Ahad, 15 Ogos 2010

Wang Dinar Emas

Aku sokong Kerajaan PAS Kelantan memperkenalkan Wang Dinar Emas di Kelantan. Lagipun, wang itu wang pilihan. Pembeli dan penjual boleh memilih untuk berjual-beli dalam mata wang kertas atau Wang Dinar Emas. Wang kertas Bank Negara Malaysia (BNM) masih laku dan halal digunakan di Kelantan.

Aku tidak dapat terima alasan Dr Awang Adik Hussein (Berita Minggu, 15 Ogos 2010) dan Mustaffa Mohamad (Sinar Harian, 15 Ogos 2010) yang menganggap Kerajaan PAS Kelantan melanggar undang-undang (BNM) apabila memperkenalkan Wang Dinar Emas di Kelantan


Dalam soal pelanggaran undang-undang, Kerajaan Persekutuan lagi dasyat melanggar undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan. Memang melanggar undang-undang salah. Namun, melanggar undang-undang BNM lebih kecil kesalahannya berbanding melanggar Perlembagaan Persekutuan. 

Dalam soal bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pembelajaran Sains dan Matematik misalnya, terang-terangan Kerajaan Persekutuan melanggar Perlembagaan Persekutuan. Dalam Perlembagaan Persekutuan telah dicatatkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa resmi negara Malaysia. Demikian juga dalam hal wang royalti minyak di Terengganu, sewenang-wenangnya diubah menjadi wang ihsan. Juga melalui PDRM menghalang rakyat berhimpun secara aman dan sebagainya. 

Pada aku, tindakan Kerajaan PAS Kelantan memperkenalkan Wang dinar Emas tidak seteruk kesannya berbanding perlakuan devian Kerajaan Persekutuan melanggar undang-undang dan perjanjian. 

Kalau tindakan Kerajaan PAS Kelantan itu salah, bagaimana pula dengan penggunaan token di sesetengah kedai, pesta atau di puncak Genting. Adakah penggunaan token menggantikan wang Malaysia untuk berjudi itu tidak salah. Apa bezanya, menggunakan token dengan menggunakan dinar emas? Dan, mengapakah token dibenarkan?

Kalangan syarikat besar juga tidak menggunakan mata wang Malaysia sepenuhnya dalam urusan perniagaan mereka. Mata wang digantikan dengan cek. Cek bukan mata wang, tetapi kenapa halal digunakan?

Apapun, terpulanglah kepada Kerajaan Persekutuan kerana mereka yang berkuasa. Rakyat hanya menerima sahaja perlakuan baik dan buruk yang diperkenalkan kerana sebarang penentangan akan menyebabkan anda ditangkap dan dihukum.  

Tiada ulasan: