Khamis, 29 Oktober 2009

Bantulah Keluarga Adik Nurul Aysha Safiya bt Samsulrizal


Ini ialah maklumat yang diemelkan kepada saya. Ia menuntut keperihatinan kita. Sayangnya, saya tidak tahu arah saluran bantuan yang boleh dihulurkan, sama ada alamat atau akaun. Saya terbitkan maklumat asalnya.

"Jika tidak berkemampuan dari segi wang ringgit sekalipun, cukuplah dengan memanjangkan email ini kepada saudara2 yang lain. Semoga usaha kita ini mendapat limpah berkat dari Allah swt. Wassalam!
Setiap satu email yang anda fowardkan akan didermakan $0.01 kepada keluarga adik NURUL. Anak ini memerlukan keperihatinan kita semua.
Assalamualaikum/ Salam sejahtera ,
Penulis sebagai mewakili ahli keluarga adik Nurul Aysha Safiya bt Samsulrizal (4 tahun), merayu kepada sesiapa yang prihatin agar dapat membantu meringankan beban keluarga adik Nurul.

Adik Nurul baru saja selesai menjalani beberapa kali pembedahan penambahan tulang dibahagian leher akibat tulang leher patah (bukan akibat dari sebarang kemalangan atau penderaan tetapi oleh kerana tulang leher yang lembut dan tidak mampu menampung berat kepalanya dan salah satu faktor adalah kanak-kanak istimewa - down sindrom). Beliau kini terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan yang berharga RM40,000 tidak termasuk kos-kos sampingan (tiub untuk membuang kahak dan air kencing, generator untuk membantu alat penafasan ketika bekalan elektrik terputus).
Memandangkan kos-kos sampingan agak tinggi, diharapkan sumbangan anda serba sedikit dapat membantu meringankan beban keluarga beliau. Jika tidak berkemampuan dari segi wang ringgit sekalipun, cukuplah dengan memanjangkan email ini kepada saudara2 yang lain. Setiap satu email yang anda fowardkan akan didermakan $0.01 kepada keluarga adik NURUL.
Semoga usaha kita ini mendapat limpah berkat dari Allah swt....Wassalam! "

Selasa, 27 Oktober 2009

Oh, Guru!


Satu kali malang menimpa murid, 10 kali malang akan menimpa guru. Aku selalu mengingatkan bakal-bakal guru, "Awak seperti mentimun dengan durian. Bergolek awak luka. Digolek pun awak luka."

Guru jangan ingat bahawa surat kebenaran ditandatangani oleh ibu bapa itu memberi lesen besar untuk bebas daripada tanggungjawab mengawal keselamatan murid. Dan, surat arahan keluar dari PPD / JPN / sekolah itu akan menyelamat anda.

Dalam kes nasib malang tiga orang murid yang hadir kem perkhemahan kerana jambatan gantung di Sungai Kuala Dipang runtuh pada pukul 10. 30 malam. Anda akan disoal - mengapa penganjur (juga guru) membiarkan murid berkumpul di atas jambatan? Ke mana perginya penganjur? Mengapa tiada pemantauan? Ke mana perginya guru pengiring? Mengapa membiarkan muridnya merayau hingga atas jambatan? Aktiviti apa di atas jambatan tersebut? Siapa membenarkan awak bawa murid? Adakah perkhemahan itu mendapat kebenaran? Adakah perkhemahan itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa? Dan, seribu satu pertanyaan akan ditanya.

Anda boleh berseronok, jika tiada malapetaka menimpa. Tetapi, anda akan menghadapi malang jika ada malapetaka menimpa. PPD / JPN / sekolah akan melepaskan tangan. Kepada guru-guru, selamat ambil iktibar.

Saya tahu - guru dan mahaguru di PPD / JPN / IPG / BPG / KPM adalah orang yang suka bersangka, membuat peraturan sendiri dan bercakap bukan atas dasar bukti dan undang-undang, serta suka melebih-lebihkan, dan melarang tanpa hujung dan pangkal. Kepada guru-guru berkenaan, "SELAMAT MALANG." Nanti anda akan tahu sikap majikan anda.

52 Tahun Merdeka, Masih "Mereka-Mereka"

Setelah 52 tahun merdeka, berita siaran TV3 melalui Buletin Utama pada 26 Oktober 2009, terbitan Rohani Ngah, masih menyebut 'mereka-mereka."
Berita di bawah tajuk visual, Menjalani Kehidupan Biasa, iaitu cerita tentang kanak-kanak bekas gerila Tamil Elan, Sri Langka. Pembaca berita, Mohammad Yasin Mansor, dan suara latar telah menyebut dua kali "mereka-mereka" dalam teks berita berkenaan, iaitu merujuk kumpulan kanak-kanak berkenaan.
Dalam bahasa Melayu, istilah mereka adalah merujuk bilangan yang ramai. Justeru, perkataan "mereka" tidak perlu diulang lagi. Cukup sekadar menyebut "mereka" sahaja.
Semoga nanti, setelah 53 tahun merdeka, TV3 bebas daripada kesalahan bahasa. Dan, penerbitnya menjadi orang yang memartabatkan bahasa Melayu.

Sabtu, 24 Oktober 2009

Bidan Terjun

Jumaat, 23 Oktober 2009, sekitar pukul 10. 41 pagi, ketika sedang mendengar ceramah agama di bandar Kota Bharu, aku menerima panggilan daripada Dr Abdul Aziz Haji Mahmood (Abham T.R - Ketua 1 PUSPA). Beliau meminta aku mengulas Antologi Sajak Bisikan 7 terbitan terbaharu Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA). Acaranya ialah 24 Oktober 2009 bermula pukul 9.00 pagi.
Aku terkejang sekejap. Dalam fikiran berlegar antara mahu menerima dengan mahu menolak. Aku memberitahu juga bahawa masanya amat singkat. Beliau membalas, hal ini kerana terdesak disebab penceramah asal tidak dapat memberi kata putus kehadirannya untuk datang. Penceramah ini dari Kuala Lumpur.
Memikirkan tentang sahabat, memikirkan tentang sastera, memikirkan tentang majlis yang perlu diselamatkan, maka aku dengan berat hati memberi persetujuan. Maka, sekitar pukul 11.30 pagi, kami bertemu di sebuah gerai. Dr Abdul Aziz datang bersama Zulkifli Mohd Zin (Ketua 2 PUSPA).
Pulang dari sembahyang Jumaat, aku terus menelaah Antologi Sajak Bisikan 7 (ASB7). Membuat catatan analisis yang perlu. Pada mulanya aku ingin memperkatakan perihal "nikmat dan laknat" sebagai penulis. Kemudian tajuk itu berubah kepada "memperkatakan idea." Terakhir, tajuknya berubah lagi kepada "memperkatakan tentang gaya perulangan." Aku terus membuat beberapa catatan tentang gaya perulangan dalam sajak-sajak ASB7.
Aku memutuskan akan memperkatakan tentang gaya disebabkan majlis itu akan berlangsung di Institut Dakwah Islam Perkim (IDIP). Pada tahun lepas, PUSPA melalui Dr Abdul Aziz pernah menjemput aku memberi ceramah kepada pelajar IDIP tentang cara menulis sajak. Dalam ceramah itu aku memilih memperkatakan teknik perulangan sebagai salah satu cara menulis sajak. Justeru, aku fikir, adalah wajar aku memperkatakan perihal yang sama agar pelajar IDIP lebih memahaminya dan terangsang.
Selepas waktu berita jam 9.00 malam, aku mempersiapkan buku-buku rujukan yang perlu dan mendalami catatan serta sajak-sajak yang terlibat. Pukul 10.00 malam, aku mula mengadap komputer. Anak-anak dan isteri sudah tidur kerana siang tadi mereka pergi ke Pantai Bukit Keluang, Besut, kerana ada majlis Hari Keluarga jabatan tempat bapak saudaranya bekerja. Kebetulan aku tidak ikut sama.
Alhamdulillah, mujurlah Tuhan banyak menolong aku. Tidak ada masalah sepanjang aku menaip dan 'bergaduh dengan idea,' cuma sesekali kosentrasi aku terganggu oleh gigitan nyamuk. Tiba-tiba azan Subuh berbunyi menyebabkan aku terpaksa berhenti menaip. Banyak bahagian telah siap, kecuali bahagian penutup dan rujukan.
Pukul 8.30 aku bergerak ke IDIP dan sekitar 10.30, selepas acaran perasmian dan deklamasi sajak, aku mula memberi ceramah. Dan, sekali lagi alhamdulillah, Tuhan menolong aku menyampaikan ceramah dengan lancar.
Di samping pelajar IDIP, ramai juga ahli PUSPA dan penulis Kelantan yang datang. Ada yang aku kenal dan ada yang aku tidak kenal. Antaranya, Norhisham Mustaffa, Nawawee Mohamed, Wadi Leta SA, Abdul Razak @ Rezeki Othman, Mohd Zizee Setapa, Abdul Hadi Muhammad, Abdul Hadi Yusuff, Leo A.W.S, Rossem, Siti Puspa, Rogayah Abas, Darus Ahmad, Wan Said Mohamad, Mazli Husma, Merah Azmi, dan sebagainya, di samping Dr Abdul Aziz Mahmood dan Zulkifli M. Zain sendiri.
Rupa-rupanya, jika kita ikhlas menolong orang, Tuhan juga ikhlas menolong kita. Maka hari ini, satu lagi tulisan aku lahir. Tajuknya, "Gaya Perulangan dalam Sajak: Analisis Sajak-Sajak dalam Antologi Sajak Bisikan 7."

Khamis, 22 Oktober 2009

Ulasan Sajak "Tidak Ada"

Oleh Hamid Jabbar
Kita semak puisi “Tidak Ada” karya Nassury Ibrahim. Inilah satu contoh puisi yang lahir dari keseimbangan yang kuat antara sikap santai dengan serius. Puisi ini, jika kita semak, terasa keras. Tetapi hidup ....
Bentuk puisi ini juga sederhana. Dan ternyata, kesederhanaan itu pun boleh melahirkan isi yang tidak sederhana. Bentuk yang sederhana ini mendukung sikap santai sang penyair dalam menulis puisi ini.
Dari kemasan puitiknya, puisi “Tidak Ada” lebih utuh, lebih padu dan sebati.

Siaran Mingguan Pos Kota, 18 Julai 1986

Ulasan Sajak "Azan"

Oleh Hamid Jabbar
Bagi seorang muslim yang baik, arah dan tujuan hidup tentulah berpandukan kepada firman Allah, bertakwa, menyembah Allah, bernahi mungkar dan beramar makruf. Tetapi kenyataan kehidupan kita kini, terutama bagi manusia-manusia kota yang sibuk ..., semua itu telah dilanda oleh pelbagai perubahan.
Nassury Ibrahim di dalam puisinya bertajuk Azan, secara padat dan keras, ingin mengatakan bahawa azan sebagai panggilan untuk menyembah hanya kepada Allah telah kehilangan maknanya di dalam telinga manusia, sebab azan itu “sekeping demi sekeping / jatuh / dan patah / di lorong-lorong sibuk // luka dan terbiar //.” Dan seakan hanya alam sajalah lagi yang masih “berzikir kepada Allah, dengan cara tetap mengikuti hukum alam yang ditetapkan Allah kepada alam itu.”
Pengertian ini dapat kita peroleh dengan cara berfikir dialektis terhadap ungkapan penyair bahawa azan itu “ sekeping demi sekeping / terlontar / dan terdampar / di hutan // sepi dan terasing.”

Siaran Mingguan Pos Kota, 4 Julai 1986

Rabu, 21 Oktober 2009

Cerita Pak Kaduk

“EH, BUKANKAH itu Pak Kaduk,” kata Haji Hassan apabila melihat visual berita di skrin televisyen. Lantas, dia memanggil isteri bagi mengecam dan memastikannya.
“Yelah, bang. Pak Kaduk.”
“Apa yang dia buat tu?”
Setelah tiga hari bersembunyi daripada buruan polis kerana mencopek kupu-kupu malam, dan merasai diri tidak selamat lagi kerana wajahnya tersiar dalam visual televisyen, Pak Kaduk bercadang melarikan diri dan menyusup masuk ke Malaysia. Dia memberi alasan kepada isterinya mahu mencari kerja kerana ramai yang pulang dari Malaysia jadi jutawan.
“Aku juga mahu jadi jutawan, bu,” Isterinya tidak berkata apa-apa.
Hasil bantuan seorang Tekong Malam, dengan bayaran Rp2 juta, Pak Kaduk berjaya menjejakkan kaki di tanah emas Malaysia. Melalui petunjuk seorang teman, dia menemui Bung Karim di Chow Kit dan 'melaporkan' tujuan kedatangannya. Bung Karim menasihati agar dia tidak terlalu mempercayai seseorang dan berhati-hati ketika berada di tempat awam.
“Di sini,” Bung Karim menunjukkan jari telunjuknya ke bawah. “Pak Kaduk dianggap pendatang haram.”
“Apa itu, Bung?”
“Pendatang tanpa izin.”
“Oooo …. Aku kemari mahu cari kerja, Bung. Mahu kerja,” bersungguh-sungguh dia menyakinkan tujuan kedatangannya.
“Ah, itu gampang saja!” Bung Karim membetulkan sila. “Di sini kita tidak usah cari kerja. Di sini kita bikin kerja,” nasihat Bung Karim, pemegang kad pengenalan merah.
“Kerjanya apa, Bung?”
“Apa-apa saja, asal lumayan.”
Maka dijelaskan oleh Bung Karim akan kerja yang sesuai dan hasilnya lumayan. Kata Bung Karim, Pak Kaduk patut jadi dukun.
“Masakan!” Terkejut Pak Kaduk mendengarnya.
“Jadi dukun tak perlu modal besar, Pak. Asal saja pandai bercakap dan diyakini. Pak Kaduk akan dapat wang lumayan dan bisa hidup senang,”
“Aku tidak tahu ilmu pedukunan. Masakan aku bisa jadi dukun! Ah … main-main aje Bung Karim. Aku berkata benar,” jelas rasa kecewa di mukanya.
“Betul, Pak, betul. Kerja ini tak perlu modal besar. Untungnya lumayan.”
Bung Karim memujuk agar Pak Kaduk sanggup menjadi dukun merawat tenaga dalam lelaki. Bung Karim memberi beberapa tip untuk berjaya, termasuk berjanji menyediakan modal awal, tempat tinggal dan peralatan niaga.
“Sebagai balasnya, bapak mesti bayar tiga kali ganda daripada modal aku beri,” sambil mengangkat tiga batang jarinya. “Kalau bersetuju, aku akan bantu perniagaan bapak.”
Setelah berfikir sejenak, Pak Kaduk pun menyatakan persetujuannya. Maka Bung Karim menelefon rakan-rakan agar menghantar segera segala jenis kayu-kayuan: Tongkat Ali, Perdu Bumi, Bangkawali, Jarum Emas, rempah-ratus, halia, kunyit dan segala macam. Bahan-bahan itu dimesin dan dimasak bersama minyak nyor. Sisa kayu-kayuan itu dibuat majun.
Berbekalkan minyak nyor dan majun itulah, Pak Kaduk keluar ke Chow Kit menjual impian. Minyak dan majun itu dipamer bersama-sama gambar ghairah wanita dari majalah Playboy, dan gambar lelaki kecewa patah berjuang.
“Bapak-bapak jangan jadi seperti lelaki ini,” demikian kata Pak Kaduk setiap kali memulakan perniagaan. Kata-kata itu seperti magnet, cepat menarik para lelaki yang lalu-lalang. “Kalah sebelum berjuang,” sambil menunjukkan gambar lelaki berkenaan. Para pengunjung mula mengerumuni.
“Kesian wanita ini,” sambil menunjukkan gambar wanita ghairah. “Kecewa kerana hajat tidak kesampaian. Mahukah isteri bapak-bapak jadi seperti wanita ini?” Pak Kaduk menatap wajah para lelaki di hadapannya. Semua diam, menanti kata-kata Pak Kaduk seterusnya.
“Kalau begini, isteri bapak akan cari lelaki lain,” jarinya menunjuk ke langit. “Tiada guna wang berjuta kalau ini (menunjukkan aksi dengan jari) tidak bisa berfungsi. Mahukah?” Sekali lagi Pak Kaduk memerhati wajah para pengunjung di hadapan. Pak Kaduk rasa makin bersemangat.
“Mahukah digelar lelaki dayus, kalah sebelum berjuang dan isteri dikebas orang?” Pak Kaduk menatap satu demi satu wajah di hadapannya.
“Mahukah?” Pak Kaduk mengulangi suara tanpa mengharapkan jawapan.
“Tidak,” tiba-tiba kedengaran satu suara dari celah kerumunan pengunjung. Pak Kaduk mendongak ke arah datang suara itu, mencari wajah pemiliknya.

Seperti biasa Bung Karim keluar dari belakang para kerumunan, berdepan dengan Pak Kaduk.
“Saya ada tiga isteri,” Bung Karim melangkah ke hadapan. “Sejak guna minyak dan majun bapak, saya rasa sangat bertenaga. Isteri tidak pernah merunggut. Sungguh mujarab majun bapak ini,” tanpa berlenggah, Bung Karim terus membeli dua botol minyak nyor dan tiga botol majun. Sebelum lewat, Bung Karim akan berkata, “Minyak dan majun Pak Kaduk membantu saya menjadi wira sejati,” sambil mengangkat ibu jari.
“Ya, lihatlah. Bapak itu pelanggan tetap saya. Apakah bapak-bapak masih ragu akan ubat saya?” Pak Kaduk cuba menyakinkan pelanggan, sebaik Bung Karim berlalu.
“Kalau senjata kita tidak berfungsi, kita akan jadi seperti mayat batu ini. Keras,” lalu Pak Kaduk menunjukkan gambarnya.
Para pengunjung, khususnya lelaki tua rasa tercabar dengan kata-kata Bung Karim. Apalagi kata-kata Bung Karim itu diperhangat pula oleh Pak Kaduk. Lantas, mereka membeli tanpa dolak-dalih.
Enam bulan lamanya Pak Kaduk berniaga, licin dan menguntungkan. Hutangnya juga sudah habis. Tiba-tiba pada suatu petang dia diserbu oleh pihak berkuasa. Mulanya, Pak Kaduk tidak tahu apa-apa. Nasib baik dia mendengar jeritan rakan sepenjaja menyuruh mereka lari kerana pihak berkuasa datang menyerbu perniaga haram.
Terkejut dengan jeritan itu, Pak Kaduk cepat-cepat membungkus minyak dan majunnya. Sewaktu dia beredar terdengar jeritan suara, “Tangkap dia, Pak! Tangkap dia, Pak! Tangkap dia, Pak!” Dia melihat seseorang sedang menunding jari ke arahnya.
Pak Kaduk terus menggandakan kayuhan kaki, melewati celahan bangunan. Pada satu selekoh, dia terpandang Bung Karim sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang lelaki beruniform. Dia berlari menuju dan ingin mendapatkan Bung Karim. Kebetulan Bung Karim berpaling ke arahnya. Tiba-tiba Bung Karim menjerit, “Itu dia, Pak! Itu dia, Pak! Tangkap.”
Terkejut dengan jeritan Bung Karim, Pak Kaduk terus berpaling dan lari tanpa menoleh lagi. Bungkusan minyak dan majun dibuang begitu saja. Dia berlari dan berlari dan berlari dan berlari keluar kota sekuat takutnya tanpa dia tahu ke mana dan di mana tujunya.
Sedar-sedar dia berada di atas katil. Cepat-cepat dia bertanyakan pada lelaki di hadapannya.
Haji Hassan memberitahu bahawa dia terjumpa Pak Kaduk terbaring dalam semak di tepi jalan, sewaktu pulang dari sembahyang Insyak. Dia sendiri mengangkat Pak Kaduk balik dan menyuruh isteri merawat luka-luka di badan. Haji Hassan turut bertanya akan sebab-musabab dia jadi begitu. Dijelaskan oleh Pak Kaduk bahawa dia berasal dari Brengset, telah enam bulan datang ke negara ini. Kini, dia diburu oleh pihak berkuasa kerana dikhianati rakan.
Terkejut Haji Hassan mendengarnya.
Keesokan hari, Haji Hassan memberitahu bahawa dia terpaksa menyerahkan Pak Kaduk kepada pihak berkuasa. Dijelaskan juga bahawa jika pihak berkuasa tahu, mungkin melalui jiran-jiran, dia dan seluruh ahli keluarga akan ditangkap dan didakwa melindungi pendatang. Haji Hassan berharap Pak Kaduk faham kedudukan dan perasaannya.
Pak Kaduk merayu agar Haji Hassan membatalkan niat sucinya itu. Dikatakan bahawa dia ada seorang isteri dan empat orang anak yang perlu dibiaya. Jika dihukum, maka tiada siapa lagi yang membiaya mereka. Katanya, isteri dan empat anaknya itu akan mati kelaparan.
Katanya lagi, “Aku mahu pulang ke Brengset. Ngak mahu lagi hidup di sini,” air matanya mulai menitis. “Aku benci! Aku benci!” jerit Pak Kaduk tiba-tiba.
Namun, Haji Hassan tetap bertegas. Katanya, “Ini tanggungjawab saya kepada negara. Kami terima kedatangan tetamu halal yang ingin mencari rezeki, dan tidak mendatangkan musibah.”
Ketika mereka bercakap-cakap, tiba-tiba pintu rumah diketuk. Ada suara memberi salam dan memanggil nama Haji Hassan. Setelah dibuka, terjonggol Haji Salleh, Ketua Kampung Lada. Kata Haji Salleh, seorang anak buah mengadu ada pendatang di rumah Haji Hassan.
“Betul ke aduan itu?”
Haji Hassan tidak segera menjawab. Sebaliknya, dia mempersilakan Haji Salleh masuk dan berbincang di dalam. Diceritakan oleh Haji Hassan peristiwa dia terjumpa Pak Kaduk yang pengsan terbaring dalam semak di tepi jalan.
“Saya membawanya pulang dan menyuruh Si Timah merawatnya.”
“Sekarang di mana orang itu?”
Haji Hassan mengajak Haji Salleh ke bilik tamu. Malangnya, Pak Kaduk tidak ada di situ. Haji Hassan dan Haji Salleh mencari di sekitar rumah, tetapi tidak terjumpa. Timah pula tiada di rumah kerana pergi ke pasar.
“Dia sudah lari.”
Sementara itu, Pak Kaduk yang melarikan diri, sampai di rumah kongsi pekerja ladang kelapa sawit (juga pendatang). Melalui bantuan pekerja tersebut dan rakan-rakan mereka, Pak Kaduk berjaya sampai ke sebuah rumah transit berhampiran jeti haram. Di rumah itu terdapat sekitar 20 orang penghuni senegara, lelaki dan perempuan.
Hasil siasatan Pak Kaduk, mereka juga pendatang yang sedang diburu oleh pihak berkuasa tempatan. Ada antaranya terlibat dengan kegiatan pecah rumah, meragut, merompak, menipu, merogol dan membunuh rakyat tempatan. Sepanjang berada di rumah itu, Pak Kaduk berkenalan dan beramah mesra dengan mereka. Masing-masing melahirkan rasa marah terhadap pihak keselamatan kerana memburu mereka.
“Wah, ternyata, kita sudah jadi keluarga besar!” kata salah seorang daripada mereka.
Tiga hari bersembunyi dalam rumah itu, pada suatu malam dalam hujan renyai-renyai, mereka diarah menaiki bot laju. Mereka segera berlepas ke Brengset meredah selat dan pekak malam. Sepanjang dalam perjalanan, mereka berwadah akan bertemu pada tarikh dan tempat ditetapkan.
Ternyata, pada tarikh berkenaan, kesemua 21 orang itu, menepati wadah mereka. Mereka bertemu, bercerita sambil makan-makan. Sempena pertemuan itu, Pak Kaduk mencadangkan agar mereka bersatu di bawah satu organisasi. Cadangan itu dipersetujui.
Kebetulan TV Merpati di restoran tempat mereka bertemu dan makan-makan itu menyiarkan berita tentang Tarian Beliak Mata dalam iklan Tahun Melawat Malaysia. Dikatakan oleh pembaca berita bahawa Tarian Beliak Mata itu kepunyaan negara Brengset dan menuduh Malaysia mencurinya. “Justeru,” seru pembaca berita itu, “Rakyat perlu bangkit menunjukan bantahan.”
Menyahut seruan itu, seorang daripada mereka bangun dan mencadangkan agar organisasi mereka dinamakan Gerakan Demonstrasi Bersama Rakyat (Gedeber). Pak Kaduk dilantik sebagai presiden dan sekali gus sebagai koordinator program. Aktiviti pertama Gedeber ialah mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Malaysia. Pada hari itu juga, mereka membincangkan tarikh, strategi dan segala kelengkapan yang perlu sepanjang demontrasi tersebut.
“Eh, bukankah itu Pak Kaduk,” kata Haji Hassan apabila melihat visual berita di skrin televisyen. Lantas, dia memanggil isteri, mengecam dan memastikannya.
“Yelah, bang,” sokong isterinya.
“Apa yang dia buat tu?”
Haji Hassan mengamati orang-orang dalam visual itu. Masing-masing mengikat kepala, memegang buluh runcing dan berkumpul di tepi jalan, berteriak sambil mengangkat sepanduk bertulis, “Malaysia Curi Tarian Beliak Mata: Ganyang Malaysia.”
“Oooo ...,” kata Haji Hassan. “Kaduk naik junjung” Dia menutup suis tv, dan segera beredar ke masjid kerana mahu menunaikan solat Zuhur.
Pengkalan Chepa, 8 – 12 Oktober 2009.
Siaran: Berita Harian, 31 Oktober 2009

Selasa, 20 Oktober 2009

Tawar PR kepada Bekas Rakyat Malaysia

Akhbar Sinar Harian bertarikh 20 Oktober 2009 di halaman N3 menyiarkan syor Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, agar kerajaan Malaysia memberikan taraf Pemastautin Tetap (PR) kepada lebih 200,000 orang warganegara Amerika Syarikat.
Mereka merupakan bekas warganegara Malaysia yang kini menjadi warganegara Amerika Syarikat, dan berkhidmat dalam bidang profesional.
Alasan yang diberikan ialah dengan pemberian PR itu akan mewujudkan rangkaian ekonomi kukuh antara kedua-dua negara. Maksudnya, pemberian PR itu atas perkiraan ekonomi. Alasan ini secara tidak langsung memberitahu bahawa hubungan ekonomi Malaysia - Amerika Syarikat, selama ini, tidak kukuh.
Saya tidak tahu pandangan orang lain. Pada fikiran saya, memberi PR kepada bekas warganegara Malaysia adalah tidak wajar dan syor itu tidak perlu dilayan. Atau, permohonan itu perlu dilihat bersama dengan sejarah alasan mereka menolak menjadi warganegara Malaysia. Kecualilah, mereka yang menjadi mangsa culik atau pelarian perang atau suaka politik.
Saya mengatakan bahawa syor itu tidak perlu dilayan kerana syor itu sendiri merupakan penghinaan terhadap warga setia Malaysia dan undang-undang negara. Adalah tidak adil, atas alasan ekonomi seseorang itu menukarkan PR negara asalnya, dan atas alasan sama pula ingin kembali meraih PR negara asal tersebut. Dan, tidak adil kepada mereka yang setia menjadi warganegara Malaysia, walaupun diri atau negara dalam keadaan susah dan menderita.
Saya tidak tahu sebab sebenar 200,000 orang itu memohon menjadi warganegara Amerika. Namun perbuatan individu yang sanggup menukarkan PR, atas alasan ekonomi, adalah petanda bahawa mereka tidak setia kepada negara asal.
Jika benar mereka sayang negara Malaysia, mereka tidak akan menukarkan PR, bak kata pepatah, "hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri; lebih baik di negara sendiri."
Lebih terhina apabila syor itu datang daripada duta yang bertaraf menteri, dan atas perkiraan material. Apakah syor itu memberitahu kepada rakyat bahawa kita boleh 'menjual' negara atau menukarkan negara / kesetiaan dengan material?
Pada saya, perbuatan menukarkan kesetiaan dengan material adalah satu sikap yang berbahaya kepada keselamatan negara.
Saya bersetuju dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, bahawa bekas warganegara Malaysia yang ingin kembali sebagai warganegara Malaysia akan dilayan sebagaimana permohonan warga asing. Dan, saya juga berharap pemberian PR kepada mana-mana individu dikaji dengan teliti.
Dan, jangan pula ada menteri atau sesiapa sahaja yang berniaga PR.

Perempuan Manik

Tiga orang perempuan manik
berbaju manik bertopi manik,
kata bapak, berjalan
dari pangkal ke hujung
dari hujung ke pangkal
Chiang-Mai Night Bazaar

dia berjalan dan berjalan
dan berjalan, kata bapak,
dari malam ke malam
menjual beraneka manik
di lehernya di tangannya
di telinganya di kepalanya

katanya, "belilah, tuan,
nanti manik-manik ini
akan bertukar jadi emas."

begitu setiap malam, kata bapak,
akan laku perempuan manik
hingga orang-orang yang datang
menjadi biji-biji manik.

Chiang-Mai, Thailand
18 Disember 2005

Jumaat, 16 Oktober 2009

Kontroversi Salam Maria

Aku baru selesai membaca buku ini – Nyanyi Sunyi Salam Maria VS Sarjana Nasi Dingin. Marah benar Dr Fatimah Busu kepada Prof. Dr Ungku Maimunah hingga idea, fakta dan hujahnya berulang-ulang.

Telah lama aku beli dan baca novel Salam Maria, sebelum dilancarkan di Institut Perguruan Tuanku Bainun lagi.

Tanpa pengetahuan Dr Fatimah Busu, aku antara orang yang berusaha menganjurkan majlis pelancaran novel Salam Maria. Pada suatu hari, A. Rahman Daud menelefon agar aku menganjur, menyediakan tempat dan persiapan untuk pelancaran dan diskusi novel Salam Maria. Katanya, pembentang telah ada, iaitu PM Dr Noraini Yusuf dari UUM serta Dr. Fatimah Busu sendiri. Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara bersetuju membiayai.

Masalah aku ialah menyediakan khalayak sebab, kebetulan, dalam semester 2 di IPTB tiada pelajar Melayu kerana mereka menjalani praktikum. Yang ada cuma dua kumpulan pelajar Pengajian Cina dan satu kumpulan pelajar Pengajian Tamil. Novel Salam Maria pula berkenaan agama Islam. Aku minta majlis itu ditunda atau dibuat di tempat lain. Namun, A. Rahman Daud tetap berkeras mahu melancarkannya di IPTB. Mungkin beliau tidak percaya.

Demi menjaga persahabatan, aku bersetuju menganjur, menyediakan tempat dan peserta, dan menyarankan agar beliau membawa khalayak Islam dari luar. Aku memilih dua kumpulan pelajar Cina sebagai peserta dan menetapkan tarikh 14 September 2004 (Sabtu) sebagai tarikh pelancaran.

Malangnya, pada hari pelancaran tiada khalayak dari luar. Hanya aku, wakil Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Baharin Ramly, A. Rahman Daud, Hashim dan seorang kawannya serta Prof. Rahman Shaari. Mujur majlis itu berjalan lancar tanpa protes dari peserta, pembentang, penerbit dan penulis, terutama Dr Fatimah Busu. Risau juga aku kerana mengarahkan pelajar bukan Islam datang mendengar perbincangan novel bernafaskan Islam.
Aku anggap novel Salam Maria sebagai novel bernafaskan keislaman. Banyak ajaran Islam diterapkan, terutama berkenaan solat dan nilai kesyukuran. Salam Maria sebuah novel dakwah, namun novel ini tidak berdakwah kepada orang bukan Islam, sebaliknya novel Salam Maria berdakwah kepada orang Islam. Menanam kesyumulan Islam kepada umat-Nya. Memang novel ini tiada kena-mengena dengan dunia pelacuran.

Aku anggap novel ini setanding dengan novel Imam (SN Abdullah Hussein) dan Kawin-Kawin (Azizi Haji Abdullah). Pada aku, walau disuluh dengan lampu Persuratan Baru sekalipun, novel Salam Maria masih berkilauan nilai kanun keislamannya, apalagi kalau menggunakan lampu Teori Takmilah. Bukankah aksi-aksi solat dan sujud syukur, mengadu dan memohon pertolongan Allah itu dituntut Allah? itu padangan aku .

Tentu ada sebabnya Prof. Dr Ungku Maimunah berpendapat sebaliknya. Sayangnya, aku tidak tahu sebabnya itu. Aku gagal mendapatkan kesemua kertas kerja Prof. Dr Ungku Maimunah.

Ikrar Bahasa Kebangsaan

Saya siar Ikrar Bahasa Kebangsaan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK 2009). Ikrar ini dipetik dari Majalah Dewan Bahasa, Ogos 1961. Ikrar ini telah dilafazkan serentak di seluruh tanah air oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu pada hari Sabtu, 9hb. Safar 1381 bersamaan dengan 22hb. Julai 1961 pada pukul 5.15 petang tepat.

Selasa, 13 Oktober 2009

Sakit Mata

Sejak 8 Oktober 2009 lagi aku mengalami sakit mata. Sampai hari ini masih juga belum sembuh. Telah aku jumpa doktor dan guna ubatnya - ubat air dan ubat picit - masih juga belum sembuh. Entah apa yang masuk dalam mata tidak aku tahu. Tiba-tiba saja sakit.
Yang pastinya, sebelum mata aku sakit, mata anak lelaki aku sakit. Berjangkit dari kawannya di asrama. Cikgu suruh dia pulang. Seminggu kemudian matanya sembuh. Alih-alih mata aku pula yang sakit. Ada 'barang' kotor barangkali masuk ke dalam mata aku.
Kata seorang kawan, dia pernah dengar orang berkata, "Kalau lihat orang perempuan dapat cuci mata." Dia cadang agar aku pergi lihat perempuan banyak-banyak.
"Moga-moga mata kau tak sakit lagi," katanya.
Aku pun balik ke rumah. Dua orang anak perempuan aku sedang menonton tv. Tanpa berlenggah, aku pun melihat mereka lama-lama. Dalam hati aku berharap, 'Hilanglah sakit mata aku ni.'
Tiba-tiba mereka marah. "Apalah abah ni, tengok orang lama-lama. Nanti sakit mata tu berjangkit," dia bangun dan terus ke dapur. Sakit mata aku masih sakit.
Aku terus masuk bilik. Kebetulan isteri baharu sudah sembahyang. Tanpa berlenggah, aku pun terus menatap wajahnya."
"Tengok apa?" katanya. "Kita tak minat la pada orang sakit mata," katanya lagi dan terus keluar bilik.
Aduhhh ....! Semua orang lari. Bilalah mata aku nak sembuh. Tak dapat cuci ni.
Esoknya aku pergi kerja. Isteri melarang. "Sakit mata pun nak pergi kerja," katanya. Ah, aku pergi juga.
Aku bekerja sebagai pensyarah. Ramai pelajar aku perempuan. 'Kali ni cucilah mata aku. Tentu esok tak sakit lagi,' bisik hati aku.
Belum waktunya aku sudah berada dalam kelas. Aku lihat semua pelajar perempuan. Yang lelaki tak payah. Tiba-tiba seorang pelajar perempuan bertanya, "Encik sakit mata?"
"Ya," jawabku.
"Mengapa datang kerja?"
"Mahu cuci. Sudah tiga hari mata saya sakit." Pelajar perempuan itu senyap. Mereka semua tunduk.
Namun, sakit mata aku tak juga sembuh. Aku beritahu kepada kawan aku itu, bertanyakan sebab mata aku tak sembuh-sembuh walaupun sudah ramai perempuan aku lihat. Dia bertanya, "Kau lihat perempuan muda atau tua?"
"Muda."
"La ... Patut tak sembuh. Pergi lihat wanita tua. Baru ada 'power."
Di rumah aku dan di tempat aku bekerja tiada wanita tua. Maka, esok aku bercadang akan cuti. Mahu cari dan menatap wanita tua.
'Mudah-mudahan, kali ini mata aku tidak sakit lagi,' bisik hati kecilku.

Bibliografi Kritikan Karya

  1. Drs. Mohamad Daud Mohamad. “Menimba Laut di dalam Kedalaman Lautan Nassury Ibrahim,” Kertas Kerja Seminar Karya Generasi Baru (Genre Puisi), anjuran Bahagian Anugerah dan Penataran Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) pada Sabtu, 18 Julai 1998 di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. Nik Dzulkefli bin Haji Ibrahim, “Biografi Penulis Maniyamin bin Ibrahim,” Kerja Kursus BSU 1013 Pengantar Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tahun 2002.
  3. Sulaiman Azari bin A. Razak, “Nassury Ibrahim dan Rahimidin Zahari Sebagai Penyair Tanah Air,” Kerja Kursus BBK 5202 Analisis Struktur Puisi Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Un iversiti Putra Malaysia (UPM) tahun 2002/2003.
  4. Ab. Malek Jusoh, Muhammad Asri Husin, Ahmad Latfi Ahmad Nordin, dan Kula Haji Mamit, “Tokoh Kreatif Encik Maniyamin Ibrahim (Nassury Ibrahim),” Kerja Kursus BBM 331 Penulisan Kreatif, Fakulti Pengajian Bahasa Moden, Un iversiti Putra Malaysua (UPM) Tahun 1997.
  5. Sahrunizam Abdul Talib, “Singgah Sebentar di Rumah Puisi Nassury,” dlm. Mohammad Saleeh Rahamad dan Luqman Hakim, 2005. Idealisme Penulis Muda. Kuala Lumpur: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
  6. Zahara bt. Zulkifly, “Puisi-Puisi Nassury Ibrahim: Satu Analisis Stilistik dari Sudut Gaya Bahasa,” Kerja Kursus BBK 5202, Fakulti Pengajian Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia (UPM).
  7. Zaen Kasturi, “Membaca ‘Elipsis’ dan ‘Rahim Hayat’ Menerusi Kacamata Psikologi Harapan,” Kertas Kerja Majlis Bicara Karya Wilayah Timur pada 11 – 13 November 2008 di Cameron Highlands, anjuran DBPWT.

Ahad, 11 Oktober 2009

Bersama Rakan Penulis

Kenangan Bersama Sahabat dan Penyair Johor Sdr. Shamsuddin Othman

Kenangan Bersama Penyair dan Aktivis Kalam - Mattaib Nordin

Kenangan Bersama Penyair Terengganu Sdr. Mahani Sulong

Rakan Serumah dan Sepengajian (1996 - 1999)

KENANGAN SEMASA BELAJAR DI UNIVERSITI MALAYA
Dari kiri: Che Roslan Abd. Razak, Aku, Yusuf Mustaffa, Mohd Fuad Marzuki (Allahyarham), Prof. Dr Hashim Awang AR, Bahtiar Omar, Roslan Rasip, Azahar Sabir dan Shamsuddin Othman. Kecuali aku yang mengambil Pengajian Melayu, yang lain-lain di bawah Rancangan Bahasa Melayu. Gambar kenangan ini semasa Seminar Tradisi Lisan, 1999.

Kenangan Bersama 2PNP

KENANGAN BERSAMA 2PNP
Dari Kiri: Drs Anuar Asmadi, Nassury Ibrahim, Cikgu Daud, Miss X, Cikgu Abu Seman, Miss Y dan Tarmizi di Hotel C.S. Pattani pada 4 Februari 2007 ketika mengikuti Dialog Budaya 2 anjuran Gapena. Mereka antara rakan-rakan yang baik dan banyak membantu aku sepanjang dalam 2PNP. Terima kasih semoga jasa tuan-tuan diberkati Allah. amim

Isnin, 5 Oktober 2009

Reaksi Bedah Siasat Sayembara Puisi Perlu

SABAN tahun acara sayembara puisi berlangsung di negara ini dan ia membabitkan peruntukan khas yang bukan sedikit. Apakah acara ini berjaya memartabatkan sastera negara dan melahirkan deklamator yang disegani? Ikuti wawancara wartawan Sastera dan Budaya, HASSAN OMAR, dengan beberapa tokoh berhubung perkara ini.
PENSYARAH Maktab Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Nasurry Ibrahim, berkata sayembara puisi khususnya Sayembara Puisi Kebangsaan adalah medan terbaik untuk mencungkil bakat baru dan mengangkat martabat sastera pada perspektif masyarakat.
“Sayembara Puisi Kebangsaan mencapai kemuncaknya pada 1996 apabila ia berjaya menghasilkan deklamator terbaik, Ahmad Shukri Abdullah tetapi selepas itu saya lihat kebanyakan pemenang tidak mencapai tahap persembahan seperti beliau.
“Saya difahamkan sesetengah sayembara puisi peringkat negeri kini tidak sempat dianjurkan kerana tidak mendapat sambutan dan sesetengah peserta wakil negeri adalah bidan terjun kerana dipilih berdasarkan penyertaan tahun sebelumnya.
“Saya berharap acara deklamasi puisi diadakan di lokasi yang mempunyai kemudahan pengangkutan awam bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah turut sama menikmatinya.
“Satu ketika dulu sayembara puisi diadakan dalam maktab polis dan ia tidak mendapat sambutan kerana orang awam keberatan untuk hadir di tempat sedemikian sedangkan acara ini boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan seni sastera negara ini,” katanya.
Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Md Ismail Zamzam, yakin sayembara puisi boleh meningkatkan seni terbabit selain mempamerkan sikap masyarakat yang mulai memahami dan menyanjung puisi.
“Sayembara puisi membuka ruang lingkup genre ini untuk dilihat secara lebih bermakna sehingga ia tidak lagi menjadi milik penyair tetapi masyarakat keseluruhan dan kini sudah ada kalangan orang politik, penyanyi dan ulama mendeklamasikan puisi.
“Sebenarnya apabila kita menganjurkan program sayembara puisi, kita secara tidak langsung mengangkat apresiasi puisi dan nampaknya ia bukan setakat meningkatkan genre puisi malah kualiti deklamasi serta karya.
“Justeru sayembara puisi perlu diteruskan manakala sektor swasta sewajarnya memberi sokongan dengan memberi bantuan kewangan bagi menggerakkan usaha memasyarakatkan puisi,” katanya.
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Talib Samat, sependapat dengan Md Ismail dan melihat sayembara puisi khususnya Sayembara Puisi Kebangsaan, sememangnya membuka peluang untuk masyarakat mendekatkan diri kepada sastera.
“Bagaimanapun sejak kebelakangan ini saya perhatikan sayembara terbabit kurang mendapat sambutan dan ini dapat dilihat melalui penampilan peserta yang sama saban tahun.
“Saya berharap deklamasi puisi tidak menjadi sekadar kegiatan mengisi masa lapang kerana ia boleh dimanfaatkan untuk mengangkat martabat sastera negara dan kerana itu peserta perlu membuat kajian mengenai tentang kaedah persembahan deklamasi.
“Sayembara puisi sewajarnya dijadikan sebagai medan untuk mengangkat genre puisi, mendekatkan masyarakat dengan sastera dan menyampaikan mesej baik kepada pemerintah mahupun masyarakat.
“Justeru minat mendalam terhadap puisi, penciptaan dan pendeklamasian perlu ditanam pada peringkat sekolah kerana pendekatan ini dapat membantu sayembara puisi menjadi mekanisme untuk menyampaikan mesej dalam pembentukan sahsiah diri.

Berita Harian, 27 November 2004

Khamis, 1 Oktober 2009

Buku Rekod Mengajar Pertama

Buku Rekod Mengajar (BRM) merupakan buku catatan rasmi kerja harian guru. Setiap guru mesti mempunyai BRM dan lengkap bertulis. BRM menjadi petanda aras guru melaksanakan tanggungjawab sebagai guru.
Gambar di atas merupakan BRM aku yang pertama. Yang kedua dan seterusnya tiada dalam simpanan. Buku ini dihasilkan ketika aku menjalani latihan praktikum, sebagai memenuhi syarat untuk mendapatkan Sijil Perguruan Asas dari Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI).
Aku memasuki IPSI pada Julai 1987 dan tamat pada November 1989, iaitu selama 2 ½ tahun. Dua tahun belajar di IPSI, manala ½ tahun menjalani praktikum di SM Kalumpang, Kuala Kubu Baru, Selangor. Aku menjalani praktikum mulai 07 Ogos 1989 hingga 20 Oktober 1989. Sekolah ini ada tiga bangunan sahaja. Dua bangunan kelas (dua tingkat) dan pejabat, satu lagi kantin. Bilik kelas bahagian bawah hanya ada tiang batu saja, tiada cermin dan bingkai nakoh. Aku bertanya pada seorang guru, dia menjawab, "Dah pasang tetapi mereka makan." Sekolah ini dalam kawalan seorang inspektor polis.
Aku mengikuti kursus Pengajian Sekolah Menengah dalam bidang Sejarah dan Pendidikan Seni. Bilangan kami sekitar 20 orang dan ditempatkan dalam Kumpulan G. Tutor pertama ialah Che Hamat Che Man, manakala tutor kedua ialah Encik Aziz Shukor.
Pensyarah penyelia terdiri daripada Encik Mustaffa Chu Tuah untuk bidang Sejarah, dan Encik Iberahim Hassan untuk Pendidikan Seni, manakala guru pembimbing ialah Encik Abdul Halim Baharom (Pendidikan Seni) dan Encik Shamsuri Agus (Sejarah).
Sepanjang menjalani praktikum, aku tinggal di asrama Blok L. Sekitar pukul 5.00 pagi, aku dan rakan-rakan seperjalanan akan berkumpul di hadapan Blok D / Dewan Besar menunggu bas IPSI dan pulang sekitar pukul 1.00 petang.
Sepanjang menjalani praktikum aku menggunakan radio kasset, OHP, gambar-gambar dari media, gambar dilukis, stesilan, kertas gulung, kertas mahjong dan bahan maujud sebagai bantu mengajar. Ada yang dibeli, ada yang dipinjam, dan lebih banyak yang buat sendiri.
Ada sekali Bilik Tayangan yang aku tempah terpaksa digunakan oleh pihak Pusat Kesihatan untuk tayangan kesihatan wanita. Oleh sebab tiada bilik sesuai, aku terpaksa menggunakan Pusat Sumber. Malangnya, di Pusat Sumber tiada kelir OHP. Bagi mengatasinya, aku menggunakan bahagian belakang kertas peta. Malang sekali lagi menimpa, antara tempat OHP dengan kelir adalah dekat menyebabkan bingkai cahaya terkeluar daripada bingkai peta yang aku jadikan kelir. Aku berusaha mengalih OHP, tetapi gagal kerana ruangnya sempit. Apabila mengawal jarak cahaya, huruf pula menjadi kelabu. Ketika sedang mengatasi masalah, tiba-tiba muncul penyelia. Alamak, Mustaffa Chu Tuah datang! Dan aku pada hari itu menjadi 'Hang Jebat' yang malang.
Memang betul sangkaan, cahaya yang keluar daripada bingkai kelir itulah yang ditegur. Beliau tidak percaya alasan aku beri. Beliau cuba membetulkan, hasilnya sama seperti telah aku buat. Namun, markah pengajaran aku pada hari itu tetap rendah. Apa boleh buat, dia guru kita pelajar!

Isnin, 28 September 2009

Matinya Seorang Calon Penyair

Sutung Umar RS bergambar kenangan dengan peserta bengkel penulisan

Sajak 'Keris Atau Seorang Raja Purba' saya hantar untuk bengkel Kursus Penulisan Puisi anjuran Pelita bertempat di Pejabat Pelita, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu pada 1 – 3 Mei 1986. Kursus ini dibimbing oleh Sutung Umar RS. Dalam bengkel itu, Sutung Umar RS membedah setiap sajak, termasuk sajak saya itu. Beliau memuji sajak berkenaan dan seringkali menjadikannya contoh sepanjang bengkel tersebut.

Sajak itu kemudiannya diterbitkan dalam antologi Warna Kemesraan oleh Pelita pada tahun 1986 diselenggarakqan oleh Sharif Putera dan Moharani Tanusi. Sajak asal (sewaktu dibengkelkan) punya perulangan baris akhir, 'sepi dan terasing,' sebagaimana tercatat dalam antologi Di Luar Bingkai Diri di bawah nama Zeniri Erwan. Saya tidak tahu dan tidak pernah bertanya akan sebab pengulangan baris akhir, 'sepi dan terasing, digugurkan dalam antologi Warna Kemesraan.

Semasa menghadiri Perhimpunan Penyair Muda di Padang Merbok pada akhir tahun 1987, saya telah diberitahu oleh Sabariah Nor Salleh, salah seorang peserta bengkel, bahawa sajak saya itu diterbitkan dalam antologi Di Luar Bingkai Diri di bawah nama Zeniri Erwan. Hal ini diberitahu oleh rakan-rakan kepada Wanazuhar (salah seorang penyelenggara antologi berkenaan). Memang saya tidak perasan nama itu. Setelah dibelek pada bahagian biodata pengarang, rupa-rupanya beliau juga merupakan antara perserta bengkel berkenaan. Namun sajaknya tidak terpilih untuk antologi Warna Kemesraan.

Kebetulan pada hari kedua / ketiga perhimpunan tersebut, Pyanhabib dijemput mendeklamasi sajak di UKM. Saya pergi bersama Pyanhabib, Aziz Mohd Noor, Mustaffa Jusuh dan beberapa orang rakan menaiki kereta Wanazuhar. Semasa di UKM, saya telah dipanggil oleh Zeniri Erwan. Beliau memberi alasan lisan dan bertulis akan 'tragedi' itu. Saya akur dan mengingatkan agar dia terus menulis.
Saya tidak tahu, siapakah yang memberitahu Zeniri Erwan akan 'tragedi ciplakan' dan kehadiran saya ke UKM.

Apabila pulang ke Tanjong Malim, saya menulis surat memberitahu Sutung Umar RS bahawa sajak saya itu telah 'dicuri' dan diterbitkan dalam antologi berkenaan. Saya turut menghantar sajak berkenaan kepada Sutung Umar RS, untuk memudahkan beliau mengingatinya.
Tidak berapa lama, tersiar kritikan terhadap sajak berkenaan yang ditulis oleh Muhamad Yusoff. Walaupun saya tidak kenal, tidak cam akan Muhamad Yusuf, saya amat berterima kasih atas kesudian beliau cuba menjawab akan pengarang yang sebenar.

Sajak itu telah disiarkan oleh Sutung Umar RS dalam majalah Dewan Sastera bulan Mei 1989 Menurut Sutung Umar RS, ada pembaca menelefon memberitahu bahawa saya telah menciplak sajak itu dari antologi Di Luar Bingkai Diri. Sutung Umar RS memberitahu bahawa sayalah pengarang sebenar sajak itu.

Walaupun isu ini kecil dan bersifat peribadi, namun moralnya sangat besar untuk diambil iktibar, khusus kalangan calon penulis. Meski setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun lahir sajak, tindakan memplagiatkannya, walaupun dalam peratus plagiat yang kecil, tetap dapat dikesan.

Dan, walaupun saya tidak sedih dan tidak marah pada Zeniri Erwan, peristiwa itu (pada fikiran saya) menyebabkan beliau terus tidak menulis. Hal ini, pada fikiran saya, amat sedih kerana telah saya nasihat agar terus menulis. 'Kematiannya' amat merugikan.


PLAGIAT
(Kepada Calon Penyair)

Nikmatnya adalah derita
sepedih rasa di tanah diri
jangan kau biar
serigala nafsu
menerjah menerkam
merobek cinta murnimu.
28 September 2009

Lagu Motivasi untuk Diri

Apabila aku berada di blog sendiri, aku akan singgah mendengar lagu ni kerana teringatkan kedua ibu bapaku dan anakku Nur syahirah

Sabtu, 26 September 2009

'Keris atau Seorang Raja Purba' Seratus Peratus Plagiat?


Oleh Muhamad Yusoff
Masalah plagiat, menceduk atau menciplak di dalam bidang penulisan kreatif di kalangan penulis, terutama para penulis baru tidakn pernah selesai. Perbuatan yang memalukan itu sentiasa saja berlaku, walaupun orang-orang yang terlibat dalam kerjaya berkenaan rata-rata terdiri daripada akademis atau mereka yang mempunyai martabat ilmu yang tinggi.
Padal hal perbuatan yang tersebut, malah setaraf dengan dosa mencuri itu sebenarnya suatu perlakuan yang memalukan ramai orang dan banyak pihak, tetapi kenapa hal-hal yang serupa selalu saja terjadi, sama ada secara sedar atau sebaliknya.
Kes plagiat terbaru yang dapat dikesan di dalam perkembangan dunia penulisan kreatif setakat ini ialah ke atas sebuah sajak yang berjudul 'Keris Atau Seorang Raja Purba' oleh Zeniri Erwan, satu nama paling baru dan belum pernah dikenali. Sajak 'Keris Atau Seorang Raja Purba' terdapat di dalam kumpulan sajak Di Luar Bingkai Diri hasil usaha sama Nawawee Mohammad, Wanyuyee dan Wanrazuhar dan diterbitkan oleh Grupemuisi, Universiti Kebangsaan Malaysia, pada tahun 1987.
Kumpulan sajak ini juga dilancarkan oleh Drs. Sulaiman Mohammad di universiti itu pada 20 Disember tahun lalu.
Apa yang dikesalkan, seluruh isi sajak ini adalah sama dengan sajak yang berjudul sama karya Nassury Ibrahim yang terdapat dalam kumpulan sajak Warna Kemesraan (hal. 51) iaitu sebuah kumpulan sajak terbitan Pelita (1986) yang diselenggarakan oleh Sharif Putra dan Moharani Tanusi.
Perhatikan susunan sajak 'Keris Atau Seorang Raja Purba' Nassury Ibrahim di dalam Warna Kemesraan.
Di bilik kaca
sebuah rumah
akhirnya
kutemui kau
diam
tanpa istana tercinta
tanpa rakyat jelata
akhirnya
dalam bilik kaca
seorang raja purba
sepi dan terasing
Manakala sajak Zeniri Erwan pula (hal. 119).
Di bilik kaca
sebuah rumah
akhirnya
kutemui kau
diam
tanpa istana tercinta
tanpa rakyat jelata
akhirnya
dalam bilik kaca
seorang raja purba
sepi dan terasing
sepi dan terasing
Kedua-dua buah sajak itu mempunyai persamaan seratus-peratus dari semua bentuk dan juga struktur ayat, kecuali ciptaan Zeniri Erwan dengan mengulangi baris terakhir 'sepi dan terasing' menjadi dua belas baris semuanya.
Untuk kita mengakui kedua-dua penulis ini orang yang sama adalah mustahil apabila pada halaman 132 hingga 134 Di Luar Bingkai Diri menyenaraikan biodata penulis. Pada halaman ini Zeniri Erwan diperkenalkan sebagai nama samaran kepada Muhammad Ramli Haji Nuh, iaitu seorang mahasiswa tahun pertama UKM bagi sesi 1986/1987 dan beralamat tetap: 332, Kampung Wakaf Mesira, Tepuh, Kuala Terengganu.
Maka tidak syak lagi mereka berdua adalah penulis yang berlainan. Malah tidak syak lagi, Zeniri Erwanlah yang memplagiat sajak Nassury Ibrahim, lantaran dari segi tarikh penyiarannya, sajak Nassury setahun mendahului sajak karya Zeniri Erwan.
Oleh kerana kebenaran sudah ternyata, diharapkan orang-orang yang bertanggungjawab di dalam aktiviti penyusunan buku sedemikian haruslah lebih berhati-hati lagi supaya hal-hal yang tidak bertanggungjawab seumpama itu tidak berulang.
Untuk menghapuskan sekali gus mungkin suatu hal yang mustahil, kerana para pengkaji sastera juga seperti lain-lain golongan, mereka kadangkali mungkin terlupa mana-mana karya yang pernah dibaca sebelum usaha pengumpulan itu dilakukan.
Malah apa yang berlaku adalah di luar kesengajaan, tetapi para penulis sajalah harus ditanam dengan sikap bertanggungjawab dan konsep moral dalam pengkaryaan kreatif ini. Tanpa tanggungjawab para penulis, terutama golongan yang baru hendak mengenali sastera, mustahil hal-hal begini sukar dihapuskan.
Siaran: Mingguan Malaysia / Pancaindera, 22 Mei 1988.

Dihormati Orang Tua di Kampung

Oleh sebab cuti raya yang panjang pada tahun ini, dapatlah aku berlama di kampung dan mengunjungi banyak rumah. Kampungku dibuka sekitar tahun 1962/1963. Ramai orang-orang asal di kampung sudah tiada, tinggal cuma para balu sahaja. Baki di Kampung Bahagia saja kini tinggal 6 orang. Yang berbaki pula tidak sihat semuanya. Ada yang sakit tua dan ada sakit kronik. Apabila saya kunjungi mereka, wah, macam ubat pula! mereka nampak bersemangat. Bercerita tentang itu dan ini. Berkali-kali mengucapkan terima kasih kerana aku datang mengunjunginya.

Salah seorangnya, aku panggil Che Din. Dia bercerita tentang sejarah kampung. "Sengaja nak beritahu cerita sebenar kepada Nasir sebab dia anak sulung yang berjaya di kampung ini," kata Che Din. Kata-kata Che Din itu seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Sebab, memang aku berhasrat mencari sejarah kampung dan mencipta blog untuknya. Allah makbul niat suci aku.

Rupa-rupanya kampung aku dibuka bukan atas permintaan kerajaan, tetap atas usaha rakyat membuka kampung kerana ingin tempat tinggal. Nasib yang menerima Hamid Tuah hampir menimpa orang asal di kampungku. Atas kebijaksanaan Che Din memberitahu bahawa semua peneroka itu adalah penyokong kerajaan, maka isu meneroka tanah haram tidak berlanjutan.

Memang kampungku pernah digelarkan sebagai 'anak emas Umno.' Semuanya menjadi ahli Umno. Seingat aku, gambar Menteri Besar, Wan Mokhtar Ahmad, telah melekat di dinding rumahku, bersebelahan gambar dacing, berhampiran pintu masuk.

Banyaklah yang diceritakan oleh Che Din hingga banyak aku ketahui. Langsung aku tidak sangka bahawa Che Din merupakan tulang belakang kewujudan Kampung Tok Kah. Banyak usaha-usaha yang dilakukannya diceritakan, hingga Kampung Tok Kah memperoleh itu dan ini, termasuk pembinaan sekolah.

Tahun 1971 aku mula bersekolah di Kampung Tok Kah. Ertinya, sekolah ini mula dibina pada tahun akhir 1960-an. Tidak pula aku ketahui, bilakah Sekolah Kebangsaan Kampung Tok Kah dibuka. Walau apapun, sangat cepat Kampung Tok Kah mendapat sekolah. Itu sumbangan Che Din yang tidak ternilai. Walaupun buta huruf, namun hati Che Din celik. Aku dan generasi baharu dapat bersekolah dan seterusnya berjaya mencapai cita-cita.

Sebagai pejuang sebenar, beliau tidak menunjukan jasanya. Malah, terpinggir dalam kejayaan kampung. Demikian adat manusia dan nasib pejuang, termasuk pejuang sebenar negara.

Mendengar cerita Che Din, aku teringat kata-kata seorang sarjana bahawa perunding kemerdekaan Malaysia itulah pejuang sebenar. Katanya, mereka yang bangun berkeris berlembing menentang penjajah itu bukan pejuang, apalagi PKM (Ops, jangan sebut PKM! Aku berterima kasih kepadanya kerana membunuh Henry Gurney. Kalau tidak, Malaysia akan jadi seperti negara Palestin!). Aku tidak setuju dan tidak akan bersetuju.

Pada aku, semua yang bangun menentang penjajah adalah pejuang kemerdekaan, tidak kiralah mereka berjuang dengan cara berunding atau dengan cara berpena berkeris. Malah, Jepun sendiri turut memberi sumbangan terhadap kemerdekaan Tanah Melayu. Kita patut menghargainya. Seperti kata Zainuddin Maidin, ramai pejuang asal menjadi wira yang tidak didendangkan. Antara wira itu, di kampungku, salah seorang ialah Che Din.

Sebelum ini aku sudah mencatatkan bahawa betapa penting kita menghargai jasa pemimpin. Dengan mengetahui sumbangan mereka, akan membangkitkan jiwa kita untuk turut sama berbudi dan menghargai budi orang.
Aku rasa terharu mendengar cerita Che Din itu. Pertama, ia memberi maklumat mudah yang aku mahu mencarinya. Kedua, aku merasai satu penghormatan yang diberikan oleh orang tua di kampungku.

Khamis, 17 September 2009

1 Malaysia + Hari Kebangsaan = ?

DS Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan program 1 Malaysia sebagai idealisme dan wawasan kepimpinannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Menurut beliau, matlamat 1 Malaysia ialah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian entiti Malaysia yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia. Diharapkan kekuatan ini akan terus kekal di Malaysia sebagai bekalan terbaik negara mencapai kejayaan pada masa akan datang. Rakyat Malaysia diajak bersama-sama berganding bahu membangun Malaysia.

Walaupun DS Najib tidak menyatakan secara jelas, siapakah orang yang diajak untuk berganding bahu memajukan Malaysia, namun kita dapat memahami melalui ungkapan 'mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian.'

Hal ini adalah wajar. Sebagai rakyat bagi satu negara, kita bertanggungjawab memajukan negara tanpa mengira ideologi diri dan sasaran diri.

Namun, apakah konsep 1 Malaysia ini dihayati oleh semua rakyat, lebih-lebih lagi, oleh para penggerak dan pengasasnya, DS Najib. Memang hasrat dan harapan meralisasikan 1 Malaysia jelas ditetapkan. Rakyat bawahan juga bersemangat mencapainya. Kesepakatan ini jelas melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan di setiap negeri, daerah dan kampung. Pihak media juga berusaha mendekatkan lagi hati masyarakat dengan hasrat 1 Malaysia.

Walau bagaimanapun, saya melihat, dalam acara-acara rasmi besar kerajaan persekutuan seakan terlupa melibatkan semua rakyat tanpa mengira ideologi, sebagaimana diamalkan oleh rakyat bawahan. Dalam program rasmi kerajaan persekutuan di negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Pembangkang tidak dijemput wakil kerajaan negeri bersama meraikannya. Contoh yang jelas ialah perayaan menyambut Hari Kebangsaan ke 52 di Dataran Parlimen, baru-baru ini.

Bagi rakyat Malaysia, Hari Kebangsaan merupakan lambang kemerdekaan, kejatidiran, kebebasan, kedaulatan, kemuliaan yang bergerak atas landasan cita rasa sebenar bangsa dalam sebuah negara. Ia menjadi lambang dan sepatutnya menjadi kesatuan, perpaduan, kerjasama rakyat dan pemimpin yang pelbagai lapisan dan ideologi. Sepatutnya, sambutan perayaan Hari Kebangsaan adalah pentas tempat tidak mengenal bangsa dan ideologi. Ia adalah hak milik bersama dan kebanggaan bersama tanpa ada sebarang perbezaan. Ia adalah pentas 1 Malaysia yang rakyatnya melupakan ideologi, tetapi merai kejayaan sebagai negara berdaulat dan bermartabat.

Namun, apa yang terjadi dalam perayaan sambutan ke 52 tahun kemerdekaan. Saya perhatikan tidak ada seorang pun wakil dari partai di luar Barisan Nasional berdiri di pentas bersama-sama Perdana Menteri dan menteri menyambut perayaan kemerdekaan tersebut. Adakah mereka tidak diajak untuk turut sama menyambut perayaan yang dibanggakan itu? Atau, mereka memang diajak tetapi tidak menghadirinya.

Daripada sambutan acara rasmi besar negara itu, memperlihatkan bahawa pihak pemimpin, baik dari pakatan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, masih rapuh ikatan perpaduan. Jiwa mereka masih tidak bersatu dan tidak mahu bersatu, sedangkan mulut mereka sering mengajak menyeru rakyat agar bersatu dan melupakan ideologi.

Kalau kesilapan ini tidak diperbaiki, maka konsep 1 Malaysia akan menjadi dan dianggap sebagai retorik pemimpin Barisan Nasional sahaja. Ia tidak perlu disambut dan dihayati oleh lapisan masyarakat dari pelbagai ideologi lain. Persepsi ini amat tidak bagus untuk Malaysia, apalagi dalam keadaan sekarang dan perlu diterbalikkan.

Seingat saya, dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan, tidak pernah ada pemimpin pembangkang turut sama meraikannya. Dan, setahu saya, hanya sekali dua sahaja partai pembangkang turut mengadakan acara merai Hari Kebangsaan. Sambutan berasingan oleh dua pihak tersebut menggambarkan bahawa memang pemimpin politik tidak bersatu, dan negara ini ada dua nahkoda. Setiap nahkoda itu pula melakukan hal masing-masing.
Seharusnya
Seharusnya ia
1 kata 1 rasa
1 hasrat 1 dapat
1 nada 1 suara
1 warna 1 wajah
di mana-mana
di mana-mana
1 Malaysia 1 rakyat
17 September 2009

Ulasan Puisi "Mesej atau Moral di dalam Sajak" (Cuplikan)


oleh Rahman Shaari
Ssajak Nassury Ibrahim berjudul 'Cermin' memang baik dari segi penyampaian moralnya. Baris awal sudah menarik, walaupun maksudnya biasa sahaja:
cermin tidak pernah berkata bohong
Baris pertama itu diperkembangkan. Dari perkembangan itu kita menemui moralnya yang dipadu dalam bentuk yang agak harmonis. Cermin adalah suatu kata yang menimbulkan makna konotatif, tidak hanya makna denotatif.
Nassury Ibrahim membandingkan (secara kontras) di antara pengemis dengan pemerintah. Kedua-duanya akan dapat melihat diri melalui cermin. Pengemis boleh menatap 'wajah hidupnya.' Pemerintah boleh 'merawat gaya pemerintahannya.' saya amat senang dengan sajak pendek ini.
Siaran: Majalah Remaja, November 1984.

Cermin

Cermin tidak pernah berkata bohong
meski ia terbalik atau pecah
pada yang menatapnya seorang pengemis
tua yang mahu melihat wajah hidupnya
atau seorang pemerintah yang mahu
merawat gaya pemerintahannya.

Siaran: Majalah Remaja, November 1984

Kumpulan Sajak 'Cermin', Gapri, 1987

Ulasan Puisi "Sajak Biasa dan Sajak Visual" (Cuplikan)

oleh Rahman Shaari
Sajak 'Aktivis' oleh Maniyamin Ibrahim juga ada tanda-tanda kemantangan. Judul dan isinya sepadan. Memang seseorang aktivis mungkin bangun menjerit mengajak hadirin atau orang ramai memberontak. Ia menyaran sikap 'kurang ajar' yang dulunya disebutkan oleh penyair Usman Awang dan diikuti oleh penulis-penulis lain seperti Inon Shaharudin (dalam Majalah Dewan Budaya), Salleh Joned (dalam akhbar Berita Minggu) dan lain-lain. Menurut Maniyamin, sikap 'kurang ajar' mungkin menyebabkan seseorang boleh kemenangan.

Siaran: Majalah Remaja, Ogos 1985

Rabu, 16 September 2009

Nassury Ibrahim Antara Masalah dan Penyelesaian

oleh Noraini Hasan
Nassury Ibrahim salah seorang penulis generasi baru yang berpotensi menjadi penulis terkenal. Kesungguhan dan sikapnya dalam berpuisi menunjukkan tanggungjawabnya sebagai penulis. Sikap dan kesungguhannya berpuisi dapat diperhatikan dalam kumpulan puisi Menimba Laut (1996) yang menunjukkan peningkatan kemantangannya berpuisi.

Nassury menulis tentang apa sahaja seperti rentetan peristiwa harian, sesuai dengan sikapnya menjadikan puisi sebagai catatan diari peribadi. Salah satu sikap menarik Nassury dalam Menimba Laut ialah pandangannya mengenai masalah. Masalah bukan sesuatu abstrak walaupun sebenarnya abstrak.

Masalah bukan hak individu, tetapi hak milik semua individu. Ringkasnya, masalah bersifat global dan dialami oleh semua makhluk, manusia dan bukan peristiwa. Kamus Dewan melihat masalah sebagai keadaan yang menimbulkan kesukaran dan perlu diselesaikan. Masalah tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana boleh menyulitkan lagi keadaan.

Masalah datang daripada manusia hidup dan ingin hidup. Masalah membuktikan bahawa manusia hidup dan waras kerana manusia mati dan gila sahaja yang tidak mempunyai masalah. Melalui puisi 'Masalahnya' Nassury menjelaskan punca bertapaknya fenomena itu.

Masalah kau ragu
menyatakan masalahmu
kerana katamu tidak mungkin
dapat diselesaikan

Sesuatu masalah akan menjadi rumit apabila individu tiada yakin menyelesaikannya. Keraguan adalah penghalang utama kepada usaha menyelesaikan masalah kerana tidak dapat dicari punca masalah. Tegas Nassury;

sedang keraguan itulah
sebenarnya masalahnya
kerana ia menutup
jalan penyelesaian

Kegawatan ekonomi adalah masalah kepada rakyat dan negara, tetapi dapat diambil langkah-langkah mengatasinya kerana diketahui punca timbulnya kegawatan. Demikian masalah air dan sebagainya.

Adakah masalah boleh diselesaikan dengan mudah setelah diketahui puncanya? Dalam puisinya, 'Bagaimana,' Nassury menegaskan bahawa masalah dapat diselesaikan melalui persefahaman antara dua pihak terlibat. Namun sekiranya satu pihak tidak memberi kerjasama, ia akan menjadi bertambah rumit.

Siang yang terang
makin kelam
kelam yang remang
makin hitamBlockquote
Apakah masih ada penyelesaian pada 'siang' yang menjadi 'semakin hitam?' Nassury melontarkan pertanyaan apabila melihat masalah menjadi semakin rumit dengan berkata, 'bagaimanakah harus kutamatkan sengketa ini?'

Lazimnya kita memandang remeh kepada masalah semasa pada peringkat awal. Misalnya, kemasukan pendatang tanpa izin tanpa pada awal 1990-an tidak dianggap sebagai masalah. Kini pendatang tanpa izin dianggap sebagai masalah terhadap budaya, keselamatan dan ekonomi negara.

Apabila bangunan runtuh kita pun menubuhkan pasukan penyelamat. Apabila kehabisan air kita pun menubuhkan Majlis Air Negara dan sebagainya. Melalui puisi 'Setelah Semua Berlalu (1)' Nassury menyindir sikap kita daqlam menangani masalah.

Sayangnya mereka sedar
setelah semua berlalu
dan penyelesaian jadi kusut

Nassury kesal dengan sikap tidak prihatin rakyat Malaysia dan mahu sesuatu masalah diselesaikan pada peringkat awal lagi. Sikapnya kepada masalah tidak seperti melontarkan batu sembunyi tangan. Nassury tidak memperkatakan masalah begitu sahaja, sebaliknya Nassury memberi cara penyelesaiannya.

Melalui puisi 'Menghadapi Gunung Masalah' Nassury menyatakan masalah yang dihadapi itu dikenal pasti puncanya dan dibuat pengelasan. Nassury menganalogikan masalah sebagai sebuah gunung. Gunung itu perlu dipecah-pecahkan menjadi bukit, pusu, batu, dan akhirnya pasir untuk diselesaikan satu demi satu secara berperingkat-peringkat. Apabila masalah menjadi kecil, maka senanglah kita menyelesaikannya. Kata Nassury;

dan pasir itu
jentiklah
satu persatu

Demikian masalah dan cara menyelesaikannya menurut Nassury, lewat puisi-puisi dalam Menimba Laut. Nassury nampaknya intim dengan masyarakat dan menjadi sebahagian pemikir masalah masyarakat dengan berpegang kepada konsep 'Seni untuk Masyarakat.'


Siaran: Utusan Malaysia, 18 April 1998

Selasa, 15 September 2009

Cerita Pembantu Rumah Indonesia

Ramai rakyat Malaysia ditipu oleh pembantu rumah Indonesia. Kontrak dua tahun berkhidmat hanya hiasan kata-kata sahaja. Mereka hanya guna alasan berkhidmat sebagai pembantu rumah untuk datang ke Malaysia, sebelum meneruskan agenda sebenar. Di sini saya paparkan tiga kisah benar tentang tempoh perkhidmatan mereka.
Cerita 1: Adik ipar (paling bongsu) telah menghabiskan duit lebih RM3,000 untuk mendapatkan seorang pembantu rumah, bernama Seri. Asalnya Jawa Barat. Janji perkhidmatan ialah dua tahun. Menurut Seri, dia mempunyai pacar yang tinggal di Kuala Lumpur. Seri selalu menelefon pacarnya. Habis tahun pertama berkhidmat, tiba-tiba Seri hilang dari rumah. Waktu itu, adik ipar saya ini berada di rumah jiran, tidak berapa jauh dari rumahnya. Menurut jiran, Seri keluar menaiki kereta Kancil yang dipandu oleh seorang pemuda. Anak-anak ditinggalkan begitu saja. Adik ipar melaporkan kehilangan Seri kepada polis dan imigresen. Pihak imigresen mengenakan denda dengan bayaran tertentu. Mujurnya, Seri tidak melarikan apa-apa barang berharga dan anak-anak.
Cerita 2: Adik ipar nombor 2 juga mengambil pembantu rumah Indonesia yang berasal dari Ambon. Saya memanggilnya Bibi saja. Bibi tidak mempunyai pacar, walaupun ada telefon bimbit. Apabila Seri melarikan diri, isteri saya cuba mengujinya.
"Kenapa Bibi tidak lari sama. Mungkin, lepas ni, Bibi pula yang kabur."
"Eh, tidak, Kak. Saya tidak seperti Seri. Saya mahu bekerja," jawab Bibi.
Selang dua bulan, saya mendapat tahu bahawa Bibi juga kabur dari rumah. Kaedahnya sama. Ada lelaki datang mengambilnya. Anak dan barang-barang tidak diusik. Laporan kepada polis dan imigresen dibuat, namun, mereka tidak dapat berbuat apa-apa.
Cerita 3: Jiran saya, seorang doktor. Beliau ambil seorang pembantu rumah yang agak berusia, berbanding dua orang pembantu di atas. Juga berasal dari Jawa. Menurut ceritanya, yang diceritakan kepada isteri saya, dia pernah jadi pembantu rumah di Arab Saudi. Gajinya lumayan. Dia juga pernah memberitahu kepada isteri saya, dia hanya mahu bekerja setahun sahaja dengan majikannya itu. Tepat sebagaimana dikatakan, dia meminta doktor menghantarnya ke airport untuk pulang. Dia tidak kabur. Dia cuma memberitahu doktor bahawa ayahnya sakit tenat di kampung, dan mahu pulang melawatnya. Sehingga kini, dia tidak datang menyambung khidmatnya. Sampai sekarang doktor tidak mempunyai pembantu rumah.
Daripada 3 kisah itu, saya percaya, memang ada kumpulan yang menguruskan pembantu rumah Indonesia untuk kabur dan berkhidmat setahun saja. Pembantu rumah ini akan diserahkan kepada keluarga lain dengan bayaran ditetapkan kerajaan. Setelah setahun berkhidmat, akan dipindahkan kepada keluarga lain pula. Dalam tempoh dua tahun perjanjian perkhidmatan, agen (kalau dilakukan oleh agen) dapat bayaran berganda. Malanglah kepada majikan yang terpaksa membayar beribu-ribu ringgit, sedang tempoh perkhidmatannya lebih singkat berbanding dijanjikan.
Mungkin anda juga mempunyai pengalaman tersendiri.