Ahad, 19 Julai 2009
Polis dan Penjenayah
Selasa, 14 Julai 2009
Siapa Henry Gurney?
Siapakah Henry Gurney sehingga sebilangan ahli sejarawan Malaysia, pihak keselamatan dan pemimpin mengagungkannya? Menurut Che Gu Bard, Henry Gurney ialah warga kelahiran British yang membesar dalam keluarga bangsawan yang percaya bahawa bangsa mereka sahaja yang berdaulat. Semua bangsa lain perlu tunduk kepada kekuasaan bangsawan British.
Sebelum bertugas di Malaysia, Henry Gurney merupakan Ketua Pentadbiran Inggeris di Palestin dari tahun 1946 – 1948. Keganasan beliau yang harus kita ingat ialah menjadi antara perancang yang membawa masuk bangsa Yahudi di seluruh dunia berkumpul di Palestin, khususnya yang berfahaman Zionis. Untuk itu, tanah Palestin dirampas untuk dijadikan tempat perlindungan Yahudi daripada kezaliman Eropah, khususnya Hitler. Dari hanya kawasan perlindungan, 'berkat' usaha gigih Henry Gurney dan dengan kerjasama kerajaan British, Yahudi telah berjaya membentuk negara Zionis Israel lakhanatullah di Palestin. Kini, mereka sedang berusaha memperluaskan wilayah kekuasaan dan menghapuskan orang-orang Islam di Palestin dan tanah Arab.
Menghargai kecekapan beliau memperdaya bangsa Arab Palestin hingga berjaya menubuhkan negara Israel, maka Henry Gurney telah dinaikkan pangkat menjadi Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu pada 13 September 1948.
Perlantikan beliau ke jawatan nombor satu di Tanah Melayu oleh British dengan harapan dapat memperdaya penduduk Tanah Melayu untuk terus mempertahankan sistem kapitalis dan menolak antiimperialis dengan harapan dapat mematahkan gerakan antipenjajah (kemerdekaan) oleh para pembesar, raja, ulama, wartawan dan guru, di Tanah Melayu.
Untuk itu, sejak September 1948, semua pejuang-pejuang kemerdekaan ditangkap, dipenjara dan dibunuh oleh Henry Gurney dengan pelbagai cara. Mereka juga dicop sebagai pengganas kerana menentang kerajaan. Hal ini menyebabkan ramai pejuang kemerdekaan menentang penjajah dilabel sebagai komunis dan pengganas. Ada antara mereka terpaksa melarikan diri ke hutan dan berjuang sebagai gerila. Bagi memutuskan hubungan masyarakat dengan pejuang, kerajaan British memperkenalkan kampung baru (kem tahanan), sekatan jalan raya dan memusnahkan tanaman penduduk kampung.
Dari 1948 – 1951, British bangga dengan Henry Gurney yang berjaya bukan sahaja mengekang tentangan bersenjata malah berjaya memainkan 'psywar' untuk mengheret sama anak tempatan mempertahankan Kerajaan penjajah British dan memerangi pejuang. Ada guru agama yang menanam sentimen antipenjajah ditangkap dan dituduh terlibat dalam kegiatan pengganas.
Henry Gurney begitu menikmati zaman kegemilangannya di Tanah Melayu. Dia dipuja dan dikawal umpama 'Presiden Tanah Melayu'. Bergerak ke mana–mana dengan kereta mewah berjenama Rolls Royce. Di atasnya berkibar bendera Union Jack (bendera penjajah).
Pada 7 Okotober 1951, semua kemegahan Henry Gurney musnah apabila beliau mati dengan tembakan dalam satu serang hendap oleh pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya. Serangan itu dikatakan diketuai oleh Chin Peng. Isterinya yang turut berada di dalam kereta itu tidak dicederakan.
Barangkali kerana berjaya membunuh Henry Gurney, bekas-bekas tentera begitu marah kepada Chin Ping. Sedang mereka tidak pernah marah kepada Henry Gurney yang membunuh rakyat dan merampas tanah Palestin, mencemar tempat-tempat suci Islam dan membunuh pejuang-pejuang Melayu yang menuntut kemerdekaan. Dan lebih dahsyat lagi, tergamak mereka merai Henry Gurney sebagai hero yang harus diingati sebagaimana usaha mempamerkan papan tanda sebagai mengenang tempat kejadian pembunuhan Henry Gurney. Kata-kata itu sebagaimana di bawah.
Henry Gurney bersama isterinya dan setiausaha peribadi D.J Stapler bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Bukit Fraser untuk urusan rasmi dan berehat. Apabila kereta Rolls Royce yang membawa rombongan Gurney itu dengan kibaran bendera 'Union Jack' oleh Konstable Mohd Din sedang mengambil selekoh S di bt. 56 ½, kira – kira 8 batu dari Bukit Fraser tiba – tiba Rolls Royce menjadi sasaran peluru pengganas komunis.
Kata Che Gu Bard, ayat di atas menggambarkan kita tidak pernah belajar untuk menulis sejarah sendiri. Tulisan penjajah merakam sejarahnya kita salin bulat–bulat. Kita bangga dengan kibaran Union Jack. Kita sedih dengan kematian Henry Gurney. Namun, tidak ada sebaris pun rasa sedih pada nasib yang menimpa Konstabel Mohd Din yang menjadi pemandu Henry Gurney. Malang sungguh, ahli sejarah, pihak berkuasa tempatan dan pihak keselamatan (polis dan tentera) tidak dapat menilai antara sejarah pejuang dengan sejarah penjajah di Malaysia.
Begitu kuat kesan penjajahan terhadap rakyat Malaysia. Walaupun lebih 50 tahun merdeka, ternyata minda segelintir rakyat Malaysia masih terjajah. Apakah kita perlu menghormati mata rantai penjajah ini? Kedua-duanya, Chin Peng dan Henry Gurney, adalah sama-sama penjenayah kepada bangsa dan negara Melayu.
Lu fikirlah sendiri.
Isnin, 13 Julai 2009
Sisir Linggi
Wanita Batek di Kampung Pasir Linggi
Setelah rambut disikat, sisir itu akan dipacak pada rambut di bahagian belakang kepada, sebagaimana dipacak pada sanggul oleh kebanyakan wanita.
Sisir Linggi bersama bekas panah beracun
Antara Rakan-Rakan di IPGM - Kampus Tuanku Bainun
Mantan KJ Jabatan Pengajian Melayu, Puan Zahariah Zainuddin, gemar memasak dan sedap.
Landak Albino
Sokong Mansuh PPSMI,
Telah banyak kajian dibuat oleh tokoh-tokoh, organisasi, NGO dan sebagainya yang mencapai lebih 2/3 memihak agar PPSMI dimansuhkan. Hanya kajian PAGE dan tanggapan Tun Dr. Mahathir, segelintir guru bahasa Inggeris dan bekas YB sahaja yang menyokong tanpa sebab yang jelas.
Saya kesal dengan sikap dan tindakan Datuk Sri Dr. Mahathir terhadap PPSMI. Beliau menjadi doktor tersalah ubat dan PAGE pula merupakan penyokong kebutaan matlamat. Dari segi sejarah, pendaulatan terhadap bahasa Inggeris bermula dari rasa kecewa Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed terhadap duta-duta dan pegawai diplomatik Malaysia yang tidak fasih dan tidak petah bersilat lidah di gelanggang bahasa Inggeris. Hal ini menyebabkan khidmat mereka mengikat tali persahabatan dan 'menjual' Malaysia gagal mencapai matlamat. Kehadiran mereka tidak sampai ke jantung hati masyarakat setempat. Maka tidak hairanlah negara Singapura lebih dikenali daripada Malaysia, walaupun Singapura sebesar jari telunjuk, manakala Malaysia segenggam tangan.
Dalam masa sama, berlaku masalah ketidakupayaan pelajar di sekolah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Guru Bahasa Inggeris gagal meningkatkan keupayaan pelajar menguasai bahasa Inggeris. Anehnya, kerana kegagalan itulah kerajaan memberi imbuhan 10 % kepada mereka, manakala guru yang berjaya meningkatkan keupayaan pelajar dalam subjeknya mendapat putih mata dan tidak dihargai. Rupa-rupanya, kepincangan dan kemerosotan produktiviti adalah penting untuk meningkatkan sumber ekonomi dan opengiktirafan!
Daripada dua permasalahan itu, MT UMNO tahun 2002 di bawah Presiden Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed, dan kabinet (baca karbinet) Malaysia tahun 2002 di bawah Perdana Menteri Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed cuba mengatasinya dengan cara menginggeriskan segala pembelajaran dan pemerolehan ilmu Sains dan Matematik rakyatnya.
Barangkali inilah etika doktor-doktor Malaysia (baca doktor pencen) merawat pesakit dengan cara memberi ubat kencing manis kepada pesakit darah tinggi.
Tidak ada sesiapa yang menghalang sesiapa yang ingin mengajar dan meningkatkan bahasa Inggeris kepada sesiapa pun rakyat Malaysia. Malah mereka dialu-alukan mengajar bahasa-bahasa lain yang ada di muka bumi kepada rakyat Malaysia.
Yang dikesalkan ialah mengapa dipilih bidang Sains dan Matematik untuk diinggeriskan. Dua subjek ini, dan bahasa Inggeris, memang sudah terkenal menjadi barah orang Melayu. Melalui PPSMI, kelemahan orang Melayu dalam dua subjek itu ditindih pula dengan kelemahan bahasa Inggeris, menjadikan orang Melayu menghadapi dua kali lemah untuk menguasainya.
Pada tahun 1970-an dan 1980-an, sudah terbongkar bahawa ramai (hampir majoriti) mahasiswa-mahasiswa Melayu yang mengambil bidang Sains (kejuruteraan misalnya) di universiti tertentu di Malaysia gagal menghabiskan pengajiannya. Semuanya agara-gara bahasa Inggeris. Nampak kabinet di bawah pimpinan Datuk Sri Dr. Mahathir mohamed tidak belajar daripada sejarah tersebut menyebabkan kita meragui ketulusan hati mereka untuk menolong orang Melayu. Jika diteruskan, projek PPSMI akan mengulangi sejarah hitam orang Melayu. Justeru, adalah wajar YAB Tan Sri Muhyidin memansuhkannya, dan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed dikecam rakyat.
Lagipun, tidak semua pekerjaan yang kita lakukan memerlukan kefasihan berbahasa Inggeris untuk mencapai tujuan. Ramai perniaga di Thailand yang saya temui tidak tahu berbahasa Inggeris, namun urusan perniagaan tetap berjalan lancar dan Thailand merupakan antara negara yang cemerlang industri pelancongannya. Jauh meninggalkan industri perancongan Malaysia walaupun pelbagai galakan dan iklan dilakukan di luar negara.
Kepada penyokong-penyokong PPSMI, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamed, alihkan sokongan itu dengan cara mencari cara meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain kepada para generasi sebagaimana dikehendaki.
Walaupun kita bimbang para generasi muda tidak petah berbahasa Inggeris, anehnya subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu tidak ditawarkan kepada pelajar tingkatan enam, sebagaimana berlaku dalam tahun 1980-an. Dua subjek itu kian terhapus. Ada sekolah tidak menawarkan langsung subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu (bawah KPM) kepada pelajar tingkatan enam. Namun, nasib bahasa Inggeris lebih baik kerana ia diselamatkan oleh MUET. Hanya nasib Bahasa Melayu yang masih belum terbela.
Hal ini perlu difikirkan juga kalau benar kita menyayangi bangsa dan negara.
Rabu, 8 Julai 2009
Mencapai Hasrat
Yang koyak ditampal
Yang kurang ditambah
Yang pendek disambung
Yang hak disempurna
Yang tiada dicari
Yang kotor dicuci
Hasrat dan cita-cita
NASSURY IBRAHIM
Selasa, 7 Julai 2009
Menjadi Bangsa Bijaksana

Demikian, kalau engkau mendapati bahasamu tidak sempurna, ia tetap menjadi bahasamu. Dan, betapa cantik dan sempurna pun bahasa Inggeris, ia tetap milik orang lain. Engkau tidak akan sekali-kali bertukar menjadi orang Inggeris. Hitam matamu tidak akan biru. Pun sawo kulitmu tidak akan putih. Adalah menjadi tanggungjawab engkau, wahai diriku, melengkapkan ketidaksempurnaan bahasamu itu. Diwarisi ia oleh anak dan cucumu hingga mereka jadi persis bangsamu. Baharulah benar kata Laksamana Hang Tuah, "Tidak Melayu hilang di dunia" dan engkau digelar bangsa yang bijaksana.
Isnin, 6 Julai 2009
IPGM / BPG Bukan Keluarga Mesra Anak
Ahad, 28 Jun 2009
Laporan Kaji Selidik Penggunaan Bahasa Malaysia di IPT
Maklumat berikut ialah laporan Kaji Selidik Penggunaan Bahasa Malaysia di Institusi Pengajian Tinggi (KSPBMIPT) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1989 (13.12.1989). Laporan KSPBMIPT ini berdasarkan pendapat 2320 daripada 2990 orang respoden. Mereka terdiri daripada pelajar seramai 1185 daripada 1700 orang, tenaga pengajar (630 / 710), pentadbir (190 / 250) dan siswazah (323 / 330). IPT terlibat ialah UM, UKM, UPM, USM, UTM, UUM, dan ITM (kini UiTM). Cuplikan aspek dan hasil kajian itu sebagaimana di bawah.
(A) MATLAMAT / TUMPUAN KAJIAN
- Untuk mengenal pasti kejayaan penggunaan bahasa Malaysia di IPT
- Untuk menilai mutu penggunaan bahasa Malaysia di kalangan pensyarah, pelajar & pentadbir di IPT
- Untuk menilai pencapaian penggunaan bahasa Malaysia dalam hubungannya dengan kerjaya siswazah yang lahir hasil daripada pendidikan bahasa Malaysia.
- Untuk mengenal pasti masalah-masalah penggunaan bahasa Malaysia, di kalangan pelajar, tenaga pengajar dan pentadbir di IPT.
(B) CIRI-CIRI BAHASA MALAYSIA LISAN YANG BAIK
- Sebutan yang betul
- Tidak menggunakan bahasa pasar / loghat daerah
- Tidak bercampur dengan bahasa asing
- Bahasa indah yang sedap didengar
(C) CIRI-CIRI BAHASA MALAYSIA TULISAN YANG BAIK
- Ejaan yang betul
- Nahu yang betul
- Tidak bercampur dengan istilah asing yang masih belum diterima umum.
(D) SYOR MEMBAIKI TAHAP PENGGUNAAN BAHASA MALAYSIA
- Pengiatkan usaha-usaha DBP dalam kerja-kerja terjemahan, penggubalan istilah, penerbitan buku, risalah, daftar sebutan dan ejaan
- Memantapkan pelaksanaan bahasa dengan menggunakan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi di IPT. Kesalahan-kesalahan bahasa hendaklah dikesan dan tindakan tegas hendaklah diambil.
- Tanamkan semangat penggunaan bahasa Malaysia melalui pendidikan di Media massa, taklimat, seminar dan kursus.
- Pertingkatkan penguasaan bahasa Malaysia di kalangan tenaga pengajar dengan mengadakan kursus-kursus bahasa Malaysia dan seumpamanya,
- Pengambilan dan kenaikan pangkat pekerja di IPT didasarkan pada kemampuan berbahasa Malaysia.
- Penghayatan penggunaan bahasa Malaysia di kalangan ahli-ahli politik, pemimpin-pemimpin negara dan pegawai-pegawai atasan.
Selasa, 23 Jun 2009
Perak 2009
Badut-badut Sarkas dan seorang gembala
beraksi di gelanggang demokrasi
memburu tiga ekor anjing liar.
16 Jun 2009
Isnin, 22 Jun 2009
Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati
IMRAN HO-ABDULLAH dan NORSIMAH MAT AWAL,
Si Pengait Hukum
setelah seharian kali gagal
memetik buah pilihan
si pengait hukum itupun
menukarkan
galah dakwaannya.
21 Jun 2009
Ahad, 21 Jun 2009
Semangat Tol
Ini ialah pondok tol terkini, terdapat di depan stesen kereta api Sentol. Mungkin ia pondok tol untuk parkir kereta di depan stesen tersebut. Mungkin jua ia pondok tol jalan ke stesen berkenaan. Yang menarik untuk direnungi ialah belum pun siap sepenuhnya laluan atau tempat parkir, pondok tol telah siap dibina. Ternyata, semangat mendapatkan duit mengatasi keperluan atau kepentingan lain. Adakah ini bentuk pemikiran kita sekarang?
Selasa, 16 Jun 2009
Menonton Wayang Pacak
"Tidur atas padang," jawab aku dan ibu percaya. Sampai sekarang, tiada seorang pun tahu, budak yang berlaga basikal dengan Makcik Munah itu ialah aku.
Isnin, 15 Jun 2009
Sokong KPLI 18 Bulan
Memang telah dikenal-pasti bahawa kelemahan guru melaksanakan P & P datang daripada kalangan guru lepasan KPLI. Hal ini terjadi disebabkan beberapa faktor.
Antaranya, pertama, opsyen yang ditawarkan di IPGM tidak sama dengan major / minor malahan kertas yang diambil semasa di universiti. Tinjauan terhadap 20 orang guru pelatih (GP) opsyen Pengajian Cina di IPGM-KTB pada tahun 2007 mendapati major dan minor mereka semasa di universiti ialah dalam bidang akaun, ekonomi, kejuruteraan, perniagaan dan komunikasi. Kali terakhir mereka belajar bahasa Cina semasa di tingkatan lima. Tinjuan terhadap 26 orang GP KPLI (Pemulihan Matematik / Bahasa Melayu) di IPGM-KKB pada tahun 2009 pula mendapati hanya seorang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Linguistik. Yang lain berkelulusan komunikasi, bio-teknologi, perniagaan, sumber manusia, penyiaran dan kejuruteraan. Adalah mustahil guru pelatih (GP) dapat menimba ilmu dalam bidang bahasa Cina, pemulihan Matematik dan pemulihan bahasa Melayu dalam masa singkat, sedangkan mereka akan mengajar subjek berkenaan.
Kedua, masalah cuti. Dalam masa setahun berkursus, GP akan menjalani praktikum dalam semester kedua pengajian, sekitar tiga bulan. Proses P & P berlaku dalam semester pertama pengajian, bermula pertengahan Januari – Mei atau Julai – Oktober, iaitu sekitar empat bulan. Sepanjang semester berkenaan terdapat pelbagai jenis cuti umum dan cuti rasmi IPGM. Jumlah cuti sekitar sebulan. Ini telah memendekkan masa pelaksanaan P & P.
Ketiga, kesibukan pensyarah. Ramai pensyarah IPGM yang menjadi kakitangan tidak rasmi bagi BPG, Kurikulum, Pen dan segala unit / bahagian yang ada di kemnterian. Mereka dipanggil bagi menyelesaikan kerja-kerja atau mesyuarat di pelbagai unit / bahagian, di samping menjalani pelbagai jenis kursus anjuran BPG / KPM dan IPGM sendiri. Ada pensyarah berstatus ‘tough N go’ kerana melaksanakan urusan BIG, ICT, KAP, KIA 2M, projek Rintis, Projek Pensiangan Salinatan, temu duga dan sebagainya. Ada sesetengahnya hanya berada di IPGM selama sehari atau dua hari dalam sebulan.
Keempat, aktiviti rasmi IPGM, BPG dan KPM. Aktiviti-aktiviti rasmi yang bersifat kolektif perlu dihadiri oleh GP dan pensyarah. Ada kalanya aktiviti itu memakan masa sampai seminggu. Misalnya, aktiviti BIG, ISO, mesyuarat, sambutan perayaan / perhimpunan, projek luar, aktiviti Gerko, seminar, sukan dan sebagainya yang menyebabkan kelas terpaksa ditunda. Berdasarkan empat faktor kekangan di atas, maka saya bersetuju tempoh kursus KPLI selama 18 bulan. Tempoh ini perlu juga diperluaskan ke peringkat universiti, khususnya bagi graduan yang mengikuti kursus Diploma Perguruan.
Ahad, 14 Jun 2009
Surat Terbuka Kepada Menteri Pelajaran, YAB Tan Sri Muhyidin Yassin (1)
Saya menulis surat ini sebagai reaksi terhadap permintaan YAB Tan Sri tentang mewajibkan lulus bahasa Inggeris bagi graduan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Secara ikhlas saya tegaskan bahawa saya tidak bersetuju dengan cadangan itu, sebagaimana saya tidak setuju dengan program PPSMI. Saya bimbang, jika cadangan itu dikuatkuasakan akan menyebabkan berlaku keciciran dan membunuh mutiara negara.
Biarlah saya menceritakan sedikit pengalaman peribadi sebagai alasan sebab penolakan tersebut.
Saya berasal dari Kelantan, besar dan bersekolah di Terengganu. Sebagai orang Pantai Timur, kami lemah dalam bahasa Inggeris, walaupun tinggi akhlak. Keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP/PMR) saya mendapat gred 9 bagi subjek Bahasa Inggeris. Gred sama saya peroleh bagi SPM walaupun pada sijil SPM itu tercatat Pangkat Satu. Apabila saya melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan, saya hanya dapat pangkat 'lulus' untuk kertas Bahasa Inggeris. Dan, semasa di Universiti Malaya, saya hanya memperoleh gred D pada setiap semester bagi kertas Bahasa Inggeris.
Namun begitu, bagi kertas lain saya berupaya memperoleh banyak gred B dan gred A. Hasilnya, setelah keputusan dirumuskan, saya layak memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera Kelas Pertama. Pencapaian cemerlang ini tidak akan saya peroleh jika keputusan kertas bahasa Inggeris saya gred E. Dalam masa sama, ramai mahasiswa yang fasih bercakap bahasa Inggeris sekadar memperoleh ijazah kelas dua, kelas tiga dan am.
Hasilnya, saya dapat berkhidmat sebagai guru dan pensyarah, membimbing anak-anak bangsa. Kini, ramai anak-anak asuhan saya yang berjaya, berjawatan tinggi, berkelulusan tinggi dan bergaji tinggi.
Daripada pengalaman itu, saya sedar bahawa saya sangat lemah dalam subjek Bahasa Inggeris, tetapi pintar dalam subjek lain. Saya mampu berkhidmat kepada negara dan masyarakat dengan baik, tidak pernah menerima surat tunjuk sebab kerana gagal melaksanakan tugasan, dan setiap arahan saya (dalam bahasa Melayu) difahami, walaupun tidak betah bercakap bahasa Inggeris.
Jika sijil SPM saya 'dimatikan' awal-awal lagi kerana gagal subjek Bahasa Inggeris, bererti masa depan saya sudah gelap dan hancur di tangan kerajaan pilihan saya sendiri. Tanpa kelulusan SPM, apakah pekerjaan yang dapat saya lakukan? Syarikat manakah akan ambil saya sebagai pekerja. Atau, saya perlu melanjutkan kerja buruh kasar sebagaimana dilakukan oleh ayah. Tentunya, saya juga bercita-cita besar seperti anda semua. Saya ingin mengubah kemiskinan hidup yang diwarisi. Namun, tanpa kelulusan, apakah pekerjaan yang dapat melarikan diri daripada pelukan kemiskinan? Atau, apakah saya akan jadi penjenayah (perompak, peragut, pencuri atau pengedar dadah) kerana saya juga memerlukan wang.
Hal-hal yang sedemikian itu perlu YAB Tan Sri dan Kementerian Pelajaran fikirkan. Kita tidak tahu di manakah mutiara masa depan negara tersembunyi. Pelajar paling cemerlang dalam SPM tahun 2008, Sdr Mardiah, terdapat dalam cengkeram kemiskinan, tinggal bersebelahan Lapangan Terbang Sultan Yahya Petra, yang menjadi laluan para cerdik-pandai dan pembuat dasar kerajaan. Nasib baik beliau dapat meneruskan pelajaran hingga peringkat SPM dan kita dapat tahu sinar mutiaranya.
Negara kita juga pernah berbangga dengan beberapa orang genius. Dalam usia kanak-kanak mereka dapat menyelesaikan permasalahan subjek orang lebih dewasa daripadanya. Mutiara genius ini juga akhirnya terkubur disebabkan sistem pendidikan kita. Sekarang kita tidak tahu nasib Adi Putra. Adakah mutiara dirinya masih berkilauan, atau sudah terkubur menyusur genius-genius sebelumnya.
Saya amat berharap, Kabinet Malaysia, YAB Tan Sri (sebagai Menteri Pelajaran), Pengarah Pelajaran Malaysia dan kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil kira hal-hal di atas sebelum membuat keputusan. Janganlah anda mencipta mitos bahawa hanya mereka yang lulus bahasa Inggeris akan berjaya, sebagaimana diwar-warkan oleh Dr. Mahathir.
Memang saya sedar kepentingan bahasa Inggeris. Namun, walau sepenting mana sekali pun, ia tidak semestinya berguna untuk semua orang. Dan, tidak semua orang yang gagal menguasai bahasa Inggeris itu tidak berguna, 'dimatikan' sijil SPM miliknya dan menganggap mereka tidak dapat membangunkan negara ini.
Sekian.
Anak Sasterawan Negara Hina Tetamu Majlis Ayahnya
Episod yang memalukan itu berlaku dalam sesi kedua semasa soal-jawab terhadap pemakalah A. Halim Ali. Seorang peserta, yang juga tetamu dari Makasar (Sulawesi) yang bangga dengan sumbangan Arena Wati, bertanya tentang perihal tiga hujung yang menjadi falsafah dan amalan orang Bugis di perantauan. Tiga hujung tersebut ialah hujung lidah (lisan), hujung pena (senjata) dan hujung kemaluan (zuriat). Apakah ada kombinasi penggunaan tiga hujung ini terpancar dalam karya Arena Wati, khususnya dalam karya Endan Gulingku.
Belum sempat A. Halim Ali menjawab, anak lelaki Arena Wati yang datang bersama ibunya, Puan Halimah, dengan wajah bengis dan tangan baju bersising ke pangkal bahu, memaksa si bertanya, juga keturunan Bugis Makasar, datang ke depan dan bersujud di kaki ibunya, Puan Halimah.
Episod yang saya sangka gimik atau demonstrasi tiga hujung itu benar-benar serius hingga Puan Halimah sendiri terkejut. Dengan wajah bengis, si anak memberi amaran agar si bertanya keluar dewan dan tidak datang lagi. Sikap si anak itu cuba ditenteramkan oleh Dr Ibrahim Ghafar dan Prof. Dr. H. Zainuddin Taha, dan disaksikan oleh semua peserta seminar.
Terpanggil dengan tingkah biadab anaknya itu, Puan Halimah bangun mententeramkan kehairanan para peserta. Secara ikhlas, beliau meminta maaf daripada penganjur dan pemakalah serta merayu agar para hadirin tidak ikut rasa marah. Jelasnya, perkahwinannya dengan Arena Wati adalah untuk menghubungkan silaturahim melalui jambatan sastera antara dua bangsa yang berdekatan yang sedang menghadapi permasalahan sama ketika itu, iaitu penjajahan.
Sebelum itu, dalam tayangan video, Puan Halimah memberitahu beliau menetapkan empat syarat apabila dilamar oleh Arena Wati. Empat syarat tersebut ialah Arena Wati hendaklah sanggup meninggalkan keluarga dan tinggal bersamanya, sanggup menjadi rakyat (warganegara) Tanah Melayu, hidup bersamanya hingga mati, dan sanggup berbakti kepada Tanah Melayu.
Dalam masa Puan Halimah mententeramkan kehairanan hadirin, si anak bersemuka dengan si bertanya di Bilik VIP. Kini Si bertanya dipaksa pula sujud di kaki si anak. Peristiwa ini juga ditenteramkan oleh Dr. Ibrahim Ghafar dan Prof. Dr. H. Zainuddin Taha.
Akibat tragedi yang memalukan itu, semua tetamu khas dari Sulawesi, yang khabarnya mempunyai pertalian keluarga dengan arena Wati, telah memulaukan majlis pada sesi petang dan hari berikutnya. Khabarnya, sebahagian daripada mereka bertolak ke Kedah bagi mengikuti program Gapena.
Semasa membentangkan makalah pada sesi petang (sesi ketiga), Dr. Nurhayati Rahman memberitahu bahawa kedatangan mereka adalah sebagai tanda bangga masyarakat Makasar / Sulawesi terhadap Arena Wati. Mereka datang merai tokoh kebanggaan, di samping bagi melengkapi kajian etnografi tentang keluarga Arena Wati di Johor. Kerana rasa bangga terhadap Arena Wati, semua yang datang atas usaha dan biaya sendiri.
Saya mendapatkan pandangan tentang peristiwa itu daripada tetamu paling veteran dan selalu berkunjung ke rumah Arena Wati di Johor, Prof. Dr. H. Zainuddin Taha. Katanya, pertanyaan tentang tiga hujung oleh tetamu berkenaan adalah tidak salah, malah pertanyaan itu sebagai tanda mengangkat status Arena Wati yang dibangga-banggakan. Beliau sendiri berasa hairan, terkejut dan tidak tahu dimanakah silap yang menyebabkan si anak naik berang hingga memperlakukan tetamu majlis ayahnya sedemikian hina.
Peristiwa hitam itu ternyata memalukan sasterawan Malaysia, peserta seminar, penganjur dan keluarga Arena Wati sendiri. Kita juga tidak boleh menyalahkan pengerusi majlis mahupun penganjur. Ia bukti manusia adalah kerdil. Arena Wati yang dibangga-banggakan kerana mampu menghasilkan berpuluh-puluh karya (novel, cerpen, esei, sajak) dan berupaya mengingati sejarah diri, keluarga, bangsa (Bugis) dan leluhurnya (Makasar / Sulawesi), serta dengan sumbangan itu berjaya mengorang dan mensarjanakan ramai manusia, ternyata beliau gagal mendidik anaknya itu menjadi seorang orang (rujuk konsep orang dalam buku Konteks Sastera dan Budaya Melayu karangan Maniyamin Ibrahim).
Malah, dalam sesi lain, peserta dan beberapa orang pemakalah mula mempertingkaikan kewajaran Arena Wati diberikan Anugerah Sasterawan Negara sedangkan karya-karyanya tidak menjulang nama Malaysia. Yang dijulangkan dalam karyanya ialah leluhur tanah Sulawesi, Makasar dan Bugisnya. Pada adengan-adengan tertentu, imej Malaysia sering kali dikalahkan berbanding imej leluhurnya. Jika benar dakwaan mereka, mengapakah Malaysia memberi penghargaan terhadap orang yang ‘menghina’ rakyat dan negaranya? Justeru, tidakkah Malaysia juga boleh memberi penghargaan terhadap Chin Peng kerana Chin Peng juga merupakan pejuang menentang penjajahan British di Tanah Melayu?
Atas alasan apa sekali pun, saya fikir, manusia, lebih-lebih lagi beragama Islam, tiada hak memaksa manusia sujud di kaki manusia. Manusia hanya berhak sujud pada Tuhannya. Apakah ini citra Bugis yang dibangga-banggakan dan diwariskan oleh Arena Wati?
Bagi pihak sasterawan Malaysia dan rakyat Malaysia, saya memohon maaf kepada si bertanya dan rombongannya atas penghinaan yang menimpa anda.
Sabtu, 6 Jun 2009
Setahun Sebuah Sajak Mengungkap Autobiografi Penyair
SSS memuatkan sajak, sketsa dan esei. Daripada 41 buah sajak, 33 buah karya Leo A.W.S. dan lapan buah pula dihasilkan oleh para penyair, mengungkapkan rasa hati mereka terhadap Leo A.W.S.
Berdasarkan kumpulan sajak SSS dan kumpulan sajak sebelumnya, saya dapati Leo A.W.S. merupakan satu-satunya penyair Malaysia yang popular dalam kalangan pembaca, dan sekali gus menjadi bahan persajakan mereka. Sehingga kini, tiga kumpulan sajaknya turut memuatkan sajak-sajak yang dihasilkan khusus tentang Leo, baik oleh penyair terkenal tanah air mahupun penyair generasi baharu.
Sebagaimana judul, SSS menghimpunkan satu sajak setahun, bermula tahun 1973 - 2005, sebagai mewakili sekian sajak yang dihasilkan dalam tahun berkenaan. Menurut Leo, pilihan sajak sebagai wakil tahun berkenaan sebagai menggambarkan pengalaman peribadi penyair, baik semasa di kampung mahupun ketika di perantauan. Sekali gus 33 buah sajak dalam SSS yang disusun secara kronologi merupakan catatan autobiografi dan pemikiran penyair. Misalnya, sajak Simpang Tiga Ke Debak, Sarawak menceritakan pengalaman di Sarawak, Puisi Haji mengungkapkan pemikirannya setelah menunaikan ibadat haji, Malam Bulan Iraq meluahkan rasa marah terhadap pencerobohan Amerika di Iraq. Sebagai contoh, dalam sajak Bersama gugurnya Bunga Durian, Leo menceritakan latar kampung, keluarga dan pekerjaan mereka.
Pun musim ini
di sawah menguning
saja menanti ayah kembali
sayang ibu tidak bersama
kan menghidu wap
manis beras baru
dan ikan puyu.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa Leo A.W.S. sangat akrab dengan alam kampung. Membaca sajak-sajaknya saya rasa seakan-akan kembali ke kampung, bermain dan bermesra dengan alamnya. Saya yakin, demikian juga dirasai oleh pembaca lain hingga mereka mengungkapkan sajak khusus buat Leo A.W.S, baik menceritakan pengalaman bersama Leo mahupun memuji tindakan dan pemikiran Leo.
Selain Nahmar Jamil, perhatikan petikan sajak yang dihasilkan oleh RM @ (Rahimah Muda) dan Abdul Razak @ Rezeki Othman di bawah ini.
Kubaca puisimu kepada Che Azizah yang bersahaja
nanar jauh dari puisi-puisi abstrak kegemaranku
tak ramai penyair berani bereksperimentasi sepertimu
(RM @ Rahimah Muda, “Menyalami Bicaramu
Tentang Simile Che Azizah)
Puisi-puisi cinta Leo
sekalipun jadam perkasihan
tetap dihirupnya manis
(Abdul Razak @ Rezeki Othman, “Puisi-Puisi
Perkasihan Leo – Zah & Leo – Zuriat”)
Selain sajak, keistimewaan SSS kerana turut diwarnai sketsa dan gambar. Terdapat enam sketsa dihasilkan oleh Rossem dan 11 gambar peribadi penyair. Kesimpulannya, membaca SSS kita seakan-akan membaca biodata dan pemikiran Leo A.W.S itu sendiri. Sekian
Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Genre Kritikan
Apabila menatap nama saya sebagai pemenang HSPM, hati saya rasa gembira, terkejut dan sedih. Gembira kerana saya memenangi HSPM yang dianggap berprestaj, selepas Anugerah Sasterawan negara. Memang saya bercita-cita untuk memenanginya selepas kawan-kawan penulis telah memenanginya. Kemenangan Shamsudin Othman, Sahrulnizam, Sukri Abdullah misalnya, memberi kesan psikologi kepada saya. Malah, Shamsuddin Othman sendiri pernah menyindir, apakah saya tidak mahu memenangi HSPM apabila membaca sajak-sajak saya berkaitan 'kata bapak.' Kini saya bangga diri sendiri kerana biografinya tercatat HSPM.
Rasa terkejut pula kerana saya memenangi HSPM kategori kritikan. Menulis puisi merupakan genre pertama saya ceburi dan sepanjang hayat kreatif. Telah banyak puisi saya hasil. Malah, saya sudah ada sekitar empat kumpulan sajak: Cermin (1987), Menimba Laut (1996), Di Rumah Wiramal (2003), Peta Perjalanan (2006) dan Elipsis (2008). manakala kumpulan sajak Gelodak Rasa, Dongeng Bapak, Ruang Kota, Sajak Mini Kata masih dalam bentuk manuskrip. Atas alasan usia persajakan dan komitmen terhadap penciptaan sajak adalah wajar saya berangan-angan memenangi HSPM dalam kategori sajak.
Kritikan merupakan genre terakhir saya ceburi. Saya memasuki genre ini dengan serba kekurangan. Kurang tahu teori, kurang tahu teknik menulis, kurang ilmu kritikan, lemah penguasaan bahasa Melayu dan lebih-lebih lagi bahasa Inggeris, kurang pembacaan bahan global, kurang pendedahan dan sebagainya. Saya menceburinya dengan rasa keberanian hati: KALAU TIDAK DICUBA, BILA LAGI MAHU MENCUBANYA. Esei / kritikan saya juga sukar mendapat tempat siaran. Hanya belas ehsan kawan-kawan. Zaman Zaen Kasturi jadi editor Dewan Sastera tersiar satu esei dan dua kritikan. Selama Rozninah Aziz mengemudi Dewan sastera hanya satu itulah yang tersiar. Beberapa kali saya menghantar esei / kritikan selepas kritikan itu, tetapi, oleh sebab saya masih setahun jagung, terlewat makan garam, dan ubun-ubun masih lembut, saya akui esei / kritikan saya masih banyak lemah. Namun, saya optimis bahawa keberanian mencuba akan dapat mematangkannya. Dan, alhamdulillah, setakat ini buku esei kritikan saya yang diterbitkan ialah Citra Takmilah, Gaya Bahasa Kiasan, dan Konteks Sastera dan Budaya Melayu. Bakal menyusur buku Penyair dan Kepenyairan: Suatu Apresiasi.
Apabila A. Rahim Abdullah menawarkan agar saya mengulas sajak-sajak siaran Berita Minggu (sekitar awal 1990-an), pegangan itulah mendorong saya mencubanya. Ruangan Telaah Puisi dalam akhbar Berita Minggu menjadi medan saya mengasah minda. Ditambah pula dengan hasrat mahu meramai pengkritik dalam genre yang kurang diceburi ini. Visi saya mahu mahu menasionalkan karya dan karyawan marginal. Oleh itu, sehingga kini, saya telah membicarakan sajak-sajak penyair Mokhtar Taib, Leo A.W.S, M. Said Muharam, Imlan Adabi, Hilmi Rindu, Abdullah Ngah, Zahari Hasib, di samping A. Samad Said, Kemala, Amir Hamzah, dan Baha Zain. Kemenangan HSPM itu sangat mahal pada saya, dan merangsangkan.
Rasa sedih kerana genre kritikan tidak mempunyai ruang dan peluang yang luas kepada pengkritik memasarkan hasil kritikannya. Ruang penampungan sangat terhad. Akhbar tidak lagi berminat menyiar kritikan. Manakala, majalah Dewan Sastera, satu-satunya majalah yang masih menyiar kritikan dimonololi oleh pengkritik veteran dan mereka yang berstatus 'doktor falsafah.' Sering pula nama yang itu-itu juga. Malah, ruangan kritikannya juga tidak menentu, sekejap ada sekejap tiada. Kekurangan ruangan penampungan hasil kritikan turut menjadi faktor kemiskinan para pengkritik dan hasil kritikan. Justeru, saya berharap: Alangkah baiknya jik ada banyak ruang dan peluang menampun hasil kritikan. Kekurangan ruang dan peluang itu amat merugikan sastera Malaysia. Memang ia amat merugikan. Namun, saya tidak menyalahi akhbar atau majalah kerana tidak dapat menyediakan ruang dan peluang kerana konsep mereka ialah berniaga dan untung.
Saya fikir, rasa sedih saya ini turut dirasai oleh semua pengkritik generasi muda.
Jumaat, 5 Jun 2009
YANG JAUH DAN DEKAT: Mengungkap Konsep Penduaan
berjuta wajah basah dan dingin
semua mengharap kepada yang Satu
Konsep penduaannya: pucat dan hening, basah dan dingin. Kedua-dua imejan bergabung dalam satu hasrat dan berharap pada satu kuasa, iaitu kuasa ketuhanan.
dan lupa yang dekat
sedang yang jauh adalah kelip
Dalam puisi ‘Sedetik Demi Sedetik,’ Hilmi meracit keinginan dengan cara, “kususun makna keinginan.” Hilmi memberi tip mencapai keinginan dengan cara menyusunnya. Susunan itu mesti berdasarkan kriteria tertentu. Misalnya, dari senang ke susah, dari dekat ke jauh atau dari kecil ke besar. Strategi ini berdasarkan kemampuan manusia dan ciri biologinya. Kita boleh mengatur keinginan dan mencapai keinginan setelah kita memahami hakikat kehidupan dan rahmat-Nya.
Sabtu, 30 Mei 2009
Melawat Sekolah dan Perkampungan Orang Asli Kaum Jahai
Pada 6 Mei 2009 aku bersama rombongan pelajar melawat SK Pasir Linggi, Gua Musang. Ini pertama kali aku ke sana. Muridnya tinggal di asrama dan sekali gus dijadikan sekolah. Sekolah asal sudah tiada, manakala sekolah baharu belum menjelma. Gurunya sekitar 10 orang. Namun sepanjang aku di sana, hanya sekitar empat orang guru sahaja yang ada. Yang lain berkursus, bermesyuarat dan sebagainya.
Garaj kereta dan Makmal Komputer Asrama dan sekali gus bilik kelas
Jarak dari persimpangan jalan Gua Musang – Kuala Krai ke sekolah sekitar 5 KM. Kalau tidak hujan, kereta dapat masuk sampai ke perkarangan sekolah.
Purata mereka mempunyai tiga buah rumah. Satu rumah konkrit. Mungkin bantuan kerajaan. Bersebelah
Satu nilai yang sangat bagus dalam masyarakat orang asli ialah ikatan keaslian (kekeluargaan) dalam masyarakatnya sangat kuat. Mereka hidup bersatu padu dan tidak gemar bergaduh. Keuntungan dikongsi bersama dan mereka sangat jujur.
En. Ibrahim (berbaju putih) bersama masyarakat Jahai
Adat budaya mereka yang utama ialah Sewang. Ada pelbagai jenis Sewang. Pada malam terakhir, rombongan kami dipersembahkan acara sewang oleh murid-murid. Mereka menyanyi sambil berjalan berentak mengelilingi bulatan. Aku turut bersewang, walaupun rentak badan dan kaki tidak menepati dan tiada seni.
Rabu, 27 Mei 2009
Selamat Kembali Chin Peng
Sabtu, 23 Mei 2009
Ibuku, Habsah
(Mengenang ibuku, Habsah)
Benih-benih pengalaman
yang kau tanam dahulu
sulurnya menjalar segar
ke dalam kebun waktu
kini
menggamit rinduku.
NASSURY IBRAHIM
Dahulu ibuku berkerja menanam padi sawah, sayur-sayuran, menganyam tikar dan menjaja. Kini ibuku menoreh getah dan menjual kain. Buku rekod menjualnya aneh. Hanya beliau sahaja yang faham. Betapa kecil pendapatannya, beliau dapat mengumpul wang dan menunaikan fardu haji.

Tanah itu terlibat untuk pembinaan sekolah. Ibu berusaha mendapatkan pampasan daripada Majlis Daerah Dungun. Yang diperoleh ialah herdikan dan ugutan daripada pegawai bertanggungjawab.
Sekolah Kebangsaan Balai Besar, Dungun
Oleh sebab takut didakwa, sebagaimana dinyatakan dalam surat, ibuku merobohkan rumah di tanah berkenaan. Tidak lama kemudian, Sekolah Kebangsaan Balai Besar dibina di situ. Tanah ibuku menjadi sebahagian daripada kanten dan padang sekolah.
Kini ibuku sudah tua. Ayah pun sudah mati. Aku tetap anggap tanah itu harta pusakaku. Jika perampasannya secara ihklas (tiada bayaran kepada mana-mana pihak dan telus), aku anggap tanah itu sebagai wakaf. Pahala wakafnya untuk ibu dan ayahku. Jika sebaliknya, ada unsur-unsur penyelewengan, aku anggap tanah itu harta pusaka aku. Tentunya aku tidak halal dan maaf pada mereka yang terlibat.
15 Jun 2005
Isnin, 18 Mei 2009
Hala Tuju PPSMI
Khamis, 14 Mei 2009
Penyair Sutung Umar RS
Sdr. Sutung Umar RS, Mohd Hasbi Harun dan Rahimidin Zahari
Isnin, 11 Mei 2009
Herek
Selasa, 5 Mei 2009
Pelanduk Nagori
Menurut empunya ceritera, ada sebuah kampung terletak jauh di muara Sungai. Dalam kampung itu ada seorang pemuda bernama Nagori. Adapun Nagori ini gemar memelihara binatang. Ada bermacam-macam binatang dipeliharanya. Binatang-binatang itu adalah hasil buruannya di Kampung Hulu Sungai. Pada suatu hari, terdengar oleh raja akan pekerjaan Nagori memelihara binatang. Baginda terasa ingin melihatnya. Maka baginda dan Mamanda pun berangkat ke kampung Nagori. Berbunga-bunga hati Nagori menyambut kunjungan baginda. Tanpa berlengah, Nagori mengiringi baginda melawat ladang ternakannya. Sangat gembira baginda melihat binatang-binatang peliharaan Nagori. Ditanyalah oleh baginda binatang itu binatang ini. Semuanya dijawab oleh Nagori dengan rasa megah. Tiba-tiba baginda terpandang pada seekor binatang. Badannya bulat seperti gendang. Kepalanya panjang seperti gedombak. Hidungnya putus seperti buluh terpotong. Di sebelah binatang itu ada beberapa ekor pelanduk. Maka bertanyalah baginda kepada Nagori, “Apakah nama binatang itu, wahai Nagori?” Segera dijawab oleh Nagori, “Itulah pelanduk, Tuanku.” Berkerut dahi baginda mendengar jawapan Nagori. Dari mulut baginda terlompat kata-kata, antara dengar tidak dengar, “Eik, pelanduk peliharaanku bertubuh kecil, sedang binatang ini bertubuh besar dan bulat.” Sekali lagi baginda bertanya kerana tidak puas hati dengan jawapan Nagori, “Pelanduk apakah bermucung panjang berhidung putus, wahai Nagori? Beta tidak pernah melihatnya.” Nagori terkejut mendengar pertanyaan baginda itu. Rupa-rupanya dia telah tersalah jawab. Sangkanya, baginda bertanyakan akan pelanduk yang sedang menyisir itu. Oleh sebab takut akan dihukum raja, Nagori menyakinkan diri menjawabnya. Dia tahu raja tidak mengetahuinya. Kalau tidak, masakan raja bertanya. “Ooo …. Itulah Pelanduk Nagori, Tuanku. Jarang terdapat di dunia ini,” jawab Nagori dengan penuh yakin. Baginda diam. Seketika kemudian, baginda bertanya pada pembesarnya. “Benarkah itu Pelanduk Nagori, wahai Mamanda?” titah baginda. “Benarlah kata-kata Nagori itu, Tuanku. Patik sendiri pun tidak pernah melihatnya,” sembah Mamanda. Apabila mahu berangkat pulang, Nagori pun menghadiahkan sepasang Pelanduk Nagori kepada baginda. Sangat besar hati baginda menerimanya. Pelanduk itupun dipelihara oleh baginda di sebuah bukit. Maka, sehingga sekarang dinamakan orang bukit itu sebagai Bukit Pelanduk. Dan, binatang itu kekal bernama Pelanduk Nagori. 5 Mei 2009