Ahad, 14 Jun 2009

Anak Sasterawan Negara Hina Tetamu Majlis Ayahnya

Pada 9 Jun 2009 sekitar jam 12.30 – 1.00 petang bertempat di Dewan seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, tercatat peristiwa bersejarah apabila seorang anak Sasterawan Negara Arena Wati menghina tetamu undangan dalam majlis khusus merai ayahnya bertajuk “Pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati.”

Episod yang memalukan itu berlaku dalam sesi kedua semasa soal-jawab terhadap pemakalah A. Halim Ali. Seorang peserta, yang juga tetamu dari Makasar (Sulawesi) yang bangga dengan sumbangan Arena Wati, bertanya tentang perihal tiga hujung yang menjadi falsafah dan amalan orang Bugis di perantauan. Tiga hujung tersebut ialah hujung lidah (lisan), hujung pena (senjata) dan hujung kemaluan (zuriat). Apakah ada kombinasi penggunaan tiga hujung ini terpancar dalam karya Arena Wati, khususnya dalam karya Endan Gulingku.

Belum sempat A. Halim Ali menjawab, anak lelaki Arena Wati yang datang bersama ibunya, Puan Halimah, dengan wajah bengis dan tangan baju bersising ke pangkal bahu, memaksa si bertanya, juga keturunan Bugis Makasar, datang ke depan dan bersujud di kaki ibunya, Puan Halimah.

Episod yang saya sangka gimik atau demonstrasi tiga hujung itu benar-benar serius hingga Puan Halimah sendiri terkejut. Dengan wajah bengis, si anak memberi amaran agar si bertanya keluar dewan dan tidak datang lagi. Sikap si anak itu cuba ditenteramkan oleh Dr Ibrahim Ghafar dan Prof. Dr. H. Zainuddin Taha, dan disaksikan oleh semua peserta seminar.

Terpanggil dengan tingkah biadab anaknya itu, Puan Halimah bangun mententeramkan kehairanan para peserta. Secara ikhlas, beliau meminta maaf daripada penganjur dan pemakalah serta merayu agar para hadirin tidak ikut rasa marah. Jelasnya, perkahwinannya dengan Arena Wati adalah untuk menghubungkan silaturahim melalui jambatan sastera antara dua bangsa yang berdekatan yang sedang menghadapi permasalahan sama ketika itu, iaitu penjajahan.

Sebelum itu, dalam tayangan video, Puan Halimah memberitahu beliau menetapkan empat syarat apabila dilamar oleh Arena Wati. Empat syarat tersebut ialah Arena Wati hendaklah sanggup meninggalkan keluarga dan tinggal bersamanya, sanggup menjadi rakyat (warganegara) Tanah Melayu, hidup bersamanya hingga mati, dan sanggup berbakti kepada Tanah Melayu.

Dalam masa Puan Halimah mententeramkan kehairanan hadirin, si anak bersemuka dengan si bertanya di Bilik VIP. Kini Si bertanya dipaksa pula sujud di kaki si anak. Peristiwa ini juga ditenteramkan oleh Dr. Ibrahim Ghafar dan Prof. Dr. H. Zainuddin Taha.

Akibat tragedi yang memalukan itu, semua tetamu khas dari Sulawesi, yang khabarnya mempunyai pertalian keluarga dengan arena Wati, telah memulaukan majlis pada sesi petang dan hari berikutnya. Khabarnya, sebahagian daripada mereka bertolak ke Kedah bagi mengikuti program Gapena.

Semasa membentangkan makalah pada sesi petang (sesi ketiga), Dr. Nurhayati Rahman memberitahu bahawa kedatangan mereka adalah sebagai tanda bangga masyarakat Makasar / Sulawesi terhadap Arena Wati. Mereka datang merai tokoh kebanggaan, di samping bagi melengkapi kajian etnografi tentang keluarga Arena Wati di Johor. Kerana rasa bangga terhadap Arena Wati, semua yang datang atas usaha dan biaya sendiri.

Saya mendapatkan pandangan tentang peristiwa itu daripada tetamu paling veteran dan selalu berkunjung ke rumah Arena Wati di Johor, Prof. Dr. H. Zainuddin Taha. Katanya, pertanyaan tentang tiga hujung oleh tetamu berkenaan adalah tidak salah, malah pertanyaan itu sebagai tanda mengangkat status Arena Wati yang dibangga-banggakan. Beliau sendiri berasa hairan, terkejut dan tidak tahu dimanakah silap yang menyebabkan si anak naik berang hingga memperlakukan tetamu majlis ayahnya sedemikian hina.

Peristiwa hitam itu ternyata memalukan sasterawan Malaysia, peserta seminar, penganjur dan keluarga Arena Wati sendiri. Kita juga tidak boleh menyalahkan pengerusi majlis mahupun penganjur. Ia bukti manusia adalah kerdil. Arena Wati yang dibangga-banggakan kerana mampu menghasilkan berpuluh-puluh karya (novel, cerpen, esei, sajak) dan berupaya mengingati sejarah diri, keluarga, bangsa (Bugis) dan leluhurnya (Makasar / Sulawesi), serta dengan sumbangan itu berjaya mengorang dan mensarjanakan ramai manusia, ternyata beliau gagal mendidik anaknya itu menjadi seorang orang (rujuk konsep orang dalam buku Konteks Sastera dan Budaya Melayu karangan Maniyamin Ibrahim).

Malah, dalam sesi lain, peserta dan beberapa orang pemakalah mula mempertingkaikan kewajaran Arena Wati diberikan Anugerah Sasterawan Negara sedangkan karya-karyanya tidak menjulang nama Malaysia. Yang dijulangkan dalam karyanya ialah leluhur tanah Sulawesi, Makasar dan Bugisnya. Pada adengan-adengan tertentu, imej Malaysia sering kali dikalahkan berbanding imej leluhurnya. Jika benar dakwaan mereka, mengapakah Malaysia memberi penghargaan terhadap orang yang ‘menghina’ rakyat dan negaranya? Justeru, tidakkah Malaysia juga boleh memberi penghargaan terhadap Chin Peng kerana Chin Peng juga merupakan pejuang menentang penjajahan British di Tanah Melayu?

Atas alasan apa sekali pun, saya fikir, manusia, lebih-lebih lagi beragama Islam, tiada hak memaksa manusia sujud di kaki manusia. Manusia hanya berhak sujud pada Tuhannya. Apakah ini citra Bugis yang dibangga-banggakan dan diwariskan oleh Arena Wati?

Bagi pihak sasterawan Malaysia dan rakyat Malaysia, saya memohon maaf kepada si bertanya dan rombongannya atas penghinaan yang menimpa anda.

Tiada ulasan: