Ahad, 5 April 2009

Erotik dalam Seni Melayu

Seni Melayu sebenarnya mempunyai nilai falsafah yang tinggi. Ia bukan sahaja merakam kenikmatan mata, malahan kehalusan seninya menusuk rasa dan kesedaran intelektual. Cantiknya seni Melayu ibarat kecantikan gadis dari persepsi lelaki. Cantiknya tidak berlonggok pada wajah atau bahagian-bahagian tertentu sahaja, melainkan seluruh tubuh luar dan tubuh dalam gadis itu.

Kecantikan itu bersifat kesatuan dalam kepelbagaian. Konsep ini berkait-rapat dengan sistem nilai orang Melayu itu sendiri. Mereka sangat menjaga kemuliaan, kesempurnaan dan keharmonian. Oleh itu, mereka tidak menggunakan seni sewenang-wenangnya.

Orang Melayu tidak menggunakan seni untuk merakam rasa erotik. Segala unsur erotik merupakan tonggak moral yang perlu dijagai. Sebarang pendedahan imej atau perlakuan erotik dianggap memalukan. Ia dikatakan pemelihara air muka. Air muka dianggap mulia dan perlu dijagai.

Imej muka merupakan barisan depan seseorang yang menggambarkan kemuliaan dan moraliti dirinya. Orang yang gembira dikatakan air mukanya jernih iaitu wajahnya kelihatan ceria dan berseri. Orang kesusahan kelihatan air mukanya muram, manakala orang yang terhina kelihatan air mukanya keruh iaitu tidak ceria dan tidak menarik.

Rasa terhina dari imej atau perlakuan erotik bukan sahaja dirasai oleh individu berkenaan sahaja, malahan seluruh masyarakat kampung individu tersebut. Ia dianggap mencemarkan nama baik kampung dan keturunan. Oleh itu, air muka perlu dijaga.

Pernah terjadi dalam masyarakat Melayu Jawa seorang pengantin terkentut ketika melayani tetamu. Perbuatan itu dianggap tidak sopan dan menjatuhkan air muka. Disebabkan malu dengan perbuatan tidak sengaja itu, pengantin berkenaan melarikan diri seumur hidupnya meninggalkan isteri yang masih suci.

Sebenarnya, orang Melayu tidak antierotik. Sebaliknya, orang Melayu menganggap erotik sebagai rahsia individu dan perlu disembunyikan. Oleh itu, dalam seni Melayu tidak terserlah gambaran tentang imej-imej erotik, baik dalam seni ukir, seni persuratan dan seni persembahan. Tidak ada ukiran tentang tubuh wanita, lebih-lebih lagi bertubuh telanjang, sebagaimana dalam seni ukir Barat. Tidak ada kata-kata ghairah atau maki-hamun, sebagaimana seni persuratan Barat. Tidak ada pelakon bangsawan, makyong, menora atau teater Melayu berpakaian seksi sebagaimana pelakon-pelakon teater Barat.

Imej-imej erotik tidak dianggap sebagai seni. Jikapun ada gambaran erotik, ia disampaikan secara amat halus dan terhad.

Mengapakah hal ini terjadi? Tentunya ia berkait-rapat dengan faktor agama dan etika. Tidak dapat dipastikan, apakah seni Melayu sebelum Islam atau Hindu atau Buddha mempunyai imej erotik. Yang pasti seni Melayu diwarisi sekarang ini selepas kedatangan Islam dan sifatnya sangat moralis. Walaupun ada juga seni Melayu yang belum diislamkan sepenuhnya seperti makyong atau menora, namun kedua-duanya bersih daripada imej erotik.

Islam memandang berat berkenaan erotik. Umat-Nya dituntut menjaga kehormatan diri, baik dari segi cara berpakaian, bercakap, berkelakuan mahupun berkesenian. Sebarang imej erotik boleh menjejaskan moraliti, kesucian hati, graf ketakwaan dan akidah.

Daripada agama membentuk pula etika diri orang Melayu. Orang yang diselubungi imej erotik dianggap tidak beretika. Oleh sebab itu, para seniman menghindarkan diri daripada unsur-unsur erotik. Bagi menyelamatkannya, mereka menggunakan unsur-unsur alam dalam pengungkapan seni. Corak-corak ukiran diambil daripada tumbuhan menjalar. Pantun atau perbilangan adat diambil daripada imej tumbuhan atau binatang pilihan. Pengungkapan pantun atau perbilangan kaya dengan imej etika dan pembinaan sahsiah diri.

Dan sehingga kini, apabila dikatakan seni Melayu, salah satu cirinya ialah bebas daripada imej erotik.

NASSURY IBRAHIM
22 Januari 2007

Tiada ulasan: