Jumaat, 22 Oktober 2010

Tahniah Kepada Zaen dan Zakir

Sekalung tahniah kepada Zaen Kasturi kerana diisytiharkan sebagai penerima anugerah Sea Write Award 2010 anjuran kerajaan Thailand. Zaen Kasturi dikenali dalam genre cerpen dan sajak, merupakan antara penulis generasi baharu yang menonjol selepas Hizairi Othman. Zaen Kasturi atau nama sebenarnya, Zainal Palit, turut juga menulis dalam genre novel, esei kritikan dan rencana. Walau bagaimanapun, pada saya, Zaen Kasturi lebih menonjol dalam genre cerpen. Namun begitu, beliau mempunyai identiti tersendiri dalam genre sajak. Sajak-sajaknya dipersulitkan oleh pendayagunaan bahasa dan kata-kata arkaik.

Dan, tahniah juga kepada SM Zakir kerana diisytiharkan sebagai penerima anugerah Penulis Muda MASTERA 2010. SM Zakir, anak Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan, mula bergiat dalam penulisan sekitar awal tahun 1990-an. Bermula dengan niat untuk 'mengacau' gaya karya-karya yang sedia ada telah mula berubah perlahan-lahan menjadi lebih historikal dan absurd. Sesekali ternampak gaya surrealis mewarnai karyanya. Walaupun Zakir menulis dalam genre sajak, novel, esei kritikan, namun ketokohannya lebih terserlah dalam genre cerpen.

Sekali lagi, tahniah kepada kedua-dua sahabat saya ini. Kejayaan anda menjadi perangsang kepada kami.

2 ulasan:

saleeh rahamad berkata...

Lupo nak ajok demo gi bangkok hujung bule ni

NASSURY IBRAHIM berkata...

berapa haribulan? naik ngapo?