Rabu, 27 Mei 2009

Selamat Kembali Chin Peng

SELAMAT KEMBALI CHIN PENG

Amba tidak kenal anda dan sejarah hidup anda. Apakah sebab anda menyertai dan menggerakkan Partai komunis Malaya (PKM). Amba hanya kenal nama anda dan kekejaman PKM. Pada diri anda tidak ada setitik pun air kebaikan. Betapapun, tidak pula amba menyaksi atau merasai kekejaman anda.

Amba pun tidak tahu sebab anda ingin kembali ke Malaysia, setelah sekian lama meninggalkannya. Cuma, pada sangkaan amba, tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain.

Setahu amba, sudah beberapa pemimpin PKM yang kembali ke Malaysia. Bermula dengan Musa Ahmad. Ada juga Shamsiah Fakeh. Ramai tidak setuju apabila Shamsiah Fakeh berhasrat untuk kembali ke Malaysia. Amba pun tidak setuju, sebagaimana amba tidak setuju anda diterima kembali.

Namun begitu, secara senyap-senyap, Shamsiah Fakeh diterima kembali ke Malaysia. Matinya pun di Malaysia. Oleh itu, amba fikir, tiada guna amba bantah anda kembali. Tanah inipun bekas negara anda. Kalau Musa dan Shamsiah diterima, mengapa anda tidak. Mereka pun PKM juga. Kalau PKM itu ganas, ertinya mereka pun ganas juga.
Lagipun, kuasa setuju dan tidak setuju ada pada kerajaan. Seribu kalipun amba tidak setuju, tiba-tiba kerajaan bersetuju, anda tetap akan kembali. Jadi, tidak setuju amba itu lebih menyakitkan hati sendiri sahaja. Amba tidak ada kuasa.

Oleh sebab itu, lebih baik, awal-awal lagi amba ucapkan SELAMAT KEMBALI CHIN PENG. Apabila kerajaan mengesah menerima anda, kembalilah. Cuma yang amba berharap, jika betul anda pengganas, janganlah anda kembali mengganas.

Semua manusia ada sejarah hitamnya. PKM pernah kejam terhadap askar. Askar pun pernah kejam terhadap PKM. Kekejaman itu tidak dapat amba bayang kerana amba tidak pernah menyaksinya. Yang amba tahu, kekerasan melampau sesetengah anggota polis. Misalnya, kekerasan melampau TS Rahim Noor yang memukul tahanan, atau kekerasan melampau FRU terhadap orang awam atau kekerasan melampau Mahadir terhadap rakyat.

Barangkali anda telah membaca inspirasi 1 Malaysia. Dan, anda tidak mahu ketinggalan menyumbang jasa. Barangkali anda mahu mencipta ketokohan dalam bidang yang lain pula.

SELAMAT KEMBALI CHIN PENG

Tiada ulasan: