dan musuh. Sehingga kini aku mempunyai banyak rasa benci. Aku fikir, lebih baik engkau tidak berkata-kata, bersifat belas-kasihan dan membela (jilat ludah sendiri) terhadap martabat yang pernah engkau buang agar rasa benci aku terhadapmu berkurangan.

Menunggu Rawatan

Tiga jam tunggu isteri mendapatkan rawatan di HUSM. Aku tunggu di kereta sahaja. Oleh sebab tiada tempat parkir, aku parkir di bahu jalan. Walaupun musim tengkujuh, hari ini tiada hujan dan panas terik. Agak merimaskan.

Kelihatan satu dua gadis melewati kereta aku, ke keretanya, sambil ketawa hilai. Oh, alangkah baiknya kalau aku bersama mereka! Namun, cinta tidak mengizinkan.

Semasa menunggu itu, hatiku tidak henti-henti bertanya: Macam mana darah ujian boleh hilang semasa isteri mendapatkan rawatan di HUM dulu? Masa itu, kami menunggu dari jam 8.30 malam hingga 5.30 pagi.

Huh, sama saja!

Tuan Hamba

Berkata Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar (maaf, saya tak pernah baca buku tulisan beliau), martabat dan kedaulatan raja-raja Melayu perlu diperkukuhkan dengan mengembalikan imuniti atau kekebalan raja-raja (Mingguan Malaysia, 5 Disember 2010).

Semalam saya bermimpi bertemu Cheng Ho. Dia bertanyakan kepada saya:
  1. Siapakah yang tarik imuniti maharaja?
  2. Kenapa baru sekarang bercakap tentang imuniti maharaja?
  3. Apakah imuniti maharaja boleh memartabatkan orang Melayu?
  4. Mengapa maharaja anda tiada martabat sebagaimana maharaja China?
  5. Ada sesiapa kenal Mahadzir Mammad dan Shaiban Kasem?

Saya tidak tahu apa jawapannya. Saya hanya jawap soalan no. 4 saja, "Sebab negara ambo hanya ada raja, negara tuan hamba ada maharaja."

"Oooo ... begitu," katanya. Tiba-tiba dia bertanya lagi.

"Apakah maksud 'tuan hamba'?"

"Eerr, errr. Mungkin tuan jadi hamba kot. err..er... entahlah," kata saya ragu-ragu. 

Jumaat, 3 Disember 2010

Melawat Pusat Perdagangan Terengganu

Pada 27 November 2010, saya bersama isteri melawat Pusat Perdagangan Terengganu yang terletak di hadapan Bukit Besar. Bangunannya besar dan cantik. Kebetulan ada pameran tentang kraf dan seni tradisional Melayu. Rupa-rupanya barangan seni tradisional Melayu Terengganu masih terpelihara dan diberikan fasa moden. Saya sempat merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenangan.

Alat buat songket
Anyaman Mengkuang
Bakul Rotan
Capal
Pokok Permata
Barangan Tembaga
Anyaman Pandan
Anyaman Bakul
Anyaman Kertas (Pasu Kertas)
Ukiran Kayu
Wau Barat
Kerusi Buluh
Kraf dari Tempurung Kelapa
Alat Batik Cetak
Gadis Penjual Batik Terengganu
Kerusi Buluh

Rabu, 1 Disember 2010

Kenangan Bersama Tokoh

Malim Ghazali Pk
Mohamad Shaidan

SN. Dr. Muhammad Haji Salleh


Tuan Haji Wan A Rafar

PM Arbak Othman

Bersama Monique Zaini-Lajoubert (Perancis)

Rabu, 24 November 2010

Bertemu Mohd Affandi Hassan

Terkejut juga aku apabila, pada 20 September 2010, Leo A.W.S menelefon memberitahu bahawa penulis tersohor, Mohd. Affandi Hassan, ingin berjumpa. Dalam fikiran terbayang kemungkinan ada kesilapan telah aku lakukan. Mungkin beliau ingin mendapatkan beberapa penjelasan daripada aku. Syak wasangka itu bertambah kerana beberapa bulan sebelumnya aku menganjurkan Bengkel Pengajian Melayu yang khusus membicarakan tentang Gagasan Persuratan Baru. Penceramahnya Encik Mazri Ab Rahman dari IPG Kampus Kota Bharu.

Oleh sebab aku tidak pernah bertemu dengan beliau, maka aku mengajak Leo A.W.S dan Encik Mazri Ab Rahman menemani. Ada dua sebab aku mengajak mereka. Pertama, sebagai teman iringan. Dengan kehadiran teman iringan, perbualan akan jadi lebih mesra. Kedua, aku sebenarnya tidak arif tentang nama-nama tempat dan laluan di Kelantan. Aku lebih arif bandar raya Kuala Lumpur atau Seberang Prai (juga Kulim + Lunas) daripada negeri Kelantan. Aku hanya dilahirkan di Kelantan, tetapi dibesarkan di Dungun. Kelantan hanya jadi persinggahan ke rumah saudara-mara sahaja.
 

Khamis, 18 November 2010

Hari Raya Qurban

Segak yang terpaksa berkorban demi keseronokan manusia

Aku sering bertanya dalam hati: Apakah betul nama 'Hari Raya Qurban?' Aku faham 'hari raya' sebagai hari keseronokan kerana akan membeli baju baru, keluar baru dan kasut baru. Pada hari itu aku dapat makan masakan yang sedap-sedap. Tidak seperti pada hari-hari biasa, aku akan bertandang ke rumah demi rumah dan setiap rumah itu pula akan memberi aku makan atau duit.


Berakhirnya riwayat seekor lembu
Walaupun sering ibu beli baju putih, namun keseronokan tetap terasa. Dan, baju itu bermanfaat pada hari-hari seterusnya.

Namun, aku kurang faham sebab dinamakan 'qurban.' Sebab, aku lihat pada hari itu, baik kanak-kanak mahupun orang dewasa, semuanya gembira merainya.


Isnin, 15 November 2010

Baru dan Baharu

Maklumat daripada FB Abdullah Hassan memberitahu bahawa keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka pada 16 Ogos 2010 dan disahkan pada 8 November 2010 memperakui ejaan 'baru' dan 'baharu' adalah variasi bahasa yang boleh diterima pakai. 

Menurut keputusan mesyuarat, perbezaan ejaan itu tiada fungsi makna dan fungsi nahu.

Demikian juga dengan ejaan 'tuk' dan 'tok' sebagai nama khas adalah dibenarkan. Misalnya, Tuk Penghulu atau Tok Penghulu, adalah sama dari segi makna dan nahunya.

Namun begitu, penggunaannya, khususnya dalam penulisan, perlu konsisten. Kalau menggunakan ejaan 'baru' digunakan ejaan 'baru' seterusnya, kalau guna ejaan 'baharu' maka guna ejaan 'baharu' semua sepanjang penulisan berkenaan.

Ahad, 7 November 2010

Bahasa Malaysia Bahasa Rojak

Istilah bahasa Malaysia (bM) lahir pada zaman moden, iaitu zaman setelah wujud negara Malaysia. Malaysia lahir pada 16 September 1963. Namun, pada masa ini masih digunakan istilah bahasa Melayu (BM). Hal ini kerana sememangnya gelaran tersebut ialah BM.

Kelahiran istilah bM ada kaitan dengan inspirasi negara Malaysia, khususnya Perikatan. Hal ini pula berkaitan dengan peristiwa hitam negara, iaitu Peristiwa 13 Mei 1969 (P13). Selepas P13, kerajaan Perikatan mula mengisytiharkan perubahan nama daripada BM kepada bM. Hanya satu sahaja tujuan besar perubahan itu iaitu demi untuk mencapai perpaduan antara kaum di Malaysia.

Selasa, 26 Oktober 2010

BBK kelate

Tahniah DBP dan pihak SUK negeri Kelantan yang menganjurkan BBK 2010 peringkat negeri Kelantan. Ini bukan kali pertama kerjasama sebegini dihulurkan oleh kedua-dua pihak kerana pada tahun lepas (2009) pun berlangsung dengan meriah.

Pada tahun lepas BBK dirasmikan oleh Menteri Besar, TG Dato' Nik Aziz. Tahun ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar pula.

Kalau tahun lepas Prof. Dr Teo yang jadi pemidato. Pada tahun ini, Prof. Emi. Dr Nik Safiah pula jadi pemidato. Kandungan pemidato kedua-duanya amat menarik. Prof. Teo mendedahkan citra bahasa semasa dalam kalangan masyarakat. Manakala, Dr Nik Safiah menjelaskan perihal jenama bahasa Melayu yang sering dikelirukan dengan bahasa Malaysia.

Sebenarnya istilah bahasa Malaysia tidak perlu.  Tidak ada dalam sejarah bahawa bahasa dinamakan sempena nama negara. Hanya mereka yang ada muslihat politik dan kurang faham melakukannya. Mereka lupa undang-undang yang digubalkan. Lantas, mereka sendiri melanggarnya. Mereka lupa bahawa bahasa identiti negara. Oleh sebab itu, mereka 'memperkosakannya.' Inilah pengkhianat bahasa Melayu.

Kalau bahasa dinamakan sempena nama negara, makan akan kacau bahasa itu. Katakan Kerajaan Burma menamakan bahasanya sebagai Bahasa Burma. Apabila nama negara Burma ditukar kepada Miaymar, maka istilah Bahasa Burma juga akan ditukar kepada Bahasa Miaymar. Katakan, nama Miaymar akan ditukar sekali lagi, maka akan bertukar lagi nama bahasanya. Kalau demikian, di manakah hebatnya bangsa mereka? 

Memang susah berurusan dengan orang berkuasa yang tidak reti bahasa.

Ada beza bahasa Melayu dengan bahasa Malaysia. Nanti akan saya jelaskan.

Isnin, 25 Oktober 2010

Bekwoh (Sajak Loghat Kelate)

ghamai-ghamai pakat kelilin
dok cokoh hiris dagin
bele-bele kecek tanya kaba
brusul asal hok tadok puco
kalu susoh pakat ghoyat cagho
hokni buat laguni hoktu buat lagutu
situ ado goni denu ado gotu
bele hiris bele kecek
habis licin lembu sekor

oghe tino kat dapor
hiris bawe tumis awah
basoh dagin basoh begras
buat sirap bele-bele siup api
buboh krisik nga siyor masuk hidung
bresin tak brenti
“bakpo tu,” tanya oghe luar
“awah masok hidung,” jawab oghe dapor

tepi ghumah bawoh pohon jambu
tok imen tok siok tok ngulu
dok kelilin kawah
kucau ghulai kogreh begras
denga sendok pelepoh nyor
ada dok holor kayu
usik bara biar nyala
api kecik takut nasi metah

budok-budok dok kelilin
pokok pise pokok nako
main decok main nusuk
belago spila jago adik
hok buas-buas
dok rukas pohon kayu
dok bruga kelilin tuku

atah ghumah anak daro
pakat buat bunge telo
bunge manggar
pasan lasir pasan cada
suson bare atah neka

sronok oghe kapong bekwoh
pagi pete siye male dok buat kerja
tak srupa banda
tibe-tibe cokoh basal nikah
senyak-senyak sapa kad
ajak make ghula
kalu saklah lambat sapa
tinga bekas tinga apas.


NASSURY IBRAHIM
6 Ogos 2005

Jumaat, 22 Oktober 2010

Tahniah Kepada Zaen dan Zakir

Sekalung tahniah kepada Zaen Kasturi kerana diisytiharkan sebagai penerima anugerah Sea Write Award 2010 anjuran kerajaan Thailand. Zaen Kasturi dikenali dalam genre cerpen dan sajak, merupakan antara penulis generasi baharu yang menonjol selepas Hizairi Othman. Zaen Kasturi atau nama sebenarnya, Zainal Palit, turut juga menulis dalam genre novel, esei kritikan dan rencana. Walau bagaimanapun, pada saya, Zaen Kasturi lebih menonjol dalam genre cerpen. Namun begitu, beliau mempunyai identiti tersendiri dalam genre sajak. Sajak-sajaknya dipersulitkan oleh pendayagunaan bahasa dan kata-kata arkaik.

Dan, tahniah juga kepada SM Zakir kerana diisytiharkan sebagai penerima anugerah Penulis Muda MASTERA 2010. SM Zakir, anak Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan, mula bergiat dalam penulisan sekitar awal tahun 1990-an. Bermula dengan niat untuk 'mengacau' gaya karya-karya yang sedia ada telah mula berubah perlahan-lahan menjadi lebih historikal dan absurd. Sesekali ternampak gaya surrealis mewarnai karyanya. Walaupun Zakir menulis dalam genre sajak, novel, esei kritikan, namun ketokohannya lebih terserlah dalam genre cerpen.

Sekali lagi, tahniah kepada kedua-dua sahabat saya ini. Kejayaan anda menjadi perangsang kepada kami.

Rabu, 20 Oktober 2010

Sesi Bersama Penulis

Pusat Sumber, IPG Kampus Kota Bharu menganjurkan Sesi Bersama Penulis Maniyamin Ibrahim bertempat di Ruang Legar Pusat Sumber. 

Sesi yang diadakan sepanjang 26 September - 15 Oktober 2010 menyediakan ruang untuk berbincang dengan penulis dan menatap hasil penulisannya.

Acara pameran kemudian dilanjutkan oleh Jabatan Pengajian Melayu sehingga 31 Oktober 2010.


Sebahagian hasil-hasil karya Maniyamin Ibrahim

Maniyamin Ibrahim merupakan kakitangan Jabatan Pengajian Melayu, menulis dalam pelbagai genre kesusasteraan seperti sajak, cerpen dan esei kritikan.

Tujuan sesi dan pameran untuk mendedahkan kepada warga IPG-KKB tentang cara dan teknik penulisan yang betul dalam menghasilkan sesuatu karya atau penulisan.