Rabu, 8 April 2009

Surat SN Shahnon Ahmad bertarikh 19 April 2006

Sdr Nassury Ibrahim,
Terima kasih atas kiriman 'Peta Perjalanan.' Saya baru saja menerimanya. Kini saya banyak berada di kampung (Sik), banyak bermonolog dengan unggas & alam.

Saya sekarang baru merenungi sajak Sdr. Kali ini secara sepintas lalu terutama sajak-sajak yang membawa kita pada renungan kebesaran-Nya melalui alam seperti sajak 'Alam Semesta,' 'Yang Kulihat Itu' & 'Angin.' Memang alam dicipta khusus untuk mengenal-Nya. Juga banyak sajak Sdr itu membawa kita pada Taqarruh pada Allah yang mendorong pula kita untuk mengenal diri kita sendiri & melaluinya mengenal Allah.
Walau bagaimanapun, saya kurang setuju bila Sdr mengatakan bahawa sajak dalam 'PP' ini sekadar mencari kelainan; malah dikatakan pula sajak itu adalah sajak berilmu kerana terilham dari pemikiran al-Safa, al-Biruni, Ibn Rusd, al-Ghazali, Syed Hussein Nasr, Zainuddin Sadr dll. Memang tidak salah mencari ilham dari pemikiran tokoh-tokoh ini tapi ilham seumpama itu hanya pada maqam akliah saja. Sekadar untuk memahaminya, tapi dalam Islam, kefahaman saja tidak memadai. Ianya perlu bergerak & bertindak menuju maqam penghayatan & seterusnya maqam 'zanuq' supaya kita bukan saja memahami tapi juga merasai keagungan Allah.
Ah! Sajak-sajak dalam 'PP' ini memang boleh dibincangkan lebih luas lagi. Elok adakan satu diskusi 'PP' ini. Maaf kerana menulis panjang sedikit. Jangan marah. Sayang sayang pada Sdr sebagai seorang penyair yang berbakat besar. Semoga kefahaman Sdr terhadap pemikiran tokoh-tokoh Islam bukan saja terhenti pada kefahaman tapi juga terus pada penghayatan & maqam 'zunuq.' Jangan terhenti pada maqam syariat saja tapi terus pada maqam Tareqat, maqam Hakikat & maqam Makrifat. Salam mesra.

SHAHNON AHMAD
Sasterawan Tua.




Tiada ulasan: