Jumaat, 27 Mei 2011

Hari Hujung Minggu


Selain urusan kekeluargaan, hari hujung minggu aku diwarnai tanggungjawab sebagai tutor atau pensyarah sambilan atau penceramah. Ada kalanya aku mengajar guru-guru yang datang berkursus. Ada kalanya aku mengajar di sebuah universiti swasta (sejak 2004 lagi) dan ada kalanya menghadiri ceramah-ceramah kesusasteraan dan pendidikan. Ada kalanya, dalam cuti semester pun aku masih bertugas. Kalau tidak mengajar, aku isi dengan memeriksa tugasan, kertas atau membuat persediaan.


Demikian pada hari ini. Sudah hampir 1 jam aku berada di Bilik 32 di sebuah universiti swasta untuk mencurahkan ilmu Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu. Malangnya, sejak 10.15 pagi hingga kini, pelajar aku tidak muncul-muncul. Tidaklah ramai. Cuma seorang sahaja. Khabarnya, pelajar aku ini tinggal di Besut. Telah dua kali aku hubungi melalui telefon rumah (itu saja yang ada), namun tiada siapa menjawabnya.

Untuk hadir pada hari ini, telah dua tiga hari aku bersengkang mata mencari maklumat tentang fonetik. Memindahkan maklumat itu ke dalam bentuk 'power points.' Semuanya kerana mahu pengajaran agar lebih menarik dan ilmunya tidak sesat. Dan pagi tadi, Bilik 32 ini tiada LCD. Aku berusaha mendapatkannya daripada pentadbir. Setelah bilik ada (aircon lagi), 'power points' ada, LCD ada, malangnya, pelajar pula tidak ada.

Aku ambil keputusan untuk tunggu sekitar satu jam. Jika tidak muncul juga, aku akan berangkat pulang. Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya aku telah berusaha menunaikan tanggungjawabku, dan membuktikan kesungguhan aku. Untuk mengisi masa satu jam itu, aku menyemak 'power points' dan menulis entri ini.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

lucu jugak ni..knp seorg je pljr..xhadir plk tu..sebagai pendidik mmg menguji kesabaran n kekentalan jiwa..xberputus asa tuan..