Isnin, 7 September 2009

Penyair Muda: Antara Gaya dan Kemantapan

Nassury Ibrahim, Zahari Hasib dan Marsli N.O dapat dikatakan sebagai muka baru dalam dunia sastera tanah air khususnya genre puisi. Lebih tepat sebagai generasi pelapis yang menyahut perkembangan bidang ini.

Tidak dinafikan mereka juga cenderung melibatkan diri dalam pelbagai genre lain seperti cerpen dan kritikan sastera, biarpun tidak semampan Suhaimi Muhammad, Prof. Madya Rahman Shaari, Prof. Muhammad Salleh dan lain-lain.

Namun, sebagai generasi pelapis yang berusaha mengisi ruang-ruang kosong dalam arus perkembangan sastera tempatan, mereka sebenarnya berjaya menemukan sasaran dan kedudukan tersendiri.

Dengan kata lain, mereka mempunyai reputasi tersendiri untuk mengisi kekosongan ini. Malah, karya-karya yang ditampilkan juga kaya dengan teknik yang lebih bersifat eksperimental.

Di sisi lain, mereka lebih peka untuk mengetengahkan pelbagai persoalan baru yang muncul di sekitar mereka. Bertitik tolak pada isu sosial, ekonomi, kemanusiaan dan sebagainya.

Seminar Karya Generasi Baru (Genre Puisi) yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, baru-baru ini menjadi salah satu program untuk mengupas setiap persoalan ini, termasuk isu-isu penulis muda.

Ia membariskan tiga ahli panel iaitu penyair Suhaimi Muhammad, Mohamad Shaidan dan Mohd Daud Mohamad. Ketiga-tiganya mengupas kedudukan dan citra antologi Hanya Kata karya Marsli N.O, Debu di Kaca karya Zahari Hasib, dan Menimba Laut karya Nassury Ibrahim.

Menurut Suhaimi, karya-karya Marsli dalam antologinya berjaya manfaatkan segala yang boleh membentuk kesenian secara naluriah, alamiah, rohaniah, dan akliah.

“Apa pun yang menjadi pokok persoalannya, politik, sosial, ekonomi, kebudayaan, agama dan lain-lain, bahawa ia tetap menjadi probe, yakni alat pertanyaan dan penyelidikan serta metamoforsis (penjelmaan daripada karya kesenian).

“Probe wujud dalam puisi Marsli. Dengan kata lain, pertanyaan itu wujud dan kemudian berubah bentuk kepada metamoforsis tertentu yang diciptakan oleh khalayaknya sendiri, bukan Marsli,” katanya.

Suhaimi juga melihat karya-karya Marsli banyak membawa pembaharuan puisi tanah air yang tergambar menerusi metamoforsis yang diciptakannya. Penulis berjaya mengundang khalayak untuk sama-sama menghayati dunia batin, imaginasi dan lain-lain.

“Puisi-puisi Marsli dengan sengaja telah merealisasi probe dan metamoforsis di dalam puisi-puisinya, telah menunjukkan lahirnya seorang seniman ke dalam kesusasteraan Melayu moden.

“Beliau telah membawa tanda-tanda awal gagasannya. Membawa formula-formulanya dan hayat keseniannya serta berjaya menunjukkan kewujudannya dengan penciptaan karya-karya jenis ini, karya abadi, karya yang hidup sepanjang zaman,” tambahnya.

Sementara itu Mohd Daud melihat karya Menimba Laut oleh Nassury merupakan karya-karya realisme yang mudah dicernakan, ditafsir dan diterjemahkan.

Baginya, apa yang ketara dalam karya-karya Nassury ialah terdapat pengaruh daripada buku-buku yang dibacanya, sehingga tanpa sedar atau tidak proses penciptaannya tetap dipengaruhi oleh teori perpuisian yang sudah memasuki alam kepenyairan negara ini.

Manakala Mohamad Shaidan dalam menyoroti perkembangan karya generasi baru, berusaha mengupas seluruh persoalan yang dikemukakan oleh Zahari Hasib dalam karyanya, Debu di Kaca.

Menerusi karya ini, beliau melihat Zahari membuka gaya dan perspektif baru dalam dunia perpuisian tanah air dengan gaya deskriptif dengan melahirkan puisi-puisi impresionistik.

“Zahari tidak mendiskriptifkan sahaja peristiwa yang dialami dan dilihatnya, tetapi turut menyertakan kesan fikiran, perasaan serta kesedaran daripada hal-hal tersebut.

“Kesan peribadi Zahari terhadap sesuatu peristiwa yang dihayati itu terserlah dalam bentuk sindiran yang kebanyakannya adalah sinisme, kadang-kadang ironis atau sarkasme,” jelasnya.

Kupasan terhadap ketiga-tiga karya ini yang dianggap sebagai sebahagian daripada karya-karya penulis baru, membuktikan mereka mampu menjadi pelapis dan tunas dunia kepenyairan tanah air.

Siaran: Utusan Malaysia, 25 Julai 1998.

Tiada ulasan: