Sabtu, 16 Oktober 2010

Mansuh PTK

Antara saranan dalam Belanjawan 2011 oleh DS Mohd Nijib Tun Abdul Razak ialah mansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dikenakan kepada penjawat awam.

Sebagai penjawat awam, saya menyambut baik langkah tersebut. Sebilangan penjawat awam yang ditemu bual oleh stesen televisyen juga menyokong.

Pemansuhan itu disokong kerana beberapa sebab. Antaranya, pertama, berlaku diskriminasi penilaian oleh pihak majikan; Kedua, berlaku penyalahgunaan kuasa majikan; Ketiga, sukar untuk naik pangkat; Keempat, Gaji penjawat muda akan mengatasi gaji penjawat lama; Kelima, adalah sukar bagi penjawat awam membaca (memang malas membaca pun) dan mengingati maklumat yang dibaca; Keenam, membazir masa dan tenaga untuk pergi menduduki peperiksaan; Ketujuh, seakan ada kuata untuk memperoleh tahap lebih tinggi; Kelapan, ada kecederungan oleh pihak tertentu untuk menjalankan 'perniagaan PTK'; dan Kesembilan, penjawat pasif boleh menikmati gaji lebih tinggi daripada penjawat aktif.

Walau bagaimanapun, bukanlah PTK itu tiada memberi kebaikan. Melalui PTK, pertama, boleh mewujudkan pekerja yang cekap, mahir dan tahu bidang tugasnya; Kedua, melahirkan modal insan sebagaimana dikehendaki; Ketiga, melahirkan masyarakat suka membaca; Keempat, memberi peluang kepada penjawat awam yang dideskriminasikan untuk menikmati faedah kenaikan gaji; dan Kelima, segala arahan, maklumat dan bidang kerja akan difahami oleh penjawat berkenaan. 

Saya tidak menyambut berita pemansuhan PTK ini dengan rasa seronok sepenuhnya. Hal ini kerana, pada lazimnya, setiap penggantiannya mempunyai syarat-syarat tersendiri. Ada kalanya, syarat yang diperkenalkan itu menyekat peluang atau merugikan. Misalnya, penggantian Sistem Saraan Baru dengan Sistem Saraan Malaysia yang menyebabkan hilang nikmat kenaikan gaji setiap bulan  bagi mereka yang mendapar Anugerah Khidmat Cemerlang melintang.

Saya pernah rasa gembira apabila kerajaan mengumumkan bahawa setiap guru diberikan pinjaman membeli kereta. Namun, syarat yang dikeluarkan oleh kementerian hanya melayakan guru yang berurusan langsung dengan murid, iaitu guru hal ehwal murid. Guru lain tidak layak.

Apakah pengganti PTK nanti akan menyusur syarat yang sengaja 'disekat-sekat'? 

Saya fikir, pihak kerajaan boleh mewujudkan beberapa alternatif yang boleh dipilih oleh penjawat awam, mengikut kesesuaian dan kebolehan diri serta bidang tugas hakiki mereka. Dengan adanya beberapa alternatif difikirkan pengganti PTK itu tidak menganggu tugas harian / hakiki mereka. Dengan adanya alternatif menunjukan kerajaan menghargai penjawat awam. 

Antara alternatif yang boleh difikirkan ialah;


(a) kekal pepriksaan PTK;
(b) kursus / latihan kepakaran atau kemahiran;
(c) kursus bina semangat; dan
(d) penglibatan aktif / sumbangan kepakaran.

Walau bagaimanapun, pemansuhan PTK itu tidak semestinya disusuri pengganti. Mungkin kita akan kembali kepada sistem pada tahun 1980-an dahulu. Penjawat awam hanya menikmati kenaikan gaji tahunan sahaja, atau tiada lagi peluang menikmati kenaikan gaji tahunan.

Tiada ulasan: